.

.

Thursday 24 May 2018

Cabaran Review Kedua - Anak Raja dengan Anak Papa oleh Haryati






Anak Raja dengan Anak Papa
Penulis : Mark Twain
Penterjemah : Za’ba
Penerbit:  Dewan bahasa dan pustaka
Halaman: 422
Tahun diterbitkan: 2004
Nombor ISBN: 983-62-7186-4
Genre: Fiksyen

Cabaran kedua bukujalanantiti.

Tema kali ini bacaan oleh pemimpin.  Jenuh mengintai di sebalik rak buku. Lantas mendapat ilham tentang buku ini.  Bersesuaian pula dengan musim pilihan raya. Buku ini istimewa kerana ia siap diterjemah pada tahun 1934. Oleh itu, gaya bahasa dan lenggoknya mengikut keadaan  ketika itu namun ia masih boleh difahami dan tidak merencatkan proses pembacaan.  Ia buku pertama diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada tahun 1958. Setahun setelah Malaya merdeka.

Buku ini diterjemah oleh Pendeta Za'ba, Bapa Persuratan Melayu, penulis buku Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri. Secara logiknya, penterjemah biasanya akan menghadami sesuatu buku sebelum menterjemah buku tersebut.

Ini kisah Tom Canty (anak papa) dan Edward Tudor (anak raja) saling bertukar identiti kerana ingin merasai corak kehidupan lain yang disangkakan lebih seronok.
Anggapan mereka ternyata meleset. Hidup tidak seindah yang dibayangkan.  Si  Edward, ternyata hidup penuh derita. Ayah  dan nenek Tom Canty, pemabuk dan sering mendera fizikal Tom.  Itu juga yang dialami oleh Edward.  Walaupun Edward berkali-kali mengakui bahawa beliau anak raja sebenar,  semua orang tidak mempercayai serta memperlekehkan kata-katanya.

Lagi parah, pabila John Canty membunuh paderi  yang cuba mempertahankan Edward yang disangka Tom dari didera lantas mereka terpaksa melarikan diri dan bersatu dengan kumpulan perompak dan penyamun.   Edward dipaksa menjadi penyamun dan peminta sedekah.  Edward hidup dalam pelarian kerana beliau tidak mahu mengerjakan perbuatan tersebut.

Kemudian Edward dipertemukan dengan Hendon Miles, seorang  bangsawan yang tersingkir dari rumahnya. Miles yg selalu mempertahankan Edward dari dihina, dikeji malah dicederakan oleh orang ramai. Pendekata,  Edward belajar bagaimana tidur beralaskan jerami dalam kesejukan, kelapran, keletihan serta melihat ketidakadilan undang2 dan kesusahan kehidupan golongan marhaen.

Berlainan dengan Tom, walaupun Tom mengakui yang dirinya bukanlah Edward, namun pihak istana sentiasa menatangnya selayak seorang anak raja. Tom juga terpaksa belajar adat istiadat diraja yang penuh protokol dan tidak menggembirakan hatinya. Lama kelamaan Tom terbiasa dgn adat istiadat tersebut.

Kemuncak pengalaman Tom apabila ayahanda Edward mangkat.  Tom harus menjadi putera mahkota England seterusnya Raja England. Dalam kesenangan dan kemewahan, Tom terkenangkan ibu dan dua orang kakaknya serta  Edward, anak raja sebenar.

Dapatkah edward mewarisi kembali takhta dan harta miliknya dan bagaimana keadaan Tom, adakah Tom dihukum gantung kerana pertukaran identiti tersebut.Segalanya terjawab dalam karangan Mark Twain yg ditulis pada tahun 1881 ini.

Saya belajar dua perkara dari buku ini. Pertama, redhalah dengan apa yang telah Allah tetapkan pada kita.  Jadilah diri kita sendiri.  Usah cuba meniru identiti orang lain.  Itulah yang terbaik buat diri kita.  Mungkin itulah yg cuba disampaikan dalam buku terlaris Abdullah al -Qarni, Jangan Bersedih. Catatan jadilah diri sendiri diulang berkali-kali dalam buku tersebut.   Juga permintaan doa kita, agar Dia  tidak membebani kita dengan ujian atau dugaan yang tidak sanggup kita memikulnya.

Kedua, bagaimana selayaknya raja atau pemimpin patut berperanan. Pemimpin sepatutnya lebih menjiwai kesusahan dan penderitaan rakyat dengan sama- sama merasai apa yang rakyat rasa. Pemimpin yg sama turun padang, merasai nikmat mencari makanan yang sedap dan murah di pasar malam bukannya merasai santapan yang enak di restoran-restoran mewah.  Pemimpin yang sekadar berkempen agar rakyat marhaen berjimat cermat sedangkan mereka sekeluarga seronok membeli-belah barangan  mewah di luar negara.   Jadilah seperti pemimpin di zaman Khalifah yang empat, sanggup menyamar di waktu malam untuk menyelami susah payah dan pahit getir hidup para marhaen.

Saya cadangkan buku ini kepada setiap orang, kanak-kanak, dewasa, miskin atau berada.  Betul ia ditulis lebih satu abad yang lalu, namun ia kekal relevan sehingga kini.

Sekian,

Haryati Abd Halim

No comments: