Ini adalah review saya untuk cabaran kedua. Buku yang
dicadangkan oleh adik saya adalah sentuhan Al Akh karya Inspector Saahab
penerbitan Wahai!
Buku ini adalah tentang persahabatan. Kekeluargaan.
Kehidupan. Emosi. Jiwa. Buku ini adalah tentang sentuhan. Bukan sentuhan yang
biasa-biasa tapi sentuhan al akh yang
cukup luar biasa. Begitulah antara sinopsis yang dinyatakan dibelakang buku
ini. Buku ini terdiri daripada 36 bab dan 243 muka surat. Setiap bab
menceritakan tema yang berbeza. Secara generalnya, buku ini mengisahkan tentang
suasana dan pengalaman pahit manis serta ‘sentuhan-sentuhan’ nurani mengenai
kehidupan tarbiyah seorang al akh. Buku ini juga mengupas sedikit sebanyak
tentang permasalahan yang berlaku dalam kehidupan tarbiyah seseorang secara
santai dalam bentuk dialog dan monolog.
Pada mulanya apabila adik saya mencadangkan buku ini saya
agak sedikit terkesima. Al maklumlah sangat jarang untuk membaca buku-buku versi
tarbiyah. Setelah menghabiskan bacaan, banyak peringatan mengenai amalan dan
sikap kita lebih-lebih lagi sebagai seorang Muslim yang saya dapati daripada
buku ini. Buku ini sesuai dibaca oleh semua orang terutamanya mereka yang berada
di ‘jalan dakwah’. Hal ini kerana, setiap bab dalam buku ini mengisahkan
pengalaman penulis berada di ‘jalan dakwah’ dan boleh dijadikan panduan pada masa
akan datang. Saya boleh katakan buku ini adalah buku nasihat kerana setiap bab menyampaikan
mesej bersarat nasihat.
Apabila saya tanyakan kepada adik saya mengapa memilih
buku ini, dia menyatakan buku ini antara buku yang berjaya menyuntik
semangatnya untuk berbakti kepada agama. Sebagai seorang Muslim,kita mempunyai
tanggungjawab untuk menyampaikan atau dalam kata lain berdakwah kepada orang
lain mengikut cara masing-masing. Tangungjawab berbakti kepada agama bukan
terletak pada mereka yang bergelar ustaz/ustazah ataupun ‘budak usrah’ sahaja tetapi
kepada semua yang bergelar Muslim.
Sebenarnya saya agak sedikit terkejut apabila adik saya
memilih buku ini kerana dia bukan ‘budak usrah’ dan hanya seorang budak lelaki
biasa yang suka menyendiri dalam bilik. Rupa-rupanya dia meminjam buku kawan
baiknya yang merupakan seorang yang agak aktif di ‘jalan dakwah. Saya mengenali
adik saya sebagai seorang yang tidak kisah akan hal sekeliling kerana sikap
introvertnya itu tetapi tidak sangka pula dia mahu berbakti kepada agama!
Akhir sekali, bukan mudah untuk berada di jalan yang
tidak dipilih semua orang tetapi pengalaman itu cukup berharga, begitulah apa
yang dapat saya simpulkan daripada buku ini. Buku yang ringkas dan santai serta
penuh dengan nasihat yang berguna.
Selamat membaca!
No comments:
Post a Comment