.

.

Wednesday, 6 September 2017

Review Keempat - Misteri Telaga Tum Bratma Oleh Shafiqah Athirah

Misteri Telaga Tum Bratma oleh Radzemah Bolhassan


Untuk cabaran keempat iaitu buku seram, saya telah memilih untuk membaca buku berjudul ‘Misteri Telaga Tum Bratma’ yang ditulis oleh Radzemah Bolhassan. Buku ini diterbitkan oleh Pelangi Novel Sdn Bhd pada 2011 dan mempunyai sebanyak 388 buah muka surat. Tujuan utama buku ini dipilih adalah kerana ia ada perkataan misteri, dan sinopsisnya pun agak menyeramkan. Satu lagi, sebab ia keluaran Pelangi. Biasa kalau buku keluaran Pelangi mesti kita terfikirkan buku rujukan sekolah rendah atau sekolah menengah yang tebal tu kan. Tak sangka ada bahagian novel juga. Tanggapan pertama saya ketika melihat muka depan buku? Tak cukup menyeramkan tapi mat saleh kata ‘don’t judge a book by its cover’. Mungkin nanti saya mengigau dan takut ke tandas sendirian? Mungkin.

Sebaik sahaja membaca, penulis mengenalkan kepada watak-watak yang ada. Ada Salihin, Azizah dan Viduri. Salihin ialah seorang lelaki Melanau berusia 38 tahun yang bekerja sebagai jurutera di Sibu. Latar novel ini berkisarkan tentang Salihin yang diganggu sakit misteri, gatal-gatal yang tak berkesudahan. Bahkan jadi sangat teruk. Masa saya baca ni, rasa nak gelak juga sebab membayangkan gatal sebab tak mandi kot. Tapi bila teringatkan kawan saya yang pernah diganggu penyakit sedemikian, logik juga kalau ada kaitan dengan alam mistik. Tapi tak ada penerangan lebih lanjut tentang apa yang misteri sangat penyakitnya. Sampai suku buku, masih lagi diceritakan tentang penyakit gatal-gatalnya tak sembuh walaupun lepas jumpa doktor, dan kisahnya yang belum berkahwin. Ok, saya masih boleh bertahan tapI tertanya-tanya apa kaitan dengan misteri Telaga Tum Bratma. Kerana stress dengan penyakit, Salihin sampai berhenti kerja dan pulang ke kampungnya di Kg Belawai untuk membuka kelas komputer. Setakat hampir separuh buku baru diceritakan tentang Telaga Tum Bratma. Aduhai.

Awal-awal lagi Salihin asyik berperang emosi dengan wanita bernama Azizah dan Viduri. Azizah, gadis satu kampus yang pernah menolak cintanya dahulu sebab dia tidak sukakan keturunan Melanau. Panjang ceritanya, ada konflik-konflik yang berlaku. Viduri pula cikgu sekolah yang dikenalinya untuk mengubat luka lama. Ok. Hampir separuh memang sedikit kecewa sebab saya membayangkan telaga Tum Bratma, ada orang mati, pucat berambut panjang dan  menarik orang ke dalamnya, macam cerita The Ring. Tapi hampa, tiada. Selepas kedatangan Fuad, seorang pelajar Unimas untuk membuat kajian mengenai Telaga Tum Bratma ke Kg Belawai, kampung Salihin baru ada unsur misteri lebih banyak terungkai. Telaga Tum Bratma (sememangnya wujud), ialah telaga lama yang diperbuat daripada pasu. Alkisahnya,Tum dan Bratma ini ialah pasangan suami isteri, yang berhijrah dari Kg Belawai di Kanowit, dan menamakan kampung yang baru ditemui di Sarikei dengan nama Kg Belawai juga. Mereka membuka penempatan baru dan berpesan kepada orang kampung, jika mereka meninggal, mayat mereka perlu disandarkan pada pohon nagka berhampiran rumah. Tulang-tulang mereka kemudiannya perlu dimasukkan ke dalam telaga lama itu. Itu yang asal-usulnya Telaga Tum Bratma. Tapi yang misterinya, bilangan pasu atau telaga yang dijumpai berbeza mengikut orang yang menjumpainya. Ada satu, ada dua, tiga atau tujuh. Semuanya bergantung pada orang yang menjumpai dan masa. Yang nampak lebih tu mungkin ada kelebihan mistik.

Sekarang persoalannya, apa kaitan Telaga Tum Bratma dengan hidup Salihin, penyakit yang dialami dan kehidupan cintanya? Lebih pelik, dia mula meracau dan hanyut dalam perasaan setiap kali disebut tentang Telaga Tum Bratma atau dibawa ke sana. Lepas tu mulalah terungkai kisah silam dan sumpahan keturunan. Pantang-larang dan mimpi-mimpi aneh yang sering Salihin dapat. Akhir sekali, baru terurai segala sumpahan tu, hanya apabila Salihin bertemu tuan puteri yang ada pula muncul dalam mimpi dan racaunya. Siapa Tuan Puteri tu, manusia atau bunian? Dan apakah pantang larang yang dilanggar dia sampai penyakitnya begitu melarat? yang ini kena baca sendiri.

Buku ini, bagi saya ialah novel cinta yang disulami misteri. Kiranya misteri dia tu tak cukup menyeramkan, lebih kepada persoalan kekeluargaan dan kepercayaan kepada pantang-larang. Saya membacanya dengan mood yang sangat rilek, dan tidak terkejut langsung. Mungkin sebab saya mengharapkan ada hantu budak muncul tiba-tiba, atau suara garau menyergah. Feel macam The Conjuring atau Ju-On tidak muncul semasa membaca. Peperangan emosi berlaku dalam diri watak utama lebih ditonjolkan. Tapi tak apalah, sekurang-kurangnya saya tahu bahawa Telaga Tum Bratma memang benar wujud dan ada kisah mistik yang berlaku tapi apa yang sebenarnya terjadi tu saya tak pasti. Banyak juga diceritakan tentang adat Kaum Melanau yang jarang saya ketahui. Cuma itulah, saya masih boleh tersenyum dan membaca semua muka surat dengan tenang, walaupun hakikatnya kalau tengok filem misteri saya akan menutup mata sebab takut. Haha, begitulah kisah ketidakseramannya. Ataupun, mungkin sebab pengalaman peribadi melihat kisah seram di depan mata menyebabkan membaca buku fiksyen seakan tidak real. Jeng..jeng..jeng


No comments: