.

.

Sunday 4 March 2018

Cabaran Pertama - Biografi Gemilang Imam Muslim oleh Nik Nur Syafiqah


Buku: Biografi Gemilang Imam Muslim

Penulis: Dr. Muhammad Taufiq Abu Ali

Buku biografi ini dibahagikan kepada tiga bahagian.  Dimulai dengan penceritaan tentang latar belakang Imam Muslim dari awal kelahiran termasuk nasab keturunannya dan huraian mengenai Kitab Sahih. Turut diterangkan mengenai perjalanan hidup beliau dari aspek pekerjaan dan latar belakang pendidikan. Dalam bab ini penulis juga berjaya merungkai kekeliruan tentang persoalan sama ada kitab sahih Muslim mengumpulkan semua hadis sahih. Penulis juga menyatakan perbezaan pendapat mengenai jumlah sebenar hadis di dalam kitab tersebut. Setiap hujah penulis disertakan dengan huraian yang kukuh.
Kronologi kehidupan beliau disusun dengan teratur. Gaya bahasa yang digunakan menarik dan Bahasa yang digunakan adalah ringkas. Namun begitu masih terdapat lenggok Bahasa Arab yang dikekalkan sehingga memerlukan pengulangan bacaan sebelum isinya dapat difahami. Hal ini mungkin disebabkan faktor penterjemahan.
 Penulis menghuraikan setiap peristiwa dengan begitu terperinci. Hal ini dapat dilihat apabila penulis sentiasa memasukkan maklumat tambahan bagi individu yang turut terlibat dalam perjalanan hidup Imam Muslim. Sebagai contoh apabila diceritakan tentang guru-guru dan murid beliau, penulis tidak pernah ketinggalan untuk memasukkan tahun kewafatan individu tersebut termasuk kitab yang pernah dikarang. Petikan ayat dari al-Quran dan hadis juga sentiasa dinyatakan sumbernya.
                Bab kedua menjelaskan kaedah Imam Muslim dalam ilmu sanad. Penulis menerangkan dengan begitu mendalam tentang ketelitian Imam Muslim dalam menjaga sanad hadis agar dapat menghindari illah. Penulis juga memperincikan tujuan Imam Muslim menyebutkan beberapa sanad dan matan hadis dalam satu bab, antaranya adalah agar diketahui bilangan perawi hadis yang bersesuaian dalam satu matan.
                Di dalam bab ketiga penulis menghuraikan kaedah Imam Muslim dalam ilmu matan. Penulis membahagikan kaedah yang digunakan berdasarkan kepada kategori hadis seperti hadis mu’all, mushahhaf dan muharraf.
                Secara keseluruhannya, buku ini berjaya mencapai tujuan seperti yang dijanjikan oleh penulis dalam bahagian pendahuluan. Penulis juga berjaya menangkis kritikan terhadap hadis Sahih Muslim dengan hujah yang kukuh dan bernas.

No comments: