.

.

Monday 9 January 2017

Tahun baru dengan semangat baru

Salam dan selamat sejahtera,

Saya Perewa mewakili penggerak Buku Jalanan TITI mengucapkan selamat tahun baru 2017. Pada tahun ini kami masih meneruskan cabaran 32 buku. 15 peserta + 1 juara tahun lepas. Untuk pengetahuan semua, salah seorang peserta tahun ini bernama Iman yang mana bacaan tahun lepasnya adalah 89 buku.

Beliau dengan semangat yang tinggi berkongsi review bagi bacaan kedua. Dan beliau memberitahu pada 4 Januari 2017, beliau telah tamatkan 2 buku. Bedar Sukma Bisu oleh Faisal Tehrani dan Naratif Ogonshoto oleh Anwar Ridhwan. Kami kongsikan review beliau.

P/s: ini tiada kena mengena dengan 6 review yang perlu dibuat peserta cabaran 32 buku.

Jemput baca oleh saudara Iman Danial

Naratif Ogonshoto: Rangkuman Cerpen Dalam Sebuah Novel

Perkara pertama yang saya lakukan sesudah menamatkan Naratif Ogonshonto adalah dengan membuka Google Map! Saya benar-benar penasaran untuk mengetahui adakah negara kepulauan yang terletak di lautan Pasifik ini wujud?

Ternyata Ogonshoto, negara kepulauan yang terdiri daripada Pulau Gora-Gora, Futu-Ata dan Rai-Rapa hanyalah sebuah kawasan geografi fiksyen. Dikatakan Ogonshoto merupakan sebuah republik enam buah pulau kurang lebih 1500 batu di barat laut Pulau Easter milik Chile.Ini kehebatan Anwar Ridhwan yang pertama. Penglipur lara yang pakar menghikayatkan cerita sehingga kita tersihir untuk mempercayai yang fiksyen sebagai realiti. Yang tiada sebagai ada.

Naratif Ogonshoto berdiri sebagai karya yang unik sekaligus kompleks. Pembaca dipaksa mengikut rentak penceritaan yang samar-samar supaya yang tersirat di sebalik yang tersurat ditafsirkan. Ia bersifat ala cerita rakyat. Pada bab Prolog: Kawai Maru kita dibawa menerusi sudat pandangan seorang kelasi dari kapal Kawai Maru untuk mengenali Ogonshoto. Di sana kita mendapat isyarat awal bahawa karya ini bakal bergerak dalam bab-bab yang mengandungi pelbagai kisah. Ini dikuatkan lagi dengan rangkap, ”Kisah yang kami kutip berkali-kali; kami susun-susun hingga setiap kisah – seperti seekor ikan – lengkap dari ekor hingga kepalanya”. Prolog diakhiri dengan babak seorang ibu sedang memperdengarkan naratif-naratif Ogoshonto, sebuah hikyat lisan yang epik.

Daripada prolog hingga ke epilog, kita akan tertanya-tanya; adakah Naratif Ogonshoto ini dikelompokkan sebagai sebuah novel atau kumpulan cerpen? Mengapa saya menimbulkan persoalan ini adalah kerana Naratif Ogonshoto menentang arus penulisan novel konvensional dengan melanggar struktur seperti pengenalan, perkembangan, klimaks, peleraian dan kesimpulan. Buktinya keseluruhan bab (sekiranya boleh dipanggil bab) bersifat episodik, yakni kemandiriannya jelas ketara dengan kisah-kisah tersendiri. Saya ambil contoh bab Kolonial; sebuah kisah kritik politik mengenai presiden gila kuasa berfahaman Macheavelis – matlamat menghalakan cara – yang sanggup melanggar batas moral dan mencalar kemanusiaan demi mengekalkan penguasaan politik di Ogonshoto. Kemudian Kolonial disusuli pula dengan bab Jeneral; kisah tentang seorang bekas jeneral perang masyhur yang mencuba nasib untuk menceburi bidang politik selepas persaraan beliau. Namun, hasratnya menemui kegagalan akibat kecuaian dan kegopohan yang memakan diri. Seterusnya dalam bab Penyamaran, kita dibawa untuk mendengar kisah seorang mata-mata Presiden yang menyeludup ke tengah masyarakat Tubua untuk menggagalkan protes penduduk terhadap projek pembalakan mega.

Ini kehebatan Anwar Ridhwan yang kedua. Penglipur lara yang mempelbagaikan kisah sebagai wasilah penyampaian mesej, kritikan dan pengajaran dalam bentuk yang menarik.

Sampai kepada bahagian Epilog, saya sekali lagi menemui kehebatan Naratif Ogonshoto. Tidak cukup dengan keindahan naratif-naratif yang entah magis, mitos atau realiti; kini kita dibawa pula kepada benang kesimpulan yang merangkai sulaman teks Naratif Ogonshoto.

Pelaut dari kapal Kawai Maru ini rupa-rupanya adalah Noor (pada sangkaan kuat saya seorang Melayu), pesakit yang sedang mengalami mimpi atau halusinasi panjang yang sedang menempuh sebuah pelayaran. Dalam pelayarannya, Noor  bertemu rakyat Ogonshoto yang terselamat dari bencana Tsunami yang melanda pulau tersebut. Daripada pertemuannya itulah Noor mendapat kisah@naratif kezaliman Presiden gila kuasa berfahaman Macheavelis sehingga mengundang Tsunami yang menenggelamkan Ogoshonto. Noor akhirnya tersedar daripada mimpi yang panjang setelah operasi pembedahan di Tokyo.

Membaca Naratif Ogonshoto dalam  segera mengingatkan saya kepada watak Lokman dalam Hujan Pagi karya A Samad Said menerusi watak Noor. Terapat persamaan rapat antara kedua-duanya; manusia yang terpisah daripada genggaman realiti dek kerana pelukan fantasi dan halusinasi yang indah lagi mengkhayalkan.

Inilah dia naskhah luar biasa daripada Anwar Ridhwan.  Teks realisme magis yang berdiri sebaris dengan Hujan Pagi oleh A Samad Said.

No comments: