.

.

Wednesday 3 May 2017

Review Kedua Seorang Tua Di Kaki Gunung oleh Iman Danial


Ulasan Seorang Tua Di Kaki Gunung

Buku yang saya pilih untuk cabaran 32 Buku anjuran Buku Jalanan Titi pada kali ini berjudul Seorang Tua Di Kaki Gunung, karya penulis mapan, Allahyarham Azizi Haji Abdullah. Buku ini dicadangkan oleh adik saya, dengan alasan bahawa karya ini merupakan sebuah karya yang mengangkat prinsip dan pegangan yang teguh dipegang. Hidup di dalam era di mana identiti kita sudah berbaur dengan pelbagai pengaruh dan gaya, sudah pasti naskhah yang menjunjung tinggi harga sebuah jati diri amat diperlukan.

Sedikit latar belakang tentang buku ini (diambil dari deskripsi di Goodreads), Novel Seorang Tua di Kaki Gunung ini, telah mendapat tempat kedua dalam Sayembara Hadiah Novel GAPENA - Yayasan Sabah II (1981). Kita dibawa untuk mengikuti kehidupan Tukya yang tinggal di kaki Gunung Bongsu. Watak Tukya digambarkan sebagai seorang tua yang keras dalam mempertahankan pendiriannya terhadap corak kehidupan secara tradisi dikelilingi alam semulajadi. Sebagai orang yang hidup berpegang pada adat, Tukya memiliki senarai pantang larang yang diamalkannya dalam segenap aspek kehidupan. Melanggar adat bererti mencalarkan maruah nenek moyang. Dan ada kebanggaan yang terselit pada setiap adat yang dijunjung.

Azizi tidak pernah gagal untuk melukiskan kehijauan alam dalam rangkaian kata-kata penuh seni. Saya pernah membaca novel beliau, Mandala Dunia Terakhir, yang memerihalkan pertentangan antara modenisasi dan tradisi. Juga berbicara tentang hutan dan alam semulajadi. Seperti mana saya merasai sendiri bunyi-bunyian unggas, jeritan mawas, deruan air terjun, kedinginan embun pada Mandala Dunia Terakhir, keasyikan yang sama juga saya nikmati menerusi Seorang Tua Di Kaki Gunung.

Kita akan segera kagum dengan perhubungan erat antara Tukya dan alam semulajadi di sekelilingnya. Alam semulajadi sentiasa menjanjikan sebuah kehidupan bagi mereka yang menghargai keindahannya. Tetapi awas, alam semulajadi juga menghadirkan seribu macam kecekalaan bagi mereka yang cuai. Kita dapat membaca kisah kegigihan Tukya menentang serangan kawanan lebah di hutan sebagai bukti kepada bahaya yang terkandung di sebalik barisan pokok dan gugusan daun.

Keteguhan Tukya dapat dilihat juga pada penolakan beliau terhadapa tawaran anaknya untuk hidup bersama di bandar. Hutan adalah tanah tumpah darahnya. Berpisah dengan hutan seolah berpisah dengan belahan separuh jiwa. Jurang antara generasi adalah antara perosalan yang dibangkitkan dalam naskhah ini. Antara bandar dan hutan. Antara tua dan muda.

Kisah Tukya berakhir dengan kesimpulan yang menginsafkan. Fikri sebagai anak, gagal untuk menyeimbangkan antara kepentingan peribadi dan tanggungjawab terhadap ibu bapa, menatijahkan penyesalan yang menggunung.

Kesimpulannya, mungkin saya boleh katakan Seorang Tua Di Kaki Gunung adalah sebuah naskhah yang melankolik, tetapi menaikkan rasa melawan dalam diri.

No comments: