.

.

Sunday 31 December 2017

Cabaran 24 Jam - Tuesday With Morrie oleh Nasra

Tajuk : Tuesday with morrie
Penulis : Mitch Alborn
Muka surat : 201



Ini merupakan cabaran paling mencabar antara semua cabaran yang mencabar. Cabaran kali ini menilai komitmen dan disiplin sebagai seorang pembaca. Sebenarnya kita mampu untuk menghabiskan satu buku sehari sekiranya mempunyai disiplin diri dan keinginan yang padu. Tapi itulah masalahnya. Strategi yang saya gunakan pada kali ini adalah dengan menjauhi gadjet buat seketika. Saya lebih banyak menghabiskan masa membaca artikel-artikel secara online, status facebook, dan membuang masa secara tidak berfaedah. Pada waktu malam sebelum tidur saya gunakan masa tersebut dengan sebaiknya kerana mood membaca saya selalu datang pada waktu itu. Saya berjaya menghabiskan 2/3 bacaan pada malam sebelum tidur.

Cabaran kali ini saya memilih buku yang membicarakan tentang kehidupan dengan tajuk “Tuesday with Morrie” hasil karya Mitch Alborn. Buku ini pernah disarankan kepada saya oleh seorang senior ketika menyertai satu program bedah buku dan kebetulan pula menjumpai buku ini di perpustakaan. Saya telah mengetahui sedikit sebanyak tentang buku ini hasil penceritaan senior tersebut dan sejak mengetahui tajuknya, saya tertanya-tanya mengapa Tuesday dan siapa sebenarnya Morrie. Setelah memulakan bacaan, saya mendapat jawapan kepada persoalan saya. Tuesday merujuk kepada hari perjumpaan Morrie dan Mitch sejak dari zaman universiti sehingga menjelang hari-hari kematiannya dan Morrie adalah proffesor kepada Mitch.

Buku ini berkisarkan seorang murid dan guru. Seorang murid yang menjadi kesayangan gurunya, namun setelah tamat pengajian mereka terputus hubungan kerana kesibukan duniawi sehingga satu rancangan televisyen yang membawa kepada pertemuan kembali diantara dua orang ini. Professor Morrie telah disahkan menghidap satu penyakit yang membawa kelumpuhan dan seterusnya kematian, berjaya menarik minat sebuah rancangan televisyen terbuka untuk menemu ramah beliau kerana semangat hidup yang beliau ada.

Keadaan Morrie yang semakin lama semakin lemah dan lumpuh membuatkannya lebih banyak menggunakan masa yang ada untuk bercerita dan mendengar cerita daripada orang lain terutamanya Mitch. Morrie mengajarkan Mitch nilai-nilai kehidupan, motivasi dan nasihat mengenai hidup yang dijalani Mitch. Tentang penghargaan kepada kehidupan, cara menikmati kehidupan dan menggunakan nikmat hidup sebaiknya.

Buku ini membuka mata saya memandang nilai hidup dari satu sisi yang berbeza, iaitu ketika Morrie disahkan menghidap penyakit , Morrie merasakan dunia tidak bersimpati, semua masih kekal sama tidak ada yang berubah. Dengan itu , Morrie mengubah sudut pandangannya tentang hidup bahawa hidup perlu dinikmati dan akan berlalu tanpa menunggu sesiapa. Morrie begitu bersedia menunggu detik kematiannya memberi refleksi kepada saya bahawa persediaan untuk mati adalah makna kepuasan hidup. Mengetahui kita akan mati, akan memaksimakan fungsi kita sebenar sebagai manusia.

Nilai-nilai kehidupan begitu banyak diceritakan di dalam buku ini dan memberi inspirasi untuk sentiasa melihat hidup sebagai sesuatu yang indah. Melakukan kebaikan seperti memberi kegembiraan kepada orag lain adalah antara perkara yang indah. Buku tentang kehidupan yang baik untuk dijadikan bacaan semua. Morrie bertindak sebagai mentor kehidupan Mitch menunjukkan peranan seorang guru itu begitu penting dan tidak terbatas walaupun di luar bilik darjah. Guru yang memandu kehidupan.

Sayu mengenangkan detik kematian lebih-lebih lagi sekiranya tiada apa yang ditinggalkan sebagai kenang-kenangan mahupun panduan. Morrie berjaya meninggalkan sesuatu sebelum mati. Sesuatu yang ditulis oleh Mitch inilah peninggalan berharga Morrie.

Sebelum masuk ke kelas tengah hari itu, saya berjaya habiskan buku ini dengan masa berbaki beberapa minit sebelum cabaran berakhir. Satu kelegaan dan kepuasan apabila berjaya melawan diri sendiri dan tidak berlengah-lengah menghabiskan sesebuah buku. Tips utama untuk cabaran kali ini adalah dengan memilih buku yang sesuai dengan jiwa dan mudah difahami. Salah pilih buku, alamat mengulang lah cabaran ini. Ketebalan muka surat juga perlu diambil kira. Logiknya , buku yang mempunyai muka surat 300 lebih keatas akan memakan masa dua tiga hari untuk dihabiskan disamping perkara-perkara yang perlu diselesaikan seperti tugasan dan tutorial sebagai seorang pelajar misalnya. Pemilihan buku yang ringan dan santai akan membantu untuk kelancaran proses bacaan. 

Pada waktu sekolah menegah sewaktu diawal tingakatan 1, teknik bacaan pantas (speed reding) ada diajarkan dan saya akui menggunakan sedikit sebanyak kaedah itu dengan mengimbas beberapa perenggan yang tidak mempunyai “isi utama” dan memfokuskan kepada perenggan yang lain untuk tidak terlalu membuang masa dan memahami dengan baik cerita yang disampaikan. Dalam usaha menghabiskan muka surat yang ada, kefahaman adalah jauh lebih penting. Antara cabaran yang saya hadapi adalah ketika hendak menghabiskan 1/3 lagi baki muka surat yang ada kerana mood yang hilang setelah mengetahui pada penghujung cerita bahawa Morrie akan mati juga. Sebenarnya saya mengharapkan plot twist, Morrie akan sihat semula tetapi setelah menghabiskan 2/3 masih tidak kelihatan plot twist walaupun sedia maklum bahawa Mitch menulis buku ini kerana ingin mengabdikan pesanan dan detik bersama Morrie. Mengaharapkan keajaiban di situ haha. Tapi kepuasan tercapai apabila berjaya menghabiskan buku ini dan mengetahui siapa Peter sebenarnya kerana  Mitch seperti mendedikasikan buku ini untuk seseorang bernama Peter dan menulis “ Buat Peter ” pada muka surat terawal dan hanya memetik nama Peter pada lembaran-lembaran terakhir buku ini.

Akhirnya, dimana ada kemahuan, disitu ada jalan !


No comments: