.

.

Sunday 20 November 2016

CABARAN KEEMPAT - Emak Rindu Mathanga Erissery Penulis: Mohd Khairul Hakimin Oleh Asmidar Alias

Cabaran 32 Buku 2016 (Buku ke #17, cabaran ke 4 – Travelog yang ditulis oleh penulis lelaki)



Buku ini ditulis oleh Khairul Hakimin Muhammad (KHM). Siapa KHM? Seorang ikon media sosial, terutama di Facebook (FB), selain mempunyai kemahiran menulis yang menyebabkan ramai netizen terkesan, KHM juga pandai memasak serta sudah menerbitkan beberapa buah buku.

Saya tidak mengenal KHM kecuali melalui FB, kemudian mendapatkan buku-buku yang ditulis KHM. Saya suka cara KHM kerana menggunakan ayat mudah dan senang untuk diikuti.

Baik, untuk buku Emak Rindu Mathanga Erissery (ERME). Pada mulanya KHM menulis novel dan untuk melawan populariti Ombak Rindu. Tetapi ini adalah buku catatan perjalanan KHM ke India. Ini pergerakan KHM dan kawan-kawan, Kochi – Kondugalor – Munnar – Allepey – Kochi.

Ada banyak cerita dalam ERME, tetapi yang saya suka ialah cerita bagaimana KHM bersungguh untuk belajar masak Mathanga Erissery. Ya, Mathaga Erissery adalah satu jenis masakan dari India. Pada mulanya tidak nampak kaitan kenapa perlu belajar sampai ke India. Rupanya ada sejarah keluarga yang dijejak. Pentingnya untuk belajar resipi tradisi ini pada KHM adalah untuk memenuhi hasrat Emak.

Saya tidak mempunyai jiwa untuk merantau sangat. Cerita bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain itu saya anggap sebagai dimensi untuk membawa pembaca ke daerah India yang tidak dikenal orang.  Istimewa buku ini ada potensi besar membuat orang lapar kerana banyak cerita mengenai makanan. Resipi pun disedia. Contoh-contoh resipi yang ada, Stu Kambing, Mathanga Erissery, Roti Puri, Kuah Dhal Kuning dan beberapa resipi yang lain. Sejujurnya saya tidak pernah mencuba satu pun (peace). 

Kembara KHM belajar memasak ini paling menarik bila tahu bila merantau boleh sahaja kita belajar sesuatu yang baru dan formal. Seperti KHM belajar memasak dengan Puan Nimi di Munnar, Kerala. Puan Nimi Sunilkumar adalah seorang chef, rumahnya kecil tetapi didatangi manusia seluruh dunia untuk belajar memasak. Puan Nimi juga mempunyai kedai yang menjual rempah.

Saya suka KHM kerana cara KHM bercerita tentang Emak dan keluarganya. Saya kira susah untuk jumpa lelaki zaman sekarang yang begitu menjunjung Emak dan tidak malu untuk bercerita kepada dunia. Mungkin KHM dekat dengan Emak kerana beliau suka berada di dapur. Saya kira KHM mengubah stereotype lelaki. Mungkin jauh dalam sudut hati saya yang paling dalam, saya berhasrat jika ada saudara lelaki saya yang seperti KHM, suka masuk dapur dan menjadi rakan regu untuk menyediakan makanan seisi keluarga. 

ERME ini untuk saya paling istimewa adalah sejarah Emak. Bagaimana Emak KHM bertemu Abah KHM, anak lelaki Tok Penghulu Mukim Telang seolah-oleh seperti sebuah filem cinta yang agung. Saya mahu menulis sinopsisnya di sini, tetapi seperti mana saya terbuai dengan kisah ini saya kira anda semua perlu membacanya sendiri. Baru terasa adventurnya.

Cinta sejati itu ada. Kisah tragis dan mencemaskan ada di alam realiti rupanya, serta berakhir bahagia, InshaaAllah sampai ke syurga. 

Ada banyak perkara yang menyebabkan KHM dekat, antaranya KHM orang Pahang (saya lama bekerja di Pahang walau tidak semua bahagian Pahang saya lawat) dan juga KHM mengubah stereotype lelaki. Dalam budaya masyarakat Melayu, jarang sekali dapat melihat lelaki yang akan memasak untuk keluarga. Apatah lagi kalau dalam keluarga tersebut masih mempunyai Ibu yang masih kuat untuk memasak dan saudara perempuan (yang ramai atau tidak). 

Kalau bintang saya beri berapa untuk buku ERME ini? 

Saya tidak beri bintang, saya akan beri rempah ratus untuk seluruh kebaikkan dalam makanan dan sanjungannya untuk Emak. KHM, tahniah! 


No comments: