.

.

Wednesday 31 January 2018

Cabaran Pertama - Memoir Pak Sako oleh Afiqah Diana


MEMOIR PAK SAKO



Buku memoir Pak Sako Putera Gunung Tahan merupakan sebuah karya daripada hasil tulisan Ishak Hj Muhamad sendiri atau lebih kita kenali dengan gelaran Pak Sako. Buku yang mempunyai muka surat setebal 251 ini merangkumi kisah hidup Pak Sako sejak lahir hingga akhir tahun 1976. Judul tambahan pada buku memoir ini iaitu Putera Gunung Tahan telah diambil daripada salah satu novel
beliau yang cukup mahsyur dalam kalangan pembaca . Selain daripada itu buku, Anak Mat Lela Gila dan Budak Beca juga adalah antara karya beliau yang cukup berharga utuk kita telusuri bersama.

Sesuatu yang cukup menarik minat saya dalam buku memoir ini adalah pada setiap kenangan Pak Sako yang ditulis sendiri oleh beliau bagi mengingatkan para pembaca tentang apa yang diperjuangkan oleh Pak Sako sepanjang hidup bukan semata terselit kenangan untuk imbauan rasa romantisma semata-mata. Font tulisan yang jelas dan sederhana besar begitu membantu saya dalam menikmati pembacaan buku yang selesa kali ini. Bahkan tambahan ilustrasi gambar yang telah terselit dalam kepingan kenangan penghidupan Pak Sako membuatkan pembaca seperti saya semakin mengesani pembacaan memoir ini. Sebagai salah seorang pembaca yang agak sukar mengadaptasi diri dalam pembacaan fakta, gambar yang tertampal dalam beberapa muka surat membantu merehatkan beban mata dan fikiran yang dihadapi oleh saya untuk menekuni buku yang hakikatnya agak tebal bagi saya.

Secara hakikatnya, memoir Pak Sako ini tidaklah menceritakan keseluruhan kisah hidup beliau, tetapi lebih kepada secara dasar perjuangan nasionalisma beliau sejak dini. Kita akan dapat lihat dengan jelas betapa semangat cintakan negara dan memperjuangkan bangsa tidak pernah luntur dalam diri Pak Sako bahkan sehingga akhir hayat. Lihatlah bagaimana belia sering cuba mengubah haluan hidupnya tatkala dibelenggu orang-orang yang riang dibawah pangkuan British. Jiwanya yang halus cintakan agama dan negara dapat dirasai dalam keberanian tingkah laku dan penulisannya. Pak Sako mempertahankan setiap inci perjuangan dengan titik dakwat hingga akhir hayat. Walau bagaimanapun, memoir Pak Sako ini masih terselit banyak hal yang berunsurkan kiasan yang sengaja beliau sembunyikan agar tidak menyakiti hati banyak pihak pada zaman perjuangan beliau. Namun pastinya adakala beliau tetap lantang menegur hal-hal yang wajar beliau lihat sebagai satu faktor kejatuhan martabat bangsa. Semua ini kita dapat lihat dengan baik dalam setiap inci muka surat buku ini.

Satu hal yang cukup jelas mengesankan hidup ini adalah bagaimana penulisan tu hakikinya akan membawa pengaruh yang cukup besar dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat. Namun satu hal juga yang kita harus tahu, betapa perjuangan itu tidak pernah pula mudah. Pak Sako adalah sebahagian lagi orang-orang berjasa yang menempuh perjuangan ini dengan titis air mata dan darah. Bahkan ketika terpenjara juga beliau dan rakan-rakan seperjuangan tidak pernah getar dan tetap tenang melalui segala dugaan. Pak Sako adalah seorang pejuang yang berjiwa marhaen yang harus kita contohi sebagai anak muda.


No comments: