.

.
Showing posts with label buku filem. Show all posts
Showing posts with label buku filem. Show all posts

Sunday, 15 July 2018



JUDUL : TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK
PENULIS : HAMKA
PENERBIT : P.T BULAN BINTANG
ULASAN OLEH : UMMI ABIBAH BINTI MOHAMAD ADI

“bahawa banyak orang besar-besar yang kalah dalam percintaan, lantaran kekalahan itu dia ambil jalan lain, maju dalam politik, dalam mengarang syair, mengarang buku dalam perjuangan hidup, sehingga dia naik ke atas puncak yang tinggi, yang perempuan itu wajib menengadah dari bawah. Dengan itu; biar hatinya sendiri hancur dalam kekecewaan yang pertama, maka orang banyaklah yang mengambil hasilnya”.

Siapa sangka seorang ulama mampu menulis kisah cinta antara dua insan bersandarkan erti cinta, darjat serta keturunan. Kisah cinta yang tidak kesampaian sekitar latar masa 1930an dikarang dengan laras bahasa tinggi dan penuh kelembutan.
Mengisahkan kegagalan percintaan Zainuddin dan Hayati yang terhalang dek kerana perbezaan adat dan suku kaum. Latar tempat bermain sekitar Sumatera, Padang Panjang, Surabaya dan beberapa tempat lain turut membawa pembaca menyelami perjalanan kehidupan Zainuddin sebagai anak kacukan serta kehidupan Hayati seorang wanita Minang tulen.
Menjadi anak kacukan ibarat satu sumpahan yang terpaksa dihadapi oleh Zainuddin. Pelbagai diskriminasi daripada konservatif Minang terpaksa dihadapi sehingga akhirnya beliau menghadapi kekecewaan yang terlampau. Lantaran kekecewaan membawa Zainuddin dan Muluk membina kehidupan baru di rantau orang. Klimaks penceritaan apabila Zainuddin kembali menghadapi konflik dengan perasaan rindu dan dendam di puncak kejayaan dalam kehidupan beliau.
Secara umum ramai yang mengenali Hamka selaku penulis karya ini sebagai ulama Islam. Beliau bijak mengetengahkan kritikan terhadap diskriminasi yang berlaku kepada orang bercampur bangsa (baca: kacukan) di dalam masyarakat  pada masa itu dalam bentuk kisah cinta epik. Naskah ini turut mengangkat isu kerosakan sistem feudalisme & keturunan adat bersuku di alam melayu. Jika kebanyakan masyarakat umumnya lebih kepada adat patrilineal, berbeza dengan masyarakat Minang yang mengangkat adat matrilineal.
Selain kritikan terhadap konsep sub-eknisiti yang diamalkan dalam sesetengah masyarakat, Hamka turut menyelitkan nasihat serta kritikan sosial dalam hal-hal percintaan. Cinta merupakan antara ujian terbesar manusia. Dengan cinta boleh menjadi kekuatan, serta waktu yang sama menjadi kelemahan. Hal ini dapat dilihat dengan perkembangan karakter Zainuddin melalui garis masa dalam menempuhi fasa kedewasaan. Bermula dengan keperibadian lelaki yang berilmu tetapi lemah kerana lemas dalam permainan jiwa namun terus bangkit menjadi orang besar serta penulis yang dikenali. Beruntungnya beliau juga kerana didampingi sahabat yang turut membantu mengemudi dan menguasai pergolakan yang berlaku dalam diri sehingga akhirnya beliau mampu berdiri teguh.

Keterbukaan dan kebijaksaan Hamka dalam mengusulkan kritikan yang rasional, logik serta terkandung falsafah digarap menjadi karya “masterpiece” amat sesuai untuk dibaca melangkaui zaman.
The Pursuit of Happiness

The Pursuit of Happiness
Penulis : Douglas Kennedy
Penerbit:  Arrow Books
Halaman: 508
Tahun diterbitkan: 2002
Nombor ISBN: 983-124-273-4
Genre: Fiksyen

Cabaran ketiga Buku Jalanan Titi.
Buku yang difilemkan@ serius.

Mengintai-intai rak buku, masa tu terlintas Filem Budak Setan, Ombak Rindu.

Saya terpandang buku ini. Pernah menonton filem ini beberapa tahun lalu. Sangat menginspirasikan. Terbayang- terbayang di mata kegigihan watak utamanya.  Kemudian, saya temui buku ini ketika jualan gudang di Ampang Park. Alhamdulillah, saya berjaya menghabiskannya  walaupun mengambil masa sepurnama lamanya.  Namun, impian saya tersasar.  Tajuk buku sama namun penulisnya berbeda.  Ceritanya ternyata berlainan.  Namun, buku ini tetap istimewa.  Tetap memberi inspirasi. 

Ada dua watak utama dalam cerita ini.  Ia mengenai Kate Malone berlatarkan tahun 1990-an di negeri pakcik Sam.  Kate yang bersedih dengan pemergian bonda tercinta namun dikejutkan dengan kehadiran sebuah manuskrip.  Apa kandungan manuskrip tersebut?

Watak kedua, Sara Smythe, saya kira ini watak utama.   Ia berlatarkan tahun 1940-an di Amerika. Kisah bagaimana Sara bertemu dengan Jack seorang penulis dalam angkatan tentera Amerika  di malam Krismas lantas menjalin hubungan.  Apa yang mengejutkan keesokan harinya Jack terpaksa meninggalkan tanahair untuk bertugas di seberang laut.  Mereka berjanji untuk terus berhubungan namun janji tinggal janji.  Jack hilang begitu sahaja tanpa dapat dikesan.  Sara yang merupakan penolong editor sebuah majalah larut dalam kesedihan yang berpanjangan.  Beliau akhirnya direhatkan sementara dan dan bercuti di sebuah pulau.  Di sana, beliau cuba meluahkan kesedihannya menerusi cerpen kisah cinta yang tidak kesampaian dan itulah titik tolak kerja beliau sebagai kolumnis majalah tersebut.

Kemudian, Sara berkenalan, jatuh cinta dengan George Grey.  Nasib tidak menyebelahinya, Sara mengandung sebelum khawin dan terpaksa berkhawin dengan lelaki tersebut.  Pada tahun 1940-an di Amerika, kehamilan di luar nikah bukanlah sesuatu yang dapat diterima oleh masyarakat di sana.  Lantas, ia menimbulkan ketegangan hubungan antara beliau dan mertuanya.  Nasib tidak menyebelahi Sara, Sara keguguran dan itu dijadikan alasan untuk mengakhiri perkhawinan yang tidak menggembirakannya.

Suatu pagi di tahun baru, Sara dipertemukan kembali dengan Jack. Namun dalam suasana berbeza.  Jack bersama isteri dan seorang anak lelaki yang berumur 3 tahun.  Kemudian, mereka menjalin hubungan dan lebih tepat lagi, mereka bersekedudukan.  Ia berjalan seberapa lama hinggalah suatu tragedi berlaku.  Apakah tragedi tersebut. Apa yang menyebabkan Sara nekad melupakan Jack.  Apa hubungan Sara dan kate.  Apa kandungan manuskrip yang diterima oleh Sara.  Semuanya terjawab dalam buku ini.


Dua perkara yang saya belajar.  Pertama, ikatan perkhawinan adalah sesuatu yang sentiasa suci dan dipandang tinggi.  Begitu juga di  Barat pada tahun-tahun selepas perang Dunia Kedua.  Buktinya, mereka memandang rendah wanita yang mengandung tanpa nikah dan mereka yang bersekedudukan atau menjalin hubungan sulit.  Juga bila bercakap tentang soal hati, sesuatu yang sulit untuk diperkatakan.  Cinta ini umpama cerpen Irisan-Irisan Hati dalam Kumpulan cerpen Kekasih Sam Bo Po.  Ada yang hanya mampu menyentuh fizikalnya namun tidak hatinya dan ada yang dapat memiliki hati seseorang namun tidak fizikalnya.  Ia dikira bonus sekiranya mampu memiliki keduanya sekaligus.

Kedua, kebahagian itu tercipta dari dalam diri.  Pastinya dengan berpandukan Quran dan Sunnah.  Hidup ini pilhan.  Saya suka bagaimana  Sara bangkit melawan kesedihan dan ujian yang melanda dirinya.  Dengan caranya yang tersendiri namun sebagai pembaca ia mengesankan.  Beliau yang dikurniakan bakat dan kemahiran menulis menjadikan penulisan sebagai terapi untuk keluar dari kesedihan tersebut.  Mungkin buat saya  yang baru belajar bertatih menulis ini boleh menceduk idea tersebut.  Tulis apa saja yang terlintas di minda dan kemudian  lakukan proses suntingan.  Juga pesanan penulis agar belajarlah memaafkan, kerana ia antara syarat utama untuk meraih kebahagian.  Seperti tajuk lagu nyanyian Nora, Kemaafan Dendam Terindah.

Saya cadangkan buku ini buat mereka yang mencari kelainan dalam novel.  Ia bukanlan kisah cinta yang  pengakhirannya sentiasa bahagia selamanya namun ia berpaksikan realiti hidup kita.  Ada suka, duka, tawa dan air mata.  Ya, hidup ini tak selamanya indah namun tetap ada keindahannya dalam setiap ujian yang kita tempuhi.

Sekian,
Haryati
Tajuk : Novel Hafalan Solat Delisa
Penerbit : Republika
Penulis : Tere liye
Muka surat : 266 ms


Pada musim cabaran kali ini saya memilih karya tere liye kerana pastinya sebahagian besar masyarakat pernah menonton adaptasi novel Hafalan Solat Delisa yang muncul di kata televisyen suatu ketika dahulu. Dan kini boleh juga dimuat turun di laman sesawang lain. 

Daripada satu sisi pandangan kecil saya, dapat dilihat bagaimana terdapat beberapa perbezaan yang dapat dikenal pasti seperti perubahan watak nama yang diketengahkan  di dalam movie iaitu misalnya penampakan watak Kak Ubai yang dilihat berbeza dalam beberapa segi iaitu kewujudan beliau di beberapa latar tempat dilihat tiada ketika dalam filem bahkan nama Kak Ubai itu sendiri juga telah diubah. 

Jika diberikan pilihan dalam memilih antara filem dan novel saya lebih menyarankan untuk membaca novel untuk mendapat kesan emosi yang lebih mendalam kerana tulisan karya tere liye tidak asing dalam memberikan para pembaca magis yang menyentuh perasaan dalam apa pun buku yang beliau hasilkan.

Apatah lagi novel ini amat berkait rapat dengan tragedi tsunami yang menimpa acheh pada Disember 2004. Karya ini dihasilkan kerana tragedi tersebut. Maka tidak hairanlah mengapa filem dan novel beliau diulang tonton dan cetak berjuta kali. Watak anak perempuan yang menyedarkan kita bahawa redha dan ikhlas itu akan selalu hadir disaat hati kita tulus berdepan dugaan Tuhan. Betapa hikmah akan selalu terlihat andai kita sudi menjernihkan jiwa.