.

.

Sunday 4 March 2018

Cabaran Pertama - Setitis Embun Semarak Api oleh Haryati Abd Halim



Penulis : Shahnon Ahmad
Halaman: 508

Bacaan yang mencabar kerana beliau tidak bercerita secara langsung tentang kisah hidupnya, namun semuanya diceritakan lewat karya-karyanya mulai dari cerpen dan novel yang pertama diterbitkan hingga cerpen mutakhir sehingga buku ini diterbitkan. Membaca autobiogfi SN ini seolah-olah membaca kesemua karya beliau.  Apa yang lebih mengkagumkan, setiap apa yang dilihat memberi ilham untuk beliau menukang karya. Contohnya, melihat sungai lalu terhasil cerpen sungai dan banyak lagi.

Beliau bukanlah sekadar menghasilkan karya-karya fiksyen, namun beliau juga banyak menulis tentang kritikan sastera, serta bercerita tentang beberapa karyanya yang tak dapat diterbitkan.  Karyanya banyak dikritik, terutama  apabila  karyanya tidak memihak kepada politik arus perdana  dan menjelaskan bagaimana cara kita berdepan dengan pelbagai kritikan dalam hidup.  Bagi saya, satu nasihat serta panduan  yang sangat  berguna apabila diuji dengan kritikan. Sebagai pensyarah di USM, beliau juga memberi panduan kepada kita bagaimana menulis tesis yang bagus. Beliau juga memberi contoh kertas kerja yang dibentangkan di salah satu seminar.   Selain itu, oleh kerana kekangan kesihatan, beliau banyak bercerita tentang idea-idea atau ilham-ilham yang tak dapat dijadikan sebagai karya. Beliau namakan ‘awan terus bermendung tapi hujan tak juga turun’.

Membaca buku ini seolah-olah membaca pembikinan setiap  karya yang pelbagai ragam dan corak itu.  Terasa bagai mahu mencari kesemua karya-karya yang beliau sebutkan itu. Andai masa mengizinkan, saya bercadang  menyenaraikan kesemua karya yang beliau sebutkan dalam buku ini. Insyaallah.  Lantas menjadikan ia satu koleksi peribadi.
Saya sarankan buku ini kepada semua peminat sastera serta semua lapisan masyarakat kerana ia bukan sekadar buku autobiografi namun ia lebih dari itu.

Sekian,
Haryati Abd Halim

No comments: