Sunday, 4 December 2016

Cabaran Akhir: Komik Kembara Khazanah Turki oleh Naziatul Azrin



“Cabaran akhir adalah cari komik dan berikan sudut pandang positif tentang hal-hal yang jika anak kecil atau remaja baca akan beroleh ilmu yang bermanfaat.”

Saya ketawa apabila menerima cabaran terakhir ini. Iyalah, tahun 2016 tinggal beberapa hari saja lagi. Khuatir juga jika cabaran kali ini sukarnya seperti yang cabaran yang lepas-lepas. Sukar (bagi saya) bermaksud perlu cari buku, baca dan menulis ulasan. Yang terakhir itulah bahagian paling sukar hinggakan terpaksa ‘berhutang’ dan diberi ingatan oleh Admin.

Selepas ketawa, barulah saya tersedar sesuatu. Saya tidak membaca komik langsung tahun ini. Tahun lepas pun tidak baca. Sebenarnya, saya sendiri sudah tidak ingat bilakah kali terakhir saya membaca komik. Padahal dulu, saya ini ‘kaki’ komik juga.

Saya langsung ke Popular di Ipoh Parade mencari komik. Di sana, lama juga saya merenung rak bahagian komik. Saya sudah lama meninggalkan dunia komik. Sudah tidak tahu apakah perkembangan komik sekarang ini. Kasihan pula kepada diri sendiri.

Dalam keadaan begini, saya hanya berpandukan naluri hati saja. Semoga komik yang menarik akan mengeluarkan cahaya dan menangkap pandangan saya.

Akhirnya, sebuah komik menyeru nama saya. Lantas, tangan saya menariknya keluar dari himpitan rapat komik-komik lain. Kembara Khazanah Turki tajuknya. Saya tersenyum. Naluri hati saya membisik kata, “Inilah komiknya. Ambil ini.” Terus saya ke kaunter dan buat bayaran.

Tepat seperti kata hati, komik yang berharga RM12 ini memang pilihan yang terbaik!

Kembara Khazanah Turki adalah salah satu daripada Siri Jelajah Dunia. Secara spesifiknya, siri jelajah dunia paling popular di Korea. Komik oleh Kang Gyung-Hyo ini diterbitkan oleh Gomdori Co. dan untuk terbitan di negara ini, diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Farah Amelia & Zharifa melalui GempakStarz dengan nombor ISBN 978-967-0699-91-2.

Kisah ini adalah kembara penyiasatan mencari harta karun oleh Ji Pang-Yi dan rakan-rakannya di bawah seliaan Profesor Ji Gu-Bon. Pelbagai kisah dan cabaran yang perlu dihadapi Pang-Yi dalam misi ini. Walaubagaimanapun, kerana ini adalah komik, paparannya sungguh menghiburkan sekali. Story-telling bagus dan informasi digali habis oleh pengkarya menjadikan bacaan komik ini langsung tidak sia-sia. Di akhir setiap bab, ada catatan tentang Turki dalam penerangan yang mudah. Bahasa yang digunakan juga adalah bahasa yang baik. Fiksyen pula menjadikan kita (pembaca) beremosi terhadap tempat-tempat di Turki.

Saya belum pernah menjejakkan kaki ke Turki. Tetapi, saya kira penceritaan tentang Turki (makanan, tempat-tempat bersejarah dan budaya) melalui komik ini menjadikan saya bersemangat mahu menanam impian menjadikan Turki sebagai destinasi untuk dikunjungi suatu hari nanti. Tidak mustahil juga saya akan terkenang keletah Pang-Yi, Eun-Ju dan rakan-rakan apabila sampai di sana. Haha!

Ah, rugi pula rasanya kerana sudah lama meninggalkan bacaan komik. Sedangkan kebanyakan komik memang diakui punya story-telling yang kuat dan menarik. Ada 20 tajuk lain dalam Siri Jelajah Dunia ini. Saya kini merasa hendak mengumpulkan kesemua tajuk.

Akhir sekali, apakah anak kecil dan remaja akan beroleh manfaat daripada komik yang saya baca ini? Tanpa ragu-ragu, jawapan saya adalah – ya, sudah tentu!






No comments: