.

.

Sunday 10 July 2016

REVIEW BUKU KEDUA: FIRST THEY KILLED MY FATHER oleh Nuraina Kamal



        Semasa saya terlibat dengan program amal di Kemboja pada tahun 2012, saya sempat melawat Muzium Genocide Tuol Sleng yang merupakan penjara untuk menyeksa orang awam pada zaman pemerintahan parti komunis yang diketuai oleh Pol Pot. Saya membeli buku ini sebagai kenangan lawatan saya di situ dan mahu mengetahui lebih lanjut peristiwa di sebalik kejadian yang menjadi pengalaman pahit (pahit) bagi setiap rakyat Kemboja yang merasainya. Perkara yang menyeronokkan bagi saya tatkala melawat negara lain ialah mengetahui berkenaan sejarah negara tersebut. Walau bagaimanapun, buku ini tersadai dalam simpanan selama 4 tahun sebelum saya mengambil keputusan untuk membacanya, untuk memenuhi kriteria buku kedua dalam Cabaran Membaca 32 Buku ini.
           
Kisah bermula apabila setiap penduduk di Phnom Penh diminta untuk mengosongkan rumah mereka. Mereka dijanjikan harapan bahawa mereka boleh pulang ke rumah setelah 3 hari, tetapi sebenarnya itu hanya pembohongan semata-mata, kerana mereka tidak dapat kembali terus ke rumah mereka.

Pol Pot amat memusuhi golongan intelektual dan mereka yang pernah bekerja untuk kerajaan ketika itu kerana merasakan golongan seperti ini akan mengancam pemerintahannya. Pol Pot menghapuskan mereka dengan cara yang amat kejam.

Ayah Loung, seorang pegawai tinggi kerajaan, menyembunyikan identiti beliau serta kesemua ahli keluarganya. Mereka mengaku bahawa mereka adalah keluarga petani. Pada awalnya,  mereka menumpang di rumah pakcik Loung, Leong, di pinggir bandar. Tetapi tidak lama, kerana pendudukan mereka di rumah itu akan memberi ancaman kepada saudara mereka, Loung sekeluarga terpaksa berpindah dari satu kem tahanan ke kem tahanan yang lain, yang telah ditetapkan oleh askar Pol Pot. Setiap kali tiba di sesebuah kem tahanan, mereka tidak akan dapat menjangka, berapa lama mereka akan berada di kem itu kerana arahan untuk berpindah akan datang secara tiba – tiba. Kesemua tahanan dikehendaki memakai pakaian yang ditetapkan oleh askar iaitu pakaian yang berwarna hitam kerana ideologi para komunis ini ialah, semua orang adalah sama. Pakaian yang lain milik orang awam dibakar dan jika askar menyukai harta mereka akan dirampas. Otak yang cerdas tidak penting tetapi badan yang kuat lebih penting, menurut mereka. Kerana itu, mereka membenci golongan yang bijak pandai. Kanak-kanak tidak bersekolah dan mereka dikerah untuk berkebun. Jika diketahui wujudnya sesi pengajaran di dalam kem tahanan itu maka orang yang terlibat tidak akan selamat.

Walau bagaimanapun, mereka yang tinggal di kampung tidak menerima nasib yang sama kerana Pol Pot berpendapat golongan ini tidak mampu memberi ancaman kepada beliau. Kesemua tahanan dikehendaki bekerja pada siang hari. Para lelaki akan pergi mencari ikan dan makanan, manakala para wanita akan membanting tulang menanam apa-apa jenis sayur-sayuran. Bersesuaian dengan ideologi komunis, setiap apa yang didapati mesti dikongsi, apa saja hasil mereka pada hari itu wajib diserahkan. Tetapi sebenarnya, tidak semua hasil itu dapat mereka nikmati. Makanan mereka juga dicatu. Ahli keluarga Leong terpaksa berpisah apabila abang sulung dan abang keduanya, Meng dan Keong, serta kakak sulungnya, Keav, kerana setiap remaja diwajibkan untuk berpindah ke kem remaja.

Loung menyaksikan pelbagai kekejaman yang berlaku di hadapan matanya. Bermula dengan kematian kakaknya Keav yang tidak mendapat pembelaan, kematian ayahnya, mengetahui banyaknya gadis-gadis remaja yang dirogol, ibu dan adiknya mati ketika dia berada di kem askar untuk kanak-kanak, malah dia sendiri hampir dirogol!

            Ada orang mengatakan, “Ah, dia masih budak ketika kejadian itu, masakan dia ingat”. Kenyataan ini tidak benar kerana rampasan kuasa oleh Pol Pot ini sangat memberi kesan kepada Loung. Pada usia 5 tahun, kanak-kanak sudah boleh memahami dan menghadam perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Pengalaman buruk ini sebenarnya menyebabkan tertanamnya rasa benci dalam diri Loung sehingga dia berazam untuk membunuh Pol Pot. 

            Saya tidak dapat membayangkan jika saya yang berada di tempat Loung ketika itu. Secara idealnya, zaman kanak-kanak sepatutnya menjadi zaman yang terindah bagi setiap orang, tetapi tidak bagi Loung dan adik beradiknya. Mereka terpaksa menjadi buruh menanam sayur, menjalani latihan askar, setiap hari didoktrin supaya menyokong Pol Pot, terpaksa mencuri makanan kerana kebuluran, mengorbankan diri menjadi bahan pukul rakan sebaya demi sisa-sisa makanan dan pelbagai lagi perkara yang tak seharusnya dilalui oleh seorang kanak-kanak.

            Dapat saya simpulkan melalui pembacaan saya bahawa antara penyebab pembangunan di Kemboja masih ketinggalan dan mundur kerana lebih sejuta rakyat mereka dibunuh. Tambahan pula, mereka yg dibunuh majoritinya adalah golongan bijak pandai dan professional serta yang pernah berkhidmat dengan kerajaan. Proses membaikpulih dan kemajuan menjadi sedikit lambat dan jika kita berkunjung ke sana, kita boleh merasa hidup di zaman sebelum merdeka.

            Pembacaan buku ini juga memberi kesedaran kepada saya tentang isu penindasan umat Islam zaman kini seperti Rohingya, Syria dan Palestin kerana buku ini menunjukkan sekumpulan manusia yang merasa mereka lebih berkuasa dan memanipulasi kumpulan lain yang kurang berdaya. Jika mereka yang lemah cuba melawan pun, kematian adalah balasan kepada keberanian mereka itu.

            Secara ringkasnya, buku ini menceritakan kisah rampasan kuasa oleh rejim Pol Pot dari saat bermula jajahan sehingga mereka kalah dengan tentera Vietnam (tahun 1974 sehingga 1979) daripada sudut pandang seorang kanak-kanak berumur 5 tahun. Setiap kali berpindah daripada satu bab kepada bab yang lain, debaran sangat dirasakan kerana takut untuk mengetahui kekejaman apa lagi yang telah dihadapi oleh penulis ini. Namun begitu, saya turut merasa tidak sabar untuk menghabiskan pembacaan saya kerana tertunggu-tunggu saat pembebasan rakyat Kemboja.

Buku ini sesuai dibaca oleh semua golongan pembaca kerana saya percaya kisah penulis ini dapat menarik perhatian orang untuk mengetahui sejarah negara Kemboja. Antara cara menyampaikan mesej adalah melalui penulisan dan Loung telah menyampaikan kisah penderitaan rakyat Kemboja dengan cukup baik melalui buku ini. Filem berdasarkan buku ini dijangka terbit pada tahun ini dan diarahkan oleh pelakon terkenal Angelina Jolie. Sebelum menonton, marilah kita membacanya agar lebih menghayati filem ini. J

No comments: