.

.
Showing posts with label bacaan keempat. Show all posts
Showing posts with label bacaan keempat. Show all posts

Tuesday, 9 October 2018



Tajuk : Cantik Itu Luka
Penulis : Eka Kurniawan
Ulasan : Ummi Abibah


Di akhir masa kolonial, seorang perempuan dipaksa menjadi pelacur. Kehidupan itu terus dijalaninya hingga ia memiliki tiga anak gadis yang kesemuanya cantik. Ketika mengandung anaknya yang keempat, ia berharap anak itu akan lahir buruk rupa. Itulah yang terjadi, meskipun secara ironik ia memberinya nama si Cantik.

Lewat novel ini, Eka mengisahkan nasib anak-anak manusia dalam gelombang sejarah bangsa. Manusia-manusia yang telah menjadi korban kekuasaan dan ‘kutukan karma’. Lebih dari itu, lewat tokoh-tokohnya, Eka juga mendedahkan absurditas kecantikan yang bertengger di wajah perempuan. Kisah seorang perempuan cantik keturunan Belanda bernama Dewi Ayu yang menjadi korban kekejaman perang dan perebutan kekuasaan.

Eka bercerita menerusi teknik imbas kembali di mana bermulanya penceritaan apabila Dewi Ayu bangkit dari kubur. Lalu membawa pembaca mengimbas kembali peristiwa di zaman kolonial hingga pasca kemerdekaan. Menggabungkan politik, falsafah, sejarah, mistik dan erotis dalam sebuah naskah setebal 480 mukasurat. 

Gabungan fiksi dan realiti sekitar zaman kolonial yang menggabungkan penceritaan 5 keturunan Dewi Ayu. Terlalu banyak watak-watak baru yang dikembangkan, hampir separuh halaman buku hanya memperkenalkan watak-watak penting dalam naskah ini. Namun penulisan Eka mampu membuatkan pembaca terikat untuk terus meneruskan pembacaan. 

Eka menulis dengan gaya sastera klasik 
, namun ada beberapa imiginasi seksual yang terlampau di garap dalam naskah ini dan tidak sesuai dibaca semua peringkat umur. Walau bagaimana pun Eka berjaya membuat pembaca percaya, tidak semua cantik itu bahagia. Cantik itu luka.


Ulasan Buku Keempat Cabaran Buku Jalanan TITI
Tema: Novel dari Negara Seberang
Tajuk novel: Laskar Pelangi, Andrea Hirata
Mukasurat: 529
Cetakan: Mac 2016, Penerbit: Bentang, Indonesia


Novel Laskar Pelangi ini didedikasikan oleh penulis kepada kenangan beliau semasa belajar di SD Muhammadiyah, berlatarbelakangkan Pulau Belitong yang terletak di Sumatra, juga dikenali sebagai Pulau Timah, saking kayanya dengan hasil bumi terutamanya timah dan flora fauna yang memesonakan. Watak- watak utama yang terlibat terdiri daripada dua orang guru sekolah Bu Muslimah Hafsari (guru wanita satu-satunya yang mengajar dengan tekun, gigih dan semangat berapi walaupun dengan gaji hanya 15kilo beras setiap bulan, ayahnya pelopor sekolah Muhammadiyah di Belitong), Bapak Harfan Effendy Noor (kepala sekolah,merangkap paman Bu Mus), serta anak-anak sekolah kampung yang miskin yang nantinya membentuk laskar pelangi(gelar yang diraih dan diberikan oleh Bu Mus kepada mereka,kerana kegemaran mereka yang suka memerhatikan pelangi di bawah tempat mereka selalu bersidang, pohon Filicium): Aku(Ikal), Lintang( anak miskin, ayahnya nelayan tetapi genius, mandiri, tinggalnya di pesisir laut, puluhan kilometer dari sekolah, gigih mendapatkan pendidikan tanpa lelah berkayuh basikal puluhan kilometer setiap hari ke sekolah), Trapani, Mahar, Kucai, Sahara, Samson, A.Kiong, Syahdan dan Harun.

 Cerita pertualangan Ikal dan teman Laskar Pelangi sangat mengasyikkan, kerana tema kemiskinan tidak mengekang hak asasi manusia untuk mendapatkan pendidikan diangkat dengan sangat berani dan mengesankan bahawa hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Sungguhpun kebanyakan ibu bapa anak-anak ini adalah hanya buruh kilang timah, nelayan, petani, kuli kopra dan gudang beras, walaupun dengan berat hati untuk melepaskan anak-anak ke sekolah kerana anak-anak ini sepatutnya boleh membantu mencari pendapatan buat keluarga, tetapi atas dasar kesedaran bahawa pendidikan boleh membantu mereka keluar dari kemiskinan, mereka berteguh hati untuk menyekolahkan anak-anak mereka.

SD dan SMP Muhammadiyah sekolah Islam melarat, ibarat gedung kopra,menerima sepuluh orang pelajar ini dengan besar hati malah tidak mengenakan sebarang yuran sekolah, saking miskinnya sekolah ini,ia tak pernah dikunjungi pejabat, atap bocornya, berdinding papan, berlantaikan tanah, satu saat bila musim hujan turun, anak-anak protes kerana basah kuyup. Namun, Bu Mus dengan tenang menunjukkan gambar ruangan sempit, dikelilingi tembok tebal yang suram, gelap dan angker dan menceritakan bahawa disitulah sel penjara tempat Pak Karno menjalani hukuman di Bandung, dan di situlah beliau setiap hari belajar dan membaca buku dan beliau adalah salah satu orang tercerdas yang dimiliki bangsa ini. Saat itu, laskar pelangi sudah tidak protes malah semangat belajar meruap-ruap dan sehari pun tak pernah bolos ke sekolah.

Membaca pertualangan Laskar Pelangi mengembalikan begitu banyak nostalgia zaman kanak-kanak kepada saya. Terutamanya permainan yang dimainkan oleh Ikal dan teman-temannya, kerana musim ini gajet belum wujud. Daya kreativiti tingkat tinggi dan imaginasi diperlukan untuk menghiburkan diri dan mengisi masa lapang zaman indah kanak-kanak.Maka permainan main upih pinang di musim hujan, lawan biji getah, bermain sepak bola, membuat candi dari pasir, berenang di lumpur, memanjat gunung dan berteriak keras-keras tak keruan kepada hujan, langit dan halilintar seperti orang lupa diri. Hanya yang pernah melalui zaman ini,dapat mengetahui betapa menggembirakan hati walaupun hanya sekonyol bermain di sekeliling kampung. Ah, indahnya apabila dikenang semula!

Persahabatan Laskar Pelangi diuji lebih hebat lagi apabila sekolah mereka perlu bertanding melawan sekolah PN Timah swasta yang kaya di pertandingan perbarisan karnival sempena Hari Kebangsaan 17 Ogos dan pertandingan uji kecerdasan antara sekolah yang benar-benar menyentuh perasaan, apabila Mahar dengan daya kreativiti dan seni yang sukar dikalahkan, menyusun koreograf tarian dan kehidupan suku Afrika telah mengangkat nama sekolahnya sebagai juara setelah puluhan tahun pretasi dan nama sekolah mereka malap dan merudum. Lintang juga tidak kalah bersinar seperti bintang (maksud namanya dalam bahasa Jawa) dalam adu kecerdasan, dimana otaknya yang sungguhan genius terus-terusan menjawab soalan yang rata-rata sukar sehinggakan terjadi perdebatan hebat antara dirinya dan guru fizik terkemuka dari sekolah swasta. Lintang dan Mahar mengajar temannya bahawa semua orang mesti mempunyai impian dan cita-cita untuk menaklukkan kehidupan.

Semasa menikmati cerita Laskar Pelangi, saya tidak dapat tidak teringat akan karya anak tempatan yang bertajuk Kunang Pesisir Morten,oleh Raiha Bahaudin, yang juga menampilkan tema senada dengan Laskar Pelangi. Watak Dhiya, perempuan comot sembilan tahun dengan rambut gerbang, seorang pemikir visual yang genius disertai dengan Adi dan Limnya, sahabat karibnya, menelusuri pengembaraan asyik ke ceruk Kota Melaka dan menjejaki lukisan Monet dan menumpaskan pencuri berkaki ghaib, kedua-dua cerita mengangkat latar belakang pendidikan di kalangan rakyat miskin dan juga kemanisan dunia persahabatan di zaman kecil di samping pelbagai isu sosial berlatar belakangkan tahun 1970an yang masih relevan untuk renungan masyarakat kita pada hari ini.

Sunday, 10 September 2017





REVIEW SUMPAHAN PUAKA SOICHI OLEH JUNJI ITO

Sumpahan Puaka Soichi merupakan komik yang menjadi pilihan untuk cabaran kali ini. Komik ini merupakan karya Junji Ito iaitu seorang doktor gigi yang diiktiraf sebagai mangaka genre seram terbaik di negara asalnya. Beliau merupakan antara penulis yang menjadi pilihan saya.

Komik Sumpahan Puaka Soichi ini merupakan terjemahan dalam bahasa melayu. Komik ini mengandungi 5 bab utama dan sebanyak 415 muka surat. Komik ini mengisahkan tentang seorang budak lelaki pelik yang suka mengemam paku. Soichi merupakan anak bongsu sebuah keluarga dan sangat obses dengan sumpahan-sumpahan misteri dan yang menariknya sumpahan tersebut kadang-kadang menjadi walaupun sebenarnya Soichi tidak memiliki apa-apa kuasa unik. 

Setiap bab menceritakan tentang kisah berbeza mengenai Soichi dan sumpahannya. Komik ini berjaya membawa saya berhalunisasi sambil membayangkan gelagat Soichi yang pelik dan misteri. Tabiat mengemam paku saja cukup membuatkan saya berasa sangat misteri dengan personaliti Soichi. Pelbagai peristiwa misteri dan menakutkan yang terjadi angkara Soichi yang melibatkan rakan-rakannya dan orang sekeliling sehingga menyebabkan Soichi tidak disukai oleh orang sekelilingnya.

Semestinya komik ini mempunyai unsur saspen dan membuat pembaca tertanya-tanya siapakah sebenarnya Soichi dan mengapa dia berkelakuan seperti itu.

Pada bab pertama, iaitu bab Percutian Panas Menyeronokkan keanehan Soichi membuatkan saya tertanya-tanya apakah Soichi benar-benar memiliki kuasa kerana dalam bab ni, Soichi seperti tukang sihir yang mengenakan saudaranya yang datang dari bandar. Bab ini juga menjelaskan sebab Soichi mengemam paku dan meninggalkan kesan pada pengakhiran bab kepada pembaca untuk terus membaca untuk merungkai perkara sebenar mengenai Soichi.

Bab-bab seterusnya, Soichi semakin galak mengenakan orang lain dengan sumpahannya itu. Sumpahan itu dikatakan berpuaka kerana hampir semua sumpahan tersebut menjadi! Soichi sebenarnya mempunyai seorang nenek yang memiliki perwatakan sama seperti dia dan ibu bapa Soichi menganggap Soichi mewarisi personaliti neneknya. Saya berpendapat Sochi mengenakan orang lain untuk menarik perhatian orang lain terhadap dirinya. Ini kerana dalam kebanyakan peristiwa yang terjadi adalah disebabkan dia diabaikan oleh orang-orang sekelilingnya.

Komik ini tidaklah seseram kisah seram yang lain seperti karya Ramlee Awang Mursyid dan penulis hebat lain, tetapi komik ini menampilkan kelainan dengan meletakkan watak seorang budak yang pelik sebagai watak utama dalam komik ini. Selain terdapat unsur ‘pelik’, misteri,seram dan sedikit komedi, unsur kekeluargaan juga dapat diterapkan didalam komik ini.

Pada bab terakhir, muncul satu watak yang lebih menakutkan daripada Soichi. Soichi terkena dengan helahnya sendiri. Pengakhiran komik ini cukup menimbulkan tanda tanya. Bagi saya, komik ini saya rate 3.5/5. Sesuai dijadikan bacaan santai untuk mereka yang tidak seberapa gemarkan cerita seram kerana jalan cerita yang langsung tidak memunculkan sebarang watak hantu cuma pada pengakhiran bab sahaja. 

Selamat membaca!


Wednesday, 6 September 2017



10 Days in A Mad House (Nellie Bly)
Oleh: Sharina M Salim


Buku ini ditulis oleh wartawan dengan nama pena Nellie Bly (Elizabeth Jane Cochrane Seaman),  di New York pada tahun 1887. Beliau secara sukarela telah ‘menyamar’ sebagai pesakit mental di hospital mental di Amerika pada 1839, Pulau Blackwell (dikenali hari ini sebagai Pulau Roosevelt) institusi yang komited untuk pemulihan moral dan kemanusiaan pesakitnya. Tetapi setelah dana pembiayaan dipotong, ia menjadi asylum yang menakutkan, dan dihuni juga oleh penghuni penjara yang berdekatan.


Bly, berpura-pura menjadi agak gila supaya beliau dihantar ke assylum untuk mendapat pengalaman sendiri agar beliau boleh menulis apa yang dilihatnya sendiri. Beliau berpura-pura gila hingga menakutkan rakan sebiliknya. Beliau juga berpura-pura berkelakuan pelik, hingga akhirnya di putuskan perlu di hantar ke rumah pesakit mental. Setelah 10 hari di sana, peguam beliau menguruskan pengeluaran beliau, dan dari sinilah lahirnya kisah dari pengalaman beliau sendiri. Apa yang menarik, untuk mendapat tempat di assylum ini, Bly terpaksa berpura-pura dan berlakon sebagai orang gila. Apabila menjejakkan kaki di sana pada mudança, beliau terus ‘kembali sedia kala’, berlagak normal seperti biasa. Namun, beliau tetap dianggap ‘gila’ oleh doktor dan pekerja di assylum tersebut. Ia seolah-olah memberi tahu, apabila kita menggambarkan siapa diri kita tidak penting sama sekali dan tiada yang mahu percaya,  tetapi siapa diri kita dari kaca mata pihak autoriti (pihak hospital) tu yang penting. Ia umpama dunia dystopia yang menakutkan, bagi saya. 


Ada 2 perkara yang memberi kesan kepada saya - layanan terhadap pesakit mental. Layanan yang diberikan oleh para doktor dan jururawat boleh dikategorikan sebagai kejam dan tidak layak diberikan kepada manusia. Pesakit tidak diberikan rasa hormat dan ihsan, tetapi di layan umpama objek eksperimen. Hampir tiada usaha untuk memahami penyakit yang mereka alami. Layanan diberikan untuk ‘menundukkan’ perangai ‘liar’ dan mengawal simptom mereka. Inilah bahagian yang saya anggap misteri dan jarang untuk saya dapat hayati dari buku lain. Antara buku yang memberi suntan inspirasi terhadap ‘misteri penyakit mental’ ialah karya Paolo Coelho; Veronica Decides To Die dan Gila oleh Hana Alkaf. Saya ingin sekali ‘masuk’ ke dalam minda pesakit mental dan memahami ‘kekecewaan’ mereka apabila secara terus menuerus di salah anggap. Pusat asylum sebegini, tidak membantu pemulihan ataupun menambah skil asimilasi dengan masyarakat luar, tetapi menjadikan penyakit mereka lebih teruk dengan pembagai pengalaman trauma di sana. Bayangkan wanita yang sihat, dikurung dan dibiarkan duduk dari pukul 6 pagi ke 8 malam. Mereka diasingkan dari dialog atau aktiviti sosial.

Bagi pesakit wanita yang terperangkap dalam tempat sebegini, tidak ada apa yang dapat menyelamatkan mereka dan tiada cara untuk melepaskan diri. Mereka tidak mempunyai cara dan kredibiliti untuk menunjukkan kewarasan mereka. Walaupun hanya mengalami depression, ataupun bipolar, atau sekadar orang asing yang tiada kemampuan berbahasa dengan betul; mereka tetap dilabel sebagai pesakit mental, dengan kata lain, mereka tidak di layan sebagaimana orang lain. Mudah sahaja batasan ditentukan masyarakat - normal atau gila!


Perkongsian Bly ini agak ‘traumatic’ bagi saya, hingga saya membayangkan saya adalah salah seorang mangsa atau pesakit mental, dan saya dapat rasakan betapa ‘hopeless’ nya kerana perlu menjalani ‘rawatan’ yang menyiksakan setiap hari.


Perihal ke dua yang memberi kesan ialah kesunnguhan Bly, sebagai wartawan pada tahun 1887 yang mana tugas ini amat jarang dilakukan oleh wanita. Bly bukan saja ‘bising’ melaungkan keadilan sosial dan hak samarata antara lelaki dan perempuan, malah beliau meunjukkan jalan  kepada kita bahawa wanita juga boleh lakukan kerja yang sama dengan lelaki sekiranya minat. Expectation atau sangkaan perlulah adil mengikut merit dan bukannya bangsa atau jantina. 


Setelah 120 tahun karya ini diterbitkan, isu yang dibawa penulis masih menjadi tabu dikalangan masyarakat dunia moden. Saya memiih buku berkaitan ‘misteri psikologi’ dalam cabaran kali ini kerana, bagi saya kesihatan mental adalah antara misteri terbesar yang masih belum boleh di rungkai sepenuhnya masyarakat moden hari ini. Penghidap penyakit mental, atau yang jelas ketara simptomnya lazimnya masih lagi ‘dibuli’, dipulaukan, dinafikan hak untuk sembuh dan bergaul bebas kerana masyarakat ‘normal’ masih lagi prejudis.


Saya tinggalkan anda dengan satu soalan sebagai renungan - Jika kita seorang yang normal (tiada masalah mental), dan dikelilingi oleh masyarakat yang tidak normal (dengan penyakit mental), bukankah kita dengan sendirinya telah menjadi tidak normal? Ketika berada dalam situasi ini, adakah masih penting untuk ‘mempertahankan’ status anda yang normal (tiada penyakit mental)?





Untuk cabaran keempat ini, buku yang bergenre seram, misteri. Memang tak terfikir mahu cuba, memandangkan aku bukan jenis yang berminat untuk tahu benda-benda begini. Baik filem, drama, mahupun bebenang di laman sosial twitter. Memang tak berapa gemar.

Tapi demi menyahut cabaran ini, aku pun yalah nak taknak kena baca juga kan? Kihkih..

Ok. Pilihan aku tak mahulah baca buku yang semua orang cakap seram. Aku mahu pilih buku yang tak direkomendasi sesiapa, buku yang aku sendiri pun tak pilih. Aku cuma ambil secara rawak di kedai buku. Sengaja aku buat begini untuk menilai tahap penulisan genre seram dan misteri yang diterima penerbit Malaysia untuk dicetak membuat buku.

Ok. Cubaan pertama. Buku Kubur Berasap, penulisnya baiklah aku rahsiakan. Sebab aku mahu kutuk ni. Aku tak dapat nak habiskan sebab aku tak tahan baca cara penulisannya yang membosankan, cliche, jalan cerita sangatlah boleh diagak. Aku baca sampai suku buku. Yang paling aku geram dia punya watak sudahlah ramai, tak cukup dengan itu nama pula panjang dan susah disebut. Tak ke kalau kena kejar dengan hantu nak panggil kawan tolong tu susah? Satu hal pula kalau terbelit lidah. Watak pulak berpasangan. Keliru pulak aku dia ini makwe siapa, lepas itu nanti tertukar-tukar pula. 

Oleh sebab aku tak mahu terus tertekan dengan situasi yang mengelirukan ini. Aku lagi sekali ke kedai buku, capai mana-mana buku secara rawak, bayar, dan cuba mulai cabaran ini lagi sekali.

Bismillah....

Penunggu Mencari Tuan tulisan Qaf dari penerbit Rapik Asura.

Pertama sekali aku belek aku cari nama watak. Alhamdulillah, lega pundi aku bila melihat nama wataknya simple dan mudah disebut. Watak utama namanya Abu. Isterinya Hasmah. Watak sampingan lain Roslan, Razif dan En. Tahir. Haaa kan mudah hidup aku nak membacanya. Ini tidak, letak nama watak serupa letak nama anak lepastu taknak beranak-anak dah. Semua nama nak taruk dalam satu nama.

Ok. Soal jalan cerita, dari nama tajuk pun dah dapat agak. Ceritanya mengenai sebuah rumah yang dijual dengan harga murah. Kononnya rumah tu berhantu, bekas penghuninya adalah tok bomoh, juga pernah berlaku kejadian bunuh dan bunuh diri dirumah tersebut. Biasalah tu kan ceritanya, memang cliche. Tapi masih aku dapat teruskan sebab ayat-ayat yang digunakan dalam buku ini seperti ayat untuk bagi semangat pada kita, biar kita kuat. Juga percaya pada kuasa Tuhan lebih dari kuasa-kuasa lain yang ada dalam dunia ini.

Penulis juga pandai menarik curiosity pembaca walaupun cerita seperti dapat diagak namun masih ada elemen suspen dan boleh buat pembaca terus tertanya-tanya. Antaranya janji dia sama Razif, jika beliau taktahan diganggu maka dia akan keluar dari rumah itu walaupun sudah bermacam usaha dibuat untuk memagar rumah itu supaya tak diganggu makhluk halus.

Ending cerita ini agak baik bagi aku. Maka bolehlah aku katakan buku ini tidak mengecewakan. Dari biodata penulis aku baca di mukasurat akhir buku ini, dikatakan apa yang tertulis dalam buku ini kebanyakkan adalah dari kisah benar penulis ini sendiri.

Boleh tahan menarik.

Apa yang aku dapat dari cabaran ini ialah.. Aku perasan rupanya ada juga market untuk genre ini. Aku pergi ke kedai buku Popular, baru aku perasan.. Ada satu rak khas untuk novel-novel seram melayu yang selama ini aku tak pernah perasan pun. Agak wow juga! Walaupun aku rasa cerita jenis seram ni semua rotate dan recycle cerita sama aje semuanya, tapi tetaplah ada usaha penulis untuk wujudkan genre ini di Malaysia. Manatahu genre ini boleh tarik minat orang untuk membaca sedikit demi sedikit kemudian boleh beralih ke genre yang lebih luas.

Dengan itu, aku ingin mengucapkan terima kasih untuk cabaran kali ini. Sebuah pengenalan untuk genre baru bagi aku. 

Misteri Telaga Tum Bratma oleh Radzemah Bolhassan


Untuk cabaran keempat iaitu buku seram, saya telah memilih untuk membaca buku berjudul ‘Misteri Telaga Tum Bratma’ yang ditulis oleh Radzemah Bolhassan. Buku ini diterbitkan oleh Pelangi Novel Sdn Bhd pada 2011 dan mempunyai sebanyak 388 buah muka surat. Tujuan utama buku ini dipilih adalah kerana ia ada perkataan misteri, dan sinopsisnya pun agak menyeramkan. Satu lagi, sebab ia keluaran Pelangi. Biasa kalau buku keluaran Pelangi mesti kita terfikirkan buku rujukan sekolah rendah atau sekolah menengah yang tebal tu kan. Tak sangka ada bahagian novel juga. Tanggapan pertama saya ketika melihat muka depan buku? Tak cukup menyeramkan tapi mat saleh kata ‘don’t judge a book by its cover’. Mungkin nanti saya mengigau dan takut ke tandas sendirian? Mungkin.

Sebaik sahaja membaca, penulis mengenalkan kepada watak-watak yang ada. Ada Salihin, Azizah dan Viduri. Salihin ialah seorang lelaki Melanau berusia 38 tahun yang bekerja sebagai jurutera di Sibu. Latar novel ini berkisarkan tentang Salihin yang diganggu sakit misteri, gatal-gatal yang tak berkesudahan. Bahkan jadi sangat teruk. Masa saya baca ni, rasa nak gelak juga sebab membayangkan gatal sebab tak mandi kot. Tapi bila teringatkan kawan saya yang pernah diganggu penyakit sedemikian, logik juga kalau ada kaitan dengan alam mistik. Tapi tak ada penerangan lebih lanjut tentang apa yang misteri sangat penyakitnya. Sampai suku buku, masih lagi diceritakan tentang penyakit gatal-gatalnya tak sembuh walaupun lepas jumpa doktor, dan kisahnya yang belum berkahwin. Ok, saya masih boleh bertahan tapI tertanya-tanya apa kaitan dengan misteri Telaga Tum Bratma. Kerana stress dengan penyakit, Salihin sampai berhenti kerja dan pulang ke kampungnya di Kg Belawai untuk membuka kelas komputer. Setakat hampir separuh buku baru diceritakan tentang Telaga Tum Bratma. Aduhai.

Awal-awal lagi Salihin asyik berperang emosi dengan wanita bernama Azizah dan Viduri. Azizah, gadis satu kampus yang pernah menolak cintanya dahulu sebab dia tidak sukakan keturunan Melanau. Panjang ceritanya, ada konflik-konflik yang berlaku. Viduri pula cikgu sekolah yang dikenalinya untuk mengubat luka lama. Ok. Hampir separuh memang sedikit kecewa sebab saya membayangkan telaga Tum Bratma, ada orang mati, pucat berambut panjang dan  menarik orang ke dalamnya, macam cerita The Ring. Tapi hampa, tiada. Selepas kedatangan Fuad, seorang pelajar Unimas untuk membuat kajian mengenai Telaga Tum Bratma ke Kg Belawai, kampung Salihin baru ada unsur misteri lebih banyak terungkai. Telaga Tum Bratma (sememangnya wujud), ialah telaga lama yang diperbuat daripada pasu. Alkisahnya,Tum dan Bratma ini ialah pasangan suami isteri, yang berhijrah dari Kg Belawai di Kanowit, dan menamakan kampung yang baru ditemui di Sarikei dengan nama Kg Belawai juga. Mereka membuka penempatan baru dan berpesan kepada orang kampung, jika mereka meninggal, mayat mereka perlu disandarkan pada pohon nagka berhampiran rumah. Tulang-tulang mereka kemudiannya perlu dimasukkan ke dalam telaga lama itu. Itu yang asal-usulnya Telaga Tum Bratma. Tapi yang misterinya, bilangan pasu atau telaga yang dijumpai berbeza mengikut orang yang menjumpainya. Ada satu, ada dua, tiga atau tujuh. Semuanya bergantung pada orang yang menjumpai dan masa. Yang nampak lebih tu mungkin ada kelebihan mistik.

Sekarang persoalannya, apa kaitan Telaga Tum Bratma dengan hidup Salihin, penyakit yang dialami dan kehidupan cintanya? Lebih pelik, dia mula meracau dan hanyut dalam perasaan setiap kali disebut tentang Telaga Tum Bratma atau dibawa ke sana. Lepas tu mulalah terungkai kisah silam dan sumpahan keturunan. Pantang-larang dan mimpi-mimpi aneh yang sering Salihin dapat. Akhir sekali, baru terurai segala sumpahan tu, hanya apabila Salihin bertemu tuan puteri yang ada pula muncul dalam mimpi dan racaunya. Siapa Tuan Puteri tu, manusia atau bunian? Dan apakah pantang larang yang dilanggar dia sampai penyakitnya begitu melarat? yang ini kena baca sendiri.

Buku ini, bagi saya ialah novel cinta yang disulami misteri. Kiranya misteri dia tu tak cukup menyeramkan, lebih kepada persoalan kekeluargaan dan kepercayaan kepada pantang-larang. Saya membacanya dengan mood yang sangat rilek, dan tidak terkejut langsung. Mungkin sebab saya mengharapkan ada hantu budak muncul tiba-tiba, atau suara garau menyergah. Feel macam The Conjuring atau Ju-On tidak muncul semasa membaca. Peperangan emosi berlaku dalam diri watak utama lebih ditonjolkan. Tapi tak apalah, sekurang-kurangnya saya tahu bahawa Telaga Tum Bratma memang benar wujud dan ada kisah mistik yang berlaku tapi apa yang sebenarnya terjadi tu saya tak pasti. Banyak juga diceritakan tentang adat Kaum Melanau yang jarang saya ketahui. Cuma itulah, saya masih boleh tersenyum dan membaca semua muka surat dengan tenang, walaupun hakikatnya kalau tengok filem misteri saya akan menutup mata sebab takut. Haha, begitulah kisah ketidakseramannya. Ataupun, mungkin sebab pengalaman peribadi melihat kisah seram di depan mata menyebabkan membaca buku fiksyen seakan tidak real. Jeng..jeng..jeng



Tempest
Author : Julie Cross
Publisher : St. Martin’s Press
Pages : 339

The fourth challenge for the “32 Books Challenge” was to read a horror or mystery book. As I am not very much a fan of horror stories, I decided to choose a book which is part mystery and part thriller and equally intriguing. The book that I chose was ‘Tempest’.

Tempest tells an unforgettable tale about time travel. In the year 2009, nineteen-year-old Jackson Meyer is a time traveller who can travel back in time. Excited with his newly acquired superpowers, Jackson frequently time-jumps for fun and even agreed to carry out time-jump experiments with his best friend, Adam Silverman who wants to figure out the science behind it. This continues until one day, two strangers --- the Enemies of Time --- burst in on Jackson and his girlfriend, Holly and fatally shoots her.

Panicked and disoriented, Jackson accidentally jumps back to 2007. Despite many efforts to jump back to 2009 to save Holly, Jackson fails and is stuck in the past with no way of getting to the future. He soon discovers some secrets about his father and the mysterious Enemies of Time who will stop at nothing to kill him. Ultimately, Jackson must decide how much he is willing to sacrifice to save Holly.

With all the many time jumps that happen in this story, Tempest is an incredibly fast-paced novel. Readers will not get bored with this novel as they will be dying to know who those mysterious Enemies of Time are, why they are showing up everywhere and what they want from Jackson. Tempest also introduces some very interesting time travel concepts which you have to read if you want to know more about.

All in all, Tempest is not your typical ‘boy meets girl and they live happily after’ kind of story. It is a maze filled with unsuspecting twists and turns that will leave your heart in your mouth most of the time. (Yes, it is just that thrilling!) Constant action, heartfelt moments and a thrilling plot twist all add up to a fascinating first book of an epic trilogy. You should totally give Tempest a try if you love a good mystery and some thrills!

Rating: 3.5/5 stars

Sunday, 27 November 2016

Bahagian 1: Buku Travelog (Penulis Lelaki)
 
Menumpang Teduh Pohon Akasia; Somaliland Bukan Somalia. Boleh tahan panjang judulnya. Ini adalah buku travelog. Buku setebal 251 muka surat ini adalah terbitan Karya Bestari (grup Karangkraf) dengan penerbit bersama Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD).

Buku ini menceritakan perjalanan dan pengalaman kembara penulis, Muhammad Suhail Bin Ahmad yang juga merupakan Pengerusi GPTD bersama rakannya, Akhmal. Suhail dan Akhmal berkunjung ke Somailand atas jemputan kenalan mereka di sana.

Rangka lawatan yang bertujuan menyelidik peluang perniagaan telah menemukan mereka dengan perkara-perkara unik dan menarik apatah lagi Somaliland bukanlah destinasi terkenal dalam sektor pelancongan. Ramai yang masih tidak tahu tentang negara ini. Tidak sedikit juga yang menganggap Somaliland dan Somalia sama sahaja. Maka sebab itulah tajuknya sedikit tegas untuk memberi beza kedua-dua negara ini - Somaliland, bukanlah Somalia.

Dalam buku ini, penulis ada memberi penerangan tentang perbezaan Somaliland dan Somalia dari segi sejarah, budaya etnik-etnik dan geopolitik. Selainnya, adalah pengalaman merentas gurun, menyertai acara-acara melibatkan warga tempatan, berkunjung ke lokasi tinggalan sejarah dan memahami budaya orang Somaliland dalam perniagaaan.

Antara perkara yang menarik perhatian saya adalah berkaitan transaksi orang Somaliland dalam segala urusan jual-beli. Di Somaliland, baik sekecil-kecil nilai sehingga ke sebesar-besarnya, semuanya adalah sistem bebas tunai. Pembayaran 100% menggunakan telefon bimbit. Walaupun untuk membeli air mineral. Kedai-kedai nomad juga menggunakan sistem ini. Sehinggakan orang-orang Somaliland merasa kekok apabila memegang wang tunai. ‘Ketinggalan zaman’ menurut mereka.

Penulis juga, selaku golongan generasi Y melahirkan kekaguman dengan akses telekomunikasi yang sangat baik di Somaliland. Bukan setakat baik. Cemerlang. Talian dengan gelombang 4G bar penuh walaupun di kawasan gurun. Di kawasan bandar apatah lagi.

Selain catatan dengan tulisan yang mudah, buku ini dipenuhi juga dengan gambar-gambar yang cantik. Oh ya, paling istimewa, buku ini adalah buku travelog interaktif pertama di Malaysia. Dalam buku ini, disediakan kod QR yang boleh diimbas dengan telefon pintar. Sambil membaca, kita juga boleh menonton terus video-video yang dirakam penulis ketika dalam kembaranya di Somaliland. Idea ini sungguh menarik! Memberi pengalaman membaca yang baharu dan meriangkan, lagi-lagi di zaman orang lebih gemarkan sesuatu dalam bentuk visual.

Melalui buku ini, saya tertarik satu perkara. Buku travelog juga melalui perkembangan teknologi. Daripada hanya catatan bertulis (dan pembaca terpaksa membayangkan sendiri keadaannya, kepada catatan yang dibantu dengan gambar (hitam putih dan kemudiannya berwarna). Kini, buku travelog punya kod QR dan kita boleh tonton video sekali. Mungkin selepas ini, akan muncul buku travelog yang menyediakan juga simulator bagi membolehkan pembaca merasa seolah-olah benar-benar berada di tempat-tempat dalam buku. Manalah tahu, kan?

Ataupun, buku yang ada ‘pintu ajaib’ dan pembaca boleh terus berkunjung ke sana. Hah, itu tentunya lebih bagus!
 


Bahagian 2: Buku Travelog (Penulis Perempuan)
 
Iran!

Di negara ini, dalam konteks sebahagian masyarakat yang gemar melakukan ‘kerja-kerja’ Tuhan ini, menyebut tentang Iran ini tidak dapat dilakukan di hadapan sebarang orang. Memang ada sesetengah orang seperti pantang betul telingan mereka mendengar nama negara Iran. Apatah lagi untuk membuka cerita tentang impian berkunjung ke Iran. Lebih baik jangan.

Apakah yang ada Iran sehingga kedengaran menakutkan?
Atau, apakah ketakutan tentang Iran adalah kerana tidak tahu apa-apa tentang Iran?
Mengapakah harus Iran ditakuti dan, mengapa dengan Iran itu, kita tidak boleh menjadi lebih berani?

Pelangi di Persia adalah tulisan travelog yang indah. Indah bagai warna-warni pelangi. Penulis buku ini, Dina Y. Sulaeman mencoretkan pengalaman kembaranya ketika bermastautin lapan tahun di Iran. Buku setebal 296 muka surat ini dibahagi kepada beberapa bahagian dan ada juga satu slot catatan kembaran oleh suaminya, Otong Sulaeman.

Eksotik. Iran adalah tempat yang eksotik. Penuh dengan tinggalan sejarah tamadun yang ulung. Kesan-kesan peradaban lama kebanyakannya masih berada dalam keadaan yang baik. Bahkan, terdapat beberapa perkampungan yang warganya kekal dengan budaya yang diamalkan sejak ribuan tahun yang lalu! Oh, saya secara peribadi merasa maklumat yang diperoleh daripada buku ini terlalu mengiurkan. Itu belum lagi cerita tentang keindahan pemandangan yang bertukar-tukar mengikut musim.

Memandangkan penulis yang berasal dari Indonesia ini bermastautin di Iran, dan fasih pula berbahasa Parsi dan Arab adalah tidak hairan jika penulis benar-benar dapat menghayati sepenuhnya budaya masyarakat tempatan termasuklah hal-hal kembaranya. Kita sebagai pembaca, menerima tempias daripada penghayatannya.

Bahasa Inggeris hampir tidak digunakan di Iran jadi, menurut pemandu pelancong di Iran, adalah sangat sayang sekali sekiranya pengunjung dari negara luar datang tanpa dapat mengetahui maklumat tentang tempat-tempat yang dikunjungi sepenuhnya. Masalah komunikasi. Sekadar dapat melihat sahaja. Sedangkan setiap satu yang ditemui di Iran ada sahaja kisah yang menarik.

Selaku golongan Sunni, tidak dapat tidak, hal-hal berkaitan kehidupan, fahaman dan budaya golongan Syiah di Iran tentulah akan menjadi persoalan. Penulis menceritakan pengalamannya berdepan perbezaan fahaman ini dengan baik sekali – tanpa sebarang prejudis. Lapan tahun lamanya, penulis dan keluarganya baik-baik saja tinggal di sana.

Saya kira, latar belakang penulis di bahagian biodata memainkan peranan penting dalam hal ini. Penulis, memang punya jati diri yang teguh – kebiasaan yang kita selalu dapati daripada warga Indonesia. Ilmu pengetahuannya bukan alang-alang. Ini menjadikan penulis mudah berlapang dada dengan perbezaan fahaman. Paling saya kagum, walaupun fasih berbahasa Arab dan Parsi dan tinggal lama di Iran, penulis masih berupaya menulis dalam bahasa Indonesia dengan sangat baik.

Saya secara peribadi berpendapat, inilah kepentingan kekuatan ilmu dan jati diri. Faktor-faktor ini membuat kita lebih faham kedudukan sesetengah perkara, menghayati isu dan persoalan mengikut konteks dan membuat kita mampu berdiri dengan lebih berani.

Maka sekiranya ada dalam hati kita perasaan takutkan Iran, cuba tanyakan diri sendiri – sebenarnya yang kita takutkan itu apa? Kalau takutkan fahaman Syiah sekalipun, kenapa? Dan sekali lagi, jika Syiah itu menakutkan, mengapa kita tidak boleh menjadi lebih berani daripada Syiah?


Oleh itu, untuk mengenalpasti ketakutan terhadap Syiah ini (agar tidak terikut-ikut sentimen oleh golongan berkepentingan), suka saya cadangkan kalian untuk membaca Pelangi di Persia – dan berkenalan dengan Iran.
Bagi cabaran ke 4, bacaan travelog lelaki dan perempuan, saya telah membaca Emak Rindu Mathanga Erissery oleh Khairul Hakimin Muhammad dan Namaste India oleh Siti Noridah Ab. Rahaman. 

            Kedua – dua penulis ini telah melawat Negara India. Khairul Hakimin hanya melawat India selama 9 hari, manakala Siti Noridah telah menghabiskan hampir 3 bulan lamanya mengembara secara berbackpacker di India. 

            Ada empat tempat yang dilawat oleh Khairul Hakimin, iaitu, Kochi, Kondungalor, Munnar dan Alleppey. Antara tujuan utama lawatan beliau ini ialah hendak berguru dengan Pn Nimi Sunilkumar, untuk belajar masakan India. Pn Nimi merupakan pemenang tempat ketiga buku masakan terbaik dunia. India sangat dekat dengan beliau, kerana ibu beliau berasal dari India. Mathanga Erissery merupakan makanan kegemaran ibu beliau, tetapi ibunya tidak lagi dapat merasa makanan tersebut selepas berkahwin (iaitu ketika beliau berumur 15 tahun). Jadi, beliau belajar masak Mathanga Erissery ini dan berjaya masak untuk ibunya selepas pulang ke Malaysia. 

            Pemergian Khairul ini ditaja, dan beliau tidak pergi berseorangan, tetapi bersama lagi tiga kawannya. Insan yang menaja berpesan, kalau beliau pergi seorang, pengalaman dan pandangan yang diperoleh cuma satu, tetapi jika pergi berkumpulan, lebih banyak hikmah yang boleh dikutip 

 Kebanyakan trip mereka adalah dengan menaiki kereta dan ada satu perjalanan beberapa hari yang menggunakan rumah. Di dalam buku ini dinukilkan pengalaman beliau di setiap tempat yang dilawati, dan diselang selikan dengan kisah hidup beliau berserta ibu bapa dan juga resepi – resepi makanan India. 


Berbeza dengan Khairul, Siti Noridah membuat catatan untuk 20 tempat di India yang beliau pergi. Siti pergi bersendirian. Adakalanya beliau akan duduk hampir dua minggu di sesebuah daerah, adakalanya hanya sehari dua. Pengembara yang dijumpai dalam perjalanannya itulah yang akan menjadi teman seperjalanan, sehinggalah mereka berpisah untuk meneruskan perjalanan masing-masing. 

Siti hanya akan menaiki kereta hanya apabila keadaan terdesak dan dengan kadar yang berbaloi. Selebihnya, dia hanya akan berjalan kaki dan menaiki kenderaan awam (bas, keretapi dan riksha). Siti memilih India dan beberapa buah daerah yang jarang dilawati orang ramai kerana beliau lebih berminat dengan tempat yang tidak ramai orang pergi. Pernah sekali, penduduk tempatan di salah sebuah daerah yang beliau lawat mengatakan itulah kali pertama dia berjumpa dengan orang Malaysia. 

Catatan Siti lebih kepada pengalaman yang beliau hadapi di setiap tempat yang beliau pergi. Siti banyak menulis berkenaan pemandangan tempat yang beliau lawati walaubagaimanapun ianya tidak terperinci dan kelihatannya hampir sama saja. Tulisannya agak mendatar dan kadang kala berulang-ulang. Siti pernah tanpa sengaja mengikut upacara keagamaan Hindu kerana tidak tahu, dan rupanya orang yang berbuat acara itu Cuma hendakkan duit dari Siti. Pernah juga beliau hampir tertipu apabila ada orang mengatakan keretapinya akan lambat 10 jam dan diminta mengikuti orang itu. Nasib baik beliau berwaspada dan ambil tindakan dengan meminta kepastian di kaunter.

 Catatan Khairul Hakimin sangat seronok dibaca ditambah dengan cerita-cerita menarik yang ada. Kebanyakan perkara yang dijumpai di India akan dikaitkan dengan apa yang berlaku kepada penulis sendiri. Tulisan Siti Noridah pula mungkin agak datar dan hanya menumpukan pada apa yang dihadapi penulis ketika mengembari, tetapi mampu memberi inspirasi kepada yang ingin mengembara ke India. 

Sunday, 20 November 2016

Cabaran 32 Buku 2016 (Buku ke #17, cabaran ke 4 – Travelog yang ditulis oleh penulis lelaki)



Buku ini ditulis oleh Khairul Hakimin Muhammad (KHM). Siapa KHM? Seorang ikon media sosial, terutama di Facebook (FB), selain mempunyai kemahiran menulis yang menyebabkan ramai netizen terkesan, KHM juga pandai memasak serta sudah menerbitkan beberapa buah buku.

Saya tidak mengenal KHM kecuali melalui FB, kemudian mendapatkan buku-buku yang ditulis KHM. Saya suka cara KHM kerana menggunakan ayat mudah dan senang untuk diikuti.

Baik, untuk buku Emak Rindu Mathanga Erissery (ERME). Pada mulanya KHM menulis novel dan untuk melawan populariti Ombak Rindu. Tetapi ini adalah buku catatan perjalanan KHM ke India. Ini pergerakan KHM dan kawan-kawan, Kochi – Kondugalor – Munnar – Allepey – Kochi.

Ada banyak cerita dalam ERME, tetapi yang saya suka ialah cerita bagaimana KHM bersungguh untuk belajar masak Mathanga Erissery. Ya, Mathaga Erissery adalah satu jenis masakan dari India. Pada mulanya tidak nampak kaitan kenapa perlu belajar sampai ke India. Rupanya ada sejarah keluarga yang dijejak. Pentingnya untuk belajar resipi tradisi ini pada KHM adalah untuk memenuhi hasrat Emak.

Saya tidak mempunyai jiwa untuk merantau sangat. Cerita bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain itu saya anggap sebagai dimensi untuk membawa pembaca ke daerah India yang tidak dikenal orang.  Istimewa buku ini ada potensi besar membuat orang lapar kerana banyak cerita mengenai makanan. Resipi pun disedia. Contoh-contoh resipi yang ada, Stu Kambing, Mathanga Erissery, Roti Puri, Kuah Dhal Kuning dan beberapa resipi yang lain. Sejujurnya saya tidak pernah mencuba satu pun (peace). 

Kembara KHM belajar memasak ini paling menarik bila tahu bila merantau boleh sahaja kita belajar sesuatu yang baru dan formal. Seperti KHM belajar memasak dengan Puan Nimi di Munnar, Kerala. Puan Nimi Sunilkumar adalah seorang chef, rumahnya kecil tetapi didatangi manusia seluruh dunia untuk belajar memasak. Puan Nimi juga mempunyai kedai yang menjual rempah.

Saya suka KHM kerana cara KHM bercerita tentang Emak dan keluarganya. Saya kira susah untuk jumpa lelaki zaman sekarang yang begitu menjunjung Emak dan tidak malu untuk bercerita kepada dunia. Mungkin KHM dekat dengan Emak kerana beliau suka berada di dapur. Saya kira KHM mengubah stereotype lelaki. Mungkin jauh dalam sudut hati saya yang paling dalam, saya berhasrat jika ada saudara lelaki saya yang seperti KHM, suka masuk dapur dan menjadi rakan regu untuk menyediakan makanan seisi keluarga. 

ERME ini untuk saya paling istimewa adalah sejarah Emak. Bagaimana Emak KHM bertemu Abah KHM, anak lelaki Tok Penghulu Mukim Telang seolah-oleh seperti sebuah filem cinta yang agung. Saya mahu menulis sinopsisnya di sini, tetapi seperti mana saya terbuai dengan kisah ini saya kira anda semua perlu membacanya sendiri. Baru terasa adventurnya.

Cinta sejati itu ada. Kisah tragis dan mencemaskan ada di alam realiti rupanya, serta berakhir bahagia, InshaaAllah sampai ke syurga. 

Ada banyak perkara yang menyebabkan KHM dekat, antaranya KHM orang Pahang (saya lama bekerja di Pahang walau tidak semua bahagian Pahang saya lawat) dan juga KHM mengubah stereotype lelaki. Dalam budaya masyarakat Melayu, jarang sekali dapat melihat lelaki yang akan memasak untuk keluarga. Apatah lagi kalau dalam keluarga tersebut masih mempunyai Ibu yang masih kuat untuk memasak dan saudara perempuan (yang ramai atau tidak). 

Kalau bintang saya beri berapa untuk buku ERME ini? 

Saya tidak beri bintang, saya akan beri rempah ratus untuk seluruh kebaikkan dalam makanan dan sanjungannya untuk Emak. KHM, tahniah!