.

.

Sunday 15 July 2018

Cabaran Review Ketiga - Matilda oleh Azira Salim

Cabaran Ketiga: Novel yang telah diterbitkan menjadi filem.
Buku ketiga: Matilda oleh Roald Dahl


Buku Roald Dahl bertajuk Matilda telah diterbitkan pertama kali pada tahun 1988, kemudian diterbitkan semula pada tahun 2003, edisi yang saya baca adalah edisi tahun 2013, setebal 340 mukasurat. Filem adaptasi novel Roald Dahl ini kemudiannya diterbitkan menjadi filem pada tahun 1996, dibintangi antaranya oleh Danny Devito, Mara Wilson dan Embeth Davitz.

Buku ini menceritakan tentang watak utama iaitu Matilda Wormwood yang lahir di dalam sebuah keluarga yang tidak menerima kelebihan dirinya sebagai seorang genius, seorang “child prodigy” yang memiliki kebijaksanaan melampaui had umurnya bahkan seorang anak yang sensitif dan bersopan-santun. Ayahnya Mr Wormwood, seorang penjual kereta terpakai yang suka menipu (membeli kereta tersebut dengan harga sangat murah, kemudian mengubahsuainya dengan murah tetapi menjualnya dengan harga melampaui batas), ibunya pula Mrs Wormwood, seorang wanita yang pemalas dan suka mementingkan diri, hanya mementingkan permainan bingo bersama kawan-kawannya, suka menghabiskan masa menonton televisyen daripada menemani Matilda dan bermain dengan Matilda di rumah, abangnya Michael sibuk memikirkan diri sendiri sahaja. Matilda selalu menghabiskan masanya pada waktu petang bersendirian dirumah sejak kecil kerana selalu ditinggalkan dan diabaikan oleh ibu dan bapanya. 

Sejak berusia empat tahun, Matilda akan berjalan bersendirian ke perpustakaan berdekatan dengan rumahnya supaya dia dapat mengisi lapangnya dan membunuh rasa bosannya dengan membaca. Mrs Phelps adalah pustakwan yang banyak membantu Matilda, selain selalu bimbang keadaan diri Matilda yang amat kecil tetapi sering berjalan sendiri dari perpustakaan ke rumah. Pada awalnya, Matilda berjinak-jinak dengan membaca buku-buku kanak-kanak yang lebih banyak gambar daripada perkataan. Apa yang sangat mengejutkan Mrs Phelps, dalam kurang dari dua minggu, Matilda sudah berjaya menghabiskan semua buku di seksyen kanak-kanak. Pada minggu seterusnya, Matilda meminta cadangan untuk membaca buku klasik dewasa (seperti Great Expectation oleh Charles Dickens, Jane Eyre, Charlotte Bronte, Tess de Ubervilles, Ernest Hemingway etc), dan betapa menakjubkan dia dapat menghabiskan begitu banyak buku tebal di usia empat tahun.

Tahun berikutnya Matilda meminta bapanya supaya menyekolahkannya, supaya dia dapat bergaul dengan budak seusianya dan dapat belajar lebih banyak benda baru, bapanya membantah, apakah kebaikan ke sekolah dan membaca sedangkan duduk di rumah menonton TV adalah lebih bermanfaat. Bapanya juga selalu memarahi Matilda kerana Matilda lebih gemar membaca daripada menonton televisyen bersama keluarga.  Kehidupan Matilda mulai berubah apabila dia telah ditemukan dengan Miss Jeniffer Honey, guru kelasnya, seorang wanita baik hati dan lemah lembut terhadap kanak-kanak. Miss Honey begitu terpesona kepada Matilda sejak hari pertama mereka bertemu, beliau telah melihat begitu banyak potensi diri Matilda. Sehinggakan beliau bertemu dengan guru besar sekolah, Mrs Trunchbull, supaya Matilda dapat dipindahkan ke kelas yang lebih tinggi daripada kelasnya yang sekarang, kerana kelebihan otak Matilda tidak bersesuaian dengan sukatan pelajaran budak 5 tahun. Namun, Mrs Trunchbull, seorang pendengus,tubuhnya besar, berotot, kasar, pemarah, tidak memedulikan  pandangan orang lain. Mrs Trunchbull suka menghukum kanak-kanak di sekolah dengan kekerasan, setiap hari khamis pukul 2petang, mereka akan melalui satu sesi pembelajaran dengan Mrs Trunchbull, tetapi ternyata sesi pembelajaran ini lebih kepada sesi pembulian dan kekerasan.

Cerita Matilda banyak memberi pengajaran tentang kelebihan membaca sejak usia muda kerana membaca membawa banyak manfaat, seperti kata Matilda, walaupun dia duduk di rumah, dia merasa bahawa dia merantau sehingga ke Afrika, India dan pelbagai tempat menarik dengan hanya membaca. Matilda juga merasa simpati kepada ahli keluarganya yang tidak suka membaca, menyebabkan mereka kurang merasa empati akan orang lain kerana kurang mengambil tahu tentang pengalaman kehidupan orang lain. Apakah yang terjadi kepada Matilda, Miss Honey, keluarganya dan Mrs Trunchbull, adalah sesuatu yang sangat menarik dan mengujakan untuk terus membaca buku ini hingga ke akhirnya.

No comments: