.

.

Monday, 28 August 2017

Review Keempat - Kacau Oleh Najwa Hanis (Buku Seram)

Kacau oleh Ariff Adly



**Reviu ini mengandungi spoiler**

Agak kacau.

Sampaikan esok paginya semasa mandi saya terbayang banyak entiti sekaligus. Satu tangan meraba saya dari belakang, satu entiti berambut panjang atas kepala saya dan satu lagi entiti seperti budak perempuan cangkung memeluk kedua lutut di bawah sinki. Errr...

Sejujurnya dah lama saya nak baca buku ni tapi saya tangguh, tangguh dan tangguh. Kali ini punya cabaran pula perlu membaca sejenis buku yang seram/misteri. Ya memang kena sangatlah buku ni. Tak bolehlah saya elak lagi. Kuatkan aku ya tohan. (Nampak sangat penakut)

Bukan tak pernah saya baca buku seram. Cuma yang ini agak menggerunkan sebab ramai yang kata ianya memang seram. Buku-buku sebelum ni saya baca pun seramnya so-so, tak terasa sangat.

Saya dah rancang untuk baca Kacau pada waktu siang sahaja. (Nampak sangat penakut - kali kedua) NAMUN ia tidak seperti yang dirancang. Ceritanya intense membuatkan saya habis membaca sehingga tengah malam. (Berani juga saya). Mujur separuh bacaan pada waktu siang tak melajukan degupan jantung sangat. (Konon sebab siang berani lah). Padahal klimaks cerita dalam separuh lagi bacaan seterusnya. (Merana)

Perkara seperti main spirit of the coin tu klise. Bermain papan Ouija banyak kita tengok dalam filem-filem hantu dan selepas tu sorang-sorang kena rasuk atau mati. Walaupun plot agak klise tapi tahniah kepada penulis kerana berjaya membuat kebanyakan elemen seramnya menjadi. Terdapat mantera untuk memanggil roh. Selesai baca mantera saya tiba-tiba cuak. Mana tahu saya dah seru siapa-siapa. Nasib baik tak ada. (Tolonglah jangan ada)

Kematian enam sekawan semuanya bermula dengan permainan spirit of the coin. Kematian Syira tergantung di atas loteng dan kematian Ajim memuntahkan rambut secara berterusan agak klise pada saya. Babak itu seperti babak tipikal dalam filem tapi deskripsi penulis tentang kematian Ajim seakan cover balik. Masa ni saya ok saja.

Seram yang betul-betul bermula ialah bila mereka ikut ibu bapa Ajim ke kampung halamannya untuk mengebumikan Ajim di sana. Dalam perjalanan bila muka si makhluk berambut panjang terpampang di cermin hadapan secara upside down sambil gerak ke kiri ke kanan, saya dah mula tutup-tutup mata dan menjauhkan buku. Wow. Ok efek dia macam tengok wayang. Saya tak boleh bayang kalau betul-betul jadi. Memang eksiden terus! Itu perjalanan pergi. Perjalanan balik, sesuatu menumpang Syida. Dia menyanyi dan menari lagu Ulek Mayang. Membaca liriknya pun saya sudah seram apatah lagi mahu menyanyikannya.

Ada juga emosi yang saya rasa tidak logik sedikit. Ada kalanya kekacauan besar berlaku, mereka sekawan seperti terlalu chill seoalah-olah hanya benda kecil berlaku. Ada yang tidak perlu kecoh, mereka bertekak pula. 

Semakin ke penghujung cerita, saya sakit otak. Terutama sekali babak makan ayam KFC bersama ‘Al’ dan ‘Jimie’ dalam rumah Amat. Saya paling suka babak ini. Kemudian babak Jimie dikacau teruk semasa solat. Maka saya isytiharkan entiti-entiti sememangnya keji.

Akhir sekali diketahui Fiq punya angkara. Dia telah membuat perjanjian terlebih dahulu dengan makhluk durjana itu. Permintaan Fiq untuk menakut-nakutkan kawan-kawan sebagai balasan makhluk tersebut boleh merasuk salah seorang. Ending bahawa Fiq puncanya memang dapat saya agak cuma tak tahu apa yang dimungkiri tentang perjanjian. Rupanya ia sebab kecil. Marah betul makhluk tersebut.

Saya rasa impak cerita ini bergantung dengan tahap keberanian anda. Kalau anda seorang yang sangat berani anda mungkin rasa cerita ni biasa-biasa saja. Kalau anda seorang penakut, jaga-jaga ada sesiapa yang mendampingi. He he he..

Moral: Janganlah kita berlagak berani dengan mencabar makhluk halus jika ilmu tidak cukup di dada. Mereka mampu berbuat apa sahaja untuk pastikan kita sama tidak bernyawa seperti mereka.


No comments: