.

.

Monday 16 April 2018


              Tiada ungkapan yang lebih bermakna ke atas junjungan mulia S.A.W. melainkan selawat. Salam dan ucapan sejahtera ke atas Baginda, serta ahli keluarganya, para sahabat, dan para tabi’in. Sungguh, saya mengenali asas sirah, perkataan Arab yang bermaksud sejarah, sewaktu di zaman persekolahan rendah pada sesi mata pelajaran Pendidikan Agama Islam.  Kemudian, saya mengetahui lebih lanjut mengenai perihal kehidupan Baginda melalui subjek Sejarah dan Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah (Kini disebut Usuluddin).
              Namun, sudah beberapa kali saya membaca buku sejarah Nabi, dan inilah kali pertama saya berpuas hati. Gembira, tertawa, hiba dan terkasima. Kandungan buku yang ditulis oleh Syeikh Abul Hasan Ali Al-Hasany An-Nadwy bertajuk As-Sirah An-Nabawiyah (ASAN) ini sungguh mengujakan. Buku ini sungguh lengkap dengan fakta yang sahih, malah padat dengan maklumat yang terperinici, hasil kajian dan rujukan beberapa kitab sirah, hadith dan semestinya daripada al-Quran Karim sendiri.
              Buku ini diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia yang diberikan tajuk Riwayat Hidup Rasullulah S.A.W. oleh saudara Bey Arifin, seorang linguistik dan pencinta sejarah. Bahkan buku ini terpilih untuk dihadiahkan ke seluruh dunia oleh Yang Mulia Al-Amir Al-Mufdiy As-Syaikh Halifah Bin Hamid Al-Tsany, Kepala Negara (merujuk kepada Perdana Menteri) Qatar bersempena Muktamar Ketiga Sirah dan Sunnah Nabawiyyah di Qatar. Menteri Agama Qatar, Abdullah Bin Ibrahim Al-Anshari berpendapat bahawa buku ini harus dibaca oleh setiap Muslim, sebagai satu pendekatan untuk lebih mencintai Rasulullah S.A.W.
              Buku ini telah dicetak sebanyak tiga kali; iaitu pada tahun 1983, 1984 dsn 1986 oleh Pustaka Nasional Pte Ltd yang bertapak di Singapura. Sesiapa sahaja yang cuba membaca buku ini buat kali pertama akan menemui tiga halangan utama: Halaman bukunya yang tebal, penggunaan bahasa Indonesia dan keseluruhan kandungan buku ini bersifat ilmiah, yakni tiada bahan rangsangan, seperti gambar, carta atau ilustrasi. Ketekunan dan kesungguhan sangat diperlukan seorang pembaca untuk meneliti satu persatu dan menghayati kisah hidup Rasulullah S.A.W.
              Perkara yang membezakan buku ASAN dengan buku biografi Nabi Muhammad S.A.W adalah penggunaan ayat yang mudah difahami, tidak bersifat memaksa dan mempunyai sub-bab – pada setiap beberapa halaman. Penceritaan melalui sudut pandang ketiga yang bersahaja menjadikan bacaan ASAN lebih feeling – seperti pembaca berada di dalam cerita tersebut.
              ASAN terbahagi kepada lima bahagian utama dan disusun rapi ke dalam 25 bab. Lima bahagian yang dimaksudkan adalah: Zaman Pra-Kenabian, Zaman Kerasulan, Peperangan pada zaman Nabi Muhammad, Waktu Terakhir Baginda serta Perihal Isteri dan Akhlak Baginda. Zaman Pra-Kenabian bermula dengan kehidupan dan sifat masyarakat pada Zaman Jahiliyah, Jazira Arabia sebelum kedatangan Islam, faktor pemilihan Mekah sebagai pusat pengembangan syiar Islam, keadaan Mekkah pasca kelahiran Rasullulah S.A.W. dan kehidupan baginda sewaktu kecil. Zaman Kerasulan menceritakan serba sedikit tentang permulaan syariat Islam yang diutuskan Allah ke atas Nabi Muhammad S.A.W., cabaran dan dugaan yang dihadapi Baginda ketika berdakwah di Mekkah, hijrah ke Taif dan Madinah, serta peristiwa yang mendukacitakan buat Baginda. Kesemua perkara ini memberikan emosi dan impak yang mendalam kepada pembaca, kerana pembaca akan dibawa ke masa silam dan merasai pengalaman sebegitu melalui susunan perkataan dan frasa yang menyentuh jiwa.
              Peperangan pada zaman Nabi terbahagi kepada dua bentuk: serangan ke atas kaum yang ingkar setelah diberikan peluang untuk berdamai atau sebagai pertahanan diri. Antara peperangan yang penting pada waktu itu adalah Perang Badar, Perang Uhud, Perang Khandaq, Perang Bani Quraizah dan Perang Tabuk. Pembaca dapat mengetahui sebab-akibat peperangan, serta cara untuk menyelesaikan konflik tanpa perlu bermandikan darah. Penaklukan kota Mekah dibuat setelah mendapat wahyu daripada Tuhan. Selain itu, Nabi Muhammad S.A.W. menghantar utusan atau mengirim surat kepada para pembesar sekitar kawasan Tanah Arab untuk mengajak ke arah kebaikan. Perhatikan bagaimana setiap pembesar memberi jawapan kepada baginda, dan bagaimana baginda membalas jawapan tersebut. Waktu Terakhir baginda sungguh menyayat hati, bahkan saya sendiri terpaksa menangguhkan pembacaaan selama beberapa hari. Hajjatul Wida’ dan saat kewafatan Nabi diceritakan dengan teliti, sehinggakan pembaca dapat merasakan suasana ketika itu.
              Bahagian terakhir buku ini mencerita tiga perkara perihal Nabi Muhammad S.A.W.; keluaraga, perwatakan dan jasa Baginda yang boleh dicontohi. Perihal isteri dan cucu-cucu Baginda dapat diketahu .Dengan mengenali sifat mulia Rasulullah kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira asal usul dan agama, pembaca dapat mencontohi keperibadian Baginda seterusnya mempraktikkan ia di dalam kehidupan seharian.
              Buku ini berusia lebih kurang 30 tahun dan langka kerana bahasa yang digunakan bersifat klasik. Penggunaan kamus amat membantu, selain bertanya kepada mana-mana rakan yang fasih berbahasa Indonesia. Secara jujurnya, membawa buku sejarah setebal 545 muka surat tidak mudah, tetapi dengan kerajinan dan kesungguhan ingin mengenali dan menghayati perihal kehidupan Nabi Muhammad S.A.W. dari Tahun Gajah hingga saat Nabi menyebut kalimah yang sama berulang tiga kali, sesiapa sahaja pasti tersentuh dan menangisi permergian Baginda. ASAN seharusnya dibacakan kepada golongan muda, khususnya kepada kanak-kanak dan remaja, agar mereka lebih mengenali dan mencintai Rasul Junjungan S.A.W.
              Barangkali semasa resensi ini ditulis, sudah ada terjemahan ke dalam bahasa Melayu dan dicetak untuk edisi kemas kini, beserta ejaan baru. Satu penambah baikan ke atas buku ini adalah dengan menyediakan ruang Rujukan/ Biblografi pada pengujung buku, sebagai satu penghargaan penulis ke atas sumber yang dikajinya sepanjang penghasilan buku bersejarah ini. Jika anak muda masa kini dapat membaca novel cinta cintun atau drama setebal 600 muka surat, semestinya mereka dapat membaca karya ini – jika diberikan tunjuk ajar dan berguru.
Sekian.
Terima kasih.
Haniff.