.

.

Tuesday, 9 October 2018




Tajuk        : Bustan Al-Salatin
Publisher : DBP
Ulasan     : Ummi Abibah Binti Mohamad Adi


Bahawa membahasakan suatu kitab dengan bahasa Jawi padahal mengandungi perkataan segala yang mengediami tujuh petala langit & tujuh petala bumi. Dan mengatakan kelakuan segala raja-raja yang dahulu dan kemudian. Maka dijunjung fakir titah yang maha mulia serta pengetahuannya lagi kurang fahamnya pada bahasa Jawi pada hal berpegang ia kepada Tuhan yang menjadikan seru sekalian alam.”


Bustan al- Salatin merupakan hasil karya ulama terkenal Syeikh Nuruddin Al- Raniri yang dikarang di Acheh pada tahun 1638. Merupakan kitab yang menceritakan mengenai sejarah tampuk pimpinan kesultanan Acheh. Kitab ini ditulis atas perintah Sultan Iskandar Thani tidak lama selepas Syeikh Nuruddin menjejaki bumi Aceh. Ia juga dikenali sebagai teks kesusasteraan ketatanegaraan atau sastera adab yang mengetengahkan juga hal-hal lain yang berkaitan sejarah nabi, raja-raja yang adil & zalim, ilmu firasat dan ilmu tabib.

Dalam teks ini Syeikh Nuruddin menjelaskan jurai keturunan raja-raja Aceh yang memerintah daripada Sultan Ali Mughayat Syah hinggalah kepada Sultan Inayat Syah Zakiatuddin Syah. Penceritaan dengan cara yang ringkas  berkaitan raja- raja lain dan beliau lebih memfokuskan pada sistem pemerintahan Sultan Iskandar Thani & Sultan Tajul Alam. Hal ini mungkin disebabkan pengaruh dan baginda sediri adalah penaung yang melantik Syeikh Nuruddin sebagai ulama negara di Aceh. Ia juga dicatatkan jangka masa seseorang itu memerintah, sama ada pemerintahan itu berakhir kerana sultan dibunuh atau dijatuhkan dari takhta dan sebagainya.

Selain itu juga, kitab ini juga mengetengahkan peranan wanita dalam tampuk kepimpinan negara. Sultan Taj Al-Alam merupakan raja wanita pertama yang memerintah Acheh selepas kemangkatan Sultan Iskandar Thani. Menurutnya, raja wanita diukur berdasarkan aspek darah keturunan raja kerana berharta dan dihormati dalam kalangan masyarakat. Beliau tampak hebat dari segi adat dan kekayaan setelah mengambil alih tampuk pimpinan dari suaminya. Perkara ini berbeza dengan realiti sejarah kerajaan Acheh apabila dilihat negara seperti Pahang, Kedah & Perak yang ditakluk Acheh  dapat melepaskan diri. Hal ini membuktikan bahawa pemerintahan daripada raja perempuan adalah lemah.

 Keunggulan unsur sejarah dalam tulisan Syeikh Nuruddin diperkuatkan lagi dengan adanya unsur pentarikhan merangkumi catatan hari, bulan dan tahun untuk sesetengah peristiwa. Namun hal ini tidak konsisten kerana ada yang sekadar dicatatkan misalnya selepas zuhur, sebelum zuhur dan sebagainya.

Secara kasarnya, unsur ini lebih tepat merupakan unsur sejarah sosial. Dalam fasal ini adat isitiadat & peraturan tertentu dikaitkan dengan pemerintahan seseorang raja. Ia juga berkaitan samada pemerintahan tersebut tersusun atau tidak. Hal ini memberi gambaran yang seimbang tentang masyarakat yang terlibat.


Karya ini juga lebih banyak didokong penceritaannya menggunakan hadis-hadis, petikan-petikan daripada al-Quran serta penggunaan unsur nasihat. Pengajaran moral yang ingin disampaikan adalah amat ketara. Kisah-kisah yang disampaikan bukan semata-mata kerana ceritanya sahaja tetapi kerana pengajaran yang dapat diperoleh daripadanya.


TAJUK: REPUBLIK ATAU MONARKI
PENULIS : DR. HJ. O.K. RAHMAT
NEGARA; SINGAPURA
MUKA SURAT: 89 MUKA SURAT

Sebagai seorang pelajar dan pembaca yang jarang memilih isu politik atau Negara sebagai satu bahan bacaan, cabaran kali ini terasa begitu sukar. Namun sebagai langkah permulaan untuk seorang pembaca baru seperti saya, saya memilih buku “Republik atau monarki” sebagai bahan bacaan saya yang peroleh daripada perpustakaan UKM.

Buku ini walaupun hanya mempunyai kurang 100 lembar muka surat, namun sebagai seorang pembaca baru, setiap sisi muka surat ini memerlukan seseorang itu mempunyai satu daya tahan yang tinggi dalam menghabiskan bacaan sehingga ke akhir muka surat.

Secara asasnya buku ini merupaksan pengenalan asas system pemerintahan Islam sejak zaman Rasulullah sehingga hari ini. Namun lebih banyak penekanan diberikan pada zaman khulafa’ ar-rashidin iaitu empat khalifah tersebut.  Buku ini telah membawa para pembaca melihat sejauhmana kecenderungan agama Islam dalam sistem sebenar pemerintahan yang seharusnya diamalkan. Adakah dengan melaksanakan sistem republik ataupun monarki.
Disini juga penulis telah menyebut beberapa pemerintah yang cukup hebat pemerintahannya pada zaman selepas khalifah ar-rasyidin iaitu seperti Umar Abd Aziz, Harun Ar-Rasyid, Al-ma’mun, dan Sultan Salahuddin. Namun di antara semua itu, penulis melihat saidina Umar Al-Khatab sebagai ketua Negara yang paling ideal. Kerana kepada khalifah Umarlah, umat Islam memberi pujian mengenai keadilan, kerendahan hati, ketegasan, persamaan, persaudaraan, kesederhanaan dan ketakwaan kepada Ilahi. Betapa banyak kisah dan contoh yang penulis bawakan hingga membuatkan kita merasa rendah sekali amal dan pengorbanan kita selaku masyarakat bahkan dalam beramanah memimpin  diri sendiri.

Kemudian, buku ini turut membawakan kita satu mesej penting tentang lahirnya sistem monarki dalam Islam setelah kematian Saidina Uthman dan perlantikan Saidina Ali hingga membawa kepada pembunuhan saidina Ali itu sendiri. Iaitu diceritakan segalanya bermula ketika Muawiyyah memilih untuk mengangkat Yazid sebagai pemegang tampuk pemerintahan selepas beliau. Hal ini terlihat berbeza kerana kta dapat lihat bagaimana Negara Islam pada zaman khalifah Ar-Rasyidin telah banyak menggunakan bentuk republic.

Namun buku ini juga tidaklah sewenang-wenangnya menyokong dan menolak kewujudan monarki dan republik dalam meleraikan segala kemelut kemaslahan ummah. Apatah lagi rasulullah amat tegas dalam mengatakan betapa peri pentingnya sesuatu tampuk pemerintahan itu untuk mempunyai pemerintah. Monarki ataupun republik keduanya mengikut kemaslahatan ummah disetiap tempat tersebut. Seperti yang berlaku di Negara Pakistan yang kita kenal sebagai sebuah Negara republik sejak berkurun lamanya.

Apa yang paling penting, adalah mesej yang hendak dibawa oleh penulis adalah membawa para pembaca untuk teliti dalam pemilihan pemimpin.  Adalah wajib untuk ummat Islam melantik pemerintah mengikut  syarat-syarat yang ditentukan oleh undang-undang syariah. Apakah perlu seluruh wazir yang akan dilantik daripada orang islam atau mengikut kepakaran mereka. Semuanya telah dikupas dengan baik di dalam buku ini.

Tidak dapat dilupakan, bagaimana buku ini juga membawakan kita konsep syura, iaitu sistem yang diamalkan ketika zaman khalifah ar-rasyidin. Adakah sama dengan sistem demokrasi Barat yang diamalkan oleh majoriti Negara di seluruh dunia ketika ini.

Buku ini sangatlah perlu untuk kita baca dan hayati bersama. Bagi seseorang yang tidak mempunyai latar pengetahuan sejarah yang mendalam seperti saya . Adalah satu hal yang saya kira amat penting untuk kita pelajari asas pemerintahan menurut perspektif Islam ini dahulu sebelum kita mengkaji isu-isu yang lebih mendalam kelak. Kerana setiap sistem pemerintahan di dunia mempunyai satu sisi silang yang saling berkait rapat. 



Tajuk : Cantik Itu Luka
Penulis : Eka Kurniawan
Ulasan : Ummi Abibah


Di akhir masa kolonial, seorang perempuan dipaksa menjadi pelacur. Kehidupan itu terus dijalaninya hingga ia memiliki tiga anak gadis yang kesemuanya cantik. Ketika mengandung anaknya yang keempat, ia berharap anak itu akan lahir buruk rupa. Itulah yang terjadi, meskipun secara ironik ia memberinya nama si Cantik.

Lewat novel ini, Eka mengisahkan nasib anak-anak manusia dalam gelombang sejarah bangsa. Manusia-manusia yang telah menjadi korban kekuasaan dan ‘kutukan karma’. Lebih dari itu, lewat tokoh-tokohnya, Eka juga mendedahkan absurditas kecantikan yang bertengger di wajah perempuan. Kisah seorang perempuan cantik keturunan Belanda bernama Dewi Ayu yang menjadi korban kekejaman perang dan perebutan kekuasaan.

Eka bercerita menerusi teknik imbas kembali di mana bermulanya penceritaan apabila Dewi Ayu bangkit dari kubur. Lalu membawa pembaca mengimbas kembali peristiwa di zaman kolonial hingga pasca kemerdekaan. Menggabungkan politik, falsafah, sejarah, mistik dan erotis dalam sebuah naskah setebal 480 mukasurat. 

Gabungan fiksi dan realiti sekitar zaman kolonial yang menggabungkan penceritaan 5 keturunan Dewi Ayu. Terlalu banyak watak-watak baru yang dikembangkan, hampir separuh halaman buku hanya memperkenalkan watak-watak penting dalam naskah ini. Namun penulisan Eka mampu membuatkan pembaca terikat untuk terus meneruskan pembacaan. 

Eka menulis dengan gaya sastera klasik 
, namun ada beberapa imiginasi seksual yang terlampau di garap dalam naskah ini dan tidak sesuai dibaca semua peringkat umur. Walau bagaimana pun Eka berjaya membuat pembaca percaya, tidak semua cantik itu bahagia. Cantik itu luka.


Ulasan Buku Keempat Cabaran Buku Jalanan TITI
Tema: Novel dari Negara Seberang
Tajuk novel: Laskar Pelangi, Andrea Hirata
Mukasurat: 529
Cetakan: Mac 2016, Penerbit: Bentang, Indonesia


Novel Laskar Pelangi ini didedikasikan oleh penulis kepada kenangan beliau semasa belajar di SD Muhammadiyah, berlatarbelakangkan Pulau Belitong yang terletak di Sumatra, juga dikenali sebagai Pulau Timah, saking kayanya dengan hasil bumi terutamanya timah dan flora fauna yang memesonakan. Watak- watak utama yang terlibat terdiri daripada dua orang guru sekolah Bu Muslimah Hafsari (guru wanita satu-satunya yang mengajar dengan tekun, gigih dan semangat berapi walaupun dengan gaji hanya 15kilo beras setiap bulan, ayahnya pelopor sekolah Muhammadiyah di Belitong), Bapak Harfan Effendy Noor (kepala sekolah,merangkap paman Bu Mus), serta anak-anak sekolah kampung yang miskin yang nantinya membentuk laskar pelangi(gelar yang diraih dan diberikan oleh Bu Mus kepada mereka,kerana kegemaran mereka yang suka memerhatikan pelangi di bawah tempat mereka selalu bersidang, pohon Filicium): Aku(Ikal), Lintang( anak miskin, ayahnya nelayan tetapi genius, mandiri, tinggalnya di pesisir laut, puluhan kilometer dari sekolah, gigih mendapatkan pendidikan tanpa lelah berkayuh basikal puluhan kilometer setiap hari ke sekolah), Trapani, Mahar, Kucai, Sahara, Samson, A.Kiong, Syahdan dan Harun.

 Cerita pertualangan Ikal dan teman Laskar Pelangi sangat mengasyikkan, kerana tema kemiskinan tidak mengekang hak asasi manusia untuk mendapatkan pendidikan diangkat dengan sangat berani dan mengesankan bahawa hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Sungguhpun kebanyakan ibu bapa anak-anak ini adalah hanya buruh kilang timah, nelayan, petani, kuli kopra dan gudang beras, walaupun dengan berat hati untuk melepaskan anak-anak ke sekolah kerana anak-anak ini sepatutnya boleh membantu mencari pendapatan buat keluarga, tetapi atas dasar kesedaran bahawa pendidikan boleh membantu mereka keluar dari kemiskinan, mereka berteguh hati untuk menyekolahkan anak-anak mereka.

SD dan SMP Muhammadiyah sekolah Islam melarat, ibarat gedung kopra,menerima sepuluh orang pelajar ini dengan besar hati malah tidak mengenakan sebarang yuran sekolah, saking miskinnya sekolah ini,ia tak pernah dikunjungi pejabat, atap bocornya, berdinding papan, berlantaikan tanah, satu saat bila musim hujan turun, anak-anak protes kerana basah kuyup. Namun, Bu Mus dengan tenang menunjukkan gambar ruangan sempit, dikelilingi tembok tebal yang suram, gelap dan angker dan menceritakan bahawa disitulah sel penjara tempat Pak Karno menjalani hukuman di Bandung, dan di situlah beliau setiap hari belajar dan membaca buku dan beliau adalah salah satu orang tercerdas yang dimiliki bangsa ini. Saat itu, laskar pelangi sudah tidak protes malah semangat belajar meruap-ruap dan sehari pun tak pernah bolos ke sekolah.

Membaca pertualangan Laskar Pelangi mengembalikan begitu banyak nostalgia zaman kanak-kanak kepada saya. Terutamanya permainan yang dimainkan oleh Ikal dan teman-temannya, kerana musim ini gajet belum wujud. Daya kreativiti tingkat tinggi dan imaginasi diperlukan untuk menghiburkan diri dan mengisi masa lapang zaman indah kanak-kanak.Maka permainan main upih pinang di musim hujan, lawan biji getah, bermain sepak bola, membuat candi dari pasir, berenang di lumpur, memanjat gunung dan berteriak keras-keras tak keruan kepada hujan, langit dan halilintar seperti orang lupa diri. Hanya yang pernah melalui zaman ini,dapat mengetahui betapa menggembirakan hati walaupun hanya sekonyol bermain di sekeliling kampung. Ah, indahnya apabila dikenang semula!

Persahabatan Laskar Pelangi diuji lebih hebat lagi apabila sekolah mereka perlu bertanding melawan sekolah PN Timah swasta yang kaya di pertandingan perbarisan karnival sempena Hari Kebangsaan 17 Ogos dan pertandingan uji kecerdasan antara sekolah yang benar-benar menyentuh perasaan, apabila Mahar dengan daya kreativiti dan seni yang sukar dikalahkan, menyusun koreograf tarian dan kehidupan suku Afrika telah mengangkat nama sekolahnya sebagai juara setelah puluhan tahun pretasi dan nama sekolah mereka malap dan merudum. Lintang juga tidak kalah bersinar seperti bintang (maksud namanya dalam bahasa Jawa) dalam adu kecerdasan, dimana otaknya yang sungguhan genius terus-terusan menjawab soalan yang rata-rata sukar sehinggakan terjadi perdebatan hebat antara dirinya dan guru fizik terkemuka dari sekolah swasta. Lintang dan Mahar mengajar temannya bahawa semua orang mesti mempunyai impian dan cita-cita untuk menaklukkan kehidupan.

Semasa menikmati cerita Laskar Pelangi, saya tidak dapat tidak teringat akan karya anak tempatan yang bertajuk Kunang Pesisir Morten,oleh Raiha Bahaudin, yang juga menampilkan tema senada dengan Laskar Pelangi. Watak Dhiya, perempuan comot sembilan tahun dengan rambut gerbang, seorang pemikir visual yang genius disertai dengan Adi dan Limnya, sahabat karibnya, menelusuri pengembaraan asyik ke ceruk Kota Melaka dan menjejaki lukisan Monet dan menumpaskan pencuri berkaki ghaib, kedua-dua cerita mengangkat latar belakang pendidikan di kalangan rakyat miskin dan juga kemanisan dunia persahabatan di zaman kecil di samping pelbagai isu sosial berlatar belakangkan tahun 1970an yang masih relevan untuk renungan masyarakat kita pada hari ini.




Tajuk: Tuhan Maha Romantis
Penulis : Azhar Nurun Ala
Negara; Indonesia
muka surat:251

Membaca buku daripada negara seberang bukanlah suatu perkara asing dalam diri. Bahkan sebahagian besar bahan bacaan saya adalah daripada negara seberang iaitu khususnya Indonesia. Namun untuk kali ini, pertama kalinya saya membaca tulisan Tuan Azhar Nurun Ala. Kebetulan seorang teman telah menjual buku ini secara murah dalam talian.

Tuhan Maha Romantis. Satu tajuk yang kira sangat romantis dan manis terdengar di halwa telinga. Setelah menamatkan bahan bacaan buku ini benar-benar terasa begitu menyamankan dan amat berbeza dari novel cinta cliche yang sering kita baca, Bukan soal cinta islamik. Namun tentang perjuangan cinta, Perjuangan seorang anak muda yang mencintai gadisnya terlalu dalam tetapi Tuhan juga tidak pernah bosan menguji pemuda dan gadisnya.

Rijal Rafsanjani pemuda mentah yang berjinak terjatuh dalam lembah cinta namun terperangkap dalam ruang tanggungjawab yang baru sahaja dijejakkan, Laras bidadari tidak bersayap. Suaranya menggugah pemuda asing. Matanya redup menggugurkan jantung yang suci tanpa robekan dunia. Siapa sahaja tidak jatuh cinta pada gadis bersuara lunak ini. Gadis puisi juga sebuah senja yang mendamaikan. Dalam bertahun itu takdir seolah mengusik kedua mereka. Dipisahkan kemudian dipertemukan. Dipertemukan untuk kemudian dipisahkan sekali lagi. Jodoh, lima abjad yang seolah bermain tarik tali antara keduanya, Mereka bertahan kemudian berjuang dan kemudian terjelupuk dalam lembah persimpangan. Harus melepaskankah salah satu dari keduanya.

Puisi antara kedua mereka dibaca tanpa sering tahu itu adalah tentang kedua mereka. Mereka pasangan yang berjuang dalam prinsip sendiri. Tidak sekali membunuh perjuangan mereka kerana kehendak hati yang berbolak balik. Ini bukan kisah picisan, tetapi lembar kata renungan buat orang-orang yang sering dalam persimpangan. Keputusan mungkin tidak serupa bagi tiap manusia namun cukup sebagai panduan yang mendamaikan. Seperti pesan bapak pada rijal

"Mencintai itu bukan cuma soal rasa suka atau ketertarikan. Bukan cuma soal kekaguman. Lebih dari itu, mencintai itu sebuah keputusan. Keputusan besar"

Satu hal yang aku pasti, buku ini nilainya bukan pada mahalnya harga kulit buku namun tentang inti kata yang menyedarkan pemuda. Setiap kali aku mengingati kisah mereka, kita jadi tersedar cinta bukan serupa seperti dalam novel. Yang duri terasa bagai mawar mewangi. Indah dan terasa cukup melenakan. Dan tanpa pernah habis, kisah mereka juga menuntun manusia untuk memaknai kata sebenar doa dan istikharah. Aku tidak tahu mengapa, tetapi kerana aku dengan mudah sering tersihir dengan dengan penulis dari seberang. Pemilihan kata mereka cukup sederhana tetapi mengesankan jiwa. Tidak pernah berhenti pasti ada rangkap ayat yang membuatkan kita memilih untuk berfikir dengan rela. Tulisan yang saya kira hampir sempurna walau tidak menyeluruh. Buku ini bukan jawapan kepada persoalan cinta pastinya tetapi mampu membuat kita tanpa ragu untuk tahu jalan yang bagaimana seharusnya kita pijak anda teruji hal yanbg serupa dalam berjuang. Kerana cerita-cerita sebeginilah yang akan membantu. Buku ini walaupun terlihat tebal namun kita pasti mampu menyudahkan bacaan dalam 3 hari atau kurang. Kerana berhenti di pertengahan jalan pembacaan adalah suatu pilihan yang cukup sukar sekali. Setiap bab bersatu menyeru dihabiskan hingga nokhtah terakhir. Kita pastinya memilih bertahan hingga bertemu jawapan cerita mereka di akhir bab. Tuhan tidak mungkin sengaja mempertemukan kemudian memisahkan. Pasti untuk menjawab segala tentang diri kita dan soal apa yang sebenar kita perjuangkan. Bukankah Tuhan tidak mentakdirikan sesuatu itu dengan sia-sia. Pastinya.

Sunday, 15 July 2018



JUDUL : TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK
PENULIS : HAMKA
PENERBIT : P.T BULAN BINTANG
ULASAN OLEH : UMMI ABIBAH BINTI MOHAMAD ADI

“bahawa banyak orang besar-besar yang kalah dalam percintaan, lantaran kekalahan itu dia ambil jalan lain, maju dalam politik, dalam mengarang syair, mengarang buku dalam perjuangan hidup, sehingga dia naik ke atas puncak yang tinggi, yang perempuan itu wajib menengadah dari bawah. Dengan itu; biar hatinya sendiri hancur dalam kekecewaan yang pertama, maka orang banyaklah yang mengambil hasilnya”.

Siapa sangka seorang ulama mampu menulis kisah cinta antara dua insan bersandarkan erti cinta, darjat serta keturunan. Kisah cinta yang tidak kesampaian sekitar latar masa 1930an dikarang dengan laras bahasa tinggi dan penuh kelembutan.
Mengisahkan kegagalan percintaan Zainuddin dan Hayati yang terhalang dek kerana perbezaan adat dan suku kaum. Latar tempat bermain sekitar Sumatera, Padang Panjang, Surabaya dan beberapa tempat lain turut membawa pembaca menyelami perjalanan kehidupan Zainuddin sebagai anak kacukan serta kehidupan Hayati seorang wanita Minang tulen.
Menjadi anak kacukan ibarat satu sumpahan yang terpaksa dihadapi oleh Zainuddin. Pelbagai diskriminasi daripada konservatif Minang terpaksa dihadapi sehingga akhirnya beliau menghadapi kekecewaan yang terlampau. Lantaran kekecewaan membawa Zainuddin dan Muluk membina kehidupan baru di rantau orang. Klimaks penceritaan apabila Zainuddin kembali menghadapi konflik dengan perasaan rindu dan dendam di puncak kejayaan dalam kehidupan beliau.
Secara umum ramai yang mengenali Hamka selaku penulis karya ini sebagai ulama Islam. Beliau bijak mengetengahkan kritikan terhadap diskriminasi yang berlaku kepada orang bercampur bangsa (baca: kacukan) di dalam masyarakat  pada masa itu dalam bentuk kisah cinta epik. Naskah ini turut mengangkat isu kerosakan sistem feudalisme & keturunan adat bersuku di alam melayu. Jika kebanyakan masyarakat umumnya lebih kepada adat patrilineal, berbeza dengan masyarakat Minang yang mengangkat adat matrilineal.
Selain kritikan terhadap konsep sub-eknisiti yang diamalkan dalam sesetengah masyarakat, Hamka turut menyelitkan nasihat serta kritikan sosial dalam hal-hal percintaan. Cinta merupakan antara ujian terbesar manusia. Dengan cinta boleh menjadi kekuatan, serta waktu yang sama menjadi kelemahan. Hal ini dapat dilihat dengan perkembangan karakter Zainuddin melalui garis masa dalam menempuhi fasa kedewasaan. Bermula dengan keperibadian lelaki yang berilmu tetapi lemah kerana lemas dalam permainan jiwa namun terus bangkit menjadi orang besar serta penulis yang dikenali. Beruntungnya beliau juga kerana didampingi sahabat yang turut membantu mengemudi dan menguasai pergolakan yang berlaku dalam diri sehingga akhirnya beliau mampu berdiri teguh.

Keterbukaan dan kebijaksaan Hamka dalam mengusulkan kritikan yang rasional, logik serta terkandung falsafah digarap menjadi karya “masterpiece” amat sesuai untuk dibaca melangkaui zaman.
The Pursuit of Happiness

The Pursuit of Happiness
Penulis : Douglas Kennedy
Penerbit:  Arrow Books
Halaman: 508
Tahun diterbitkan: 2002
Nombor ISBN: 983-124-273-4
Genre: Fiksyen

Cabaran ketiga Buku Jalanan Titi.
Buku yang difilemkan@ serius.

Mengintai-intai rak buku, masa tu terlintas Filem Budak Setan, Ombak Rindu.

Saya terpandang buku ini. Pernah menonton filem ini beberapa tahun lalu. Sangat menginspirasikan. Terbayang- terbayang di mata kegigihan watak utamanya.  Kemudian, saya temui buku ini ketika jualan gudang di Ampang Park. Alhamdulillah, saya berjaya menghabiskannya  walaupun mengambil masa sepurnama lamanya.  Namun, impian saya tersasar.  Tajuk buku sama namun penulisnya berbeda.  Ceritanya ternyata berlainan.  Namun, buku ini tetap istimewa.  Tetap memberi inspirasi. 

Ada dua watak utama dalam cerita ini.  Ia mengenai Kate Malone berlatarkan tahun 1990-an di negeri pakcik Sam.  Kate yang bersedih dengan pemergian bonda tercinta namun dikejutkan dengan kehadiran sebuah manuskrip.  Apa kandungan manuskrip tersebut?

Watak kedua, Sara Smythe, saya kira ini watak utama.   Ia berlatarkan tahun 1940-an di Amerika. Kisah bagaimana Sara bertemu dengan Jack seorang penulis dalam angkatan tentera Amerika  di malam Krismas lantas menjalin hubungan.  Apa yang mengejutkan keesokan harinya Jack terpaksa meninggalkan tanahair untuk bertugas di seberang laut.  Mereka berjanji untuk terus berhubungan namun janji tinggal janji.  Jack hilang begitu sahaja tanpa dapat dikesan.  Sara yang merupakan penolong editor sebuah majalah larut dalam kesedihan yang berpanjangan.  Beliau akhirnya direhatkan sementara dan dan bercuti di sebuah pulau.  Di sana, beliau cuba meluahkan kesedihannya menerusi cerpen kisah cinta yang tidak kesampaian dan itulah titik tolak kerja beliau sebagai kolumnis majalah tersebut.

Kemudian, Sara berkenalan, jatuh cinta dengan George Grey.  Nasib tidak menyebelahinya, Sara mengandung sebelum khawin dan terpaksa berkhawin dengan lelaki tersebut.  Pada tahun 1940-an di Amerika, kehamilan di luar nikah bukanlah sesuatu yang dapat diterima oleh masyarakat di sana.  Lantas, ia menimbulkan ketegangan hubungan antara beliau dan mertuanya.  Nasib tidak menyebelahi Sara, Sara keguguran dan itu dijadikan alasan untuk mengakhiri perkhawinan yang tidak menggembirakannya.

Suatu pagi di tahun baru, Sara dipertemukan kembali dengan Jack. Namun dalam suasana berbeza.  Jack bersama isteri dan seorang anak lelaki yang berumur 3 tahun.  Kemudian, mereka menjalin hubungan dan lebih tepat lagi, mereka bersekedudukan.  Ia berjalan seberapa lama hinggalah suatu tragedi berlaku.  Apakah tragedi tersebut. Apa yang menyebabkan Sara nekad melupakan Jack.  Apa hubungan Sara dan kate.  Apa kandungan manuskrip yang diterima oleh Sara.  Semuanya terjawab dalam buku ini.


Dua perkara yang saya belajar.  Pertama, ikatan perkhawinan adalah sesuatu yang sentiasa suci dan dipandang tinggi.  Begitu juga di  Barat pada tahun-tahun selepas perang Dunia Kedua.  Buktinya, mereka memandang rendah wanita yang mengandung tanpa nikah dan mereka yang bersekedudukan atau menjalin hubungan sulit.  Juga bila bercakap tentang soal hati, sesuatu yang sulit untuk diperkatakan.  Cinta ini umpama cerpen Irisan-Irisan Hati dalam Kumpulan cerpen Kekasih Sam Bo Po.  Ada yang hanya mampu menyentuh fizikalnya namun tidak hatinya dan ada yang dapat memiliki hati seseorang namun tidak fizikalnya.  Ia dikira bonus sekiranya mampu memiliki keduanya sekaligus.

Kedua, kebahagian itu tercipta dari dalam diri.  Pastinya dengan berpandukan Quran dan Sunnah.  Hidup ini pilhan.  Saya suka bagaimana  Sara bangkit melawan kesedihan dan ujian yang melanda dirinya.  Dengan caranya yang tersendiri namun sebagai pembaca ia mengesankan.  Beliau yang dikurniakan bakat dan kemahiran menulis menjadikan penulisan sebagai terapi untuk keluar dari kesedihan tersebut.  Mungkin buat saya  yang baru belajar bertatih menulis ini boleh menceduk idea tersebut.  Tulis apa saja yang terlintas di minda dan kemudian  lakukan proses suntingan.  Juga pesanan penulis agar belajarlah memaafkan, kerana ia antara syarat utama untuk meraih kebahagian.  Seperti tajuk lagu nyanyian Nora, Kemaafan Dendam Terindah.

Saya cadangkan buku ini buat mereka yang mencari kelainan dalam novel.  Ia bukanlan kisah cinta yang  pengakhirannya sentiasa bahagia selamanya namun ia berpaksikan realiti hidup kita.  Ada suka, duka, tawa dan air mata.  Ya, hidup ini tak selamanya indah namun tetap ada keindahannya dalam setiap ujian yang kita tempuhi.

Sekian,
Haryati