.

.

Sunday 1 January 2017

RALAT: ULASAN BUKU TRAVELOG oleh saudari Khairiah


ULASAN TRAVELOG
ADVANTURA PULANG KE MALAYA vs IBU MELAYU MENGELILINGI DUNIA: DARI RUMAH KE LONDON

Tik tok tik tok tik tok… Jarum jam hampir menunjukkan nombor 12. Bererti tinggal beberapa detik saja lagi untuk saya siapkan ‘ulasan yang tertinggal’ iaitu ulasan travelog antara dua penulis berlainan jantina. Sedang jiwa muda yang lain bergembira menyambut tahun baru yang bakal tiba, saya sebaliknya bertarung mati-matian menghabiskan bacaan dua buku travelog yang bermula pada jam 7:30 malam, tanggal 31 Disember 2016. Ulasan ini perlu saya siapkan dan hantar sebelum jam 12 malam. Itulah, siapa suruh lupa! Segala rencana sempena malam tahun baru saya ketepikan. Semua sms dan panggilan saya abaikan. Semua tumpuan dan keringat saya curahkan pada saat-saat akhir demi menamatkan cabaran 32 bacaan 2016 yang dianjurkan oleh Buku Jalanan Titi. Namun, malang tidak berbau, saya harapkan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari. Jam 11:10 malam laptop saya menghembuskan ‘nafas’nya yang terakhir di hari terakhir 2016. Dan saya sekarang menulis secara manual. Mujur ada pen dan kertas. Jadi, mari kita teruskan kepada isi perbincangan.
            Advantura Pulang ke Malaya dan Ibu Melayu Mengelilingi Dunia Dari Rumah ke London keduanya dari satu genre yang sama iaitu genre travelog tetapi dari dimensi yang berbeza. Dimensi jantina, dimensi umur, dimensi zaman, dimensi pola fikir, dimensi corak sosial dan juga dimensi penulisan. Setiap penulis mempunyai identiti mereka tersendiri dan matlamat sendiri dalam penulisan karya mereka. Untuk apa pada awalnya mereka menulis juga menjadi tanda tanya. Semua itu saya kira boleh dilihat dengan menumpukan pada content dan cara penyampaiannya.
            Titik utama yang saya lihat dari dua buku dimensi berbeza ini ialah keduanya menghasilkan sebuah karya manifestasi cinta. Aishah Ghani (nama pena: Aishah Aziz) memanifestasikan cintanya terhadap sebuah cita-cita afung dalam mencari ilmu di bumi asing yang beliau sebut sebagai cinta pertamanya. Cinta yang perlu dijejaki dan dikejar. Hanya setelah beliau puas bercumbu dan bermesra, barulah beliau pulang ke tanah air yang beliau tinggalkan bersama seorang suami dan tiga orang anak. Begitu juga Badrul dengan nafsu yang bergejolak memenuhi kehendak yang beliau namakan sebagai impian seornag pengembara yang tidak punya banyak wang tetapi tetap mahu buktikan pada dunia, pada kita anak melayu yang acapkali sayu dan layu apabila dikata orang akan sesuatu yang kita mahu lakukan sebagai mustahil. Maka kita percaya ia mustahil. Tidak bagi Badrul. Beliau buktikan bahawa tidak ada apa yang mustahil selagi kita percaya pada diri kita dan percaya Tuhan sentiasa ada. Tidak juga bagi Aishah. Keduanya menongkah cabaran dan halangan atas nama cinta dan impian.
            Bezanya, pada gaya bahasa, lenggok cerita, isi-nya dan tujuan penulisan mereka. Aishah sudah pasti menawan saya pada pandangan pertama. Seolah saya yang sedang bercumbu mesra dengan cita-cita yang beliau perjuangkan. Jiwa saya direntap hebat tatkala perjalanan beliau bukan untuk beliau semata. Ini bukan karya peribadi saya kira. Ia karya membuka mata dan jiwa pembaca demi anak bangsa melayu kita. Tentang peri pentingnya mengembara mencari ilmu dan pulang dengan minda baharu, semangat baharu untuk meningkatkan mutu hidup dan memajukan fikiran bangsa melayu kita yang beliau kira ‘jumud’ (sempit) pada waktu itu. Satu perkara hebat pada penulis ini ialah JIWA-nya. Jiwa merdeka. Jiwa Nasionalis yang Islamis. Hal ini yang tidak ada pada Badrul. Ya, Badrul menulis karya juga mungkin bukan untuk dirinya semata tetapi perjuangan kembaranya untuk apa? Selain membuktikan dirinya dan menjadi tauladan buat sang pengembara yang lain. Saat saya membaca karya Badrul, saya tidak mampu untuk membawa jiwa saya lemas dalam asmara pengalamannya. Kerana itu saya persoalkan tujuan penulisan seseorang penulis. Untuk apa dan apakah mereka mampu untuk menyuntik sebuah suntikan yang mampu menginjak paradigma pembaca. Membuat punggung pembaca hangat lalu melompat mengejar cita-cita dan impian.
            Dimensi-dimensi yang saya sebut sebelum ini-lah saya kira yang membezakan kedua penulis ini. Aishah menulis dengan jiwa. Badrul menulis dengan ‘kata-kata’. Aishah menulis tanpa memasukkan apa-apa gambar sekalipun tetapi segalanya tergambar dalam minda pembaca seperti saya. Badrul, ya, memasukkan gambar-gambar yang menarik dan petikan-petikan yang catchy tetapi saya tidak mampu untuk berpelukan bersama memorinya.
            Walaubagaimanapun, keduanya mempunyai kelebihan tersendiri dalam zaman mereka yang sendiri. Dan keduanya mempunyai pembaca-pembaca yang sendiri-sendiri juga. Semuanya (dalam hal ini) bersifat subjektif mengikut definisi dan interpretasi kita.

            Semoga bermanfaat buat semua!

No comments: