.

.

Sunday 19 February 2017

Review Cabaran Pertama - Sekolah Bukan Penjara Universiti Bukan Kilang oleh Nasra Patahuddin

 
Buku ini merupakan cadangan seorang sahabat saya yang menjadikan ia antara buku yang menjadi kegemarannya. Buku ini merupakan kompilasi artikel yang ditulis oleh Zul Fikri Zamir yang telah pun disiarkan di media-media seperti The Malaysian Insider, MalaysiaKini, zamiramnesia.blogspot, dan Projek Dialog. Kompilasi artikel ini merupakan isu-isu semasa yang dibangkitkan oleh penulis dan saya kira isu-isu tersebut masih relevan sehingga kini. Secara keseluruhannya, buku ini mempunyai 4 tema utama iaitu : Mahasiswa dan Kebebasan Akademik, Pendidikan Nasional, Politik dan Sosial dan Kritik Teater.

Buku ini bukan sahaja mengenai kepincangan sistem pendidikan di negara kita  tetapi merangkumi konteks yang lebih luas berdasarkan tema yang dinyatakan di atas.

Saya tertarik dengan kata-kata penulis yang berbunyi seperti, “Ilmu dan cinta perlu diberi definisi dan nafas baharu. Sekolah perlu kembali sebagai tempat dimana cinta disemai oleh ilmu dan hasilnya kelak adalah kemanusiaan.”

Dalam buku ini, penulis ada menyatakan kekesalan beliau terhadap apa yang berlaku pada sistem pendidikan negara kita yang hanya menumpukan pada kecemerlangan akademik semata-mata sehinggakan anak-anak tidak boleh memilih apa yang mereka ingin pelajari. Fungsi institusi pendidikan berubah menjadi tempat persaingan dan berdasarkan konsep persaingan itu, kita boleh fahami bahawa yang kuat akan terus hidup dan yang lemah akan tertindas. Saya mengumpamakan ‘yang kuat’ itu adalah pelajar yang cemerlang, manakala ‘yang lemah’ itu adalah pelajar yang corot. Pelajar-pelajar yang cemerlang seringkali mendapat peluang yang lebih baik berbanding pelajar yang kurang cemerlang. Perkara ini sememangnya berlaku di negara kita dan lebih buruk lagi apabila pelajar yang cemerlang gagal diterapkan dengan nilai asas kemanusiaan iaitu membantu mereka yang lemah.

Sebelum melakukan review ini, saya mendapat kesempatan untuk membedah buku ini dalam program diskusi yang dianjurkan oleh Ikatan Anak Muda Tawau (IKAT), pada 7 Februari yang lalu. Sejujurnya, ini merupakan buku yang agak berat yang saya baca buat pertama kalinya. Namun, banyak input yang saya perolehi lebih-lebih mengenai ‘kejadian-kejadian’ semasa yang telah berlaku beberapa tahun yang lalu.

Dalam sesi soal jawab, seorang audiens menyatakan kritikannya terhadap buku ini, antaranya ialah isu yang dibincangkan adalah berulang dalam beberapa artikel, contohnya isu AUKU. Selain itu, audiens tersebut menyatakan pandangan beliau mengenai fungsi universiti yang kelihatannya seperti kilang dan mahasiswa adalah pekerja kilang yang dibentuk mengikut kemahiran masing-masing. Dia bersetuju bahawa salah satu fungsi universiti adalah menghasilkan pekerja yang diperlukan industri tetapi bukan setakat itu sahaja, pengaplikasian ilmu yang diperolehi kepada masyarakat adalah yang lebih utama.

Pada sisi positifnya, buku ini membuka minda mengenai apa yang sedang dihadapi oleh negara kita dan bagaimana seorang rakyat lebih-lebih lagi yang bergelar mahasiswa untuk memainkan peranan dan menyumbangkan sesuatu demi kebaikan dan kemajuan negara ini. Selain itu, memberi kesedaran tentang pentingnya ilmu yang diperolehi untuk berbakti kepada masyarakat.

Kesimpulannya, buku ini membuktikan kecaknaan penulis terhadap isu pendidikan yang berlaku di negara kita. Selagi mana, kita terus menerus menjadi “Sharifah Zohra” selagi itulah sistem akan terus memenjarakan kita.

No comments: