.

.

Sunday 4 March 2018

Cabaran Pertama - Tok Guru, Sebuah Biografi Awal oleh Azira Salim


Penulis menulis biografi ini sebagai tesis untuk ijazah sarjana muda dalam Pengajian Media, UM. Sewaktu buku ini dihasilkan, allahyarham tuk guru masih lagi menjadi menteri besar kelantan, penulis memilih untuk menghasilkan biografi seseorang yang masih hidup, kerana dia akan dapat memastikan bahawa maklumat yang diperolehi itu adalah benar dan sahih, bukan rekaan kerana kelak karya itu akan dipertangungjawabkan di akhirat nanti. 
Awal bab menceritakan tentang perkaitan keturunan TGNA dengan keturunan diraja Jembal. Nama Jembal itu dikaitkan dengan kisah Raja Bersiung yang dikatakan tumbuh siung atau taring disebabkan tabiat anehnya yang suka memakan makanan dimasak bercampur dengan darah manusia. Setiap hari ada saja rakyat yang disembelih dan dikorbankan untuk dijadikan santapan Raja. Akhirnya rakyat memberontak dan Raja Bersiung telah dihalau ke luar negeri. Sedang beliau berkelana membawa diri, beliau terjumpa seorang bayi lelaki di celah phon bambu dan seorang bayi perempuan yang hanyut di sungai yang kemudiannya dinamakan, Raja Sakti dan Puteri Mani Kemian, lalu baginda bermukim di tempat beliau melepaskan lelah yakni di Pohon Jembal. Menurut Tuk Ku Tijah, bonda tiri Nik Aziz, ayahandanya adalah daripada keturunan keempat dalam susur galur Keluarga Diraja Jembal. 

Kedai Lalat merupakan tempat yang banyak menyimpan sejarah keluarga Diraja Jembal. Lokasi ini juga merupakan tempat TGNA dan adik beradiknya dilahirkan sebelum keluarganya berpindah ke Kampung Jelatang, Pulau Melaka. Raja Muhammad (Nik Mat alim), ayahanda TGNA, banyak berguru dengan ulama sekitar Pulau Melaka. Dikenali sebagai Nik Mat ditambah alim dihujungnya kerana terkenal kerana kewarakannya, dilahirkan sekitar 1890an, suatu era di mana perkembangan sekolah-sekolah pondok di sekitar negeri Kelantan sedang bangkit menuju kegemilangannya selaras dengan pemerintahan Sultan Mansur( sultan yang taat beragama dan warak dalam sejarah raja-raja kelantan). Raja Nik Mat Alim banyak dipengaruhi oleh Tok Khurasan. Ketegasannya dapat dilihat dalam menentang amalan-amalan khurafat dan bidaah di kalangan masyarakat setempat. Beliau pernah mencabar di dalam ceramhnya sesiapa sahaja yang dapat membawakan hadis berkenaan amalan khurafat dengan menawrakan ganjaran berupa wang lumayan yakni rm10 untuk setiap hadis yang dibawakan kepadanya. Kecenderungan NMA terhadap kehidupan beragama ini bukan sahaja dilihat dalam kehidupan sehariannya, tetapi juga kemudiannya mempengaruhi didikan dan tarbiah beliau kepada madrasah keluarga dan masyarakat berlandaskan syariat Islam yang sebenarnya.

Nama TGNA diambil sempena nama anak seorang ulama kelahiran Deobandi (New Delhi, India, Shah Waliyullah Muhaddits Dehlavi (1703-1762), anaknya diberi nama Shah Abdul Azeez. Kedua tokoh ulama ini kuat menentang penjajahan dengan cara berjihad dan tegas mengkritik sultan pada masa itu. Sejak dari kecil, Nik Mat Alim mendidik anak-anaknya dengan disiplin dan ketegasan. Anak2 akan dikejutkan awal pagi untuk menunaikan tahajud, menghafal quran sehingga masuk subuh dan tidak dibenarkan untuk tidur selepas subuh. TGNA merupakan anak yang paling mudah untuk bangun pagi. Sebagai anak sulung, beliau ditugaskan mengejutkan adik-adiknya. Walaupun kepayahan mereka adik-beradik tetap patuh menjalankan suruhan ayahnya.  Asuhan seperti ini memberikan kesan yang mendalam kepada TGNA kerana sehingga harini beliau dikatakan tidak pernah meninggalkan tahajjud. Munajat dan zikrullah dijadikan penawar dalam hidupnya. 

Salah satu keistimewaan TGNA yang cukup ketara sejak kecil ialah kebolehan amat mudah menghafal segala pelajaran yang diajarkan kepadanya (terang hati). Beliau sudah mula membaca dan menghafal Al-Quran  sejak usianya enam tahun. Sifatnya yang tidak banyak soal, sangat menyenangkan hati ayahnya yang begitu bersemangat ingin melihat anak-anaknya mengikuti jejak langkahnya dan mewarisi ilmu di dadanya. Kecergasannya TGNA juga terbukti apabila dapat menghafal buku Matan Alfiah dalam tempoh setahun ( matan Alfiah adalah kitab nahu Arab yang sangat mahsyur dalam pengajian qawaid Arab, sangat sukar dipelajari dan mengandungi 1000 bait syair. Menghafal kitab ini dikatakan mampu membina ketajaman dan kecerdasan minda seseorang). 

Rumah NMA dijadikan serambi untuk menyuburkan pengajian ilmu di Pulau Melaka. Selepas solat subuh, adik beradik TGNA akan dikerahkan untuk mengerjakan tanah kebun di Kebun Limau Langkap, atau di Kg Kedai Lalat sesuai dengan kemampuan dan umur mereka ketika itu disamping mengusahakan penternakan ikan. Mereka juga tidak dibenarkan bergaul dengan budak kampung yang tidak dikenali ayahnya. Pondok Jertih (madrasah Ittifaqiah)  merupakan madrasah pilihan utama NMA untuk menempatkan anak kesayangannya bagi mendalami ilmu agama. Persahabatan yang erat antara NMA dan Tok Khurasan, dan Tuan Guru Haji ABBAs dan Ustaz Lah India (adik TGHA), banyak mencetuskan inspirasi dan membuka minda tentang kedudukan dan peranan Islam sebagai a way of life. Bagi tok-tok guru yang berasal dari India dan Pakistan ini, semangat yang disuntik daripada kisah-kisah perjuangan gerakan-gerakan Islam yang tercetus di tanah air mereka menjadi bahan yang baik untuk menyempurnakan ramuan ilmu yang disampaikan kepada anak-anak murid, kerana dapat dikaitkan kisah perjuangan mujahidin Islam melawan Inggeris di bumi India dan Pakistan seperti juga di Tanah Melayu yang juga sedang tegang akibat pertelingkahan antara Jepun dan Inggeris. 

Walaubagaimanapun, ini bukanlah bermakna NMA inginkan anaknya kelak menjadi seorang pejuang atau pemimpin Islam. Sebaliknya, ketelitiannya terhadap perkembangan TGNA diharapkan dapat mengembangkan potensi anaknya sehingga dapat melanjutkan pelajaran ke Darul Ulum, Deoband di India sekalian memenuhi impiannya yang tertunda.

Sepanjang pengajiannya di Madrasah Ittifaqiah, beliau menuntut kuliah ilmu dari Tuan Guru Haji Abbas, Tuan Guru Haji Shafie, Ustaz Lah India, Tuan Guru Haji Latib dan kadangkala, anak murid yang lebih senior akan diarahkan untuk membimbing pelajar junior. Walaupun bertubuh kecil, ternyata kelebihan TGNA terlihat pada ilmunya yang ketika itu menyamai ilmu seorang tuk guru. Menurut ayah Ngah, imtihannya mumtaz dan mereka menjadi tenaga pengajar bagi pelajar tahun tiga. Kegigihannya menuntut ilmu terlihat tanpa mengira masa dan tempat. Pernah beliau sanggup menunggu Ustaz Lah menggali telaga,  demi mendengar syarah dari sebuah kitab yang sedang dibacanya. Kecintaannya terhadap dunia ilmu juga dapat dilihat melalui sikapnya yang tidak hanya bergantung untuk mendapatkan ilmu apda suatu2 tempat. Kebiasaanya mengikut ayahnya mendengar kuliah-kuliah tok-tok guru dimana sahaja tanpa mengenal lelah.  

Akhirnya usaha gigih beliau tersebut, telah mematangkan TGNA bukan sahaja dari segi memberi penilaian dan hujahan tentang sesuatu ilmu, tetapi juga telah memberi nafas dan gaya tersendiri dalam setiap ceramah dan kuliah yang disampaikannya pada hari ini. Beliau juga menjadi tumpuan dan tempat rujukan rakan sepengajiannya dan menjadi kepala mentelaah semasa mengulangkaji di sebelah malam bersama rakan-rakanya. Beliau juga telah dilatih untuk bersyarah atau berceramah umum selepas solat jumaat di Masjid Kedai Lalat. Ketika itu, hampir tidak ada guru pondok yang “bersyarah”. Tok-tok guru pondok hanya mengajar kiktab2 tradisi. Mereka tidak berucap dihadapan umum. Tabiat ini akhirnya dibawa oleh TGNA ketika menyambung pengajiannya ke India dan Mesir. Antara pelajaran yang digemarinya adalah Ilmu Mantiq (ilmu logika) yang akhirnya membantunya menjadi orator terbaik dalam ceramah, pidato atau dialog-dialog yang disertainya.

TGNA meneruskan pengajiannya ke Bandar Deoband(utara New Delhi), India pada tahun 1952.  Kota ini menghimpunkan pelajar-pelajar dari pelbagai bangsa dan peringkat usia. Tiada batasan usia, Cuma dikhusukan untuk pelajar lelaki sahaja untuk merealisasikan misi utama Darul Ulum untuk melahirkan seramai mungkin pelajar lintas benua untuk menebarkan ilmu mereka ke seluruh dunia. Rutin hariannya berubah. Beliau ditempatkan di asrama bersama pelajar multiracial dan yang istimewanya, pusat pengajian ini akan membekalkan kitab-kitab yang diperlukan selama tempoh pengajian, tidak perlu dipulangkan sehingga pada hari pengajian selesai. 

Di sana, TGNA berpeluang bertalaqqi dengan Maulana Husain Ahmad al-Madani (1897-1957), seorang ulama hadis dan tariqat terkemuka di bumi India yang juga mendokong gerakan al-Madani dalam menuntut kemerdekaan negara India daripada British.Almadani turut dikenali sebagai Asiru Malta kerana pernah dibuang dan disingkirkan selama tiga tahun ke Kepulauan Malta oleh British yang gerun dengan pengaruhnya. Kegigihan Al-Madani sebagai seorang pendakwah jelas terlihat melalui dedikasinya selama bebrapa tahun memberi kuliah hampir 12-13 kelas sehari. Tidurnya cuma dua-tiga jam sahaja sehari. Selebihnya diperuntukkan untuk mentelaah dan membuta persiapan mengajar. Rutin sebegitu merupakan satu bentuk tarbiah (spiritual training) yang kini dilalui dan dirasai oleh Nik Aziz sendiri. Tiada istilah rehat apatah lagi penat dalam hidup seorang pejuang agam daan pendakwah. 

Beberapa ulama lain, turut menjadi inspirasi TGNA, antaranya Maulana Syed Fakhrul Hasan Moradabadi( mengajar kitab sahih Muslim dan Tafsir al-Baizawi), Hazrat Maulana Muhammad Ibrahim Baliyawi (mengajar kitab Sahih Tirmizi), dan Maulana Muhammad Naim mengajar Tafsir Al-Adab Al-Mufrad. Mujahadah ilmunya diteruskan ke bumi Pakistan pada tahun 1958 dan kemudiannya ke bumi Mesir dalam bidang kesusateraan dan bahsa Arab di Kuliathul Lughah Al-Azhar. Persamaan mata pelajaran dan kitab-kitab yang dipelajari di Kelantan dan ilmu yang diperolehi di Darul Ulum, memudahkan TGNA menguasai bahasa Arab dengan baik dan akhirnya beliau berjaya memperoleh ijazah sarjana muda (BA) dalam jurusan Pengajian Bahasa Arab, seterusnya melanjutkan pengjaian dalam kehakiman Syariah dan dalam tempoh dua tahun berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana (MA) dalam jurusan tersebut. Sekembalinya ke tanah air, selain disibukkan dengan kuliah dan seminar, TGNA juga mulai terlibat dengan dunia penulisan dan menjadi penyumbang Majalah Pengasuh sekitar tahun 1970an, kemuncak kepada aktiviti penulisan ini TGNA telah berjaya melahirkan sebuah buku yang bertajuk, Kenapa Aku Tidak Kristian.

Setelah 10 tahun berkelana, akhirnya kepulangan yang dinanti disambut dengan meriah oleh seisi kampung dengan meraikan TGNA dengan bekwah( asal dari big work yakni kenduri kendara). Semuanya begitu ghairah mendengar pengalaman hidup 10 tahun di rantauan sambil membelek-belek sejumlah kitab yang dibawa balim dari tiga benua. Kepulangannya juga diharapkan dan sangat dinantikan terutamanya oleh ayahanda tercinta,NMA untuk meneruskan kerja dakwah dan mendidik di Pulau Melaka. 

Tugas pertamanya untuk meneruskan perjuangan ayahandanya menetang perbuatan khurafat, walaupun pada awalnya ditentang tapi akhirnya seluruh rakyat kelantan dapat menerima apa yang diperjuangkannya. Setiap hari dengan berbasikal, TGNA akan ke SMA Tarbiyyah Panchor, dan keadaan itu berterusan sehinggalah pondok yang diasaskan oleh NMA dinaiktarafkan menjadi Maahad Darul Anwar, TGNA turut mengajar di sekolah tersebut. Beliau turut dipujuk untuk menjadi pensyarah agama di Kelas Dewasa kerana kelebihan ilmu yang dimiliki dan pada ketika itu TGNA tidak menunjukkan sikap pro kepada mana-mana parti politik. Kesungguhan untuk menanamkan kefahaman dan kesedaran agama berlandaskan al-Quran dan AsSunnah dikalagan masyarakat kampung yang buta huruf pada waktu itu, menyebabkan beliau sambut dengan tangan terbuka. 

Tekadnya" Kalau lidah saya ini panjang seperti panjangnya Sg. kelantan, nescaya saya hulurkan sepenuhnya ke negeri Kelantan supaya semua mendapat seruan Tuhan." Kesempatan tersebut digunakan untuk menegur dasar-dasar pemerintahan pusat UMNO yang dilihatnya terbabas daripada landasan Islam. "Menegur dan memberi ingatan kepada satu-satu kumpulan atau pentadbiran, bukan bermakna pendakwah tersebut menyokong dan menyebelahi mereka, ia semata-mata menunaikan tanggungjawab untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Sehinggakan akhirnya TGNA mula dituduh sebagai agen PAS yang cuba menyerap masuk ke dalam barisan UMNO, hanya kerana hujah dan pandangan yang dilontarkan mempunyai banyak persamaan dan lebih banyak condong kepada dasar dan hala tuju PAS. Akibatnya, pihak pimpinan UMNO mula menyekat kebebasan TGNA untuk mengeluarkan pandangan dan hujahan dalam siri-siri ceramah dan kuliah, beliau akhirnya meletakkan jawatan daripada menjadi pensyarah kelas dewasa.

Mungkin mampu mengubat rasa kecewa kerana ditolak penuh prasangka oleh golongan yang tidak sehaluan malah langsung tidak mahu mengambil Islam untuk mengubah jalan, gaya pemikiran dan sistem hidup mereka, akhirnya TGNA mengambil keputusan untuk terjun ke dunia politik  dengan menyertai pilihan raya kecil Kelantan Hilir bagi memenuhi kerusi Parlimen yang dikosongkan oleh Almarhum Tuan Haji Ahmad Abdullah pada usianya 36 tahun pada 1967. "Kalau kita tidak menjadi pemimpin, siapa yang mahu mendengar kata kita?". Sepandai dan segigih mana kita beradu di pentas dakwah, sekiranya tiada kuasa di tangan, sekiranya kita tidak duduk dalam barisan saf kepimpinan, mana mungkin kita mampu untuk memartabatkan Islam seperti yang pernah dicatatkan oleh Syed Qutb ketika membicarakan konsep kelahiran generasi al-Quran dalam Maalim FitTariq.

No comments: