.

.

Sunday 27 November 2016

CABARAN KEEMPAT - Emak Rindu Mathanga Erissery oleh Khairul Hakimin Muhammad dan Namaste India oleh Siti Noridah Ab. Rahaman oleh Aina

Bagi cabaran ke 4, bacaan travelog lelaki dan perempuan, saya telah membaca Emak Rindu Mathanga Erissery oleh Khairul Hakimin Muhammad dan Namaste India oleh Siti Noridah Ab. Rahaman. 

            Kedua – dua penulis ini telah melawat Negara India. Khairul Hakimin hanya melawat India selama 9 hari, manakala Siti Noridah telah menghabiskan hampir 3 bulan lamanya mengembara secara berbackpacker di India. 

            Ada empat tempat yang dilawat oleh Khairul Hakimin, iaitu, Kochi, Kondungalor, Munnar dan Alleppey. Antara tujuan utama lawatan beliau ini ialah hendak berguru dengan Pn Nimi Sunilkumar, untuk belajar masakan India. Pn Nimi merupakan pemenang tempat ketiga buku masakan terbaik dunia. India sangat dekat dengan beliau, kerana ibu beliau berasal dari India. Mathanga Erissery merupakan makanan kegemaran ibu beliau, tetapi ibunya tidak lagi dapat merasa makanan tersebut selepas berkahwin (iaitu ketika beliau berumur 15 tahun). Jadi, beliau belajar masak Mathanga Erissery ini dan berjaya masak untuk ibunya selepas pulang ke Malaysia. 

            Pemergian Khairul ini ditaja, dan beliau tidak pergi berseorangan, tetapi bersama lagi tiga kawannya. Insan yang menaja berpesan, kalau beliau pergi seorang, pengalaman dan pandangan yang diperoleh cuma satu, tetapi jika pergi berkumpulan, lebih banyak hikmah yang boleh dikutip 

 Kebanyakan trip mereka adalah dengan menaiki kereta dan ada satu perjalanan beberapa hari yang menggunakan rumah. Di dalam buku ini dinukilkan pengalaman beliau di setiap tempat yang dilawati, dan diselang selikan dengan kisah hidup beliau berserta ibu bapa dan juga resepi – resepi makanan India. 


Berbeza dengan Khairul, Siti Noridah membuat catatan untuk 20 tempat di India yang beliau pergi. Siti pergi bersendirian. Adakalanya beliau akan duduk hampir dua minggu di sesebuah daerah, adakalanya hanya sehari dua. Pengembara yang dijumpai dalam perjalanannya itulah yang akan menjadi teman seperjalanan, sehinggalah mereka berpisah untuk meneruskan perjalanan masing-masing. 

Siti hanya akan menaiki kereta hanya apabila keadaan terdesak dan dengan kadar yang berbaloi. Selebihnya, dia hanya akan berjalan kaki dan menaiki kenderaan awam (bas, keretapi dan riksha). Siti memilih India dan beberapa buah daerah yang jarang dilawati orang ramai kerana beliau lebih berminat dengan tempat yang tidak ramai orang pergi. Pernah sekali, penduduk tempatan di salah sebuah daerah yang beliau lawat mengatakan itulah kali pertama dia berjumpa dengan orang Malaysia. 

Catatan Siti lebih kepada pengalaman yang beliau hadapi di setiap tempat yang beliau pergi. Siti banyak menulis berkenaan pemandangan tempat yang beliau lawati walaubagaimanapun ianya tidak terperinci dan kelihatannya hampir sama saja. Tulisannya agak mendatar dan kadang kala berulang-ulang. Siti pernah tanpa sengaja mengikut upacara keagamaan Hindu kerana tidak tahu, dan rupanya orang yang berbuat acara itu Cuma hendakkan duit dari Siti. Pernah juga beliau hampir tertipu apabila ada orang mengatakan keretapinya akan lambat 10 jam dan diminta mengikuti orang itu. Nasib baik beliau berwaspada dan ambil tindakan dengan meminta kepastian di kaunter.

 Catatan Khairul Hakimin sangat seronok dibaca ditambah dengan cerita-cerita menarik yang ada. Kebanyakan perkara yang dijumpai di India akan dikaitkan dengan apa yang berlaku kepada penulis sendiri. Tulisan Siti Noridah pula mungkin agak datar dan hanya menumpukan pada apa yang dihadapi penulis ketika mengembari, tetapi mampu memberi inspirasi kepada yang ingin mengembara ke India. 

No comments: