.

.

Monday 28 August 2017

Review Keempat - Penghuni Oleh Nik Fariz (Buku Seram)


Tajuk: Penghuni
Penulis: Endie Shazlie
Terbitan: Roman Buku
Halaman: 422

Cabaran keempat iaitu cabaran yang diberikan pada kali ini ialah supaya memilih mana-mana buku bergenre seram atau misteri. Tatkala cabaran ini diberikan pelbagai jenis buku yang bermain di minda saya memandangkan genre seram dan misteri ini boleh dianggap sebagai salah satu genre yang digemari. Setelah diteliti, saya memutuskan untuk memilih buku yang terkini dari salah satu entiti perbukuan yang mula menampakkan tempatnya yang tersendiri iaitu Roman Buku. Buku yang dipilih ialah Penghuni yang telah diterbitkan pada 12 April 2017.

Semasa mula-mula saya melihat buku ini di MPH Nu Sentral, secara automatik muka depan buku ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi fikiran saya. Yupp! People do judge books by its covers. Muka depan buku ini memaparkan latar belakang hutan belantara dan bulan,sementara gambar tangki air dan gambar orang yang berselubung ditindan di atas latar belakang. Mesej seram yang ingin disampaikan oleh pereka muka depan ini dapat dirasai.

Penghuni merupakan novel pertama tulisan Endie Shazlie. Walaupun ini merupakan novel pertama beliau, bentuk penulisan dan penyampaian mesej sangat jelas dan begitu cantik. Penghuni  adalah sebuah novel yang diilhamkan daripada kisah benar di sebuah IPT. Ianya bermula pada 18 Januari 2013,apabila dua sahabat iaitu Adam dan Raime yang bekerja dalam industri penerbitan dokumentari juga penyiasat paranormal menerima jemputan daripada Ilyas (adik kepada Adam) untuk menyiasat tentang apa yang berlaku di universitinya.

Berlatarbelakangkan UITM Lendu sebagai latar tempat utama, penulis berjaya membawa pembaca untuk berada di kawasan kejadian dengan memasukkan beberapa keping gambar lokasi-lokasi utama yang diceritakan sepajang perjalanan novel ini. Saya kira, ini merupakan satu tindakan bijak dari penulis mahupun penerbit untuk menaikkan semangat ingin tahu para pembaca memandangkan novel ini merupakan novel inspirasi daripada kisah benar. Tambahan pula,penulis merupakan alumni universiti ini,oleh itu penyampaian lokasi dalam penulisan sangat terperinci dan jelas. Dari segi latar waktu pula, novel ini berjaya minimumkan penggunaan waktu dan masa dengan hanya mengambil tempoh empat hari sebagai latar waktu. Sangat jarang untuk melihat novel yang berketebalan seperti ini mampu mengurangkan penggunaan waktu dalam tulisan.

Seterusnya, dari segi penceritaan yang digunakan oleh penulis saya dapat melihat penulis seorang yang berani menggunakan pelbagai teknik seperti dialog watak, monolog luaran watak, dan monolog dalaman watak dan juga pemerian secara bergilir ganti. Teknik-teknik ini juga tidak digunakan sewenangnya atau secara melewah. Semuanya sempurna terletak sesuai dengan setiap peristiwa yang berlaku.

Apa yang menjadi daya penarik novel ini bagi saya ialah penulis menampilkan dua dimensi berbeza dalam satu cerita yang sama. Dimensi manusia dan dimensi makhluk halus masing-masing mempunyai masalah yang tersendiri dan cuba untuk menyelesaikan dengan cara tersendiri namun disatukan oleh penulis dengan mengaitkan hubungan antara kedua-dua dimensi melalui karakter-karakter yang ada pada dimensi masing-masing. Selain itu, penulis juga mempunyai kefahaman yang padu tentang sejarah alma mater beliau. Kefahaman ini diindahkan lagi dalam tulisan dengan menyelitkan dan mengaitkan hubungan antara dua dimensi ini secara langsung. Huraian dan deskripsi makhluk-makhluk halus yang wujud dalam novel ini juga telah dilaksanakan dengan begitu baik apabila dapat dibayangkan bagaimana rupa setiap mahluk tersebut. Selain itu, Endie Shazlie ini juga dilihat dapat mengimbangkan antara kisah yang benar berlaku dengan khayalan melalui kreativitinya yang tersendiri.  

Sebaliknya, pengakhiran novel ini yang bersifat tergantung kurang digemari oleh saya. Penulis membiarkan pembaca tertanya-tanya apa yang akan terjadi kepada watak utama dan apakah yang akan dilakukan oleh watak sampingan seterusnya. Namun, penulis menyatakan jika novel ini mendapat sambutan, kemungkinan akan ada sequel yang muncul.

Secara keseluruhannya, novel Penghuni selayaknya digelar sebuah novel yang bergenre seram yang seram, bukan hanya sekadar seram pada genrenya seperti sesetengah novel di pasaran. Rating yang saya berikan untuk novel ini ialah 4/5 tanpa was-was.


No comments: