.

.
Showing posts with label cabaran akhir. Show all posts
Showing posts with label cabaran akhir. Show all posts

Sunday, 31 December 2017



Berakhirlah sudah 2017, nak masuk 2018 pula. Huhu. Sepanjang 2017 ni, kalau ada buku terbaik yang orang minta cadangkan, saya pun blur juga nak bagi cadangan apa. Tapi bagi sayalah, buku Mata Hati Kita terbitan GerakBudaya dan Kryss. Buku ni sebenarnya kontroversi sikit la kot kalau orang yang tak bersetuju dengan mereka. Tapi bagi saya, saya baca untuk pengetahuan sahaja. Ok, bagi saya kenal buku macam kenal manusia juga. Kalau nak berkawan kita mesti kenal kurang-kurang nama dulu kan. Ok, buku ni saya terbelek dalam 5 bulan sebelum. Tengok-tengok ada komik, saya memang ada soft spot kat buku yang ada tulisan dan lukisan ni, macam buku yang kita baca masa kecil dulu. Jadi masa tu saya baca komik tu, pasal orang Melayu tapi ada konflik dengan keluarga sebab dia nak jadi perempuan. Dia lelaki. Ohh ok, jarang orang nak tulis pasal buku pasal topik camni sebab dia macam taboo kan. Tapi masa tu takde duit lagi nak beli jadi saya baca 2 3 muka surat sahaja. Tapi tu pun tertarik dah.

Jadi lepas 5 bulan, dah dapat gaji (haha), terus saya teringat balik kat buku ni dan cari kat kedai. Masa mula-mula baca tu baru faham, buku ni ialah kompilasi catatan golongan lesbian, biseksual dan golongan transgender kat Malaysia. Ada 24 kisah semuanya, mewakili semua kaum (dia takdelah spesifikkan kaum apa tapi bukan Melayu sahajalah). Macam saya cakap, benda ni taboo, jadi saya pun jarang dengar kisah macam ni kecuali daripada telemovie sutun dulu, kisah yang ada mak nyah kat tv (biasanya yang drama Rashid Sibir yang malam raya,huhu), dan..Mastika (kisah Lorong Hj Taib). Selebihnya, tak tahu sangat, macam mana dorang jadi macam tu semua. Tapi sekarang kan ada Riz Ulala, Sajat dan seumpamanya. Jadi setakat itu sahajalah.

Buku ni ada 142 muka surat dan dwibahasa. Ada yang menulis dalam bahasa Inggeris, ada yang Bahasa Melayu. Setiap seorang tu ada macam-macam faktor kenapa jadi macam tu. Sebab suka cross-dress,  membesar dalam keadaan yang harsh. Ada yang discover dia – perempuan, tak suka lelaki bila dah masuk sekolah. Dia sangat suka kawan perempuan. Perhubungan tu rapat sangat sampai satu extend yang bila kawan dia ada boyfriend dia spacekan diri dia dari kawan tu, dan lepastu mereka discover dorang bukan kawan biasa, dorang ditakdirkan untuk satu sama lain. Ada lelaki yang nak jadi perempuan, sebab dia suka cara orang perempuan dilayan. Dan tambah lagi sebab keluarga tak terima perubahan dia, jadi dia rebel dan betul-betul frust kenapa keluarga dia tak nak sit down dan cakap pasal ni. Ada tu yang dia perasan memang hormon dia lain sikit, walaupun dia perempuan tapi dia pecah suara dan lagi suka jadi lelaki sebab lelaki tak perlu pengawasan ke, pakai tudung macam perempuan. Lebih bebas kiranya. Yang keluarga menyokong, keluarga pulaukan. Setiap kisah tu unik.

Tapi banyaknya, mereka mengalami kemurungan, hampir bunuh diri sebab keluarga menentang, perpisahan dengan boyfriend/ girlfriend.  Nak minta kerja pun ada pandangan serong padahal mereka ada pencapaian belajar tinggi. Jadi end up kerja tak sama taraf atau buka bisnes atau melacurkan diri. Mana-mana pergi akan ada mata yang memandang dan keluarga pun terima tekanan bila mulut-mulut yang bercakap dorang tak pandai jaga anak. Sebab golongan trans ni pilih untuk jadi apa yang mereka rasa sebagai mereka sendiri. Saya ingatkan kat kaum Melayu, khususnya yang agama Islam je macam tu. Tapi tak, umumnya berdasarkan tulisan ni, kaum lain pun sama. Jadi, basically payah la untuk golongan transgender ni hidup di Malaysia.

Ada satu part yang mention pasal Fatine Young, kes yang tahun 2010 kot, transgender dari Malaysia yang femes kat UK sebab kahwin dengan lelaki sana dan tinggalkan ‘suami’ dia lepas dapat Visa. Ramai la golongan transgender ni prefer pindah ke luar negara sebab kat Malaysia, tak menyokong perubahan mereka.
Menarik juga, ada seorang ni – transgender yang takut diberi ceramah kaunseling. Sebab dia takut terjatuh hati kat Imam yang bagi ceramah tu. Dia mengaku pernah sukakan Imam yang bagi bimbingan untuk dia jadi lelaki balik. Saya bila baca tu macam Ok..huhu. Tapi sedih juga, bila ada satu part yang ramai maknyah buat kerja maksiat/ bila ditangkap banyak kali mereka akan buat lagi kerja yang sama sebab tak ada orang nak ambil mereka buat kerja lain, keluarga pun dah buang mereka, masyarakat pun takkan terima. Jadi mereka terpaksa balik ke jalan tu. Kesian.

Komik-komik dalam buku ni pula adalah ringkasan bergambar untuk mengilustrasikan setiap pengalaman yang ditulis. Bila baca buku ni, saya pun ada terbayangkan madrasah untuk golongan waria (mak nyah) di Indonesia. Golongan ni beragama Islam dan nak dalami Islam, ada ustaz yang membimbing dan semua yang ada situ waria, cuma tak buat dah kerja maksiat.

Saya rasa buku ini sangat best dan perlu dibaca orang ramai sebab dia lain daripada yang lain. Tak klise. Jarang nak dengar pengalaman orang sebegini, yang hakikatnya realiti. Sedih pun ada. Terus saya teringatkan yang saya kalau lalu Lorong Hj Taib tu saya sendiri pun takut. Pernah 2 tahun lepas pergi sebab ada program kebajikan bagi makan kat sana, saya dipanggil ‘makcik’ oleh ‘kakak’ yang tinggal di hotel bajet tu. Kelakar pun ada. Saya kongsikan bacaan ni bukanlah sebab nak promote LGBT ke apa, cuma terfikir ada sebab mereka jadi macam tu, dan kita pun janganlah cepat menghukum. Dan sebelum ni ternampak kat FB yang Mufti Wilayah ada approach golongan begini dan itu adalah usaha yang sangat baik. Semoga ditunjukkan kebenaran pada mereka dan kita.
Buku yang sangat membuka minda bagi saya.


Buku terbaik yang saya baca untuk 2017?

Kali ini saya pilih bacaan fiksyen. Kalau diikutkan saya bukanlah penggemar benar bacaan fiksyen ini. Tapi buku itu lain macam. 

Saya tercari-cari perkataan sesuai untuk menggambarkan buku itu. Apa yang menangkap jiwa saya untuk terlalu suka buku itu. Gaya tulisannya kah? Plot jalan ceritanya kah? Kesan humor, kesan sedih dan segala mainan perasaan dalam penceritaannya itu kah?

Yang pasti, penulisnya genius. Buku itu sangat sempurna bagi saya. Saya tercari-cari sompek dan bahagian buruk serta kesalahan dalam buku itu. Tidak ada. Masakan buku itu boleh sebegitu bagus? Atau saya yang tidak cukup ilmu untuk mengkritik buku? Ha ha ha.

Buku itu dihadiahkan kawan. Katanya itu buku lokal terbaik dia pernah baca. Saya pun wow! Hebat sangatkah? 

Saya cuba baca. Perenggan pertama pun dah buat hati saya menambat lekat pada buku itu. Kelakar. Kemudian saya terus dan terus dan terus membacanya.

Saya belum jumpa penulis yang menulis sebegini baik seperti dia. Maksud saya, cukup rencah. Otak saya merembes setiap kali saya baca fakta-fakta yang hebat dalam penceritaanya. Bukan semata cerita kosong. Dari cerita simbolik warna ke sejarah maharaja China, ah pendek kata macam sedang membaca penulis yang otaknya ada aplikasi google atau wikipedia. Hebat betul. Saya kagum dengan pengetahuan penulis. Mesti orangnya banyak mengembara.

Kemudian disulangi dengan lagu-lagu gurindam lama yang comel dan mencuit hati. Belum lagi banyak penggunaan tanda baca yang perlu dibaca mengikut apa yang penulis cadangkan supaya ceritanya kita faham, monolognya dapat ditangkap, ekspersinya dapat dibayang. Saya tak berhenti kagum pada penulisnya.

Buku itu buat saya conteng di setiap helaian mukasuratnya. Belum pernah saya baca buku fiksyen seperti membaca buku nota subjek pelajaran. Semua saya ambil serius. Saya rasa kalau saya jadi penulis, saya mahu menulis seperti dia. Walaupun ya, mungkin level dia terlalu tinggi buat saya, sekurang-kurangnya saya jadikan dia sebagai tanda ukur mungkin boleh membantu juga sedikit sebanyak penulisan saya.

Dalam buku itu. Mungkin ceritanya simple sahaja. Tapi jalan cerita, perasaan yang ada dalam itu. Diceritakan dengan gaya yang sangat memerhati, memahami dan mendalam terasa sampai sungguh dihati. Di waktu bahagian sedih itu, boleh meleleh airmata tanpa sedar. Apa cerita ini cerita yang penulis sendiri pernah alamikah? Kenapa begitu baik dia menulis? Seperti dia yang ditempat itu.

Apa lagi saya mahu kongsikan? Saya bimbang terberi spoiler. Haha. Maaf rakan-rakan sekalian. Rasanya kalian  perlulah membacanya sendiri. Kemudian nilailah.. Adakah saya terlalu memuji atau buku itu benar-benar bagus. Rasanya buku itu sahaja yang saya beri 5 bintang di Goodreads untuk tahun ini. Oh yaa.. Undian ramai pada buku itupun memang 5 bintang, nampaknya saya tidak bersendirian.

Kalau tak percaya, cubalah baca Dentang. Penulisnya Saharil Hasrin Sanin.


Sekian,
Terima kasih Buku Jalanan Titi.
Terima kasih cabaran 32 buku.

Friday, 10 November 2017


Merantau ke Deli sememangnya satu novel yang memberi kejutan besar kepada saya. Sebelum membaca, saya menyangka ia adalah novel kemasyarakatan, perbezaan darjat dan adat seperti kebiasaannya yang dibicarakan oleh Hamka. Ternyata sangkaan saya tersasar. 

Meskipun novel ini ditulis pada tahun 1930-an, namun watak-watak dalam novel ini, seperti Leman, Mariatun dan Poniem tidak lari jauh dari situasi  institusi keluarga tahun 2017 kini. 

Hamka menceritakan kisah rumah tangga Leman & Poniem yang pada asalnya, seperti mana kisah cinta yang lain, ia bermula dengan cinta pandang pertama dan mengenali hati budi. Di sini, Hamka merakamkan secara jelas dialog-dialog yang menggambarkan  perasaan dan harapan Poniem terhadap perkahwinan. Begitu juga Leman, sebagai lelaki  budiman yang sanggup menerima Poniem; wanita susah yang berlainan darjat sebagai isterinya yang disayangi dan dihormati. Namun kemudian, ada wanita lain yang hadir dalam hidup Leman, yang menyebabkan rumah tangga Leman dan Poniem tidak bertahan lama. Mereka berpisah. Secara luarannya, kisah ini adalah kisah biasa cinta 3 segi, yang kebiasaannya ada unsur tidak jujur serta khianat pada janji - ianya agak tipikal.


Namun begitu, dalam banyak-banyak buku pelbagai genre yang saya baca sebelum ini, Merantau Ke Deli masih tetap karya nombor satu yang saya mahu rekomen tuan puan membacanya. Mesejnya terlalu besar untuk dibiarkan tanpa dihadam, dikupas dan dibincangkan oleh pembaca terbanyak. Mengapa?


Pertamanya, disebalik kisah cinta 3 segi ini, Hamka mengajar bagaimana memanusiakan sunnah perkahwinan. Perkahwinan bukan tertakluk dengan hukum hakam dan adat resam semata-mata. Hamka cuba ketengahkan bahawa nilai manusiawi, adalah elemen paling utama dan asas dalam membuat penilaian dan tindakan. Bukanlah maksudnya beliau mengajak meninggalkan hukum hakam agama, tetapi secara peribadi, saya merasakan Hamka mengajak kita melihat perkahwinan dalam kacamata seorang manusia yang diciptakan dengan fitrah.


Keduanya, Hamka membawa kisah cinta 3 segi yang berakhir dengan poligami dalam perkahwinan, dan seterusnya perceraian. Kebiasaannya, perkahwinan poligami disanjung tanpa melihat ke isu yang paling asas - adakah ia membawa kepada Taqwa dan seterusnya memberikan ‘syurga dunia dan akhirat’ buat semua orang dalam keluarga? Kebiasaannya, ulama lelaki memilih memasukkan mesej keharusan wanita menerima pilihan suami mereka yang mahu berpoligami dengan isteri ke 2,3 dan 4 dengan menggunakan asbab poligami itu diharuskan agama; tanpa pula melihat syarat-syarat yang ketat. Nasihat-nasihat yang menggalakkan tuntutan ketaatan, kesetiaan sebelah pihak dari wanita diselitkan dalam dialog-dialog. Kata mereka, wanita solehah yang perlu redha dan menyokong keinginan suami didokong oleh hujah agama. Hanya yang indah sahaja diceritakan dan krisis keluarga  yang timbul kerana poligami dianggap sebagai taboo untuk dibincangkan. 

Imej wanita yang marah, berkecil hati, tidak bersetuju dengan pilihan suami mahu berisiteri lebih, digambarkan sebagai antagonis - watak jahat, memberontak, berakal satu dan bernafsu sembilan dan jahil agama.

Saya terkejut, kerana berlainan sekali mesej yang disampaikan Hamka.

Hamka memilih untuk menceritakan dilema dan resah gelisah Poniem sekiranya nanti suaminya Leman benar-benar jatuh cinta dan berkahwin dengan wanita lain; Mariatun.

Hamka dengan begitu halus sekali menggambarkan perasaan Poniem apabila suami yang dicintai itu akhirnya berkahwin dengan wanita lain. Apa yang bermain difikirannya apabila suami menyatakan hasrat berkahwin lagi. Apa ketakutan dan kebimbangannya bila ada wanita lain dalam keluarganya. Apa pengorbanan & 'adjustment' emosi dan fizikal yang perlu isteri pertama lakukan. Bagaimana Poniem 'memandang' masa depannya mulai kehadiran wanita lain dalam keluarganya

Sisi ini jarang difahami oleh lelaki, apatah lagi jika mereka memandangnya dengan kaca mata  agama dan adat semata-mata dan bukannya sisi kemanusiaan.

Agak menakjubkan bagi saya kerana, Hamka mampu mengulas perasaan wanita dengan tepat, tanpa perlu menjadi wanita. Hamka ‘gets it’.

Ketiga; Hamka menyambung dengan menceritakan situasi wanita yang ‘terduduk’ akibat gagal bertahan dalam perkahwinan poligami dan akhirnya diceraikan. Tidak seperti drama atau novel cinta biasa, wanita begini digambarkan seperti gagal dalam hidup selama-lamanya. Wanita seperti ini pasti akan disusuli dengan nasib buruk satu demi satu akibat keengganannya hidup rukun dengan suami bersama isteri barunya. 


Hamka memilih untuk mengambil naratif lain. Beliau mengajar wanita agar jangan tenggelam dengan nafsu kesedihan atau kemurungan. Melalui watak Poniem, Hamka mengajak agar wanita bangkit membina hidup yang baru, jauh meninggalkan episod luka dalam hidup. Wanita ‘selemah’ Poniem diceritakan mampu bangun dan berusaha mengubah nasib hidupnya sendiri.


Saya seperti mahu menyanjung novel ini, lebih-lebih lagi novel ini ditulis oleh seorang ulama yang mahir dengan ilmu tafsir Al-Quran. Beliau menyampaikan mesej dengan ruh al-quran dan hadis, tanpa perlu memetik ayat Al-Quran. Begitu eloquentsekali. 


Keempat; dalam novel ini, Leman gagal membezakan kaca dan permata. Sewaktu di’goda’ oleh kaca, Leman lelaki budiman, waras dan baik hati memilih untuk meninggalkan permata yang menjadi sanjungannya dahulu. Dalam hal ini, ironinya, sumpahan ‘Wanita berakal 1, nafsunya 9’ sebenarnya terkena kepada Leman, seorang lelaki.

Dengan agak sinis dan bersahaja, Hamka juga menyelitkan satu dialog yang diucapkan oleh Leman sendiri; yang memberi ‘tamparan’ kepada para lelaki - tidak kira ustaz atau bukan! 

Saya menyeru agar buku ini di baca oleh para lelaki dan wanita, terutamanya yang telah berkeluarga. Terlalu banyak mutiara yang dapat dikutip dalam novel ini. Sesungguhnya Hamka mengingatkan bahawa jangan sekali-kali lupa yang kita ini manusia. 

Jika ciri-ciri Leman ada pada anda, wahai lelaki diluar sana, sebelum terlambat, fahamilah perasaan 'Poniem', melalui apa yang ditinta oleh Hamka ini. Jika sekiranya terlanjur 'Poniem' yang anda sia-siakan bangun meninggalkan anda dan tidak menoleh kebelakang lagi, janganlah sesekali disesali.


Saya jarang sekali membaca buku berkenaan tema cinta. Apa yang menyebabkan saya mendapatkan buku ini adalah kisah seorang wanita bertemu “Train Main” yang ditularkan di beberapa portal berita. Kisah mereka bukanlah sesuatu yang asing dalam dunia orang bercinta. Ianya kisah tipikal cinta pandang pertama. Ia adalah penceritaan semula kerana mereka kini telah berkeluarga, mungkin telah melangkau 10 tahun. Kisah wanita dengan Train Main ini diceritakan umpama menulis diari - ini yang mendorong saya membaca buku This Modern Love kerana ia mempunyai format dan konsep yang hampir sama. 


Menghabiskan bacaan buku ini dalam masa 24jam; walaupun perlu dilakukan disamping kerja dan tanggungjawab lain bukanlah perkara susah, kerana ia memberi perasaan teruja sepanjang membaca. Secara asasnya, tema buku ini adalah bentuk bentuk cinta era moden; bagaimana cinta bermula, berkembang dan berakhir. Buku ini adalah kompilasi surat-surat, email, mesej dari twitter yang dihantar kepada penulis. Bayangkan anda membaca surat yang menceritakan kenangan manis, pahit, lucu, perasaan tertipu, khianat, kekecewaan, dan harapan. Kesemua ini adalah catatan peribadi, dan pengirim surat menceritakan ‘raw feeling’ mereka dan saya percaya ia sedikit sebanyak meringankan bebanan perasaan mereka. Mereka mengambil peluang ini untuk mencurahkan sehalanya yang terbuku dalam hati mereka. 


Apa yang saya dapat dari buku ini - bentuk cinta itu sama meskipun berbeza era dan zaman. Yang berubah adalah bagaimana orang dahulu dan kini menanggap cinta dan perhubungan. 50 tahun dahulu, manusia mencari  cinta untuk mendapatkan jaminan kestabilan, keselamatan dan kelangsungan. Era moden ini, manusia mencari cinta kerana mahukan teman hidup ‘soulmate’, teman sehidup dan semati, susah senang . Idea cinta sebegini  agak asing 50 tahun lalu. 


Untuk menghabiskan bacaan ini dalam masa 24jam, saya membahagikan waktu bacaan dengan bilangan tema atau ‘chapter’ dalam buku ini. Untuk  tema yang pertama ‘Beginning’, antara jam 9pm - 5am keesokkanya. Bahagian ke-2, ‘Middle’, antara 5am  - 1 pm. Bahagian ke-3, ‘End’ antara 1 pm - 8:17pm. Waktu yang ditetapkan untuk membaca dalam setiap pecahan masa agak fleksibel. Susunan begini ideal bagi saya kerana; saya dapat mengikuti aturan tema yang dibawa penulis dan menjiwai buku ini dengan berkesan. 


‘Beginning; dimulakan dengan surat-surat yang menceritakan cinta pandang pertama, bagaimana perkenalan berlaku; fasa malu-malu dan mencuba nasib untuk sentiasa berusaha menarik perhatian ‘dia’.  Fasa ini ada juga manisnya, walaupun tidak kurang yang berakhir dengan kekecewaan ‘bertepuk sebelah tangan’. Uniknya, tidak kira jika anda melalui fasa ini ketika  berusia 60 tahun, perasaan anda sama dengan remaja yang baru menemui cinta ketika 15 tahun. 


Pada pecahan jam seterusnya, saya membaca kisah-kisah mereka yang telah berkahwin 10-15 tahun yang menulis surat kepada pasangan mereka, untuk mengucapkan terima kasih dan penghanrgaan sepanjang hubungan mereka. Dalam banyak situasi, perhatian yang diberikan kepada perkara kecil lah yang memberi kebahagiaan berpanjangan kepada pasangan-pasangan ini. Mungkin ia kedengaran sedikit ‘cliche’, tetapi saya menjemput anda membaca bahagian ini, dan anda akan lihat perkara yang diceritakan dalam surat surat ini ada pada diri kita, pasangan atau mungkin ibubapa kita.


Episod tema seterusnya agak memberi sedikit tekanan kepada saya ketika membaca; kerana ia adalah surat-surat yang menceritakan ketidakjujuran dalam perhubungan, sikap penting diri yang mengeruhkan hubungan, perpisahan dan terhentinya perhubungan. Namun, disebalik episod pedih dan pahit, kita ‘menemui’ kekuatan diri sendiri untuk bangkit kehadapan. Sesuatu yang tidak akan kita temui tanpa melalui episod luka. Banyak kualiti yang baik lahir dari situasi ini - sifat percaya diri, memaafkan, empati dan positif terhadap pelbagai kebarangkalian dalam hidup. Tidak dinafikan, ia bukanlah sesuatu yang mudah.


Bacaan ini, amat mengujakan. Saya ‘menemui’ diri saya dalam pelbagai pengalaman yang dikongsi pembaca. Bagi saya, kesemua kisah dalam surat-surat ini, adalah kisah kita semua.

DAUN
(Pemenang anugerah Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009: Kategori Novel)

Untuk menghargai novel ini berserta pengarangnya, saya akan membahagikan ulasan buku kepada 4 bahagian iaitu 1) Biodata pengarang, 2) Sinopsis novel, 3) Kekuatan novel dan 4) Kelemahan novel. Semoga tulisan saya mampu mengulas karya hebat ini dengan baik dan cermat.

Ulasan novel Daun ditulis ini bersempena dengan tugasan dan cabaran terakhir bagi Cabaran 32 Buku anjuran Buku Jalanan Titi. Kami diminta untuk menulis buku terbaik yang telah dibaca pada tahun 2017 dan dirasakan wajar untuk dibaca sama oleh orang lain.

BIODATA MALIM GHOZALI P.K

Mohamed Ghozali bin Abdul Rashid atau nama penanya Malim Ghozali PK dilahirkan di Malim Nawar, Perak pada tahun 1949. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Gunung Panjang. Selepas lulus Sarjana Muda Sastera (Kepujian Kelas Dua Atas) dalam bidang Pengajian Melayu/Antropologi Sosial, Universiti Malaya pada tahun 1973, beliau mengambil Diploma Lepasan Ijazah, Pentadbiran dan Undang-Undang Perkapalan, Universiti Wales, United Kingdom pada tahun 1978.

Setelah menghasilkan novel pertamanya Redang (DBP: 1988), beliau mengembara ke Republik Suriname. Ketika mengikuti program Fellowship Penulisan Kreatif di Virginia Centre for Creative Artises, Amerika Syarikat, beliau menyiapkan novel keduanya Janji Paramaribo (DBP: 1990) yang berlatar belakang Republik Suriname.

Pada musim gugur 2007, beliau mengikuti International Writing Programme di Universiti Iowa, Amerika Syarikat. Pada Julai 2008, beliau terpilih sebagai pebimbing genre cerpen di bengkel Mastera, Bogor, Indonesia. Selain menulis cerpen dan novel, beliau turut menulis puisi dan esei, diterbitkan di pelbagai rumah penerbitan. Pak Malim merupakan penerima anugerah SEA Write Award 2013.

SINOPSIS RINGKAS DAUN

Novel ini menengenahkan konsep cerita dalam cerita. Sifar, seorang penulis dan pengajar seni kreatif di sebuah univerisiti sedang menyiapkan novel terbaru beliau, dengan Tan Da-U sebagai watak utama. Sifar aktif mengikuti siri kuliah khas yang dibimbing oleh Tuan Toha, guru tasawwuf terkenal dengan kealimannya. Justeru, atas desakan untuk menyebarkan keindahan Islam, Sifar sering menyampaikan ceramah dan seminar tentang kajian beliau terhadap kerancuan ideologi-ideologi barat dan kepentingan kembali depada Al-Quran. Usaha Sifar menerima tentangan daripada pelbagai pihak, terutamanya daripada AIDS (Angkatan Islam Dan Dakwah Serantau) dan JUN (Jabatan Ukhuwah Nasional), organisasi bernuansa liberal yang berselindung di sebalik topeng agama. Manakala, konflik yang dihadapi oleh Tan Da-U pula, bermula apabila usaha menyebarkan dakwah di Ulu Geruntum, perkampungan hulu orang asli dikacau oleh pihak pemaju tanah dan pembalak. Selain konflik agama dan politik, kedua-dua Sifar dan Tan Da-U turut menghadapi krisis cinta dengan wanita idaman hati, Wan Saerah dan Nelly. Cerita Sifar dan Tan Da-u bergerak selari. Dengan tamatnya cerita Sifar maka tamat juga cerita Tan Da-U.

KEKUATAN NOVEL

1)Pengajaran

Sejujurnya, saya merasakan Daun adalah kisah pengalaman Malim Ghozali P.K sendiri. Hal ini kerana Pak Malim pernah mengkaji mengenai sains Al-Quran sehingga terhasilnya The Profound Truth: Understanding Perfection. Pengalaman beliau ini ditumpahkan pula kepada bentuk karya kreatif menerusi watak Sifar. Manakala, cabaran kerenah birokrasi politik dan kelicikan pihak berkepentingan yang dihadapi oleh watak Tan Da-U diambil daripada pengalaman Pak Malim berkhidmat sebagai pegawai tadbir dan diplomatik selama 21 tahun.

Sesebuah cerita yang berkesan adalah apabila pengarang tidak membebel seperti ceramah mengenai mesej yang mahu disampaikan. Sebaliknya kesedaran atau pengajaran akan terbit di benak pembaca seiring dengan naratif. Tidak perlu perenggan yang berjela, dipetik ayat Al-Quran, diselit Hadis Nabi, ditulis segala ceramah sehingga membosankan pembaca. Daun adalah naskhah yang mengkritik sikap sebilangan masyarakat yang terpesona dengan kilauan palsu ideologi barat, sikap ahli politik yang hanya tahu menjaga tembolok sendiri, sikap pihak berkepentingan yang tidak kisah dengan nasib orang tertindas dan lain-lain kritikan. Ramai orang boleh berceramah tentang perkara-perkara ini, tetapi tak ramai yang mampu menggarap sebuah pengajaran dalam bentuk cerita.

2)Konsep cerita dalam cerita

Saya pernah 2 buah novel yang menggunakan konsep sama; D.U.B.L.I.N (Wan Nor Azriq, ITBM) dan Serigala (Lokman Hakim, Fixi). D.U.B.L.I.N menggunakan nota kaki sebagai pemisah antara 2 cerita. Serigala pula menggunakan bab dan kaedah pemerengganan bagi membezakan antara cerita.

Daun agak unik. Naratif Sifar dan Tan Da-U digabungkan dalam satu perenggan. Tiada sebarang pemisah nyata antara kedua-duanya. Ketika pembaca sedang leka menikmati salah satu sebuah cerita, tiba-tiba sahaja mood dan nature cerita berubah. Misalnya, saya sedang berkerut memarahi sikap Dr. Zaidah yang lancang menyebarkan fahaman pluralisme dan menyelar ceramah Sifar, tiba-tiba pada ayat seterusnya masuk cerita Tan Da-U sedang bermonolog mengingati kisah lampaunya.

Janggal? Tidak. Bahkan saya rasa sangat lancar membacanya. Pak Malim sangat pintar menyusun bahasa sehingga 2 cerita dengan mood berbeza berjaya digabungkan dalam sebuah perenggan. Adakalanya, situasi dan konflik dalam hidup Sifar dan Tan Da-U menjadi selari, kerana konflik yang dihadapi Sifar menjadi ilham untuk beliau meneruskan kisah Tan Da-U.

3)Falsafah “Dalam Daun Ada Daun”

Daun adalah objek yang sering diasosiasikan dengan takdir/usia/kehidupan. Riwayat sehelai daun, yang bermula dari warna hijau (muda) kepada coklat (tua) dan berakhir dengan gugur ke tanah (mati) sering kali dijadikan subjek kepada karya kreatif. Begitu juga dengan novel Daun.
Tetapi Daun di dalam novel ini, boleh diterjemahkan kepada 2 bentuk pemahaman. Daun=Cerita dan Daun=Takdir.

Daun=Cerita ditunjukkan jelas menerusi watak Sifar dan Tan Da-U. Dalam daun ada daun. Dalam cerita ada cerita. Malim Ghozali PK, seorang pengarang sedang menceritakan tentang Sifar, seorang novelis yang sedang menulis kisah tentang Tan Da-U, seorang jurufota di pekan kecil.

Daun=Takdir pula dapat dilihat lewat kisah cinta Sifar-Wan Saerah dan Tan Da-U-Nelly. Naratif cinta keduanya mengarah kepada pertemuan semula setelah berpisah sekian lama. Bezanya terletak pada pengakhiran pertemuan tersebut, sama ada mereka bersatu dalam sebuah perkahwinan atau berpisah untuk kebaikan bersama. Jadi adakah falsafah dalam daun ada daun yang mewakil takdir ini hanya tentang hal remeh seperti cinta? Oh. Tidak sahabatku. Ada persoalan tentang takdir yang lebih dalam dan berfalsafah terkandung dalam novel Daun. Sengaja saya tidak ceritakan, tak seronoklah begitu, kan?

P/s: Daun menjadi subjek pelajaran pertama Sifar dengan Tuan Toha dalam siri pengajian tasawwuf mingguan mereka. Mereka yang suka merenung maksud alam dan kehidupan mesti suka dengan ceritanya. Nak tahu macam mana bestnya, beli dan baca sendiri.

KELEMAHAN NOVEL

Tiada benar-benar sempurna dalam kehidupan. Pasti ada lompong di situ dan di sini. Begitu juga dengan novel Daun, walau sehebat mana saya angkat ia. Kelemahan novel Daun hanya terletak pada sebuah bahagian. Iaitu bahagian sewaktu Sifar membentangkan kertas kerja di sebuah persidangan tentang agama dan bangsa. Kritikan beliau terhadap kebobrokan ideologi pluralisme dan liberalisme sangat ringan, sekadar menyentuh permukaan. Hujah yang disampaikan hampir kosong. Maka, pertembungan idea tidak berlaku. Inilah bahagian di mana Pak Malim seperti berceramah di dalam novel (tetapi sikit sahaja, mujurlah) dengan menyumbat sebanyak mungkin ayat-ayat retorik tentang kembali kepada Islam tanpa inti kuat.

Pak Malim juga cenderung kepada pendekatan Bucailisme yang menyimpulkan bahawa Al-Quran mengandungi ilmu pengetahuan yang selari dengan penemuan sains moden abad kini. Pendekatan sebegini telah mengundang banyak kritikan dari para cendekiawan kerana Al Quran bukanlah kitab sains. Tidak semua ayat-ayat Al -Quran merujuk kepada fenomena alam yang boleh dikaji secara empirikal. Al Quran adalah kita peringatan dan petunjuk (Al-Huda, Az-Zikr), bukannya kitab informasi. Jadi, tak hairan kalau banyak lagi fenomena selain air laut dan air tawar tak bercampur, teori big bang, kulit ada 7 lapisan yang tak ditemui ayat di dalam Al Quran. Malah, Bucailisme ini akan menjadi bahaya kerana wahyu sifatnya tidak berubah. Kekal. Manakala, sains pula adalah sesuatu yang sentiasa berubah, seiring dengan pengetahuan dan pengalaman zaman. Kerana sains dikaji melalui pancaindera dan siri ujian. Wahyu tidak dicerap dengan akal semata, tetapi juga rohani. Ok cukup berceramah.

KESIMPULAN

Daun adalah novel yang sangat baik untuk dibaca. Pembaca akan menemui ramuan agama, politik, cinta, nostalgia, pengalaman kampung, falsafah, kekeluargaan dan lain-lain elemen yang tergaul dengan sebati. Kita tidak akan muak dengan kisah yang sudah dihidangkan. Cukup rasa.

Sebagai sebuah novel, Daun bukan sekadar berdiri sebagai sebuah cerita panjang, Pak Malim akan sekali sekala menyisipkan puisi di sela-sela naratif. Kerana watak Sifar dan Tan Da-U dibina sebagai penulis puisi juga. Sebagai pentup ulasan ringkas serba sederhana ini, saya turunkan satu rangkap puisi yang dahsyat dan wow bagi saya.

Kau mengajarku tentang daun
dalam daun ada daun
Kau mengajarku ilmu daun
dalam daun Kau mengajarku
daun di alam daun
punya nama punya raga
punya tenaga punya deria
Punya-Mu.


Selamat mencari dan membaca!


Naskhah yang saya baca ini merupakan edisi santai terbitan Wira Bukit Sdn Bhd, cetakan kedua tahun 2008. Saya menyatakan rumah penerbitan dan tahun cetakan kerana saya difahamkan Cinta Fansuri mempunyai banyak versi, kulit keras dan kulit lembut, daripada pelbagai rumah penerbitan. Hal ini menunjukkan Cinta Fansuri adalah sebuah naskhah dalam kelas tersendiri, dihargai dan disanjung oleh ramai pihak.

Cabaran Bacaan 32 anjuran Buku Jalanan Titi kali ini benar-benar menepati maksud ‘cabaran’. Kami semua diminta untuk memilih sebuah buku yang melebihi 151 mukasurat, kemudian menghabiskan bacaan dalam masa 24 jam. Setelah tamat bacaan pula, kami diminta untuk menghasilkan sebuah ulasan bagi buku tersebut ditambah dengan sebuah lagi ulasan tentang buku yang sudah dibaca sepanjang cabaran yang dirasakan wajar untuk dibaca sama oleh orang lain. Ternyata, pihak penganjur benar-benar serius untuk hanya memilih yang terbaik bagi dinobatkan sebagai juara dalam cabaran ini.

Saya masih teringat peristiwa sewaktu berkunjung ke sebuah kedai (stor?) buku terpakai di Puchong. Pemiliknya menegur saya sewaktu menghulurkan Cinta Fansuri bersama buku-buku lain untuk membuat bayaran. “Cinta Fansuri ini sukar dibaca. Saya tak faham jalan ceritanya.” Saya sekadar menghadiahkan sebuah senyuman kepadanya. Komen tersebut mungkin sekadar cara pemilik itu berbasa-basi dengan pelanggan. Sewaktu cabaran ini diumumkan, gerak hati saya kuat mengarahkan supaya memilih Cinta Fansuri. Entah mengapa, komen pemilik kedai buku yang sekadar angin lalu itu tiba-tiba berbekas dalam ingatan. Ia semacam memberikan sebuah persepi bahawa, ya, Cinta Fansuri adalah naskhah yang  sukar difahami. Saya memulakan bacaan dengan persepi itu di minda.

Novel ini bercerita tentang Fansuri, anak Melayu yang membawa diri bersama hati yang kecewa ke Paris dan menetap di sana selama hamper tiga dekad. Cinta tulusnya kepada Fahiyaton dibalas dengan penolakan kejam selama tiga kali dalam tempoh yang panjang, walaupun Fansuri sering mendengar ikrar cinta Fahiyaton pada awal percintaan terngiang-ngiang saban waktu.  Benar-benar menyakitkan.  Ini kisah cinta utama.

Seterusnya, novel ini turut menghidangkan kita kisah cinta Bambrio, tenaga pengajar bengkel menulis cerpen sejarah bersama Ratna Murni, dosen Universitas Gadjah Mada. Kasih Bambrio ditolak kerana Ratna Murni merasakan dia memiliki persepektif cinta yang rumit. Tidak berjejak.

 Dalam masa yang sama, pembaca dibawa untuk merasai kisah cinta antara Damri dan Wan Siriyah. Damri selaku penggerak utama novel adalah tenaga penagajar bengkel cerpen sejarah, seperti sahabatnya Bambrio. Damri pernah mengisyaratkan rasa hatinya kepada Wan Siriyah tetapi Wan Siriyah seperti sengaja mahu mengalihkan kepada topik yang lain. Atas kuasa cinta, Damri menyanggupkan diri untuk memenuhi permintaan Fahiyaton mencari Fansuri di Paris, meninggalkan tugas hakiki sebagai tenaga pengajar bengkel. Damri langsung tidak menghiraukan suasana Perang Teluk yang semakin membahang, memungkinkan nyawanya melayang.

Seperti tidak cukup dengan tiga kisah cinta pelbagai warna, kita dihadapkan pula dengan Kisah cinta lelaki Edang Epala, datuk kepada nenek 92 tahun yang sentiasa memulakan setiap perkataannya dengan huruf vowel, sehingga terbunuhnya ‘Uan Icad Ussel’. Kisah pertarungan merebut cinta di antara anak tempatan dengan lelaki Inggeris yang terkorban, dan mayatnya didapati terapung di sisi beberapa buah tembulus.

Cinta Fansuri adalah sebuah hikayat cinta yang dibina secara konvensional, permulaan-perkembangan-peleraian. Tetapi plotnya saling bertindihan. Ceritanya dianyam dengan tali benag penuh seni juga misteri. Ia membingungkan tetapi memuaskan. Saya telah memfokuskan sehabis daya untuk memahami setiap plot novel, terus menyangka saya sudah menguasai jalan cerita Cinta Fansuri.

Ah, ternyata saya silap. Permulaan dan pengakhiran novel yang tidak sampai sepertiga mukasurat itu telah menghenyak saya terdiam di kerusi duduk. Tiada konklusi pasti. Agaknya Pak Samad memang sengaja membiarkan teka-teki itu terus bergerak di minda pembaca.

Novel ini ditulis daripada pelbagai sudut pandang. Ada bahagian yang menggunakan “aku” sebagai pencerita. Ada juga yang menghalakan cerita dengan menggunakan “dia”. Naratif dalam pelbagai bentuk ini seperti kepingan jigsaw puzzle, terkadang mempunyai bentuk dan warna seakan sama. Pembaca perlu teliti dan bijak untuk meletakkan kepingan puzzle pada tempatnya untuk mendapatkan gambaran keseluruhan. Sayangnya, walaupun setelah semua kepingan puzzle disusun, gambar yang terhasil pula menjemput kepada pelbagai tafsiran.

Banyak elemen menarik dalam Cinta Fansuri. Pak Samad ada berbicara tentang konflik Saddam Hussein dan Bush dalam Peranfg Teluk. Krisis antara Iraq dan Kuwait. Perihal Di Negeri Belalang karya Anwar Ridhwan juga dimasukkan. Pak Samad turut menurunkan beberapa pandangan beliau terhadap sastera, yang menjadikan naskhah ini multi-ilmu.


Mungkin saya tidak berpuas hati kerana saya tidak memahami Cinta Fansuri, tetapi saya tetap jatuh cinta dengan langgam bahasa Pak Samad yang indah dan berseni.

Tuesday, 27 December 2016

Saya dikehendaki untuk membaca komik dan memberi review sudut positif berkenaan komik ini untuk cabaran yang kelima. Pada asalnya saya seperti tiada idea kerana saya baru sahaja meghabiskan komik Mat Som oleh Lat. Komik apakah lagi yang mampu beri impak positif selain daripada Mat Som ini?

Jelajah saya ke MPH Giant Senawang menemukan saya dengan komik Putera Katak, terbitan Kadokawa Gempak Starz Sdn Bhd. Dalam hati, ‘ah ini saja yang aku rasa paling baik dan boleh bari impak positif, hentam saja’.


Kalau anda terfikir tentang kisah dongeng putera yang bertukar menjadi katak dan perlu dicium untuk bertukar semula menjadi manusia, maka bayangan anda itu silap sama sekali. Kisah dalam komik ini adalah mengenai Leo, seorang budak lelaki kaki buli. Dia sering kali berasakan dirinya adalah seorang raja dan setiap orang mesti menuruti arahannya. Sikapnya ini berpunca daripada ketiadaan ibu bapanya di rumah kerana sering ke luar negara atas urusan kerja.

Leo sering mengejek Edward yang mukanya penuh dengan jerawat. Ruby juga menjadi mangsa Leo kerana kerap kali diejek kerana penampilannya. Kemuncak perbuatan Leo ini adalah apabila, dia telah memarahi seorang nenek tua yang terlanggar dia, (tanpa mengetahui itu adalah nenek Ruby). Dia terjumpa ahli sihir katak dan selepas itu mukanya berubah menggerutu seperti katak. Dia perlu berkelakuan baik dan tidak berbohong supaya mukanya kembali pulih. Kawan-kawannya yang dulu semua tidak mahu berkawan dengan Leo dan Edward juga telah bangkit menghina Leo. Akhirnya dengan pertolongan Ruby dan neneknya, dapat mengubah Leo menjadi seorang yang bertanggungjawab dan tidak lagi membuli orang lain.

Setiap orang yang jahat sentiasa ada peluang untuk bertukar untuk menjadi baik. Jiwa kanak-kanak juga murni, mereka mudah memaafkan, seperti Ruby yang tidak pernah berdendam dengan Leo walaupun pernah dibuli. Walaubagaimanapun, setiap orang yang jadi pembuli biasanya ada sejarah di sebaliknya, sebelum menghukum yang bukan-bukan, adalah baik untuk memeriksa dahulu.

Komik ini mampu memberi pengajaran yang baik untuk kanak-kanak supaya tidak menjadi orang yang suka menghukum orang lain dan menjadi orang yang tidak membazirkan masa serta berdikari.



Sunday, 20 November 2016

Cabaran 32 Buku 2016 (Cabaran ke 5 – Bagaimana Komik Menerapkan Ilmu Pengetahuan)



Advencer Yaya dan Fufu (AYdF) adalah perjalanan dua beradik ke seluruh dunia. Dua watak kanak-kanak ini diberikan karakter suka menolong kanak-kanak yang susah dan menderita kerana perbuatan jahat. Berbanding komik-komik lain, AYdF mengangkat tema utamanya iaitu hak asasi manusia.

Bagaimana mereka boleh mengembara ke seluruh dunia? Yaya mempunyai sebuah buku yang mempunyai kata-kata hikmah. Fufu pula mempunyai topi yang boleh membuka jendela dunia yang lain. Dengan menggunakan kedua alat ini, buku dan topi dimensi, mereka menjelajah dunia untuk membantu kanak-kanak yang dalam kesusahan.

Bagaimana tema besar seperti hak asasi manusia diajarkan kepada kanak-kanak melalui buku ini? Saya ringkaskan seperti berikut:
1.      Kartun atau ilustrasi berwarna dapat mensederhanakan tema besar
2.      Bahasa mudah, jelas dan tepat
3.      Kandungan yang tidak begitu tebal
4.      Rencah yang baik dengan ada magis, aksi dan pengajaran
5.      Watak utama kanak-kanak yang membuatkan kanak-kanak dekat dengan gambaran yang disediakan

Secara ringkas bagaimana AYdF memberi maklumat yang bertepatan tentang hak asasi manusia, dengan dialog diringkaskan seperti berikut:

“Yaya dan Fufu adalah perwira hak asasi manusia. Apakah itu hak asasi manusia? Setiap kanak-kanak di dunia ini dilahirkan setara. Kita berhak untuk pergi ke sekolah. Kita semua mesti hormat-menghormati. Jadi kita hormat orang lain walaupun mereka berbeza agama, bangsa, warna, jantina, tak kira miskin atau kaya kan, kak?”

Dalam komik pertama AYdF ini, kisah seorang budak perempuan berkulit hitam bernama Nia diselamatkan Yaya dan Fufu. Nia adalah mangsa buli disebabkan oleh warna kulit yang berbeza. Pembuli Nia, Zee menggunakan kata-kata kesat yang merendahkan Nia, mengejek ibu bapa, dan perbuatan fizikal yang lain seperti menolak Nia sehingga jatuh dan luka di lutut. Yaya menggunakan buku kata-kata hikmah memberi pengajaran kepada kanak-kanak pembuli. Selain mendapat hukuman, pembuli Nia mendapat pengajaran bagaimana mereka perlu bersikap. 

Ini adalah dialog Yaya menerangkan tentang tatacara hidup bermasyarakat kepada kumpulan pembuli Nia, 

“Datuk Adam kita berpesan, setiap cucu di dunia bagai air dengan tebing. Aur atau pokok buluh menumpang pada tebing untuk mendapat air, sementara tebing pula memerlukan aur ini supaya tidak mudah terhakis. Ini bermaksud kita hendaklah tolong-menolong. Kita di dunia ada berbagai-bagai bangsa dan warna kulit. Tak baik mengejek Nia. Tuhan mencipta kita manusia tidak sama supaya kita dapat berkawan.”

Komik AYdF ini juga indah. Disebalik mengalami perkara buruk dari pembuli, Nia adalah seorang pemaaf. Ketika kumpulan pembuli meminta maaf kepada Nia, Nia memaafkan kerana jiwanya besar. Zee juga mendapat pengajaran dan akhirnya mengubah perangainya yang buruk kepada lebih baik dengan menghargai Nia kerana bakat Nia yang pandai menyanyi. 

Komik ini sangat sesuai dibaca oleh kanak-kanak, dan lebih berkesan dengan adanya bantuan dari ibu bapa. Kesan khas dari pembacaan dan penerangan akan memberi impak kepada kanak-kanak sebagai pengajaran berguna untuk mereka memahami struktur masyarakat dengan Bahasa dan ilustrasi mudah serta menarik. 

Ada mesej luar sedar disampaikan seperti mengekalkan tradisi budaya, iaitu kata-kata hikmah yang ditinggalkan oleh generasi nenek moyang bernilai sepanjang zaman. Peranan orang dewasa seperti watak Tok Adam juga dimasukkan untuk memberi impak bahawa pengajaran juga boleh diperolehi dari orang-orang dewasa yang berpengelaman dan berhikmah.

Ilustasi 2D (2 dimensi) yang dilukis oleh Amin Landak ini sangat indah dan menenangkan. Buku-buku begini sekiranya ada banyak di pasaran, akan berupaya membentuk generasi muda yang sensitif kepada persekitaran dan cakna kepada hak asasi manusia. Isi kandungan yang ditulis oleh Faisal Tehrani seperti biasa berjaya meninggalkan kesan pengajaran dan solusi kepada masalah sekaligus. 

**** 

Reviu Buku: