Namamu.. = Your Name = Kimi no na wa (Makoto
Shinkai)
Kali ini, bagi cabaran Kedua Buku Jalanan Titi, saya
memilih buku Namamu (Your Name/Kimi no na wa) oleh Makoto Shinkai yang
dicadangkan adik saya. Buku ini terdiri daripada 212 muka surat, merupakan
terjemahan Bahasa Melayu daripada edisi asal Bahasa Jepun dan diterbitkan oleh
Kadokawa Gempak Starz. Pasti anda pernah dengar tajuk buku ini bukan? Ia telah
tercatat sebagai salah satu filem animasi yang mencatat kutipan paling tinggi
di Jepun tahun lepas. Bahkan muka hadapannya sendiri menunjukkan salah satu
babak daripada filem tersebut, saya tidak pasti sama ada poster filemnya atau
tidak. Adik lelaki saya ini sentiasa mencipta kejutan, dan saya sebenarnya
tidak menyangka dia membaca buku novel kerana kebanyakan bahan bacaannya
sebelum ini lebih bersifat komik. Tambahan pula, bacaannya sebelum ini bersifat
pengembaraan atau aksi, jadi hairan juga bagaimana dia boleh tertarik untuk
membaca buku sebegini. Tidak seperti ahli keluarga lain yang kami berkongsi
genre yang lebih kurang iaitu bacaan umum atau motivasi.
Sebelum bermula, mari saya ceritakan sedikit tentang
novel ini, ia merupakan kisah tentang parallel world. Bukan kisah tipikal
pertukaran badan lalu jatuh cinta tetapi lebih besar daripada itu. Pernahkah
anda alami déjà vu? Ia menceritakan di sebalik déjà vu sebenarnya ada lebih
daripada itu, pencarian sesuatu yang anda sendiri tidak pasti apakah ia.
Mitsuha ialah seorang pelajar perempuan sebuah sekolah
menengah di Itomori, Jepun. Sebuah bandar dikelilingi tasik dan gunung di mana
penduduknya mengenali antara satu sama lain. Dia dan adiknya, Yotsuha tinggal
bersama nenek mereka yang berpegang teguh pada adat resam keluarga (malah
pemilik tokong) sejak kematian ibunya ketika kelahiran Yotsuha.Ayahnya pula
ialah Datuk Bandar di Itomori yang tidak percayakan adat resam, mengalami
konflik dengan ibu mertuanya dan tegas terhadap anak-anaknya. Baginya adat
resam adalah karut dan itu yang menyebabkan dia kehilangan isterinya. Hidup di
Itomori sangat tenang buat Mitsuha, bahkan terlalu membosankan sehinggakan dia
dan sahabatnya (Sayachin dan Tesshi) mengimpikan untuk keluar ke bandar, tempat
yang berbeza dan meneroka kehidupan baru. Kota yang ada McD, kafe,
jaringan internet laju dan mereka boleh capai apa sahaja yang mereka inginkan.
Taki pula ialah seorang pelajar lelaki dari sebuah
sekolah menengah di Tokyo. Tinggal bersama rakan-rakan, bekerja part-time di
café untuk memperoleh pendapatan, hidup amat sibuk bagi Taki. Sehinggalah suatu
hari dia bermimpi menjalani sebuah kehidupan yang jauh berbeza di Itomori,
sebagai seorang perempuan! Mimpi yang pelik, malah berulang.
Mitsuha juga beberapa kali bermimpi berkejar ke stesen
kereta api dan bekerja di restoran, sebagai seorang lelaki menikmati makanan
enak di café seperti yang diharapkannya selama ini. Mimpi yang sangat pelik,
terasa sangat benar dan juga berulang.
Semua yang diingatkan mimpi rupanya terjadi nyata dan
mereka mengetahuinya melalui reaksi orang sekeliling, tarikh dan diari yang
ditulis Taki dalam telefon. Mereka memang bertukar badan dalam tempoh itu,
kemudian anehnya, mimpi itu tiba-tiba tidak lagi terjadi. Tapi bagaimana
mungkin ini terjadi? Adakah ini yang disebutkan sebagai parallel world,
sebenarnya pada dimensi berbeza, ada seorang lagi anda di luar sana? Rupanya
takdir menemukan mereka atas satu sebab dan ini pula ada kaitannya dengan
kejadian jatuhan Komet Tiamat (komet berskala besar) yang mempunyai ekor
bercahaya biru tiga tahun sebelum itu. Tiada siapa menjangka impaknya akan
memusnahkan sebegitu banyak benda dan mengorbankan banyak nyawa. Paling
terjejas,bandar Itomori yang musnah dan ramai meninggal termasuk Mitsuha dan
rakan-rakannya, tapi dia baru sahaja menjadi Mitsuha beberapa bulan lepas, dan
itu adalah mustahil! Dan paling malang bila Taki (dan Mitsuha) mula perlahan
hilang ingatan tentang peristiwa yang mereka alami dan malah lupa nama
masing-masing. Mereka seperti saling tidak mengenali tapi mereka yakin mereka
mencari seseorang itu. Tapi siapa dan apa namanya?
Ia sangat diadun dengan baik apabila ada juga
pertembungan antara astrofizik (komet), adat resam Jepun (kumihimo) dan hikayat
tali merah berkenaan takdir di Jepun. Bagi rakyat Jepun, mereka percaya bahawa
dua orang yang ditakdirkan untuk bertemu disambungkan oleh tali merah di hujung
jari kelingking mereka. Kumihimo pula ialah gelang tangan tradisi masyarakat
Jepun yang dipercayai ada hubungan istimewa dengan dewa, dan roh selain masa
yang berlalu.
Ceritanya sangat menarik, maksud saya anda tidak akan
dapat menjangkakan apa yang terjadi. Anda berjumpa orang yang baru dan rasa
seperti anda telah mengenalinya untuk suatu tempoh yang lama. Persoalan
“Pernahkah kita berjumpa sebelum ini?” , “Saya rasa seperti pernah berada di
tempat ini” walaupun seingat kita, kita tidak pernah menjejakkan kaki/berjumpa
sebelum itu. Tapi perasaan Taki dan Mitsuha, mereka dalam keadaan mencari
sesuatu, dan sebenarnya pencarian ini turut membantu mengelakkan sebuah tragedi
besar. Terlalu banyak persoalan yang muncul tapi ke akhir cerita semuanya bagai
melengkapkan kepingan dari jigsaw puzzle. Pengakhirannya digarap dengan sangat
cantik. Berjayakah Taki dan Mitsuha merungkai persoalan yang terjadi dalam hidup
mereka sebelum ini? Ini anda kena cari buku ini dan baca sendiri, hehe.
Sebenarnya, perbezaan antara kami ialah adik saya membeli
buku ini baru mengetahui kewujudan filemnya, itupun selepas saya memberitahu
manakala saya hanya pernah membaca reviu filem di laman muka buku dan sama
sekali tidak mengetahui kewujudan buku ini. Kami menonton filem ini bersama
tapi hanya selepas adik saya menghabiskan bacaannya dan saya belum pernah
membacanya . Biasanya anime dicetak kembali dalam bentuk novel grafik tapi kali
ini dalam novel santai. Beberapa kali pula dia khatam buku ini, manakala saya,
hendak habiskan satu pun sukar. Terdapat beberapa sebab atas kesukaran itu yang
akan saya jelaskan kemudian.
Pertama, sebenarnya saya sudah menonton filemnya sebelum
membaca. Jadi, membacanya seperti membaca kembali skrip filem. Agak mendatar,
mungkin kerana filemnya sudah meletakkan benchmark yang tinggi. Oh ya, tidak
seperti adaptasi lain daripada buku ke filem. Novel ini merupakan adaptasi
daripada filem animasi yang sudah dikeluarkan. Kalau biasa kita dengar adaptasi
novel/buku ke filem kan? Jadi rasanya mungkin sebab itu novel ini agak
mengecewakan saya. Filemnya ada essence atau sinematografi yang sangat cantik,
membantu pergerakan jalan cerita. Sedangkan novelnya terasa sangat kering,
maksud saya tidak dapat menggambarkan perasaan sama seperti sewaktu menonton
filemnya. Jadi saya sendiri agak tidak faham bagaimana adik saya boleh
menghabiskannya sehingga beberapa kali, walaupun setelah menonton ceritanya.
Kedua, mungkin kerana ia berbentuk terjemahan jadi banyak
perkataan dalam bahasa melayu bagi saya tidak menggambarkan suasana yang sama
dalam filemnya. Mungkin untuk memudahkan pemahaman, seperti menonton telenovela
yang dialih suara. Mungkin maksudnya sampai tapi entahlah, agak kelakar
rasanya. Walau bagaimanapun, saya rasa bertepatan dengan genrenya sebagai novel
ringan, cuma filemnya sangat cantik dan membuatkan adaptasi novelnya tidak
begitu kena pada jiwa saya. Mungkin juga kerana saya jarang menbaca bacaan sebegini.
Penulisnya, Makoto Shinkai sendiri mengakui bahawa dia
tak pernah terfikir untuk menulis novel ini. Walau bagaimanapun, novel versi
bahasa Jepunnya terlebih dahulu berada di pasaran sebelum filemnya. Maksudnya
dia menulis novel ini ketika dalam proses pembikinan filemnnya. Yang berbeza
hanyalah jalan penceritaan di mana novel menggunakan kata ganti diri pertama
manakala filem daripada sudut pandang kamera. Mungkin juga kerana filem
memerlukan penglibatan banyak pihak dan diiringi muzik yang menghidupkan ceritanya.
Sebab kenapa dia menulis novel ini adalah kerana dia mahu menyampaikan visi
meneruskan hidup walaupun hilang sesuatu kepada remaja di luar sana, menerusi
cara berbeza. Itu juga mungkin yang membezakan saya dan adik saya, remaja tua
dan remaja betul, huhu. Penyampaian gaya novel santai nampaknya lebih melekat
pada kelompok seusia dengannya.
Tapi sebenarnya novel ini membantu saya mengenali dengan
lebih dekat adik saya. Beberapa kali saya bertanya bagaimana adik saya boleh
membeli buku sebegini, sedangkan dia tak pernah mendengar atau membaca tentang
filemnya. Hanya tertarik pada cover buku dan sinopsis. Jawapannya sentiasa “Tak
tahu, tak perlu bagi kakak untuk tahu” *baca gaya adik yang annoying* Ya,
hubungan kami bertambah erat selepas dia di smackdown beberapa kali, Haha!
Tidaklah, saya rasa kisah kami seperti Taki dan Mitsuha
yang ada ikatan/ tali merah (mengikut hikayat Jepun, dua orang yang berjodoh
sebenarnya diikat oleh satu tali merah panjang yang halimunan dan mereka
akan sentiasa terikat walaupun jauh dan ditemukan satu hari oleh tali itu).
Ikatan itu akan menjadi kusut atau serabut tapi tidak akan pernah putus.
Dalam konteks ini, saya teringatkan sewaktu adik saya
lahir, saya sudah tahu kami akan menjadi kawan baik sepanjang hayat, walaupun
itu hari pertama dia lahir. Jadi nanti apa yang akan terjadi, bond/hubungan
kekeluargaan itu akan sentiasa membawa kita bersama walau apa pun terjadi.
Seperti rakyat Jepun yang ada tali merah, bond itu disimbolikkan dengan air
bagi saya. Bak kata pepatah Melayu, air dicincang tak akan putus!
No comments:
Post a Comment