.

.

Friday, 21 April 2017

REVIEW KEDUA - Creative Parenting Today oleh Ainin Sofia

Penulis: Andi Yudha

Cabaran kedua yang diberikan oleh penganjur untuk 32 cabaran buku kali ini ialah ulasan kepada buku yang diminati oleh ahli keluarga kita. Bagi aku, cabaran ini tinggal untuk memilih orangnya sahaja, kerana rata-rata ahli keluarga aku memang suka membaca buku. Jadi, untuk mendapatkan buku dalam masa yang cepat sebelum aku memulakan bacaan, aku memilih kakakku untuk memcadangkan buku kegemarannya kerana lokasi rumahnya yang dekat dengan kampusku.

Pilihan buku kesukaannya adalah buku genre keibubapaan, iaitu buku terjemahan Indonesia yang bertajuk Creative Parenting Today, karya penulis Indonesia Andi Yudha. Minat dan cinta penulis pada dunia kanak-kanak dan hal kreativiti anak-anak mendorong beliau untuk aktif menganjurkan seminar, bengkel, talkshow dan sebagainya untuk berkongsi kepada masyarakat tentang ilmu keibubapaan. Beliau juga adalah pensyarah kreativiti, komik dan pembelajaran serta penulis kepada beberapa buku lain. Jadi, tidak hairanlah isi penulisan buku ini sangat mantap dan padat, penuh dengan bimbingan tip tip praktikal. Apa yang aku sangat suka adalah, buku ini tidak hanya berteori semata-mata. Mendalam, tidak hanya pada permukaan. Begitu jugalah dengan kakakku. Banyak mukasurat buku ini ditanda, tanda bahagian penting untuk dipraktik kepada anak-anaknya.

Buku ini memulakan pengisian bukunya dengan menjelaskan maksud kreatif itu sendiri supaya pembaca jelas akan hala tuju mesej yang ingin disampaikan oleh penulis kerana kita boleh saja mempunyai pentafsiran berbeza-beza. Buku ini juga merangkumi tajuk mengapa ibu bapa perlu kreatif, dasar dasar mendidik anak, mengenal dunia anak, perangsang karakter positif dan kreativiti anak, cara melatih diri untuk berfikir kreatif, pengalaman dan tip-tip praktikal komunikasi yang menyeronokkan dengan anak. Tajuknya pula iaitu ‘Creative Parenting Today’ sangat menarik kerana tajuk ini jelas merujuk kepada cara kreatif  membimbing anak anak pada zaman terkini, terus mengangkat kerelevanan buku ini pada tahap masa sekarang.

Seiring dengan masa dan teknologi, anak-anak kita kita juga membesar dengan cara yang agak berbeza berbanding dengan kita, impak daripada kehadiran gajet dan sebagainya. Tidak sama dengan zaman dahulu baik daripada segi persekitaran, rancangan televisyen, cara bermain, cara pembelajaran dan sebagainya. Ibu bapa tidak boleh terikat dengan cara mereka belajar dahulu dan memaksa anak-anak mereka juga membesar sama seperti mereka membesar. Di sinilah ibubapa perlu kreatif. Mereka tidak boleh bergantung kepada memori mereka untuk membesarkan serta mendidik anak-anak tetapi mengambil pendekatan yang sesuai dengan zaman anak-anak.

Buku ini tampak nipis tetapi berjaya mengalahkan sangka-sangka yang mempersoalkan tentang kualiti dan isinya. Turut dijelaskan, ‘parenting’ serbenarnya bermula daripada saat kita memilih pasangan kita kerana pasangan kita secara tidak langsung atau secara langsung akan membentuk peribadi anak-anak. Seterusnya, pendidikan awal untuk anak-anak bermula ketika bayi itu di dalam kandungan ibunya. Di dalam buku ini, bayangkanlah, berinteraksi dengan janin pun dideksripsikan secara terperinci, tentang cara-cara, bagaimana dan kenapa pentingnya interaksi janin dengan ibubapanya, baik dari segi teknik sentuhan, muzik atau cerita. Malah, cadangan cadangan setiap langkah turut disertakan, bukan hanya sekadar penyataan ayat, tetapi dengan bimbingan terperinci. Sangat sesuai untuk ibu bapa muda dan ibu bapa kali pertama.
Contoh lain adalah memilih alat permainan untuk anak. Aku pun baru sahaja tahu rupa-rupanya terdapat kod untuk alat permainan elektronik seperti EC (early childhood, KA (kids to adult), T (teen) , M (mature) , A (adult) agar mudah kita membelikan alat permainan anak-anak yang sesuai dengan fasa umur mereka. Aku pernah mengajar dan menjaga kanak-kanak di tadika Montessori dan aku tahu betapa susahnya mengawal mereka kerana fokus kanak-kanak ini sangat pendek. Jadi, buku ini sangat berguna untuk kita memahami dunia kanak-kanak seterusnya memudahkan kita menjaga, mendekati dan mengajar mereka dengan nilai-nilai yang baik. 
Aku tertarik dengan petikan kata-kata ulama Imam Ghazali di dalam buku ini tentang bermain, iaitu “anak kecil perlu diberikan kesempatan untuk bermain. sekiranya mereka dilarang bermain dan disuruh belajar sahaja, itu akan mematikan hati, mengurangkan kecerdasan dan menyebabkan mereka bosan dengan kehidupan. akibatnya, mereka akan selalu mencari alasan bagi menjauhkan diri daripada keadaan yang rumit dan sulit”. Betapa bermain adalah satu pekerjaan yang serius untuk kanak-kanak! Ini adalah fakta, kerana ia disokong oleh kajian saintis iaitu otak kanak-kanak yang jarang bermain didapati adalah 30% lebih kecil berbanding otak anak-anak normal yang sebaya dengannya. Bermain sangat membantu sistem motor kasar dan halus, konsentrasi, kosakata dan tatabahasa serta dapat melatih pengurusan diri, kesabaran, imaginasi kanak-kanak.

Walaubagaimanapun, permainan elektronik contohnya, perlulah dikawal kerana terdapat kesan positif dan negatif kepada anak-anak. Contohnya, kesan positif yang didapati pada kanak-kanak ialah pada hal koordinasi, konsentrasi, tindak balas, kecekapan tangan, kecerdasan otak logik dan matematik mereka. Pada sisi negatif pula, bermain permainan elektronik secara berlebihan dapat mengganggu aktiviti sosial dan fizikal anak-anak. Di sinilah peranan ibu bapa dalam memantau anak-anak mereka bermain, dalam masa yang sama, belajar melalui permainan tersebut.

Pendidikan untuk kanak-kanak pula, disesuaikan dengan perkembangan anak-anak, kerana perkembangan anak-anak daripada sudut fizikal, motorik, kognitif dan psikologi juga adalah berperingkat. Di dalam buku ini, penulis menerangkan cara-cara kita mendidik anak-anak yang menitikberatkan setiap sudut fizikal, motorik, kognitif dan psikologi yang sesuai pada setiap fasa umur mereka. Tahap kepandaian kanak-kanak juga bervariasi. Ibu bapa harus memandang luas tentang perihal ‘pandai’ anak-anak. Mungkin kepandaian mereka menyerlah pada sisi ini, tetapi tidak pada sisi yang lain. Ibu bapalah yang berperanan mengenal pasti dan menjadikan bakat dan kepandaian mereka dalam sisi yang tertentu untuk mereka mengenal diri mereka sendiri seterusnya memudahkan mereka belajar pada fasa yang seterusnya. Mudahlah bagi ibubapa untuk mendidik anak-anak apabila mereka tahu kecenderungan anak-anak mereka samada melalui kecenderungan visual, audio atau kinestatik. Formula mudahnya adalah GSG iaitu gambar, suara atau gerakan.

Tips berkomunikasi dengan anak pula dikongsi penulis sehingga panjangnya sebanyak 3 mukasurat! Secara tidak langsung, ini menggambarkan komunikasi ibubapa dan anak-anak sangat penting untuk tumbesaran, pembelajaran dan pendidikan anak-anak. Terdapat pelbagai jenis cara komunikasi ibubapa dengan anak anak iaitu kuku besi, permisif, tidak peduli dan demokratik. Selain itu, pelbagai jenis tips yang dikongsikan penulis dalam buku ini. Antaranya ialah melatih anak menghadapi masalah, melatih gemar membaca dan sebagainya.

Aku sangat suka pada bahagian tentang bagaimana ibu bapa menerapkan budaya membaca pada anak-anak. Contohnya untuk merangsang anak-anak membaca, kita boleh bermula daripada mereka masih bayi dengan cara kita membiarkan mereka memegang, melihat malah menggigit buku! Seiring dengan usia mereka, biasakan anak-anak dengan buku-buku bergambar serta komik untuk merangsang minat membaca mereka.

Rupa-rupanya, melatih anak-anak gemar membaca tidak hanya terikat pada buku fizikal dan cara-caranya tidak terus kepada buku. Bukan hanya pada buku, nota-nota kecil juga boleh kita gunakan untuk melatih mereka membaca, termasuklah menggalakkan mereka mambaca tulisan-tulisan pada kotak atau makanan. Bermain aktiviti silang kata juga membantu meningkatkan minat mereka untuk berjinak-jinak dengan buku. Jika anak-anak kita sangat aktif dan sukakan permainan luar pula, ibu bapa perl​u kreatif untuk  mengaitkan aktiviti harian mereka dengan buku
​.

No comments: