.

.

Sunday 19 February 2017

Review Cabaran Pertama - Elon Musk: Tesla, SpaceX, and the Quest for a Fantastic Futureoleh SHARINA MOHD SALIM

 

Buku ini di cadangkan oleh kawan saya Rosliza Hanim yang sememangnya mempunyai selera yang baik dalam memilih buku. Beliau seorang  jurutera dan usahawan muda yang berani dan di antara buku yang dipilih  lazimnya bertemakan cerita startup founders seperti Zappos, Google, Ali Baba dan Google. Terbaru, tahun lepas beliau memilih untuk membaca buku berkenaan Elon Musk. 

Saya tidak mengambil tahu laluan bisnes yang diceburi Elon Musk. Setelah saya membaca sinopsis buku ini, barulah saya tahu bidang bisnes Elon Musk adalah bisnes start-up berskala besar dalam bidang kejuruteraan. Tanpa komitmen dalam cabaran buku anjuran Buku Jalanan Titi ini, sudah pasti saya tidak akan membaca kisah Elon Musk!


Perbezaan ketara antara bisnes pilihan Elon dengan usahawan Silicon Valley yang lain adalah bidang Elon Musk bergantung sepenuhnya dengan aplikasi dan kemajuan ilmu sains dan fizik. Komponen ilmu sains yang merupakan tunjang bisnes Elon adalah kejuruteraan  automatif, tenaga solar dan sains angkasa lepas. Produk dan servis keluaran syarikat start-up Elon Musk bukanlah kasut (zappos), buku (amazon), atau aplikasi yang menggunakan IT (facebook, google) atau barang komoditi yang lain.


Misi dan minat Elon amat jelas. Beliau telah memasang niat sejak kecil lagi untuk mencipta kereta elektrik dan menjadi enabler kepada hidup di planet lain selain bumi. Namun pada zaman itu dan dikalangan masyarakat South Africa, minat dan misi Elon akan dipandang sebagai angan-angan & sains fiksyen semata mata. Beliau sukakan kereta elektrik yang tidak bergantung langsung kepada sumber petroleum. Beliau juga membayangkan jangka hayat spesis manusia boleh dipanjangkan dengan membina habitat yang kondusif di planet Marikh. Beliau mempunyai misi untuk menjadikan perjalanan ke angkasa lepas lebih kerap dan murah. Beliau juga terfikir, untuk menjadikan dunia ini lebih selamat, sumber tenaga solar yang tidak akan habis (infinite), perlu dimaksimakan, berbanding sumber finite seperti petroleum. Beliau bercita-cita mahu kan tenaga solar menjadi sumber utama dalam kehidupan moden manusia.


Elon adalah pemegang saham terbesar dalam 3 syarikat start up yang lahir di Silicon Valley, iaitu: Solar City, Tesla dan SpaceX. Meskipun pada peringkat awal, Elon cuba membangunkan bisnes yang menggunakan kemajuan internet dan sistem (Zip2, Paypal), Elon merasakan bidang ini tidak memberi impak kepada dunia seperti yang diimpikan beliau sejak kecil. Angan-angan dan impian Elon menjadi kenyatanaan dengan penglibatan beliau secara langsung dalam Solar City, Tesla dan SpaceX.


Space Exploration Technologies Corporation, yang lebih dikenali sebagai SpaceX, adalah pengeluar kapal aeroangkasa dan menyediakan perkhidmatan pengangkutan ke angkasa lepas, dan bertapak di California. Sebelum ini, bidang ini di monopoli oleh NASA dari segi kepakaran dan kemampuan memenuhi kontrak kerajaan Amerika Syarikat. Kini, SpaceX boleh berbangga dengan pelancaran roket pertama, Falcon 1 untuk sampai kepada orbit, pada tahun 2008, Dragon pada tahun 2010; dan menghantar kapal angkasa Dragon ke ISS, pada tahun 2012. Kerana visi Elon yang mahu meneroka teknik dan teknologi baru dalam membina kapal angkasa, dan tidak hanya mengikut teknik sedia ada yang digunakan syarikat aeroangkasa lain, SpaceX dapat membina kapal angkasa yang lebih efektif dan lebih murah dari pasaran di US, mahupun Russia. Meskipun gagal beberapa kali melancarkan roket pertama, yang mana misi melancarkan telah bermula sejak 2003, Elon tetap tidak putus asa dan terus memperbaiki sistem roket dan mencipta versi roket yang lebih efisyen dan kompleks.


Tesla dan Solarcity mempunyai persamaan dari segi penggunaan dan aplikasi clean energy. Tesla menggunakan gabungan sumber elektrik, kekuatan sistem dan perisian untuk menggerakkan kereta. Elon tidak mahu bermula dengan hybrid car, yang mana baru meningkat popular dikalangan rakyat Amerika. Tanpa menoleh ke belakang, beliau dengan yakin terus melaksanakan misi beliau menggunakan 100% tenaga elektrik untuk menggerakkan kereta. SolarCity pula bermula dengan servis membina panel tenaga solar dari asas, dengan saiz dan kapasiti yang optimum untuk menjadikan ia sumber tenaga alternatif rakyat amerika, berbanding bersumberkan arang.


Selepas membaca buku ini, saya percaya bahawa ADIWIRA atau SUPERHERO memang wujud!

No comments: