.

.

Sunday 4 March 2018

Cabaran Pertama - Kutemui Cinta Sejati Semoga Hijrahku Abadi oleh Ummi Abibah


Tajuk : Kutemui Cinta Sejati Semoga Hijrahku Abadi
Terbitan : Berita publishing
Penulis : Datuk Malek Noor & Raihanah Abdullah
Ulasan oleh : Ummi Abibah Binti Mohamad Adi

 Umumnya kita mengenali Datuk Malek Noor sebagai ikon bina badan negara. Saya kira dengan penulisan biografi ini, Datuk Malek Noor telah mengambil langkah berani membogelkan sisi gelap yang pernah berlaku dalam hidupnya.  Penceritaan menggunakan sudut pandang persona pertama diceritakan dengan susunan plot yang ringkas, mudah dan menarik untuk dibaca.  Hasil penulisan biografi beliau terbitan Berita Publishing telah diterbitkan pada tahun 2015 sebagai satu bentuk perkongsian beliau sendiri kepada pembaca bermula sejak dilahirkan pada tahun 1954 di Pontian Johor sehinggalah naskah ini berjaya diterbitkan. 

Permulaan cerita bermula dengan gambaran personaliti beliau yang dianggap extrovert tetapi nakal serta pernah di cop sebagai budak jahat. Beliau sendiri mengakui bertindak rebel atas sebab ingin mencuri perhatian daripada kedua ibubapanya yang sibuk membesarkan lapan anak yang lain. Kehidupan masa kecil beliau diwarnai dengan kisah kedegilan dan pemberontakan dalam jiwa seorang remaja. Saya kira kenakalan dan kejahatan yang dilakukan pada usia muda beliau tidak tercapai dek akal sehinggakan beliau pernah ditembak bapanya atas sebab perbuatannya sendiri.  

Sedikit sebanyak kehidupannya berubah setelah bakat dalam sukan bola sepak di kesan oleh guru di sekolah. Beliau juga bijak membuka peluang dengan menggunakan kelebihan diri mencari tajaan biasiswa ke luar negara untuk belajar dan merantau walaupun gagal LCE. Penghijrahan beliau ke Amerika syarikat telah merubah hidupnya secara total berbeza daripada kebiasaan dan jauh sebagai seorang muslim. Datuk Malek Noor licik menggunakan kelebihan diri dengan mencari peluang untuk memajukan diri sehingga berjaya membuka beberapa perniagaan dan servis di Hong Kong. 

Di puncak kegemilangan hidupnya, beliau menemui titik perubahan. Lalu mengambil langkah drastik meninggalkan segala kemewahan dan kembali kepangkal jalan. Dalam proses penghijrahan, beliau melalui beberapa cabaran dan ujian yang membolak-balikkan iman. 

Penceritaan menggunakan sudut pandangan  pertama berlatar belakang tahun 1954 hingga 2012 diselitkan dengan beberapa foto bagi membawa bersama pembaca menelusuri sepanjang penceritaan . Latar tempat  sekitar tempat beliau dilahirkan iaitu Pontian Johor dan tempat-tempat yang pernah dikunjungi seperti Kuala Lumpur, Amerika Syarikat serta Hong Kong. Tempat-tempat ini juga memainkan peranan dalam membentuk peribadi beliau sendiri. 

Hasil penulisan biografi ini bukan untuk membuka pekung di dada, tetapi ini adalah satu pendedahan daripada Datuk Malek Noor bagi berkongsi pengalaman sebagai anak rantau yang pernah tersasar haluan. Karya beliau ini dikarang agar dapat dijadikan iktibar kepada masyarakat, khususnya golongan remaja dalam menempuhi ranjau kehidupan.


kredit foto: perpustakaan awam Pahang.

No comments: