.

.

Thursday 31 May 2018

Cabaran Review Kedua - Jejak-Jejak di Pantai Zaman oleh Ummi Abibah



“orang kita Melayu ini pada hitungan am atau jumlahnya ialah satu kaum yang tersangat miskin. Kemiskinan itulah sifatnya yang terlebih sangat lengkap dan nyata daripada lain-lain sifat kebangsaannya dan ialah juga sebesar-besar kekurangan yang menjadikannya mereka kalah atau ketinggalan dibelakang dalam perlumbaan kemajuan. Miskin pada wang ringgit dan harta benda, miskin pada hemat dan cita-cita, miskin pada pelajaran dan latihan pengetahuan, miskin pada alat kelengkapan otak dan pada beberapa sifat-sifat keperangaian yang tinggi dan mulia- jadilah mereka tak dapat tiada daripada tersangkut dan ketinggalan dalam perjalanan bangsa-bangsa.”

Menariknya naskah setebal 121 mukasurat ini bukan sahaja memuatkan  hasil penulisan Prof. Diraja Ungku Aziz yang diterbitkan pada Februari 1957, tetapi turut terdapat 2 artikel tulisan lama Pendita Za’aba. Antaranya adalah Kemiskinan Orang Melayu dan Jalan Keselamatan bagi Orang Melayu. Kedua rencana tersebut telah diterbitkan dalam majalah Al-Ikhwan (1927), memetik pandangan Zaaba tentang ekonomi Melayu pada zaman sebelum kemerdekaan dan membicarakan isu kemiskinan orang Melayu dengan kritikan keatas dasar pelajaran secara tersirat. 

Naskah Jejak-Jejak di Pantai Zaman yang dikarang cendekiawan ekonomi Prof Diraja Ungku Aziz bertujuan mencelikkan mata masyarakat tentang kecendekiawan Za’aba. Dengan penghasilan naskah ini juga menyerlahkan lagi ketokohannya sebagai Bapa Tatabahasa Melayu Moden yang telah menggariskan dan memberikan asas system Bahasa Melayu baharu dalam ejaan, tatabahasa dan retoriknya serta memuatkan rumusan yang penting daripada pemikirannya yang digarap dengan jelas. 

Jika disoroti bab awal Jejak-jejak di Pantai Zaman, penulis menyampaikan idea kemiskinan desa mengikut kefahaman Zaaba dalam bahasa yang mudah difahami dan menjadikannya sebagai tumpuan kajian beliau. Melalui rencana yang diterbitkan Zaaba banyak membicarakan tentang nasib orang Melayu dan pembangunan bangsa melalui pengstukturan semula ekonomi negara. Idea-idea Zaaba dan penulis sangat relevan untuk membentuk dasar pembasmian kemiskinan atau yang lebih khusus agenda pembangunan Bumiputera sehingga masa kini. 

Bagi mentakrif kemiskinan orang Melayu, Pendeta Zaaba tidak menghadkan kepada maksud kekurangan pemilikan harta benda semata-mata. Kemiskinan orang Melayu pada ketika itu turut merangkumi kekurangan pengetahuan dan potensi untuk memajukan diri.  Zaaba merumuskan tiga punca utama kemiskinan orang Melayu iaitu penindasan oleh pemimpin masyarakat, kekeliruaan dalam memahami iktikad agama dan kekurangan ilmu pengetahuan. 

Penulisan dalam bahagian Koda Awal & Koda Akhir turut membongkarkan tekanan serta rintangan yang dihadapi Zaaba semasa mencabar scenario ketika itu. Disebabkan tekanan tersebut, idea dan polemik mengenai kemiskinan orang Melayu yang diketengahkan Zaaba tidak mendapat perhatian dalam kalangan pemimpin Melayu era 20an hingga 40an.  Betapa hebat tekanan politik yang dikenakan terhadap Zaaba sehingga beliau tidak dapat menyebarkan fahaman dan pandangan ekonomi kepada umum. 

Pandangan Zaaba walaupun diterbitkan lebih separuh abad berbeza dari segi suasana dan konteks zaman tetapi masih relevan dengan era globalisasi kini. Menurut penulis sendiri melalui makalah Zahir & Batin Ekonomi Melayu, beliau berpendapat bahawa fenomena kemiskinan pada hakikatnya tidak mengenal perbezaan kaum dan bangsa namun tanggapan masyarakat menjadikan fenomena kemiskinan lebih dominan berlaku dalam kalangan Melayu. 

Penulisan naskah ini bukan sahaja menyanggah sterotaip kemiskinan malah membuktikan kemiskinan tidak mengenal kaum. Sesuai dengan judul Jejak-jejak di Pantai Zaman bukan sahaja mengiktiraf kecendekiawan Pendita Zaaba malah mengkaji kembali fahaman beliau yang ditinggalkan berzaman dahulu tetapi masih relevan mengikut peredaran zaman. 

No comments: