.

.

Wednesday 1 March 2017

Review Cabaran Pertama Warna Suasana oleh Iman Danial




Buku yang saya ambil sempena cabaran pertama Baca 32 Buku oleh Buku Jalanan Titi berjudul Warna Suasana karya Masuri S.N. Buku ini dicadangkan oleh seorang penggiat sastera yang sering saya temui di kedai buku terpakai di Bangi. Mengapa beliau mencadangkan supaya menggeluti karya Masuri S.N adalah kerana saya pernah menyatakan tentang perkembangan minat saya terhadap dunia puisi sekitar awal tahun ini, dan beliau menyarankan agar saya membaca terlebih dahulu karya puisi penyair awal seperti Masuri S.N, Punggok, Usman Awang sebelum terjun ke penyair kontemporari. Katanya, untuk mengenali puisi, kita mesti memahami perkembangan bentuk puisi sejak fasa awal kesusasteraan melayu moden sehingga ke hari ini. Pertama, hadam terlebih dahulu sejarah puisi tanah Melayu. Kedua, hayati bait-bait puisinya.

Masuri S.N mula menulis dalam tahun 1944 dan dikhabarkan sudah menghasilkan dua ratus sajak. Kesemua sajak beliau dikumpulkan dalam 3 jilid buku: Awan Putih (1944-1950) Warna Suasana (1950-1955) dan Bunga Pahit (1955-1957)

Menerusi pembacaan saya yang terhad mengenai perkembangan kesusasteraan negara, nama Masuri S.N sering dibariskan dengan SN Usman Awang, lebih-lebih dalam perkembangan puisi tanah air. Apabila saya membaca puisi-puisi beliau, saya mendapati gaya penulisannya yang sedikit berirama dan mempunyai kesan pantun sedikit sebanyak mirip dengan puisi Usman Awang. 

Sebagai penyair daripada Angkatan Sasterawan 50, Masuri S.N menggunakan puisi sebagai medium untuk mencerahkan masyarakat dalam pelbagai persoalan. Seni untuk masyarakat menjadi tunjang utama dalam penulisan puisi Masuri, apabila diamati tema-tema seperti semangat perjuangan, jati diri bangsa, kewajiban terhadap nusa, dan elemen patriotisme yang lain jelas tergambar lewat rangkap-rangkap puisi.

Seni untuk rakyat adalah sastera realis. Sastera yang mencerminkan apa yang terjadi sebenarnya dalam lingkungan hidup masyarakat serta bagaimana hendak memandunya ke arah yang lebih makmur.

Kekuatan tema adalah satu perkara yang mengagumkan saya terhadap puisi Masuri S.N. 

Selain mesej yang kuat, puisi-puisi Masuri juga mempunyai keindahan estetika yang menjadikan pembaca menikmati karya beliau dengan tenang dan lancar.

Saya sertakan sebuah puisi berjudul Zaman Ini sebagai tatapan pembaca:

Zaman ini
Manusia kuat-kuat
Pikiran tinggi-tinggi
Tenaga hebat

Masa dipercepat
Semangat melompat-lompat
Mendesak apa yang lambat
Melebur apa yang kurang sehat.

Abad ini
Penuh sensasi
Di serata bumi
Memperjudikan budi

Kenapa tidak ditetak
Rantai yang membelit
Leher, kaki tangan dan otak
Dari segala putar belit?

Puisinya mempunyai kesan irama dan pilihan perkataan yang sesuai, kejap tetapi mendalam.

Daripada 3 buah buku kumpulan puisi Masuri S.N, saya mempunyai Warna Suasana dan Awan Putih sebagai koleksi peribadi. Warna Suasana dibeli dengan harga yang agak lumayan bagi seorang pelajar seperti saya, manakala Awan Putih pula dijual dengan harga murah oleh seorang sahabat yang memahami minat saya terhadap sastera.

Terima kasih Masuri S.N atas puisi-puisimu yang menghidupkan jiwa.

No comments: