.

.

Wednesday 6 September 2017

Review Keempat - 10 Days In A Mad House Oleh Sharina M Salim



10 Days in A Mad House (Nellie Bly)
Oleh: Sharina M Salim


Buku ini ditulis oleh wartawan dengan nama pena Nellie Bly (Elizabeth Jane Cochrane Seaman),  di New York pada tahun 1887. Beliau secara sukarela telah ‘menyamar’ sebagai pesakit mental di hospital mental di Amerika pada 1839, Pulau Blackwell (dikenali hari ini sebagai Pulau Roosevelt) institusi yang komited untuk pemulihan moral dan kemanusiaan pesakitnya. Tetapi setelah dana pembiayaan dipotong, ia menjadi asylum yang menakutkan, dan dihuni juga oleh penghuni penjara yang berdekatan.


Bly, berpura-pura menjadi agak gila supaya beliau dihantar ke assylum untuk mendapat pengalaman sendiri agar beliau boleh menulis apa yang dilihatnya sendiri. Beliau berpura-pura gila hingga menakutkan rakan sebiliknya. Beliau juga berpura-pura berkelakuan pelik, hingga akhirnya di putuskan perlu di hantar ke rumah pesakit mental. Setelah 10 hari di sana, peguam beliau menguruskan pengeluaran beliau, dan dari sinilah lahirnya kisah dari pengalaman beliau sendiri. Apa yang menarik, untuk mendapat tempat di assylum ini, Bly terpaksa berpura-pura dan berlakon sebagai orang gila. Apabila menjejakkan kaki di sana pada mudança, beliau terus ‘kembali sedia kala’, berlagak normal seperti biasa. Namun, beliau tetap dianggap ‘gila’ oleh doktor dan pekerja di assylum tersebut. Ia seolah-olah memberi tahu, apabila kita menggambarkan siapa diri kita tidak penting sama sekali dan tiada yang mahu percaya,  tetapi siapa diri kita dari kaca mata pihak autoriti (pihak hospital) tu yang penting. Ia umpama dunia dystopia yang menakutkan, bagi saya. 


Ada 2 perkara yang memberi kesan kepada saya - layanan terhadap pesakit mental. Layanan yang diberikan oleh para doktor dan jururawat boleh dikategorikan sebagai kejam dan tidak layak diberikan kepada manusia. Pesakit tidak diberikan rasa hormat dan ihsan, tetapi di layan umpama objek eksperimen. Hampir tiada usaha untuk memahami penyakit yang mereka alami. Layanan diberikan untuk ‘menundukkan’ perangai ‘liar’ dan mengawal simptom mereka. Inilah bahagian yang saya anggap misteri dan jarang untuk saya dapat hayati dari buku lain. Antara buku yang memberi suntan inspirasi terhadap ‘misteri penyakit mental’ ialah karya Paolo Coelho; Veronica Decides To Die dan Gila oleh Hana Alkaf. Saya ingin sekali ‘masuk’ ke dalam minda pesakit mental dan memahami ‘kekecewaan’ mereka apabila secara terus menuerus di salah anggap. Pusat asylum sebegini, tidak membantu pemulihan ataupun menambah skil asimilasi dengan masyarakat luar, tetapi menjadikan penyakit mereka lebih teruk dengan pembagai pengalaman trauma di sana. Bayangkan wanita yang sihat, dikurung dan dibiarkan duduk dari pukul 6 pagi ke 8 malam. Mereka diasingkan dari dialog atau aktiviti sosial.

Bagi pesakit wanita yang terperangkap dalam tempat sebegini, tidak ada apa yang dapat menyelamatkan mereka dan tiada cara untuk melepaskan diri. Mereka tidak mempunyai cara dan kredibiliti untuk menunjukkan kewarasan mereka. Walaupun hanya mengalami depression, ataupun bipolar, atau sekadar orang asing yang tiada kemampuan berbahasa dengan betul; mereka tetap dilabel sebagai pesakit mental, dengan kata lain, mereka tidak di layan sebagaimana orang lain. Mudah sahaja batasan ditentukan masyarakat - normal atau gila!


Perkongsian Bly ini agak ‘traumatic’ bagi saya, hingga saya membayangkan saya adalah salah seorang mangsa atau pesakit mental, dan saya dapat rasakan betapa ‘hopeless’ nya kerana perlu menjalani ‘rawatan’ yang menyiksakan setiap hari.


Perihal ke dua yang memberi kesan ialah kesunnguhan Bly, sebagai wartawan pada tahun 1887 yang mana tugas ini amat jarang dilakukan oleh wanita. Bly bukan saja ‘bising’ melaungkan keadilan sosial dan hak samarata antara lelaki dan perempuan, malah beliau meunjukkan jalan  kepada kita bahawa wanita juga boleh lakukan kerja yang sama dengan lelaki sekiranya minat. Expectation atau sangkaan perlulah adil mengikut merit dan bukannya bangsa atau jantina. 


Setelah 120 tahun karya ini diterbitkan, isu yang dibawa penulis masih menjadi tabu dikalangan masyarakat dunia moden. Saya memiih buku berkaitan ‘misteri psikologi’ dalam cabaran kali ini kerana, bagi saya kesihatan mental adalah antara misteri terbesar yang masih belum boleh di rungkai sepenuhnya masyarakat moden hari ini. Penghidap penyakit mental, atau yang jelas ketara simptomnya lazimnya masih lagi ‘dibuli’, dipulaukan, dinafikan hak untuk sembuh dan bergaul bebas kerana masyarakat ‘normal’ masih lagi prejudis.


Saya tinggalkan anda dengan satu soalan sebagai renungan - Jika kita seorang yang normal (tiada masalah mental), dan dikelilingi oleh masyarakat yang tidak normal (dengan penyakit mental), bukankah kita dengan sendirinya telah menjadi tidak normal? Ketika berada dalam situasi ini, adakah masih penting untuk ‘mempertahankan’ status anda yang normal (tiada penyakit mental)?


No comments: