.

.

Friday, 10 November 2017

Cabaran Akhir - Daun Oleh Iman Danial


DAUN
(Pemenang anugerah Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009: Kategori Novel)

Untuk menghargai novel ini berserta pengarangnya, saya akan membahagikan ulasan buku kepada 4 bahagian iaitu 1) Biodata pengarang, 2) Sinopsis novel, 3) Kekuatan novel dan 4) Kelemahan novel. Semoga tulisan saya mampu mengulas karya hebat ini dengan baik dan cermat.

Ulasan novel Daun ditulis ini bersempena dengan tugasan dan cabaran terakhir bagi Cabaran 32 Buku anjuran Buku Jalanan Titi. Kami diminta untuk menulis buku terbaik yang telah dibaca pada tahun 2017 dan dirasakan wajar untuk dibaca sama oleh orang lain.

BIODATA MALIM GHOZALI P.K

Mohamed Ghozali bin Abdul Rashid atau nama penanya Malim Ghozali PK dilahirkan di Malim Nawar, Perak pada tahun 1949. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Gunung Panjang. Selepas lulus Sarjana Muda Sastera (Kepujian Kelas Dua Atas) dalam bidang Pengajian Melayu/Antropologi Sosial, Universiti Malaya pada tahun 1973, beliau mengambil Diploma Lepasan Ijazah, Pentadbiran dan Undang-Undang Perkapalan, Universiti Wales, United Kingdom pada tahun 1978.

Setelah menghasilkan novel pertamanya Redang (DBP: 1988), beliau mengembara ke Republik Suriname. Ketika mengikuti program Fellowship Penulisan Kreatif di Virginia Centre for Creative Artises, Amerika Syarikat, beliau menyiapkan novel keduanya Janji Paramaribo (DBP: 1990) yang berlatar belakang Republik Suriname.

Pada musim gugur 2007, beliau mengikuti International Writing Programme di Universiti Iowa, Amerika Syarikat. Pada Julai 2008, beliau terpilih sebagai pebimbing genre cerpen di bengkel Mastera, Bogor, Indonesia. Selain menulis cerpen dan novel, beliau turut menulis puisi dan esei, diterbitkan di pelbagai rumah penerbitan. Pak Malim merupakan penerima anugerah SEA Write Award 2013.

SINOPSIS RINGKAS DAUN

Novel ini menengenahkan konsep cerita dalam cerita. Sifar, seorang penulis dan pengajar seni kreatif di sebuah univerisiti sedang menyiapkan novel terbaru beliau, dengan Tan Da-U sebagai watak utama. Sifar aktif mengikuti siri kuliah khas yang dibimbing oleh Tuan Toha, guru tasawwuf terkenal dengan kealimannya. Justeru, atas desakan untuk menyebarkan keindahan Islam, Sifar sering menyampaikan ceramah dan seminar tentang kajian beliau terhadap kerancuan ideologi-ideologi barat dan kepentingan kembali depada Al-Quran. Usaha Sifar menerima tentangan daripada pelbagai pihak, terutamanya daripada AIDS (Angkatan Islam Dan Dakwah Serantau) dan JUN (Jabatan Ukhuwah Nasional), organisasi bernuansa liberal yang berselindung di sebalik topeng agama. Manakala, konflik yang dihadapi oleh Tan Da-U pula, bermula apabila usaha menyebarkan dakwah di Ulu Geruntum, perkampungan hulu orang asli dikacau oleh pihak pemaju tanah dan pembalak. Selain konflik agama dan politik, kedua-dua Sifar dan Tan Da-U turut menghadapi krisis cinta dengan wanita idaman hati, Wan Saerah dan Nelly. Cerita Sifar dan Tan Da-u bergerak selari. Dengan tamatnya cerita Sifar maka tamat juga cerita Tan Da-U.

KEKUATAN NOVEL

1)Pengajaran

Sejujurnya, saya merasakan Daun adalah kisah pengalaman Malim Ghozali P.K sendiri. Hal ini kerana Pak Malim pernah mengkaji mengenai sains Al-Quran sehingga terhasilnya The Profound Truth: Understanding Perfection. Pengalaman beliau ini ditumpahkan pula kepada bentuk karya kreatif menerusi watak Sifar. Manakala, cabaran kerenah birokrasi politik dan kelicikan pihak berkepentingan yang dihadapi oleh watak Tan Da-U diambil daripada pengalaman Pak Malim berkhidmat sebagai pegawai tadbir dan diplomatik selama 21 tahun.

Sesebuah cerita yang berkesan adalah apabila pengarang tidak membebel seperti ceramah mengenai mesej yang mahu disampaikan. Sebaliknya kesedaran atau pengajaran akan terbit di benak pembaca seiring dengan naratif. Tidak perlu perenggan yang berjela, dipetik ayat Al-Quran, diselit Hadis Nabi, ditulis segala ceramah sehingga membosankan pembaca. Daun adalah naskhah yang mengkritik sikap sebilangan masyarakat yang terpesona dengan kilauan palsu ideologi barat, sikap ahli politik yang hanya tahu menjaga tembolok sendiri, sikap pihak berkepentingan yang tidak kisah dengan nasib orang tertindas dan lain-lain kritikan. Ramai orang boleh berceramah tentang perkara-perkara ini, tetapi tak ramai yang mampu menggarap sebuah pengajaran dalam bentuk cerita.

2)Konsep cerita dalam cerita

Saya pernah 2 buah novel yang menggunakan konsep sama; D.U.B.L.I.N (Wan Nor Azriq, ITBM) dan Serigala (Lokman Hakim, Fixi). D.U.B.L.I.N menggunakan nota kaki sebagai pemisah antara 2 cerita. Serigala pula menggunakan bab dan kaedah pemerengganan bagi membezakan antara cerita.

Daun agak unik. Naratif Sifar dan Tan Da-U digabungkan dalam satu perenggan. Tiada sebarang pemisah nyata antara kedua-duanya. Ketika pembaca sedang leka menikmati salah satu sebuah cerita, tiba-tiba sahaja mood dan nature cerita berubah. Misalnya, saya sedang berkerut memarahi sikap Dr. Zaidah yang lancang menyebarkan fahaman pluralisme dan menyelar ceramah Sifar, tiba-tiba pada ayat seterusnya masuk cerita Tan Da-U sedang bermonolog mengingati kisah lampaunya.

Janggal? Tidak. Bahkan saya rasa sangat lancar membacanya. Pak Malim sangat pintar menyusun bahasa sehingga 2 cerita dengan mood berbeza berjaya digabungkan dalam sebuah perenggan. Adakalanya, situasi dan konflik dalam hidup Sifar dan Tan Da-U menjadi selari, kerana konflik yang dihadapi Sifar menjadi ilham untuk beliau meneruskan kisah Tan Da-U.

3)Falsafah “Dalam Daun Ada Daun”

Daun adalah objek yang sering diasosiasikan dengan takdir/usia/kehidupan. Riwayat sehelai daun, yang bermula dari warna hijau (muda) kepada coklat (tua) dan berakhir dengan gugur ke tanah (mati) sering kali dijadikan subjek kepada karya kreatif. Begitu juga dengan novel Daun.
Tetapi Daun di dalam novel ini, boleh diterjemahkan kepada 2 bentuk pemahaman. Daun=Cerita dan Daun=Takdir.

Daun=Cerita ditunjukkan jelas menerusi watak Sifar dan Tan Da-U. Dalam daun ada daun. Dalam cerita ada cerita. Malim Ghozali PK, seorang pengarang sedang menceritakan tentang Sifar, seorang novelis yang sedang menulis kisah tentang Tan Da-U, seorang jurufota di pekan kecil.

Daun=Takdir pula dapat dilihat lewat kisah cinta Sifar-Wan Saerah dan Tan Da-U-Nelly. Naratif cinta keduanya mengarah kepada pertemuan semula setelah berpisah sekian lama. Bezanya terletak pada pengakhiran pertemuan tersebut, sama ada mereka bersatu dalam sebuah perkahwinan atau berpisah untuk kebaikan bersama. Jadi adakah falsafah dalam daun ada daun yang mewakil takdir ini hanya tentang hal remeh seperti cinta? Oh. Tidak sahabatku. Ada persoalan tentang takdir yang lebih dalam dan berfalsafah terkandung dalam novel Daun. Sengaja saya tidak ceritakan, tak seronoklah begitu, kan?

P/s: Daun menjadi subjek pelajaran pertama Sifar dengan Tuan Toha dalam siri pengajian tasawwuf mingguan mereka. Mereka yang suka merenung maksud alam dan kehidupan mesti suka dengan ceritanya. Nak tahu macam mana bestnya, beli dan baca sendiri.

KELEMAHAN NOVEL

Tiada benar-benar sempurna dalam kehidupan. Pasti ada lompong di situ dan di sini. Begitu juga dengan novel Daun, walau sehebat mana saya angkat ia. Kelemahan novel Daun hanya terletak pada sebuah bahagian. Iaitu bahagian sewaktu Sifar membentangkan kertas kerja di sebuah persidangan tentang agama dan bangsa. Kritikan beliau terhadap kebobrokan ideologi pluralisme dan liberalisme sangat ringan, sekadar menyentuh permukaan. Hujah yang disampaikan hampir kosong. Maka, pertembungan idea tidak berlaku. Inilah bahagian di mana Pak Malim seperti berceramah di dalam novel (tetapi sikit sahaja, mujurlah) dengan menyumbat sebanyak mungkin ayat-ayat retorik tentang kembali kepada Islam tanpa inti kuat.

Pak Malim juga cenderung kepada pendekatan Bucailisme yang menyimpulkan bahawa Al-Quran mengandungi ilmu pengetahuan yang selari dengan penemuan sains moden abad kini. Pendekatan sebegini telah mengundang banyak kritikan dari para cendekiawan kerana Al Quran bukanlah kitab sains. Tidak semua ayat-ayat Al -Quran merujuk kepada fenomena alam yang boleh dikaji secara empirikal. Al Quran adalah kita peringatan dan petunjuk (Al-Huda, Az-Zikr), bukannya kitab informasi. Jadi, tak hairan kalau banyak lagi fenomena selain air laut dan air tawar tak bercampur, teori big bang, kulit ada 7 lapisan yang tak ditemui ayat di dalam Al Quran. Malah, Bucailisme ini akan menjadi bahaya kerana wahyu sifatnya tidak berubah. Kekal. Manakala, sains pula adalah sesuatu yang sentiasa berubah, seiring dengan pengetahuan dan pengalaman zaman. Kerana sains dikaji melalui pancaindera dan siri ujian. Wahyu tidak dicerap dengan akal semata, tetapi juga rohani. Ok cukup berceramah.

KESIMPULAN

Daun adalah novel yang sangat baik untuk dibaca. Pembaca akan menemui ramuan agama, politik, cinta, nostalgia, pengalaman kampung, falsafah, kekeluargaan dan lain-lain elemen yang tergaul dengan sebati. Kita tidak akan muak dengan kisah yang sudah dihidangkan. Cukup rasa.

Sebagai sebuah novel, Daun bukan sekadar berdiri sebagai sebuah cerita panjang, Pak Malim akan sekali sekala menyisipkan puisi di sela-sela naratif. Kerana watak Sifar dan Tan Da-U dibina sebagai penulis puisi juga. Sebagai pentup ulasan ringkas serba sederhana ini, saya turunkan satu rangkap puisi yang dahsyat dan wow bagi saya.

Kau mengajarku tentang daun
dalam daun ada daun
Kau mengajarku ilmu daun
dalam daun Kau mengajarku
daun di alam daun
punya nama punya raga
punya tenaga punya deria
Punya-Mu.


Selamat mencari dan membaca!

No comments: