.

.

Sunday 30 April 2017

REVIEW KEDUA Sentuhan Al Akh oleh Nasra


Ini adalah review saya untuk cabaran kedua. Buku yang dicadangkan oleh adik saya adalah sentuhan Al Akh karya Inspector Saahab penerbitan Wahai!


Buku ini adalah tentang persahabatan. Kekeluargaan. Kehidupan. Emosi. Jiwa. Buku ini adalah tentang sentuhan. Bukan sentuhan yang biasa-biasa  tapi sentuhan al akh yang cukup luar biasa. Begitulah antara sinopsis yang dinyatakan dibelakang buku ini. Buku ini terdiri daripada 36 bab dan 243 muka surat. Setiap bab menceritakan tema yang berbeza. Secara generalnya, buku ini mengisahkan tentang suasana dan pengalaman pahit manis serta ‘sentuhan-sentuhan’ nurani mengenai kehidupan tarbiyah seorang al akh. Buku ini juga mengupas sedikit sebanyak tentang permasalahan yang berlaku dalam kehidupan tarbiyah seseorang secara santai dalam bentuk dialog dan monolog.

Pada mulanya apabila adik saya mencadangkan buku ini saya agak sedikit terkesima. Al maklumlah sangat jarang untuk membaca buku-buku versi tarbiyah. Setelah menghabiskan bacaan, banyak peringatan mengenai amalan dan sikap kita lebih-lebih lagi sebagai seorang Muslim yang saya dapati daripada buku ini. Buku ini sesuai dibaca oleh semua orang terutamanya mereka yang berada di ‘jalan dakwah’. Hal ini kerana, setiap bab dalam buku ini mengisahkan pengalaman penulis berada di ‘jalan dakwah’ dan boleh dijadikan panduan pada masa akan datang. Saya boleh katakan buku ini adalah buku nasihat kerana setiap bab menyampaikan mesej bersarat nasihat.

Apabila saya tanyakan kepada adik saya mengapa memilih buku ini, dia menyatakan buku ini antara buku yang berjaya menyuntik semangatnya untuk berbakti kepada agama. Sebagai seorang Muslim,kita mempunyai tanggungjawab untuk menyampaikan atau dalam kata lain berdakwah kepada orang lain mengikut cara masing-masing. Tangungjawab berbakti kepada agama bukan terletak pada mereka yang bergelar ustaz/ustazah ataupun ‘budak usrah’ sahaja tetapi kepada semua yang bergelar Muslim.

Sebenarnya saya agak sedikit terkejut apabila adik saya memilih buku ini kerana dia bukan ‘budak usrah’ dan hanya seorang budak lelaki biasa yang suka menyendiri dalam bilik. Rupa-rupanya dia meminjam buku kawan baiknya yang merupakan seorang yang agak aktif di ‘jalan dakwah. Saya mengenali adik saya sebagai seorang yang tidak kisah akan hal sekeliling kerana sikap introvertnya itu tetapi tidak sangka pula dia mahu berbakti kepada agama!

Akhir sekali, bukan mudah untuk berada di jalan yang tidak dipilih semua orang tetapi pengalaman itu cukup berharga, begitulah apa yang dapat saya simpulkan daripada buku ini. Buku yang ringkas dan santai serta penuh dengan nasihat yang berguna.


Selamat membaca!

No comments: