.

.

Monday 28 August 2017


Tajuk: Penghuni
Penulis: Endie Shazlie
Terbitan: Roman Buku
Halaman: 422

Cabaran keempat iaitu cabaran yang diberikan pada kali ini ialah supaya memilih mana-mana buku bergenre seram atau misteri. Tatkala cabaran ini diberikan pelbagai jenis buku yang bermain di minda saya memandangkan genre seram dan misteri ini boleh dianggap sebagai salah satu genre yang digemari. Setelah diteliti, saya memutuskan untuk memilih buku yang terkini dari salah satu entiti perbukuan yang mula menampakkan tempatnya yang tersendiri iaitu Roman Buku. Buku yang dipilih ialah Penghuni yang telah diterbitkan pada 12 April 2017.

Semasa mula-mula saya melihat buku ini di MPH Nu Sentral, secara automatik muka depan buku ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi fikiran saya. Yupp! People do judge books by its covers. Muka depan buku ini memaparkan latar belakang hutan belantara dan bulan,sementara gambar tangki air dan gambar orang yang berselubung ditindan di atas latar belakang. Mesej seram yang ingin disampaikan oleh pereka muka depan ini dapat dirasai.

Penghuni merupakan novel pertama tulisan Endie Shazlie. Walaupun ini merupakan novel pertama beliau, bentuk penulisan dan penyampaian mesej sangat jelas dan begitu cantik. Penghuni  adalah sebuah novel yang diilhamkan daripada kisah benar di sebuah IPT. Ianya bermula pada 18 Januari 2013,apabila dua sahabat iaitu Adam dan Raime yang bekerja dalam industri penerbitan dokumentari juga penyiasat paranormal menerima jemputan daripada Ilyas (adik kepada Adam) untuk menyiasat tentang apa yang berlaku di universitinya.

Berlatarbelakangkan UITM Lendu sebagai latar tempat utama, penulis berjaya membawa pembaca untuk berada di kawasan kejadian dengan memasukkan beberapa keping gambar lokasi-lokasi utama yang diceritakan sepajang perjalanan novel ini. Saya kira, ini merupakan satu tindakan bijak dari penulis mahupun penerbit untuk menaikkan semangat ingin tahu para pembaca memandangkan novel ini merupakan novel inspirasi daripada kisah benar. Tambahan pula,penulis merupakan alumni universiti ini,oleh itu penyampaian lokasi dalam penulisan sangat terperinci dan jelas. Dari segi latar waktu pula, novel ini berjaya minimumkan penggunaan waktu dan masa dengan hanya mengambil tempoh empat hari sebagai latar waktu. Sangat jarang untuk melihat novel yang berketebalan seperti ini mampu mengurangkan penggunaan waktu dalam tulisan.

Seterusnya, dari segi penceritaan yang digunakan oleh penulis saya dapat melihat penulis seorang yang berani menggunakan pelbagai teknik seperti dialog watak, monolog luaran watak, dan monolog dalaman watak dan juga pemerian secara bergilir ganti. Teknik-teknik ini juga tidak digunakan sewenangnya atau secara melewah. Semuanya sempurna terletak sesuai dengan setiap peristiwa yang berlaku.

Apa yang menjadi daya penarik novel ini bagi saya ialah penulis menampilkan dua dimensi berbeza dalam satu cerita yang sama. Dimensi manusia dan dimensi makhluk halus masing-masing mempunyai masalah yang tersendiri dan cuba untuk menyelesaikan dengan cara tersendiri namun disatukan oleh penulis dengan mengaitkan hubungan antara kedua-dua dimensi melalui karakter-karakter yang ada pada dimensi masing-masing. Selain itu, penulis juga mempunyai kefahaman yang padu tentang sejarah alma mater beliau. Kefahaman ini diindahkan lagi dalam tulisan dengan menyelitkan dan mengaitkan hubungan antara dua dimensi ini secara langsung. Huraian dan deskripsi makhluk-makhluk halus yang wujud dalam novel ini juga telah dilaksanakan dengan begitu baik apabila dapat dibayangkan bagaimana rupa setiap mahluk tersebut. Selain itu, Endie Shazlie ini juga dilihat dapat mengimbangkan antara kisah yang benar berlaku dengan khayalan melalui kreativitinya yang tersendiri.  

Sebaliknya, pengakhiran novel ini yang bersifat tergantung kurang digemari oleh saya. Penulis membiarkan pembaca tertanya-tanya apa yang akan terjadi kepada watak utama dan apakah yang akan dilakukan oleh watak sampingan seterusnya. Namun, penulis menyatakan jika novel ini mendapat sambutan, kemungkinan akan ada sequel yang muncul.

Secara keseluruhannya, novel Penghuni selayaknya digelar sebuah novel yang bergenre seram yang seram, bukan hanya sekadar seram pada genrenya seperti sesetengah novel di pasaran. Rating yang saya berikan untuk novel ini ialah 4/5 tanpa was-was.


Kacau oleh Ariff Adly



**Reviu ini mengandungi spoiler**

Agak kacau.

Sampaikan esok paginya semasa mandi saya terbayang banyak entiti sekaligus. Satu tangan meraba saya dari belakang, satu entiti berambut panjang atas kepala saya dan satu lagi entiti seperti budak perempuan cangkung memeluk kedua lutut di bawah sinki. Errr...

Sejujurnya dah lama saya nak baca buku ni tapi saya tangguh, tangguh dan tangguh. Kali ini punya cabaran pula perlu membaca sejenis buku yang seram/misteri. Ya memang kena sangatlah buku ni. Tak bolehlah saya elak lagi. Kuatkan aku ya tohan. (Nampak sangat penakut)

Bukan tak pernah saya baca buku seram. Cuma yang ini agak menggerunkan sebab ramai yang kata ianya memang seram. Buku-buku sebelum ni saya baca pun seramnya so-so, tak terasa sangat.

Saya dah rancang untuk baca Kacau pada waktu siang sahaja. (Nampak sangat penakut - kali kedua) NAMUN ia tidak seperti yang dirancang. Ceritanya intense membuatkan saya habis membaca sehingga tengah malam. (Berani juga saya). Mujur separuh bacaan pada waktu siang tak melajukan degupan jantung sangat. (Konon sebab siang berani lah). Padahal klimaks cerita dalam separuh lagi bacaan seterusnya. (Merana)

Perkara seperti main spirit of the coin tu klise. Bermain papan Ouija banyak kita tengok dalam filem-filem hantu dan selepas tu sorang-sorang kena rasuk atau mati. Walaupun plot agak klise tapi tahniah kepada penulis kerana berjaya membuat kebanyakan elemen seramnya menjadi. Terdapat mantera untuk memanggil roh. Selesai baca mantera saya tiba-tiba cuak. Mana tahu saya dah seru siapa-siapa. Nasib baik tak ada. (Tolonglah jangan ada)

Kematian enam sekawan semuanya bermula dengan permainan spirit of the coin. Kematian Syira tergantung di atas loteng dan kematian Ajim memuntahkan rambut secara berterusan agak klise pada saya. Babak itu seperti babak tipikal dalam filem tapi deskripsi penulis tentang kematian Ajim seakan cover balik. Masa ni saya ok saja.

Seram yang betul-betul bermula ialah bila mereka ikut ibu bapa Ajim ke kampung halamannya untuk mengebumikan Ajim di sana. Dalam perjalanan bila muka si makhluk berambut panjang terpampang di cermin hadapan secara upside down sambil gerak ke kiri ke kanan, saya dah mula tutup-tutup mata dan menjauhkan buku. Wow. Ok efek dia macam tengok wayang. Saya tak boleh bayang kalau betul-betul jadi. Memang eksiden terus! Itu perjalanan pergi. Perjalanan balik, sesuatu menumpang Syida. Dia menyanyi dan menari lagu Ulek Mayang. Membaca liriknya pun saya sudah seram apatah lagi mahu menyanyikannya.

Ada juga emosi yang saya rasa tidak logik sedikit. Ada kalanya kekacauan besar berlaku, mereka sekawan seperti terlalu chill seoalah-olah hanya benda kecil berlaku. Ada yang tidak perlu kecoh, mereka bertekak pula. 

Semakin ke penghujung cerita, saya sakit otak. Terutama sekali babak makan ayam KFC bersama ‘Al’ dan ‘Jimie’ dalam rumah Amat. Saya paling suka babak ini. Kemudian babak Jimie dikacau teruk semasa solat. Maka saya isytiharkan entiti-entiti sememangnya keji.

Akhir sekali diketahui Fiq punya angkara. Dia telah membuat perjanjian terlebih dahulu dengan makhluk durjana itu. Permintaan Fiq untuk menakut-nakutkan kawan-kawan sebagai balasan makhluk tersebut boleh merasuk salah seorang. Ending bahawa Fiq puncanya memang dapat saya agak cuma tak tahu apa yang dimungkiri tentang perjanjian. Rupanya ia sebab kecil. Marah betul makhluk tersebut.

Saya rasa impak cerita ini bergantung dengan tahap keberanian anda. Kalau anda seorang yang sangat berani anda mungkin rasa cerita ni biasa-biasa saja. Kalau anda seorang penakut, jaga-jaga ada sesiapa yang mendampingi. He he he..

Moral: Janganlah kita berlagak berani dengan mencabar makhluk halus jika ilmu tidak cukup di dada. Mereka mampu berbuat apa sahaja untuk pastikan kita sama tidak bernyawa seperti mereka.





Novel Fixi ini merupakan diari seorang mahasiswa di pusat pengajian tinggi tersebut. Cover hadapan jelas menunjukkan identiti novel ini sebagai sebuah karya seram. 4 bintang untuk gambar pontianaknya. Pada awalnya, saya meletakkan expectation yang tinggi terhadap novel ini, mengambil kira kualiti novel-novel Fixi yang pernah saya baca sebelum ini (Kasyaf, Murtad, Gergasi dll). TETAPI, malangnya Lendu sangat menghampakan. HAMPEH! Tak seram langsung. ENTAH APA-APA!

Saya akan membuat review kehampehan novel ini satu persatu.

1. Lendu ditulis mengikut gaya “epistolary”. Bermakna jangan harapkan ada struktur perkenalan-perkembangan-klimaks-peleraian-penutup dalam naskhah ini. Hal ini disebabkan kerana Lendu merupakan himpunan catatan a.k.a diari penulisnya, Blue, sepanjang bergelar mahasiswa di sana. Masalah Lendu yang pertama bermula apabila ia memasukkan sekali catatan-catatan yang tidak ada kaitan langsung dengan tema seram. Apa kejadahnya kau pergi sertakan sekali catatan kau kena tindakan tatatertib waktu jadi MPP lah, kena bebel dengan Polis Bantuanlah, kena perli dengan pensyarahlah yada yada. Ok saya faham, ia adalah sebuah diari. Tetapi pilihlah catatan yang berkaitan dengan mood seram. Kalau mahu dimasukkan juga, maka kekalkan tajuk novel Lendu, tetapi cover tukar gambar lain. Jangan letak gambar hantu.

2. Banyak gila kesalahan ejaan dan tatabahasa. Ya Rabbi! Editor tak buat kerja ke? Tau tak kesalahan-kesalahan sebegini adalang pantang terbesar bagi seorang pembaca. Menyakitkan mata! Kalau jumlahnya sedikit masih boleh dimaafkan. Ini banyak! Sakit mata satu hal, sakit hati satu hal lagi.

3. Ok, saya faham. Fixi membenarkan novel-novel mereka dalam dwibahasa. Maknanya, nak tulis dalam bahasa melayu campur-campur Inggeris boleh. Saya tiada masalah dalam hal ini. Banyak naskhah yang guna bahasa rojak seperti ini pernah saya baca, seperti karya Hlovate. MASALAHNYA IALAH KAU NAK GUNA NGGERIS TAPI SALAH SEMUA SEGI. Tatabahasanya salah. Ejaannya salah. Malah, bila kau cuba nak merge Inggeris dengan Bahasa Melayu, ia menjadi janggal. Macam tak kena. Tak smooth. Aku taktau sama ada kau cuba nak jadi kontemporari atau apa. Tetapi, tolonglah jangan ulang lagi kesalahan seperti, “If you get it what mean”, “I’m work under them”, “Why don’t you left me”, “There’s something follow me”. Penguasaan bahasa Inggeris saya pun taklah gempak sangat, tetapi sekurang-kurangnya hormatilah sistem sesebuah bahasa tersebut. Jadi cringe bila baca tau tak.

4. Kebanyakan catatan-catatan Blue ini sama. Kena rasuk, pergi berubat. Nampak lembaga hitam. Nampak budak berlari tengah koridor. Ada benda ketuk tingkap tengah malam. Yep, tak dinafikan pengalaman kena kacau semua orang hampir sama formatnya. Begitu-begitulah bentuk gangguannya. Tetapi, bila kau nak tumpahkan pengalaman kau dalam bentuk cerita, pakailah ayat-ayat yang sedap sikit. Bila orang baca dapat feel. Sumpah, satu habuk pun tak seram novel Lendu ini.

5. Cabaran 32 Buku kali ini bertemakan seram. Tetapi maaf pihak penganjur, saya tak dapat nak jelaskan apa yang seramnya dengan Lendu ini. Sebab memang tak menakutkan langsung. Mungkin sedikit seramlah bila memikirkan suasana industri buku tanah air nanti kalau dilambakkan dengan naskhah seperti Lendu.

6. Cerita tak seram. Ayat tak sedap. Banyak kesalahan tatabahasa dan ejaan. Penggunaan bahasa Inggeris yang hampeh. Pendek kata, Lendu adalah sebuah naskhah seram yang gagal. Khalas.


Sunday 27 August 2017

Ramai dari kita tahu lagu ini.

Tanggal 31
Bulan Lapan Lima Puluh Tujuh
Merdeka! Merdeka!
Tetaplah Merdeka
Ia Pasti Menjadi Sejarah

Tapi tahukah anda lagu ini asalnya dinyanyikan oleh siapa? Beliau adalah Ahmad Awab Aziz. Lahir pada tahun 1915 di Medan Indonesia dalam keluarga Melayu-Arab. Siapa Ahmad Awab Aziz ini? 

Beliau adalah seorang anak muda yang aktif sebagai ahli dalam Gerakan Rakjat Indonesia (GERINDO). GERINDO ditubuhkan pada 1937 yang mendokong Ideologi kiri. Namun masih bekerjasama dalam sesetengah perkara dengan Belanda. Gerakan ini mati selepas kedatangan Jepun.

Di dalam GERINDO wujud gerakan propaganda yang menyebarkan atau meniupkan semangat Nasionalis, kumpulan teater Asmara Dhana yang menjadi salah satu gerakan kebudayaan GERINDO sering memainkan peranan dalam semangat anti penjajahan. Ahmad Awab Aziz diberi gelaran Cass Bara kerana semangatnya yang meluap melawan penjajah. Beliau mula dikenali sebagai Ahmad CB.

Beliau menuju ke Singapura selepas pihak Belanda memerhatikan gerakkannya. Di sana beliau mula aktif bernyanyi. Ketika perang dunia kedua sedang berlangsung, beliau bersama rakan menganjurkan persembahan amal di Sumatera Utara untuk kutipan dana pejuang kemerdekaan Indonesia (NAPINDO). Beliau kemudiannya menetap di Tanah Melayu selepas kemerdekaan Indonesia 1949.

Di Tanah Melayu beliau menamakan semula kumpulannya sebagai Rayuan Asmara. Dan mendedikasikan semangat nasionalis demi kemerdekaan Tanah Melayu pula. Selain lagu Tanggal 31, beliau juga pencipta lagu

Pemuda Melayu
Malaya Raya


Dengarkan lagu versi asal




Rujukan:


Heirs to World Culture: Being Indonesian, 1950-1965 By Jennifer Lindsay (pautan link)

Cultures at War: The Cold War and Cultural Expression in Southeast Asia edited by Tony Day, Maya Hian Ting Liem (pautan link)