Sunday, 31 December 2017

Cabaran Akhir - Ranjau Sepanjang Jalan oleh Nik Farez


Pembacaan pada 2017 agak rancak bagi  diri ini dengan adanya ‘group’ 32 BUKU 2017 yang dikelolakan oleh Buku Jalanan Titi. Sepanjang 2017 ini, buku terbaik yang dibaca ialah Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shahnon Ahmad. Walaupun sebelum ini,buku ini serng meniti dari bibir ke bibir oleh rakan-rakan sebaya, namun tidak pernah terdetik untuk mencari dan membaca buku ini sehinggalah saya diyakinkann oleh laman Goodreads yang meletakkan novel ini di tempat pertama dalam senarai 100 Novel Melayu yang Wajib Dibaca.

Disebabkan itu, saya berusaha mencari buku itu di perpustakaan dan menghabiskan bacaan kurang dari 24 jam dan sememangnya kedudukan novel ini di tempat pertama dibuktikan. Shahnon Ahmad sememangnya seorang yang bijak dan mahir dalam mengambarkan kesusahan, kemiskinan, dan kedaifan yang dialami oleh Lahuma sekeluarga dengan kata-kata kunci yang tersendiri. 

Novel yang  berlatarbelakangkan masyarakat petani ini secara tidak langsung telah menonjolkan jerit payah dalam menongkah kehidupan petani dengan begitu jelas sekali. Selain itu, Shanon juga telah menerapkan falsafah-falsafah kehidupan secara tidak langsung melalui novel ini seperti falsafah agama, nilai, pendidikan, kosmologi dan juga ekonomi. Plot yang digunakan begitu jelas sekali dan seakan-seakan semuanya bergerak dengan pantas dan tepat pada masanya. Segala kecelakaan yang menimpa keluarga Lahuma dan  Jeha diceritakan dengan penuh terperinci sehingga dapat meresap ke dalam jiwa dengan udah sekali. Dari peristiwa terpijak duri nibung sehinggalah kegilaan Jeha, Shahnon berjaya mencengkam perasaan melalui tulisan dengan begitu mudah. Unsur kekeluargaan yang digunakan mampu mendebarkan setiap jiwa yang membaca karya ini. 

Sungguh betapa keluarga dekat pada setiap jiwa manusia. Dan sememangnya, permainan watak perwatakan dalam novel ini dilakukan dengan begitu terperinci. Tidak keterlaluan jika saya katakan novel ini merupakan novel yang mengangkat setiap watak dengan begitu adil dan saksama. Tidak dapat dikesan penolakan dan pengetepian pada setiap watak. Jalinan peristiwa dan watak dilakukan dengan begitu indah sekali. Dari segi nilai pula, semestinya nilai kekeluargaaan berjaya diangkat sebagai nilai utama novel ini diikuti nilai budaya dan nilai masyarakat. Secara keseluruhannya, novel ini akan menggerakkan setiap jiwa yang membacanya. Oleh itu, Ranjau Sepanjang Jalan merupakan buku terbaik yang dibaca untuk tahun ini. Dan sesungguhnya Shahnon Ahmad merupakan  seorang  novelis yang berjiwa kedesaan dan kemasyarakatan. Terima kasih untuk Ranjau Sepanjang Jalan. Al-Fatihah.  

No comments: