.

.

Sunday 27 November 2016

Cabaran Bacaan Pantas 24 Jam - Menumpang Teduh Pohon Akasia; Somaliland Bukan Somalia ditulis oleh Muhammad Suhail Bin Ahmad oleh Naziatul Azrin


Riuh-rendah sekejap ahli-ahli grup Whatsapp Cabaran 32 Buku apabila Admin mengumumkan cabaran ketiga; pilih satu buku dan habiskan bacaan dalam tempoh 24 jam.

24 jam? Buku apa yang boleh habis dalam tempoh 24 jam? Gila.

Pada mulanya, saya terfikir hendak mencari buku nipis-nipis sahaja. Ataupun buku kanak-kanak dengan bahasa yang mudah untuk menyudahkan cabaran. Tetapi, hasrat itu kemudiannya saya batalkan. Inikan cabaran. Apa yang mencabarnya kalau saya pilih jalan mudah? Jika ada orang mampu habiskan buku beratus muka surat dalam tempoh 24 jam, masakan saya tidak?

Okay, saya mulakan langkah pertama saya dengan membuat carian terlebih dahulu tentang teknik membaca secara pantas. Carian saya menemukan beberapa artikel yang agak menarik. Rupa-rupanya memang ada teknik untuk menghabiskan bacaan buku dengan pantas. Walaubagaimanapun, bukan semua buku sesuai dengan teknik ini.

Ah, padanlah memang ada orang mampu membaca beratus buku setahun – selain sebab orang itu ‘bernafas’ menggunakan oksigen dan bukannya internet serta tidak menonton drama bersiri Korea (oops!)

Selepas memahami teknik bacaan pantas, saya merancang pula hari yang sesuai untuk cabaran ini. Wah, walaupun cabaran kali ini berlangsung hanya 24 jam tetapi persediaan saya memakan masa berhari-hari juga nampaknya. Iyalah, 24 jam kan. Saya mestilah kena uruskan cabaran ini dengan baik. Adalah tidak bijak jika saya memilih hari yang mana saya sibuk dengan urusan atau pada hari saya perlu keluar ke mana-mana.

Oleh itu, pada hari yang telah saya tetapkan, saya mengumumkan buku pilihan saya, Menumpang Teduh Pohon Akasia; Somaliland Bukan Somalia ditulis oleh Muhammad Suhail Bin Ahmad. Saya memulakan bacaan buku travelog setebal 251 muka surat ini pada tarikh 11 Julai 2016 jam 7.07 petang dan menamatkannya pada tarikh 12 Julai 2016 jam 9.45 pagi. Alhamdulillah. Selesai dengan jayanya.

Untuk cabaran kali ini ini ada beberapa perkara yang mahu saya kongsikan.

1.     Sebelum memulakan cabaran, saya membuat sedikit kajian (dalam bentuk bacaan) terlebih dahulu. Ini penting, supaya saya melakukan cabaran dengan teknik yang betul.

2.      Saya juga merancang hari yang sesuai. Perancangan yang baik memudahkan saya untuk fokus dalam menyudahkan cabaran ini.


3.      Saya memilih buku travelog yang mana penulisnya adalah sahabat saya sendiri. Selain buku travelog ada banyak gambar berwarna, proses penghadaman tidak begitu meletihkan otak. Lagipun, tulisan-tulisan Suhail saya sudah biasa baca sejak zaman blogging. Saya juga telah sekali imbas pernah membaca buku ini ketika masih dalam bentuk manuskrip. Jadi serba-sedikit saya tahu arah tuju buku ini.

Apakah yang saya peroleh daripada cabaran ini?

Untuk saya, secara peribadi saya merasa lebih yakin untuk terus membaca. Selama ini, saya juga antara yang menggunakan alasan ‘masa’ untuk melayan sikap liat membaca. Sedangkan dengan teknik yang betul, fokus dan berdisiplin, masa sebenarnya bukanlah halangan untuk membaca.

Memandangkan saya sudah menghabiskan cabaran ini, teknik yang sama saya gunakan untuk beberapa buku lain. Ya benar, ada sesetengah buku, kita sebenarnya tidak perlu pun membaca setiap baris ayat, tetapi kita masih tidak terlepas poin-poin penting. Kecualilah jika penulisnya kita maklum memang punya bakat mengarang yang besar sehingga membuat kita mahu menekuni setiap baris ayatnya. Siap baca guna pembaris lagi.


Ini saja perkongsian saya bagi cabaran kali ini. Untuk ulasan buku ini, saya sediakan dalam tulisan yang lain. Kerana saya menggunakan buku yang sama untuk cabaran keempat; buku travelog penulis lelaki dan buku travelog penulis perempuan.

No comments: