.

.

Wednesday 5 July 2017

Review Ketiga Kenapa Salahkan Musuh? Oleh Shafiqah Athirah


Kenapa Salahkan Musuh?
Ashaari Muhammad

Bagi cabaran ketiga iaitu buku haram, saya telah memilih untuk membaca buku ‘Kenapa Salahkan Musuh’ tulisan Ustaz Ashaari Muhammad. Buku ini diterbitkan pada Ogos 1988 oleh Penerangan al-Arqam dan mempunyai 196 muka surat. Muka depan buku ini sangat ikonik, bagi saya. Cukup hanya dengan wajah ustaz Ashaari sedang merenung satu tempat dan latar belakangnya begitu ramai muslimin muslimat yang sedang menadah tangan untuk berdoa. Sebenarnya buku ini ada semacam aura yang menakutkan, mungkin ini sebabnya walaupun sudah ada dalam almari sejak sebelum saya lahir, belum pernah saya buka mahupun belek apa isi kandungannya. Mungkin juga kerana saya dibesarkan pada zaman media massa mengatakan al-arqam ajaran sesat dan beberapa isu sekitar pengasasnya, poligami dan pengharaman rangkaian kedai. Buku ini saya dapatkan daripada susunan buku milik ibu saya, koleksi ketika umurnya seusia saya dahulu sebelum semua buku tulisan Ustaz Ashaari diharamkan.

Oh ya, bagi yang tidak mengenali, Ustaz Ashaari Muhammad merupakan pengasas bagi jemaah al-Arqam yang telah diharamkan kerajaan pada tahun 1994. Antara cabaran yang paling sukar setakat ini, mungkin kerana stigma yang bertahun telah ada dalam minda saya itu, takut terpengaruh dengan ajaran sesat. Sebelum saya mengulas mengenai buku, Al-Arqam atau juga dikenali sebagai Aurad Muhammadiah merupakan salah satu gerakan dakwah yang mendapat sambutan kerana banyaknya usaha dakwah dalam pelbagai bidang ; ekonomi, hiburan, pendidikan, kesihatan dan lain-lain. Ia bermula pada akhir 1960-an, sebelum mencapai ramai pengikut pada 80-an dan diharamkan pada Ogos 1994. Punca diharamkan adalah kerana ada penyelewengan dari sudut akidah (menurut bacaan daripada web carian). Menarik juga, kerana bila saya lihat di web KDN, semua tulisan Ustaz Ashaari diharamkan dan ada buku terbitan al-Arqam juga tulisan penulis lain (bersifat travelog/perjalanan dakwah al-Arqam) tidak diharamkan. Jadi, buku ‘Kenapa Salahkan Musuh’ ini dipilih kerana saya tertanya-tanya, adakah buku ini merujuk musuh kepada kerajaan sehingga perlu diharamkan?

Bila membacanya, sebenarnya saya sangat kagum dengan bahasanya, yang seolah-olah mendengar pidato/ceramah secara live. Laras bahasa yang digunakan sangat kena dengan orang kebanyakan. Ada juga diselitkan beberapa sajak dan surat terbuka yang ditujukan kepada beberapa golongan tertentu seperti pengikut Aurad Muhammadiah, pemimpin dan para ulama’ pada masa itu. Buku ini bersifat seperti bacaan motivasi kepada pengikut jemaah yang didirikan penulis. Kandungannya berkisar tentang penerangan siapa musuh lahir, batin, hikmah ujian, kesilapan jemaah Islam, dan kritikan mengenai sikap pejuang Islam amnya.

Mengejutkan apabila saya mendapati sebenarnya tiada pun unsur aqidah atau apa yang dirasakan berlawanan dengan apa yang diimani selama ini. Cuma terdapat pesanan atau teguran yang masih relevan ke hari ini mengenai umat Islam dan apa yang membezakan jemaah al-Arqam dengan jemaah lain (khususnya yang berjuang dalam medan pilihan raya). Sama sahaja perasaannya membaca buku motivasi islami/ fikrah yang lain. Ada banyak perkara yang ditegur, antaranya ‘ pejuang islam sendiri yang konon cintakan Islam bahkan memperjuangkannya terlibat dan terikut-ikut dengan seluruh hidup Barat itu’. Buku ini juga tidak menyalahkan musuh Islam (kerana memang mereka melawan kerjanya), Cuma refleksi/ strategi dari pejuang Islam sendiri bagaimana akhlak mereka sendiri yang membuatkan orang menjauhi kita dan musuh (musuh Islam di sini didefinisikan sebagai musuh Allah dan Rasul- yang menolak syariat Allah dan menentang usaha orang yang ingin menegakkannya) menang.

Tulisan setiap topik diselang-selikan dengan dalil dan kisah yang dekat dengan masyarakat Melayu/ Malaysia. Contohnya ketika rakyat Singapura diserang todak, mereka bersiap-siaga dengan menyusun benteng pisang, bukan sekadar di mulut mengatakan todak jahat tetapi tidak berbuat apa-apa.Mendalam juga setiap huraian topik, termasuk pandangannya tentang kesilapan yang biasa dilihat terjadi dalam mana-mana jemaah Islam termasuk al-Arqam. (Rupanya gerakan ini banyak ke luar negara dan pelusuk Malaysia bagi mengisi program dakwah dan ziarah). Kesilapan itu pula dihuraikan dengan dalam lagi, kepada Allah dan manusia/ jemaah. Kesilapan banyak jemaah apabila tidak menyumbang kepada masyarakat sedangkan cara terbaik untuk mengambil hati adalah dengan menyumbang sesuatu. Ini dikaitkan dengan gereja yang banyak membuat kerja kemanusiaan sedangkan umat Islam sendiri sibuk mencari salah orang lain tanpa membantu. Pokok pangkalnya strategi, praktikaliti dan penyusunan dalam jemaah itu mesti mantap.

Bagi penulis, kemuncak kesilapan pejuang Islam akhir zaman ialah meletakkan kesalahan pada musuh. ‘Orang yang bersalah, tetapi tidak mahu menyalahkan diri sampai bila pun tidak dapat membaiki dirinya menghadapi musuh. Kalau ditanya mengapa gagal laksanakan sistem hidup Islam secara syumul, maka meluncurlah benci/marah pada zionis, kerajaan,Amerika. Sedangkan mereka tidak berbuat apa-apa dan gagal dalam rancangan’. Penulis juga menyeru supaya umat Islam membuat alternatif bagi sistem yang ditentang dengan menyediakan hiburan, ekonomi, peluang kerja yang patuh syariah.

Tidak lupa, ada perkara menarik yang penulis jelaskan sebab al-Arqam tidak menyertai pilihan raya adalah kerana penulis melihat lebih susah untuk menegakkan Islam melalui kuasa berbanding cara yang dipilih penulis. Terdapat beberapa pros dan cons yang diberikan, jadi penulis melihat lebih baik membangunkan kampung Islam dahulu sebelum ke yang lebih besar berbanding merebut tampuk pemerintahan baru menjalankan cara hidup Islam. Menarik, selama ini saya memang tak faham perbezaan antara gerakan Islam ini.

Paling menarik, seruan korbankan 60% malah jika mampu seluruh harta kepada jemaah Islam. Saya lihat foto yang dikepilkan betapa pesat berkembangnya hiburan, majalah Islam yang dibawa al-Arqam dan produk-produk keluarannya pada zaman itu. Dasyat. Rangkaian perniagaan dan tahap komited pengikutnya sangat tinggi. Program yang direncanakan juga sangat menarik, bahkan ada pusat pendidikan dan perubatan sendiri. Tidak hairanlah pada zaman kegemilangannya, belasan ribu orang menjadi pengikut ajaran al-Arqam. Sesuatu yang berbeza dengan konotasi negatif di media massa.

Apapun, kesimpulan daripada buku ini, setiap umat Islam perlu bertaqwa kerana tidak guna menjadi dai’e, pemurah kalau tidak bertaqwa (masih ada sifat mengadu domba, riak dan sebagainya). Semua yang terjadi sebenarnya berbalik kepada diri sendiri.

Bacaan yang sangat menarik dan menginsafkan sebenarnya bagi saya. Terdapat beberapa ayat yang tidak saya setujui namun bagi saya tidaklah sampai perlu diharamkan buku ini kerana sangat banyak benda yang dikatakan itu betul. Buku ini tidak pula menyebut tentang apa-apa yang berkaitan dengan faktor pengharaman al-Arqam iaitu dari sudut penyelewengan aqidah, atau ancaman meruntuhkan kerajaan, bahkan ironinya sangat berdiplomasi dan banyak menyentuh peribadi muslim sendiri. Tapi mungkin, kerana penulisnya Ashaari Muhammad, yang kontroversi seperti yang saya sebut di atas, atau buku ini akan membangkitkan semangat juang ada pengikut gerakan al-Arqam yang menjadi faktor pengharamannya, jadi sebagai langkah berjaga-jaga ia diharamkan kerajaan. Mungkin.

6 comments:

Faaeinz said...

Suatu ulasan yang menarik. Berminat juga nak membaca buku ini sendiri.

naqiaqasha said...

Apa status Al-arqam dan PAS waktu tahun 80-an dulu eh? Adakah mereka dua jemaah berbeza yang membawa agenda perjuangan yg sama atau sebaliknya?

naurah said...

Setahu saya mereka dua entiti berbeza, cuma Ust Ashaari pernah menjadi Exco Pemuda Pas sebelum terlibat dengan tabligh/ menubuhkan al- Arqam. Tapi ada perbezaan pendapat yang menyebabkan Ust Ashaari keluar. Baginya, dia fokus pembinaan muslim dan pemantapan ekonomi berbeza dengan Pas yang mahu dapatkan kuasa dahulu. Itu yang diterangkan dalam buku inilah. Tak pasti keadaan masa itu macam mana, cuma yang pasti dekad 80an memang berkembang dari sudut dakwah, ada ABIM, al Arqam, Pas cuma mereka mungkin berbeza pendekatan.

naurah said...
This comment has been removed by the author.
Unknown said...

Salam..Allahumma sholliala muhammad..almarhum ustaz ashaari sangat optimis dan warak..ini pengalaman saya sebab dulu saya pernah bekerja di syarikatnya lebih kurang 8 tahun yang lepas..
.
sbenarnya apa yg diperjuang olehnya adalah melahirkan masyarakat,keluarga hinggakan empayar Islam yang dimajukan oleh orang2nya yang bertaqwa..
mcm mana boleh bertaqwa?(dan ini lah yang ditakuti Yahudi,illuminati,mahupun tentera Dajal) antaranya solat berjemaah,makan berjemaah,masak berjemaah,hidup berkasih sayang,menjaga hati antara kita dengan Allah,takutkan Allah cintakan Nabi dan lain lain lagi yang sbenrnya susah nak dilakukan di luar,tetapi bila bersama dengan jemaah/syarikat almarhum, mmg senang untuk baiki diri sebenarnya..
.
Untuk pengetahuan, sistem Islam,kalau dibangunkan di dunia ini,akan dihancurkan jua oleh Yahudi.siapa yang melawan sistem mereka pasti dihancurkan atau dibunuh...akan tetapi sistem Almarhum ustaz Ashaari/Abuya ini semakin hari semakin gah dan maju...siapa tahu inilah jemaah Islam yang dijanjikan Nabi di akhir zaman?
.
Dan sbenrnya diharamkan pun..bukan atas perintah siapa siapa pun...tapi undang2, politik di sini pun siapa yang pegang kalau bkn sistem yahudi tu sendiri..ini sbb lah diharamkan di zaman pemerintahan Tun Mahathir...walhal bukannya sesat apa pun..orang yang di 'luar' je yang tak faham pegangan mereka..wallahualam bsw..siapa nk pm pasal ni leh tanya saye lebih lanjut..nt sy cerita lg. Watsap 011 2162 0839

zaman said...

Malangnya buku spt ini telah hilang dlm simpanan saya terima kasih kerana sudu berkongsi kembali