.

.

Sunday 19 February 2017

Review Cabaran Pertama ROOM oleh Fariq

 

Hai, saya Fariq. Salah seorang peserta cabaran 32 Buku 2017. Sebelum saya memulakan penulisan saya tentang cabaran pertama yang diberikan, saya ingin menyatakan tentang satu perkara terlebih dahulu.

Ia tentang novel remaja. Saya pernah berbalas-balas tweet dengan seseorang tentang apa yang menjadikan sebuah novel remaja adalah novel remaja. Seseorang itu menyatakan bahawa novel remaja adalah novelnya yang watak-wataknya adalah remaja dalam lingkungan 13 tahun hingga 17 tahun. Secara kasarnya, ia memanglah sebuah novel remaja tapi mestikah kita menyempadankan novel remaja pada sekadar umur? Bagi saya tidak. Sebuah novel remaja boleh saja dimainkan oleh orang tua atau yang lebih muda dari lingkungan umur yang saya sebutkan tadi. Keremajaan sebuah novel boleh juga dilihat pada tema dan persoalan yang disampaikan oleh pengarang. Novel remaja adalah novel untuk remaja. Ia ada beza besar dengan novel yang mempunyai watak remaja. Anda nak sangkal? Terserah. Saya akan sangkal anda semula (mwahahaha).

*

Novel yang terpilih untuk cabaran pertama ini adalah hadiah pemberian kawan saya, Syarifah Zafirah dan ketika saya membawanya keluar dari sampul PosLaju, ia tertampal sehelai nota lekat yang tertulis, “An easy way to learn philosophy =)” Saya akan bercakap lanjut tentang itu kemudian.
Ada tiga sebab kenapa beliau menyukai novel ini. Pertama, ia agak psikologikal dan kefalsafahan. Cerita ini adalah versi moden kepada alegori sangkar (dia tulis cage dalam WhatsApp). Seterusnya, beliau tidak pernah baca sebuah buku dewasa dari perspektif kanak-kanak. Dan akhir sekali agak menarik bagi beliau bagaimana watak utama memanggil barang-barang — katil, meja, tandas, dinding, dsbg, dsbg — seperti memanggil orang.

Novel Room oleh Emma Donoghue secara ringkasnya adalah sebuah cerita tentang dua anak beranak, Jack dan ibunya, Ma (panggilan Jack terhadap ibunya). Ma telah diculik dan kemudiannya dikurung selama tujuh tahun. Jack berusia lima tahun ketika cerita ini bermula — ia dimulakan dengan sambutan hari jadi Jack. Naratifnya pula disampaikan melalui perbualan-perbualan antara Jack dan ibunya yang kadang membuat saya tertawa oleh kecomelan kanak-kanak.

Saya agak bersetuju dengan pendapat kawan saya yang suka dengan naratifnya yang datang dari minda seorang kanak-kanak naif. Cara Emma menciptakan dialog dan jawapan kelihatan bijak dan semulajadi kerana selalunya ibu bapa memang akan membalas jawapan anak-anak mereka dengan cara paling mudah sekali walaupun anaknya itu bertanya perkara yang bukan-bukan. Kalau saya yang ditanya soalan-soalan di dalam buku tersebut, saya tidak tahu mahu jawab apa. Walaupun hanya Jack seorang sahaja kanak-kanak di dalam ruang itu, dia mencipta kawan-kawan khayalannya yang merupakan barang-barang di dalam ruang itu contohnya Plant, pokok yang mereka jaga; Wall, dinding kurungan mereka; Bed, katil ibunya dan pelbagai lagi.

Permulaan cerita ini bagi saya agak bosan dan meleret sebab ia hanya menceritakan rutin harian Jack dan Emma di dalam kurungan mereka. Misalnya menonton TV, bermain permainan yang mereka reka — mengajuk cakap orang di tivi yang suaranya dipadamkan, berlumba sesama sendiri.
Ketika mereka merancang untuk keluar dari kurungan barulah cerita ini menunjukkan momentumnya dengan babak-babak intens dan mendebarkan namun ianya tetap berakhir mendatar.

Jadi apakah kena mengena novel ini dengan falsafah? Sepanjang bacaan, saya tertanya-tanya apa yang falsafahnya novel ni lalu saya pun meng-Google tentangnya dan berdasarkan pengamatan saya falsafah adalah persoalan, pertanyaan dan apa-apa yang memiliki tanda tanya. Falsafah boleh ada jawapan dan boleh juga tiada jawapan. Di dalam novel ini, falsafah disampaikan dengan sesi soal jawab seorang kanak-kanak dan ibunya. Falsafah di dalam novel ini bukannya datang dari intelektual atau ahli akademik. Ia datang dari sebuah bilik kecil yang mengurung dua manusia.

Watak utama cerita ini adalah kanak-kanak tetapi ia bukan novel kanak-kanak.

“I’ve never read an adult book from a child’s perspective.”
~ Kawan Saya

No comments: