Tuesday, 2 August 2016

REVIEW BUKU KEDUA: There’s No Place Like Here oleh Naziatul Azrin

There’s No Place Like Here ~ Cecelia Ahern
(terbitan asal di Ireland bertajuk ‘A Place Called Here’)


Buku ini mengisahkan tentang kehilangan. Tentang orang hilang. Tentang kehilangan akibat akibat daripada tragedi orang yang dikasihi hilang. Tentang pencari orang hilang. Tentang proses mencari pencari orang hilang. Tempat berkumpulnya apa saja yang pernah hilang - Here.

Gadis berketinggian 6 kaki 1 inci bernama Sandy Shortt (ya ironi) mempunyai agensi mencari orang hilang. Sesuai dengan pekerjaannya, Sandy adalah pencari barang yang tekun. Sandy tidak akan berhenti daripada mencari barang yang hilang sehinggalah dia menjumpainya. Biar dia terpaksa memunggah seluruh isi beg, mengangkat terbalik katil di bilik sekalipun, tidak ada apa yang boleh membuat Sandy berputus asa daripada obsesinya terhadap pencarian barang hilang. Oleh itu, agensi mencari orang hilang Sandy adalah servis yang memang membantu keperluan masyarakat setempat.

Sehinggalah pada suatu hari, Sandy sendiri menjadi orang hilang. Sandy hilang pada hari dia sepatutnya berjumpa dengan kliennya, Jack Ruttle untuk sesi temujanji mengesan Donal Ruttle, adiknya yang hilang sejak setahun yang lalu. Lalu Jack, yang dalam usaha mencari adiknya yang hilang kini bertukar posisi. Dia pula terpaksa bertungkus-lumus mencari Sandy.

Jadi, di manakah Sandy?

Sandy rupanya telah tersesat ke sebuah daerah – Here. Daerah di mana semua kehilangan yang tidak dapat dikesan berkumpul di situ. Orang hilang dan barang yang hilang. Di daerah aneh itu, Sandy walau bagaimanapun tetap menyambung pekerjaannya - mencari Donal Ruttle. Paling menakjubkan, di daerah itu juga segala barang Sandy (sepit rambut, anak patung, diari, stoking  dan pelbagai lagi) yang telah hilang sejak kecil ditemukannya semula di situ. Sandy juga berjaya bertemu dengan punca utama yang menjadikan Sandy obses terhadap mencari barang dan orang hilang, iaitu rakan sekolahnya, Jenny-May Butler. Yang tidak berjaya ditemukan Sandy hanyalah Donal Ruttle.

Siapakah Jenny-May Butler? Mengapa kehilangan Jenny-May Butler ketika mereka berumur 10 tahun memberi impak sedemikian besar terhadap Sandy? Dan, mengapakah Donal Ruttle tidak ditemui di tempat yang sekecil-kecil barang pun boleh ditemui? Itu, adalah persoalan-persoalan yang membuat pembaca mahu terus meneroka bab demi bab.

*****************************

The Hero’s Journey. Kaedah menulis karya menggunakan kerangka The Hero’s Journey ini seperti menjadi kemestian dalam karya kreatif penulis-penulis dari luar negera. Cecelia Ahern, penulis dari Ireland yang saya gemari tidak terkecuali dalam hal ini.

Di Malaysia, baik penulis lelaki mahu pun perempuan tidak ramai penulis novel yang menggunakan kerangka The Hero’s Journey ini (jika saya yang masih kurang membaca lalu tak menemukannya maka maafkan saya). Apatah lagi untuk mencari penulis yang mahir mengolah satu-satunya format yang banyak digunapakai oleh pengkarya dalam dunia ‘storytelling’ ini.

Penulis Baharuddin Bekri (tetapi beliau lelaki) saya kira adalah salah seorang penulis tempatan yang kerap berkarya menggunakan kerangka The Hero’s Journey. Lelaki Berkasut Merah, Di Mana Terangnya Bulan dan Doa Untuk Aku adalah contoh novel-novel beliau. Karya penulis perempuan pula, yang dapat saya berikan contoh adalah novel Kunang Pesisir Morten oleh Raiha Bahaudin.

Penggunaan kerangka The Hero’s Journey ini adalah salah satu yang membezakan penulis novel di Malaysia, khususnya perempuan. Saya adalah pembaca novel dan saya membaca juga novel-novel hasil karya penulis perempuan tempatan. Hasil bacaan saya (sekali lagi jika bacaan saya yang kurang maka maafkan saya), saya mendapati kebanyakan penulis perempuan di tanah air terperangkap dengan melodrama - cerita mencari pasangan hidup dan cerita menderita setelah menemui pasangan hidup. Cerita cinta oleh penulis perempuan tempatan entah kenapa, terhad kepada cinta lelaki perempuan semata. Saya tidak mengatakan semua ya. Tidak. Tetapi, untuk menemukan karya penulis perempuan tempatan yang membuat pembaca memperoleh ‘the joy of reading’, perasaan mengembara ketika membaca itu agak sukar. Paling membuat sakit hati, bila cerita diakhiri dengan babak tragis tanpa motif.

Tidaklah saya ini mengatakan cerita seharusnya ‘happy ending’. Tidak mengapa jika watak utama mati. Tidak mengapa. Tapi, mati itu haruslah memberi makna pada keseluruhan cerita. Bukan babak mati itu saja-saja mahu membuat pembaca berjuraian air mata.

Oleh itu, tulisan cabaran kedua saya untuk Cabaran 32 Buku ini saya sudahi dengan impian penulis-penulis novel perempuan tempatan agar dapat keluar daripada isu melodrama yang kerapkali memberi gambaran lemah dan tidak berupaya tentang perempuan. Tulislah tentang derita, itu tidak mengapa. Dunia kan bukan tentang bahagia semata. Tulis tanpa kerangka The Hero’s Journey pun tidak mengapa. Itu hanya format. Bukan kemestian yang mengikat cara berkarya. Tapi yang tetap perlu ada dalam karya adalah harapan-harapan, tentang kekuatan yang bisa melonjak pembacanya untuk sebuah kebangkitan.


Sekian.

No comments: