.

.

Sunday 31 December 2017

Cabaran 24 Jam - Yang Nakal Nakal oleh Dieyana Ayuni

Untuk cabaran bacaan 24 jam saya pilih buku kompilasi cerpen karya Usman Awang yang diterbitkan oleh Fixi Retro, bertajuk Yang Nakal-Nakal.


Tajuknya sahaja dah nakal, pasti menarik minat saya baca buku ini laju-laju tanpa henti. Saya rasa saya memilih buku yang benar.

Baiklah. Saya mula membacanya pada jam 12.30 tengahari di terminal bas menunggu bas ke Kuala Lumpur dari Temerloh jam 1.30 petang. Jadi saya ada 45 minit untuk masuk tenggelam dalam buku itu. Kena set alarm, 15 minit terakhir itu adalah waktu untuk sedar dan kembali ke dunia nyata. Kalau tidak nanti saya terlepas bas. Kes bukan jarang-jarang terjadi.

Dalam masa 45 minit tersebut, saya berjaya menghabiskan 50 surat pertama. Saya tak pasti itu kelajuan yang laju atau perlahan bagi orang lain, tapi bagi saya sudah cukup laju. Jumlah kesemua mukasurat adalah 218. Jadi, saya sudah menghabiskan lebih kurang 1/4 buku pada jam pertama cabaran saya bermula. Oh mengagumkan!

Kemudian saya naik bas. Saya adalah antara manusia-manusia yang tidak terpilih untuk mempunyai bakat membaca dalam kenderaan. Jadi masa 2 jam dalam bas, saya hanya habiskan untuk tidur.

Setelah sampai di Kuala Lumpur, menuju ke KL Sentral menaiki monorel dari Titiwangsa sempat saya sambung sedikit lagi bacaan. Oh atas monorel boleh pula saya membaca. Mungkin kerana gegarannya kurang sedikit dari menaiki bas yang boleh buat saya pening lalu mual dan terpaksa muntah-muntah jika saya paksa diri juga membaca.

Oleh kerana ceritanya nakal, tak membosankan, maka saya senang hati membacanya. Setelah turun dari monorel pun saya berehat sebentar di bangku dalam mall Nu Sentral untuk menyambung bacaan, sementara menunggu kawan saya yang entah dimana-mana lagi.

Saya larut dalam bacaan sampailah saya disergah oleh kawan saya. Rasanya sudah banyak saya baca. Mungkin sudah separuh buku waktu itu. Sesudah kawan saya sampai, saya terpaksa fokus pada beliau. Takut nanti dia kata, "kau kalau jumpa aku pun nak baca buku, baik tak payah jumpa." Ok, maafkan saya cabaran 24 jam. Saya perlu mengalih perhatian sebentar.

Sampai ke tengah malam saya sudah tidak berpeluang untuk menyentuh buku itu kembali, oh saya mula risau. Mampukah saya habiskan sebelum jam 12.40 tengahari esok? 

Ok. Setelah sampai ke rumah kawan, setelah siap mandi, solat dan bersedia untuk tidur. Saya mengelak untuk melayani kawan saya punya pillow talk. Yalah. Sudah seharian bercakap kenapa kau tak sudah-sudah lagi mahu bercakap? Jadi, waktu-waktu sebelum saya lelapkan mata itu saya guna untuk menyambung lagi bacaan.

Bercakap soal teknik bacaan. Saya tak tahu apadia tu. Saya hanya baca. Buku cerpen. Habis satu cerpen, saya hadam sekejap, kemudian saya beralih ke cerpen lain. Rasa seperti lebih mudah berbanding baca novel panjang. Dia hanya perlu pemahaman yang pendek dan pantas. Saya juga tidak akan berhenti membaca selagi satu cerpen itu tidak saya habiskan. Jadi, pemaksaan jenis itu pun agak membantu saya membaca untuk habis, dan cepat habis.

Ok. Pagi itu saya bangun subuh awal. Supaya saya dapat habiskan buku itu selepas solat. Tetapi oh tidak.. Di 30 mukasurat terakhir saya kecundang dan kembali berdengkur. Jadi cerpen-cerpen terakhir itu saya habiskan diwaktu senggang semasa saya dan kawan saya menunggu makan tengahari di sebuah restoran. Saya minta izin pada kawan saya untuk habiskan buku itu kerana saya sedang dalam cabaran membaca buku dalam masa 24 jam dan dia membenarkan saya.

Alangkah sukanya hati saya dapat menamatkan cabaran itu walaupun di minit-minit terakhir. Saya rasa seperti memilih hari yang salah untuk mulakan cabaran itu kerana saya bertemujanji untuk berjimba bersama kawan. Tapi dalam kesibukan itu, ianya membuatkan saya sedar. Kalau saya sibuk pun saya masih dapat habiskan satu buku sehari, kenapa pula saya tak boleh buat benda yang sama di hari-hari yang tak sibuk. 

Oh rupanya saya mampu ya..

No comments: