.

.

Tuesday, 9 October 2018

Cabaran Review Kelima - REPUBLIK ATAU MONARKI oleh Afiqah Diana



TAJUK: REPUBLIK ATAU MONARKI
PENULIS : DR. HJ. O.K. RAHMAT
NEGARA; SINGAPURA
MUKA SURAT: 89 MUKA SURAT

Sebagai seorang pelajar dan pembaca yang jarang memilih isu politik atau Negara sebagai satu bahan bacaan, cabaran kali ini terasa begitu sukar. Namun sebagai langkah permulaan untuk seorang pembaca baru seperti saya, saya memilih buku “Republik atau monarki” sebagai bahan bacaan saya yang peroleh daripada perpustakaan UKM.

Buku ini walaupun hanya mempunyai kurang 100 lembar muka surat, namun sebagai seorang pembaca baru, setiap sisi muka surat ini memerlukan seseorang itu mempunyai satu daya tahan yang tinggi dalam menghabiskan bacaan sehingga ke akhir muka surat.

Secara asasnya buku ini merupaksan pengenalan asas system pemerintahan Islam sejak zaman Rasulullah sehingga hari ini. Namun lebih banyak penekanan diberikan pada zaman khulafa’ ar-rashidin iaitu empat khalifah tersebut.  Buku ini telah membawa para pembaca melihat sejauhmana kecenderungan agama Islam dalam sistem sebenar pemerintahan yang seharusnya diamalkan. Adakah dengan melaksanakan sistem republik ataupun monarki.
Disini juga penulis telah menyebut beberapa pemerintah yang cukup hebat pemerintahannya pada zaman selepas khalifah ar-rasyidin iaitu seperti Umar Abd Aziz, Harun Ar-Rasyid, Al-ma’mun, dan Sultan Salahuddin. Namun di antara semua itu, penulis melihat saidina Umar Al-Khatab sebagai ketua Negara yang paling ideal. Kerana kepada khalifah Umarlah, umat Islam memberi pujian mengenai keadilan, kerendahan hati, ketegasan, persamaan, persaudaraan, kesederhanaan dan ketakwaan kepada Ilahi. Betapa banyak kisah dan contoh yang penulis bawakan hingga membuatkan kita merasa rendah sekali amal dan pengorbanan kita selaku masyarakat bahkan dalam beramanah memimpin  diri sendiri.

Kemudian, buku ini turut membawakan kita satu mesej penting tentang lahirnya sistem monarki dalam Islam setelah kematian Saidina Uthman dan perlantikan Saidina Ali hingga membawa kepada pembunuhan saidina Ali itu sendiri. Iaitu diceritakan segalanya bermula ketika Muawiyyah memilih untuk mengangkat Yazid sebagai pemegang tampuk pemerintahan selepas beliau. Hal ini terlihat berbeza kerana kta dapat lihat bagaimana Negara Islam pada zaman khalifah Ar-Rasyidin telah banyak menggunakan bentuk republic.

Namun buku ini juga tidaklah sewenang-wenangnya menyokong dan menolak kewujudan monarki dan republik dalam meleraikan segala kemelut kemaslahan ummah. Apatah lagi rasulullah amat tegas dalam mengatakan betapa peri pentingnya sesuatu tampuk pemerintahan itu untuk mempunyai pemerintah. Monarki ataupun republik keduanya mengikut kemaslahatan ummah disetiap tempat tersebut. Seperti yang berlaku di Negara Pakistan yang kita kenal sebagai sebuah Negara republik sejak berkurun lamanya.

Apa yang paling penting, adalah mesej yang hendak dibawa oleh penulis adalah membawa para pembaca untuk teliti dalam pemilihan pemimpin.  Adalah wajib untuk ummat Islam melantik pemerintah mengikut  syarat-syarat yang ditentukan oleh undang-undang syariah. Apakah perlu seluruh wazir yang akan dilantik daripada orang islam atau mengikut kepakaran mereka. Semuanya telah dikupas dengan baik di dalam buku ini.

Tidak dapat dilupakan, bagaimana buku ini juga membawakan kita konsep syura, iaitu sistem yang diamalkan ketika zaman khalifah ar-rasyidin. Adakah sama dengan sistem demokrasi Barat yang diamalkan oleh majoriti Negara di seluruh dunia ketika ini.

Buku ini sangatlah perlu untuk kita baca dan hayati bersama. Bagi seseorang yang tidak mempunyai latar pengetahuan sejarah yang mendalam seperti saya . Adalah satu hal yang saya kira amat penting untuk kita pelajari asas pemerintahan menurut perspektif Islam ini dahulu sebelum kita mengkaji isu-isu yang lebih mendalam kelak. Kerana setiap sistem pemerintahan di dunia mempunyai satu sisi silang yang saling berkait rapat.