.

.

Sunday 27 November 2016

CABARAN KETIGA - Bahagia Bukan Gembira oleh Anfaal Saari Oleh Aina


Untuk cabaran ketiga, saya memilih menghabiskan Bahagia Bukan Gembira oleh Anfaal Saari untuk dihabiskan dalam masa sehari. Pn Anfaal Saari mengukir kisah-kisah hidupnya sebagai ahli perniagaan dan aktivis dakwah sepenuh masa di dalam anekdot Bahagia Bukan Gembira.
            Menjadi anak kepada presiden sebuah organisasi dakwah, Pn Anfaal sedari kecil dididik mengikut acuan Islam.  Ibu bapanya sendiri disatukan melalui sistem Baitul Muslim. Pn Anfaal dilatih ayahnya menjadi kuat dan lasak. Hidupnya sejak kecil diabadikan untuk jemaah. Awal pendidikan Pn Anfaal ialah di SRI Al-Amin Gombak (golongan terawal, kemudian disambung ke SMI Al-Amin Gombak. 
Ayah beliau Tn Hj Saari Sungib, sentiasa mencari jalan supaya Pn Anfaal sentiasa diluar zon selesa. Selepas SPM, beliau dihantar belajar ke kolej swasta berdekatan rumah mereka dan beliau sahajalah orang Islam dalam kelas beliau ketika itu. Memakai baju kurung dan tudung labuh ketika itu masih kelihatan janggal sehingga ahli kelas berkata, “Anfaal, come on la. Don’t wear outdated attire like this. Be modern”. Pedih dan sentap.
Antara kisah yang saya kira menarik ialah, selepas SPM, Pn Anfaal disuruh ayahnya untuk mengambil lesen kereta. Selepas lulus, tugasan-tugasan memandu keseluruhannya diletakkan di bahu Pn Anfaal, mengambil adik sekolah, membeli barang dan bermacam-macam lagi. Tidak lengkaplah diari hidup sebagai pemandu tanpa wujud kemalangan dan apabila ini berlaku kepada Pn. Anfaal. Sesudah kemalangan Pn Anfaal menyerahkan lesennya kepada ayahnya dan berkata akan memandu dua tahun lagi dek kerana rasa bersalah. “Buat apa ? Simpan lesen tu. Drive!” Jawab ayahnya. 
Beliau pernah mengalami pengalaman diragut. Ayah beliau langsung tidak memunculkan diri di balai polis ketika laporan dibuat, hanya ibu beliau saja yang ada, kerana ayahnya percaya, beliau sendiri boleh mengatasi masalah itu. Tindak tanduk ayahnya dalam banyak hal, mematangkan Pn Anfaal.
Keluarga mereka diuji tatkala ayah beliau ditahan ISA selama dua tahun. Diceritakan di dalam anekdot ini bagaimana prosedur hendak melawat tahanan di ISA. Pn Anfaal berkahwin ketika ayahnya berada dalam tahanan ISA. Ayahnya diberikan pelepasan beberapa jam pada hari itu dan beliau jugalah yang membaca khutbah dan menikahkan mereka.
Tuhan tidak akan memberati seseorang dengan sesuatu yang tidak mereka mampu. Pn Anfaal menerima ujian dan dugaan yang telah ditetapkan untuk beliau. Segala perkara yang berlaku, telah menjadi asbab membentuk dan membina diri beliau pada hari ini, apabila beliau masih lagi istiqamah bekerja di jalan ALLAH. 
Sebagai pembaca buku, tidak semestinya kita bersetuju dengan semua perkara yang ditulis, walaubagaimanpun, insyaALLAH, dengan membaca buku ini, ada sesuatu yang dapat kita ambil sebagai pengajaran dan inspirasi. 


No comments: