.

.

Sunday 31 December 2017

Cabaran Akhir - oleh Dieyana Ayuni

Buku terbaik yang saya baca untuk 2017?

Kali ini saya pilih bacaan fiksyen. Kalau diikutkan saya bukanlah penggemar benar bacaan fiksyen ini. Tapi buku itu lain macam. 

Saya tercari-cari perkataan sesuai untuk menggambarkan buku itu. Apa yang menangkap jiwa saya untuk terlalu suka buku itu. Gaya tulisannya kah? Plot jalan ceritanya kah? Kesan humor, kesan sedih dan segala mainan perasaan dalam penceritaannya itu kah?

Yang pasti, penulisnya genius. Buku itu sangat sempurna bagi saya. Saya tercari-cari sompek dan bahagian buruk serta kesalahan dalam buku itu. Tidak ada. Masakan buku itu boleh sebegitu bagus? Atau saya yang tidak cukup ilmu untuk mengkritik buku? Ha ha ha.

Buku itu dihadiahkan kawan. Katanya itu buku lokal terbaik dia pernah baca. Saya pun wow! Hebat sangatkah? 

Saya cuba baca. Perenggan pertama pun dah buat hati saya menambat lekat pada buku itu. Kelakar. Kemudian saya terus dan terus dan terus membacanya.

Saya belum jumpa penulis yang menulis sebegini baik seperti dia. Maksud saya, cukup rencah. Otak saya merembes setiap kali saya baca fakta-fakta yang hebat dalam penceritaanya. Bukan semata cerita kosong. Dari cerita simbolik warna ke sejarah maharaja China, ah pendek kata macam sedang membaca penulis yang otaknya ada aplikasi google atau wikipedia. Hebat betul. Saya kagum dengan pengetahuan penulis. Mesti orangnya banyak mengembara.

Kemudian disulangi dengan lagu-lagu gurindam lama yang comel dan mencuit hati. Belum lagi banyak penggunaan tanda baca yang perlu dibaca mengikut apa yang penulis cadangkan supaya ceritanya kita faham, monolognya dapat ditangkap, ekspersinya dapat dibayang. Saya tak berhenti kagum pada penulisnya.

Buku itu buat saya conteng di setiap helaian mukasuratnya. Belum pernah saya baca buku fiksyen seperti membaca buku nota subjek pelajaran. Semua saya ambil serius. Saya rasa kalau saya jadi penulis, saya mahu menulis seperti dia. Walaupun ya, mungkin level dia terlalu tinggi buat saya, sekurang-kurangnya saya jadikan dia sebagai tanda ukur mungkin boleh membantu juga sedikit sebanyak penulisan saya.

Dalam buku itu. Mungkin ceritanya simple sahaja. Tapi jalan cerita, perasaan yang ada dalam itu. Diceritakan dengan gaya yang sangat memerhati, memahami dan mendalam terasa sampai sungguh dihati. Di waktu bahagian sedih itu, boleh meleleh airmata tanpa sedar. Apa cerita ini cerita yang penulis sendiri pernah alamikah? Kenapa begitu baik dia menulis? Seperti dia yang ditempat itu.

Apa lagi saya mahu kongsikan? Saya bimbang terberi spoiler. Haha. Maaf rakan-rakan sekalian. Rasanya kalian  perlulah membacanya sendiri. Kemudian nilailah.. Adakah saya terlalu memuji atau buku itu benar-benar bagus. Rasanya buku itu sahaja yang saya beri 5 bintang di Goodreads untuk tahun ini. Oh yaa.. Undian ramai pada buku itupun memang 5 bintang, nampaknya saya tidak bersendirian.

Kalau tak percaya, cubalah baca Dentang. Penulisnya Saharil Hasrin Sanin.


Sekian,
Terima kasih Buku Jalanan Titi.
Terima kasih cabaran 32 buku.

No comments: