.

.

Sunday 9 July 2017



Review kali ini lebih mencabar lebih biasa. Sebuah novel yang diharamkan kerajaan Malaysia melalui JAKIM dan KDN pada 1 May 2015 yang bertajuk Sebongkah Batu di Kuala Berang tulisan Faisal Tehrani yang dibeli dengan Harga RM2. Saya borong 8 Naskah, kot la harganya nanti berubah menjadi , bolehlah jadi kapitalis kejap. hahahaha

Ramai yang setuju apabila novel ini diharamkan kerana kononnya faktanya agak menyeleweng dan tak sanggup untuk umat Islam (segelintir) hadam. Okay kita pergi satu persatu mengenai novel ini.

Saya tak suka bagi spoiler, cumanya kali ini macam terpaksa sedikit. Novel ini berkisahkan satu kumpulan pelajar yang menyiapkan sebuah doku drama tentang kedatangan Islam di Tanah Melayu khususnya Nusantara ini. Bagi saya novel ini tidak perlu diharamkan. 

Novel Semi Fiction tulisan Faisal Tehrani ini bukan seperti novel sejarah yang lain, terlampau teruk dan fiksinya dibuat buat Nampak seperti bagi lebih umphh. Tapi novel Faisal Tehrani terlampau sarat dengan fakta yang padat dan sangat seronok membaca faktanya. Ini menjadikan novel ini menarik dan sepatutnya mendapat sambutan hangat dalam kalangan orang akademik, intelektual dan intelegensia.

Jadi part mana yang mengharakan novel ini?

Part yang menjadikan novel ini haram ialah novel ini kononnya mengiakan kedatangan Islam di Nusantara khususnya Tanah Melayu ini datangnya dari Mazhab Jaafar yang hadir dari Parsi. Oh ya, dengan kata lainnya, novel ini kononnya mengiakan bahawasanya Syiah yang mempelopori Kedatangan Islam di Tanah Nusantara.

Malah, dalam novel ini, wahabi juga dikritik teruk. Mungkin depa panas kot.

Ada sesetengah tukang review juga blog – blog mengatakan Faisal Tehrani terlampau mengikutkan  Sejarawan Orentialis. Begitulah kata mereka.

Tapi sebuah novel yang hebat begini, kalau diharamkan sangat merugikan. Novel ini seperti sebuah perdebatan. Dalam erti kata lain, ada dua kelompok dalam novel ini. Dan yang paling penting, apa yang saya suka, Faisal Tehrani memberikan hujah yang baik untuk dua dua kelompok ini. Menyokong atau tidak, itu hak kita. Melabel orang lain yang tidak sama pemikiran dan pendapat ini, sangat teruk.

Saya tidak tahu tentang sejarah kedatangan Islam ke Tanah Melayu melalui Batu bersurat di Kuala Terengganu, tapi melalui novel yang nipis tapi padat dan sarat dengan fakta ini, kita mungkin akan kaji dengan sesuatu perkara yang baru dan lebih mencabar.

Adakah saya perlu menjadi syiah selepas membaca novel ini? Tidak. Saya rasa mereka – mereka yang takut dan geram sahaja memaksa novel ini jatuh dan lantas diharamkan begitu sahaja.
Saya suka baca buku, tak kisahlah apa buku sekalipun, sekiranya sebuah buku itu diharamkan, kita sudah tutup satu perkara intelektual  untuk subur dalam kalangan manusia sejagat di dunia khususnya Negara kita tercinta ini.
Attachments area

Wednesday 5 July 2017


Nazi Goreng.

Tulisan Marco Ferraresse yang dahulunya dalam bahasa Inggeris kemudian diterjemahkan semula oleh Dubook dalam Bahasa Melayu dengan sedikit campuran dialek utara namun sesetengah dialog bersama warga asing dikekalkan seperti yang asal dalam Bahasa Inggeris.

Mula-mula diceritakan wataknya perihal budak skinhead. Terus dalam otak dah masuk dah ciri-ciri budak skinhead yang aku tonton dalam filem Ophilia lakonan Pekin Ibrahim dan Que Haidar, kepala botak, pakai but askar tinggi-tinggi, baju hitam gambar tengkorak.

Aku baca jalan cerita dari awal sampai akhir. Aku scan semua sekali.. Apa yang buat buku ini diharamkan oleh KDN? Adakah sebab aktiviti skinhead? Adakah sebab ada beberapa adegan lucah dalam cerita ni? Atau tajuk buku ni sendiri?

Pada dasarnya buku ini berkisahkan pasal dua anak muda Asrul dan Malik. Si Asrul ni kena tibai dengan geng India, kebetulan si Malik.. Seorang yang sangat berpegang pada kuasa Melayu jumpa dia dan nak rekrut si Asrul jadi geng dan tibai balik pendatang-pendatang asing, kaum lain, pukul sampai diorang balik semula ke negara asal depa. Prinsip Malik memang itulah, nak menaikkan kembali kuasa Melayu di tempat dia. 

Tapi lama-lama dia duduk Aloq Setaq, dia pun terfikir nak berhijrah dan bergerak setapak lebih maju dalam hidup. Dimulai dengan Pulau Pinang, dia luaskan kuasanya disitu. Akan tetapi, di Penang tu dia berjumpa pula satu jalan hidup baru. Dia kabur dek kemewahan, sanggup jadi balachi Persian untuk seludup dadah keluar masuk negara. Kat sini dah hilang prinsip kuasa Melayu dia. Apa punya acah hero Malaya lah mahu rosak anak bangsa negara sendiri pulak lepas itu.

Turut disentuh isu korup, integriti, protokol dan salah guna kuasa badan berkuasa kepolisian negara kita. Dimana, aku tak tahulah sejauh mana kebenaran cerita dalam ni. Rekaan atau ada pernah berlaku. Mungkin sebab isu-isu sensitif beginilah yang buat buku ini diharamkan. Manakan tidak, makan suap tu perkara biasalah. Tapi sampai paksa perempuan pendatang buat seks oral pada dia tu agak macam melampaulah juga. Mungkin tak mustahil pernah berlaku. Tapi ini amatlah mencemarkan maruah polis jika benar.

Kalau mahu dikatakan buku ini diharamkan sebab ada adegan-adegan bunuh, adegan kejam, rasanya sangatlah tidak munasabah. Buku lain banyak lagi yang bunuh-bunuh.

Adakah buku ini menggalakkan perlakuan rebel pada anak muda yang membacanya? Boleh jadi ya, boleh jadi tidak. Apa yang lebih aku risaukanlah kalau orang tiba-tiba turut berminat mahu jadi pusher, atau keldai dadah selepas membaca buku ini. Yelah.. Masyukkk kott. Aku pun jaga-jaga ajelah iman ni jangan duk terikut sangat dengan apa yang dibaca.

Tapi tak mengapalah, akhirnya pun bukan 'happy ending'. Cerita kalau jadi pengedar dadah ni haruslah berakhir dengan cara yang tidak menggembirakan, bukan?

Sejujurnya aku tidak faham kenapa tajuk buku ini Nazi Goreng. Adakah sebab si Asrul dan Malik ni pengikut neo-Nazi sedap goreng je buat kefahaman ideologi sendiri? Atau adakah sebab penggunaan prinsip-prinsip Hitler yang diserapkan dan digorengkan mengikut rencah yang disukai mereka untuk mengembalikan semula Kuasa Melayu di tempat tanah tumpah darah.

Ah apapun.. Aku masih musykil kenapa buku seperti ini diharamkan. Bagi aku tidaklah seteruk mana. Lucah biasa, rebel biasa. Tak memberi kesan boleh menjatuhkan ummah pun pada pendapat aku. Atau Kementerian mahu mengelak dan mencegah kerana itu lebih murah dari merawat? Atau Nazi Goreng itu bunyinya melaparkan? Lapar darah anak muda barangkali.


Dilema Umat Islam : Antara Hadis Dan Quran
Kassim Ahmad

Sewaktu diumumkan tentang tema cabaran bacaan 32 buku yang terbaru, iaitu buku haram, hanya ada 2 nama yang terlintas dalam fikiran saya: Kassim Ahmad dan Faisal Tehrani. 2 tokoh yang pernah mencetuskan kontroversi dengan pegangan yang bertentangan dengan status quo di tanah air. Seorang dengan label “anti-hadis”, seorang lagi terpalit dengan kecaman sebagai syiah. Kebanyakan karya Faisal Tehrani yang diharamkan sudah saya baca sebelum cabaran, jadi apa lagi pilihan yang ada selain mencari tulisan Kassim Ahmad?

Saya bertuah kerana buku ini dibeli secara kebetulan di Publika sekitar awal tahun ini. Pada asalnya saya sekadar berjalan-jalan mengambil angin di kawasan orang-orang kaya itu, tiba-tiba saya ternampak Kassim Ahmad sedang membaca puisi di salah satu art space di sana. Ramai juga yang memenuhi ruangan itu. Buku ini dijual dengan harga rm 5 senaskhah. Langka. Tiada di pasaran biasa.

Buku ini merupakan lanjutan daripada Hadis - Satu Penilaian Semula. Kassim Ahmad sekali lagi menegaskan pendirian beliau dengan menagmbil sikap kritikal terhadap hadis. Bukannya anti secara total seperti yang dilemparkan umum.

Kassim Ahmad telah memilih sebilangan hadis-hadis daripada Sahih Bukhari dan Muslim sebagai rujukan kepada argumen-argumen beliau . Bagi Kassim, sikap jumud dan taklid umat Islam adalah punca terbesar kepada ketumpulan daya kreatif dan kemajuan mereka.

Secara ringkas, saya sertakan serba sedikit argumen-argumen Kassim Ahmad:

1. Terdapat 3 kategori hadis menurut pendapat beliau:
1) Hadis yang bercanggah dengan ajaran Al-Quran
2) Hadis yang selaras dengan ajaran Al-Quran
3) Hadis yang neutral, tidak jelas bercanggah atau selari dengan ajaran Al-Quran

2. Bagi Kassim, kedudukan hadis sebagai autoriti utama umat Islam perlu dinilai kerana hadis sebagai satu sumber hukum hanya muncul kira-kira 250 tahun selepas kewafatan Nabi. Pengiktirafan autoriti hadis yang dimulakan oleh Imam Syafie ini berjaya membuat umat Islam menerima hadis sebagai sumber hukum setaraf dengan Al-Quran.

3. Isu pendewaan terhadap Nabi Muhammad
Umum mengetahui doktrin asas Kristian yang mendewakan Nabi Isa sehingga diangkat sebagai anak Tuhan. Menurut Kassim, secara tidak sedar, unsur pendewaan terhadap nabi Muhammad ini berlaku dalam kalangan umat Islam, bermula dengan pendewaan status baginda sebagai “kekasih Allah”, “penghulu segala nabi”, “maksum” dan sebagainya. Contoh jelas berlakunya pendewaan ini dapat dilihat di kebanyakan masjid atau rumah di mana nama Nabi Muhammad diletak sama paras di samping Allah dengan tulisan sama besar.

4. Isu Kalimah Syahadah
Kalimah syahadah diberi dalam Al-Quran dalam ayat berikut - 3: 18 - di mana baris syahadah kedua yang mengakui Nabi Muhammad sebagai pesuruhNya tidak didapati di sana. Menurut Kassim, syahadah kedua ini seperti mengisytiharkan baginda sahaja rasul Allah sekaligus membeza-bezakan rasul-rasulNya dan melebihkan seseorang rasul daripada yang lain.

5. Isu sembahyang tiang agama
Sembahyang diketahui umum sebagai ibadah penting tergolong dalam 5 rukun Islam. Namun, menurut Kassim, sembahyang bukanlah tiang agam seperti yang sering kita dengar di ceramah-ceramah agama. Kassim menjelaskan bahawa tiang agama Islam adalah tauhid, keimanan kepada yang Maha Esa. Sembahyang hanyalah satu kaedah yang ditetapkan kepada umat Islam untuk membersihkan jiwa. Ia bukan matlamat.

6. Isu perpuakan dalam Islam
Di dalam isu ini pula, Kassim terang menonjolkan sikap kritikal beliau terhadap hadis-hadis yang meramalkan umat Islam akan berpecah kepada 73 golongan. Perpecahan dan perpuakan ini amat ditentang oleh Al-Quran yang menyuruh kita bersatu-padu berpegang pada tali Allah.

7. Isu ulama’ pewaris nabi
Kassim menyanggah status ulama sebagai pewaris nabi seperti yang dinyatakan dalam beberapa hadis. Ia bertentangan dengan ajaran Al-Quran bahawa Al-Quran hanya diwariskan kepada hamba-hambaNya yang terpilih tanpa menyebut golongan tertentu.

Kesemua isu yang saya senaraikan di atas merupakan antara persoalan-persoalan utama yang dibangkitkan oleh Kassim Ahmad dalam buku beliau. Di pengakhiran buku, Kassim Ahmad menyimpulkan bahawa ternyata terdapat banyak hadis-hadis dari Sahih Bukhari dan Muslim yang bercanggah dengan ajaran Al-Quran. Kassim Ahmad menyarankan agar umat Islam, khususnya cerdik pandai agar berani mengakui kesilapan ini. Hanya dengan kembali kepada ajaran sebenar Al-Quran akan membebaskan manusia dari segala bentuk penghambaan, kecuali penghambaan kepada Allah.

Pada saya yang cetek ilmu ini, segala hujah-hujah Kassim Ahmad kedengaran logik. Ia seperti mengalihkan batu-bata yang menyebabkan saluran fikiran kita yang tersumbat dengan sikap taklid. Tetapi awas, hujah aqli sahaja tidak cukup untuk dijadikan asas keimanan. Pendapat-pendapat Kassim Ahmad ini harus dirujuk kepada ahli ilmu untuk disahkan kebenarannya. Segalanya berbalik kepada diri sendiri. Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Kalau takut digugat keimanan, jangan baca karya-karya anti-conformism. Berfikir itu memerlukan keberanian bak kata Kassim Ahmad.

Kenapa Salahkan Musuh?
Ashaari Muhammad

Bagi cabaran ketiga iaitu buku haram, saya telah memilih untuk membaca buku ‘Kenapa Salahkan Musuh’ tulisan Ustaz Ashaari Muhammad. Buku ini diterbitkan pada Ogos 1988 oleh Penerangan al-Arqam dan mempunyai 196 muka surat. Muka depan buku ini sangat ikonik, bagi saya. Cukup hanya dengan wajah ustaz Ashaari sedang merenung satu tempat dan latar belakangnya begitu ramai muslimin muslimat yang sedang menadah tangan untuk berdoa. Sebenarnya buku ini ada semacam aura yang menakutkan, mungkin ini sebabnya walaupun sudah ada dalam almari sejak sebelum saya lahir, belum pernah saya buka mahupun belek apa isi kandungannya. Mungkin juga kerana saya dibesarkan pada zaman media massa mengatakan al-arqam ajaran sesat dan beberapa isu sekitar pengasasnya, poligami dan pengharaman rangkaian kedai. Buku ini saya dapatkan daripada susunan buku milik ibu saya, koleksi ketika umurnya seusia saya dahulu sebelum semua buku tulisan Ustaz Ashaari diharamkan.

Oh ya, bagi yang tidak mengenali, Ustaz Ashaari Muhammad merupakan pengasas bagi jemaah al-Arqam yang telah diharamkan kerajaan pada tahun 1994. Antara cabaran yang paling sukar setakat ini, mungkin kerana stigma yang bertahun telah ada dalam minda saya itu, takut terpengaruh dengan ajaran sesat. Sebelum saya mengulas mengenai buku, Al-Arqam atau juga dikenali sebagai Aurad Muhammadiah merupakan salah satu gerakan dakwah yang mendapat sambutan kerana banyaknya usaha dakwah dalam pelbagai bidang ; ekonomi, hiburan, pendidikan, kesihatan dan lain-lain. Ia bermula pada akhir 1960-an, sebelum mencapai ramai pengikut pada 80-an dan diharamkan pada Ogos 1994. Punca diharamkan adalah kerana ada penyelewengan dari sudut akidah (menurut bacaan daripada web carian). Menarik juga, kerana bila saya lihat di web KDN, semua tulisan Ustaz Ashaari diharamkan dan ada buku terbitan al-Arqam juga tulisan penulis lain (bersifat travelog/perjalanan dakwah al-Arqam) tidak diharamkan. Jadi, buku ‘Kenapa Salahkan Musuh’ ini dipilih kerana saya tertanya-tanya, adakah buku ini merujuk musuh kepada kerajaan sehingga perlu diharamkan?

Bila membacanya, sebenarnya saya sangat kagum dengan bahasanya, yang seolah-olah mendengar pidato/ceramah secara live. Laras bahasa yang digunakan sangat kena dengan orang kebanyakan. Ada juga diselitkan beberapa sajak dan surat terbuka yang ditujukan kepada beberapa golongan tertentu seperti pengikut Aurad Muhammadiah, pemimpin dan para ulama’ pada masa itu. Buku ini bersifat seperti bacaan motivasi kepada pengikut jemaah yang didirikan penulis. Kandungannya berkisar tentang penerangan siapa musuh lahir, batin, hikmah ujian, kesilapan jemaah Islam, dan kritikan mengenai sikap pejuang Islam amnya.

Mengejutkan apabila saya mendapati sebenarnya tiada pun unsur aqidah atau apa yang dirasakan berlawanan dengan apa yang diimani selama ini. Cuma terdapat pesanan atau teguran yang masih relevan ke hari ini mengenai umat Islam dan apa yang membezakan jemaah al-Arqam dengan jemaah lain (khususnya yang berjuang dalam medan pilihan raya). Sama sahaja perasaannya membaca buku motivasi islami/ fikrah yang lain. Ada banyak perkara yang ditegur, antaranya ‘ pejuang islam sendiri yang konon cintakan Islam bahkan memperjuangkannya terlibat dan terikut-ikut dengan seluruh hidup Barat itu’. Buku ini juga tidak menyalahkan musuh Islam (kerana memang mereka melawan kerjanya), Cuma refleksi/ strategi dari pejuang Islam sendiri bagaimana akhlak mereka sendiri yang membuatkan orang menjauhi kita dan musuh (musuh Islam di sini didefinisikan sebagai musuh Allah dan Rasul- yang menolak syariat Allah dan menentang usaha orang yang ingin menegakkannya) menang.

Tulisan setiap topik diselang-selikan dengan dalil dan kisah yang dekat dengan masyarakat Melayu/ Malaysia. Contohnya ketika rakyat Singapura diserang todak, mereka bersiap-siaga dengan menyusun benteng pisang, bukan sekadar di mulut mengatakan todak jahat tetapi tidak berbuat apa-apa.Mendalam juga setiap huraian topik, termasuk pandangannya tentang kesilapan yang biasa dilihat terjadi dalam mana-mana jemaah Islam termasuk al-Arqam. (Rupanya gerakan ini banyak ke luar negara dan pelusuk Malaysia bagi mengisi program dakwah dan ziarah). Kesilapan itu pula dihuraikan dengan dalam lagi, kepada Allah dan manusia/ jemaah. Kesilapan banyak jemaah apabila tidak menyumbang kepada masyarakat sedangkan cara terbaik untuk mengambil hati adalah dengan menyumbang sesuatu. Ini dikaitkan dengan gereja yang banyak membuat kerja kemanusiaan sedangkan umat Islam sendiri sibuk mencari salah orang lain tanpa membantu. Pokok pangkalnya strategi, praktikaliti dan penyusunan dalam jemaah itu mesti mantap.

Bagi penulis, kemuncak kesilapan pejuang Islam akhir zaman ialah meletakkan kesalahan pada musuh. ‘Orang yang bersalah, tetapi tidak mahu menyalahkan diri sampai bila pun tidak dapat membaiki dirinya menghadapi musuh. Kalau ditanya mengapa gagal laksanakan sistem hidup Islam secara syumul, maka meluncurlah benci/marah pada zionis, kerajaan,Amerika. Sedangkan mereka tidak berbuat apa-apa dan gagal dalam rancangan’. Penulis juga menyeru supaya umat Islam membuat alternatif bagi sistem yang ditentang dengan menyediakan hiburan, ekonomi, peluang kerja yang patuh syariah.

Tidak lupa, ada perkara menarik yang penulis jelaskan sebab al-Arqam tidak menyertai pilihan raya adalah kerana penulis melihat lebih susah untuk menegakkan Islam melalui kuasa berbanding cara yang dipilih penulis. Terdapat beberapa pros dan cons yang diberikan, jadi penulis melihat lebih baik membangunkan kampung Islam dahulu sebelum ke yang lebih besar berbanding merebut tampuk pemerintahan baru menjalankan cara hidup Islam. Menarik, selama ini saya memang tak faham perbezaan antara gerakan Islam ini.

Paling menarik, seruan korbankan 60% malah jika mampu seluruh harta kepada jemaah Islam. Saya lihat foto yang dikepilkan betapa pesat berkembangnya hiburan, majalah Islam yang dibawa al-Arqam dan produk-produk keluarannya pada zaman itu. Dasyat. Rangkaian perniagaan dan tahap komited pengikutnya sangat tinggi. Program yang direncanakan juga sangat menarik, bahkan ada pusat pendidikan dan perubatan sendiri. Tidak hairanlah pada zaman kegemilangannya, belasan ribu orang menjadi pengikut ajaran al-Arqam. Sesuatu yang berbeza dengan konotasi negatif di media massa.

Apapun, kesimpulan daripada buku ini, setiap umat Islam perlu bertaqwa kerana tidak guna menjadi dai’e, pemurah kalau tidak bertaqwa (masih ada sifat mengadu domba, riak dan sebagainya). Semua yang terjadi sebenarnya berbalik kepada diri sendiri.

Bacaan yang sangat menarik dan menginsafkan sebenarnya bagi saya. Terdapat beberapa ayat yang tidak saya setujui namun bagi saya tidaklah sampai perlu diharamkan buku ini kerana sangat banyak benda yang dikatakan itu betul. Buku ini tidak pula menyebut tentang apa-apa yang berkaitan dengan faktor pengharaman al-Arqam iaitu dari sudut penyelewengan aqidah, atau ancaman meruntuhkan kerajaan, bahkan ironinya sangat berdiplomasi dan banyak menyentuh peribadi muslim sendiri. Tapi mungkin, kerana penulisnya Ashaari Muhammad, yang kontroversi seperti yang saya sebut di atas, atau buku ini akan membangkitkan semangat juang ada pengikut gerakan al-Arqam yang menjadi faktor pengharamannya, jadi sebagai langkah berjaga-jaga ia diharamkan kerajaan. Mungkin.


The Malay Dilemma
Author : Mahathir bin Mohamad
Publisher : Times Books International
Pages : 236

The third challenge for the “32 Books Challenge” was to read a banned book. I faced some difficulty for this challenge as it was different from what I normally read and also because I did not know where to find a banned book. I finally settled on the notorious ‘The Malay Dilemma’ by former Prime Minister Tun Dato’ Seri Dr. Mahathir.

First published in 1970, it was subsequently banned by the government as he criticised and mocked the Malay race in retaliation to losing the 1969 general election. The book was so controversial that Mahathir was almost thrown into jail for it. ‘The Malay Dilemma’ was former Prime Minister Tun Dato’ Seri Dr. Mahathir’s careful analysis of the causes for the 13thMay 1969 riots in Kuala Lumpur as well as his views on why the Malays are economically backward.

He meticulously dissects the multiple failings of his race – their heredity and way of life and argues how these eventually lead to the poor performance of the Malays. He explained that the Malays lacked the initiative to improve themselves, unlike the Chinese and Indians. They liked using the simple way out which was to sell off whatever they could get their hands on and then rely on the government for help. This was simply because it had become a part of their culture and Malays, young or old alike, were taught to wait for help.

Mahathir further expounded that during the British Occupation, most Malays had chosen to take up political power and thus, jobs in the rubber estates and mines were left to the Chinese and Indian migrants. As such, Mahathir explained that the culture of having it easy had been ingrained into the Malay race since the British Occupation and that working hard and being patient had never been a part of them. 

The dilemma, in which the book was named after, was whether Malays should accept help from the government and Mahathir’s stance was that they should in order to improve themselves. In the early 2000s, the dilemma was revisited and replaced with a new one. The new Malay dilemma was whether the Malays should do away with governmental help which they have gotten so used to over the past years.

Thus, in order to succeed, the Malays, in particular, have to learn to be independent so that they are able to stand on their own two feet in times of difficulty and hardship. They have to learn to function without the aid of crutches (governmental help) in order to be a strong and resilient race. Without doing so, they will never progress as a race and will end up failing in everything they do.

 I have to admit that this was not an easy book to read. At times, the sentence structure was so long coupled with the use of certain old-fashioned words made it hard for me to understand what he was trying to convey. However, there are some interesting parts as well. One of it was how he used the Mendelian genetics to explain about inbreeding and the influence of heredity on the Malay race.

Admittedly, it is a tough book to read but all Malaysians should read this book at least once to gain insight into the racial inequality and social problems of the past. Only when they have truly understood what happened are they able to move forward as a nation and prevent further riots from happening.

Rating: 3.5/5 stars

Monday 3 July 2017



Dilema Melayu Mahathir Mohamad

Bagi mendapatkan informasi lebih lanjut mengenai cabaran ketiga ini, saya buka laman sesawang KDN untuk semakan. Wow! Banyaknya rupanya buku telah Malaysia haramkan! Saya dah go through senarai buku-buku haram tersebut sehinggalah mukasurat 20 dan saya berhenti. Sebab penat screenshot. Sesungguhnya cabaran kali ini sememangnya lebih menarik daripada cabaran-cabaran sebelum ini sehingga membuatkan saya tak tahu hendak pilih buku yang mana. Apakah?
Terdapat beberapa buah buku pilihan di dalam kepala saya. Masalahnya, saya hanya perlu pilih satu. Tapi yang mana? Dilema melanda.
Saya fikir-fikir ada baiknya saya baca buku haram yang memang kepunyaan sendiri dahulu. Lebih senang daripada mendapatkan buku-buku haram yang masih belum saya miliki. Tidak mengapa. Yang belum dimiliki itu boleh diperoleh kemudian hari. Saya intai buku-buku di rak saya. Buku-buku haram yang saya jumpa hanyalah trilogi Fifty Shades. Ok boleh. Tiba-tiba saya teringat ada salah seorang peserta 32 Cabaran Buku yang ingin membaca Fifty Shades juga. Tiada masalah membaca buku yang sama kerana reviu mungkin diberi daripada perspektif berbeza. Tetapi saya mahukan pilihan lain lagi. Tidak mengapa.
Saya terhenti di rak buku ayah dalam perjalanan ke bilik air yang berada di ruang tamu. Saya belek satu persatu buku yang ada di situ. Secara kebetulan saya berjumpa dengan buku Dilema Melayu tulisan Mahathir Mohamad. Jodoh kami. Saya semak kembali senarai buku haram tadi. Ya, buku tersebut tergolong dalam senarai buku haram. Maka saya malas mahu berdilema lagi dan saya pilih buku ini. Buku ini seperti melambangkan saya kerana saya seorang melayu yang mempunyai dilema. Klise.
Sejujurnya ini mencabar buat saya kerana buku bukan fiksyen bukanlah makanan kegemaran saya. Sempena cabaran ini saya sengaja mahu mencabar diri sendiri untuk membaca buku seperti ini. Malangnya bukan mudah ya menyusun tangga ke angkasa.
Sejujurnya Sejarah bukanlah subjek feveret saya semasa zaman sekolah. Sumpah lelah teruk saya baca buku ni sebab pada saya sangat heavy. Padahal mukasurat buku ini hanya sebanyak 222. Jikalau ianya fiction mengandungi 222 mukasurat, saya memang tiada masalah sehari dua boleh dihabiskan. Proses penghadaman itu sangat memakan masa. Banyak sungguh perenggan-perenggan yang saya ulang baca untuk saya faham dengan betul. Di situ saya sedar saya mungkin perlu melatih diri untuk membaca bahan bacaan seperti ini supaya bisa jadi biasa.
Dilema Melayu (1982) ini sebenarnya adalah hasil terjemahan Ibrahim Saad ke Bahasa Malaysia dari buku The Malay Dilemma (1970) tulisan mantan Perdana Menteri kita, Mahathir bin Mohamad. Menariknya, buku ini telah diharamkan oleh Tunku Abdul Rahman semasa pemerintahannya sehinggalah Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat, buku ini dibenarkan. Pengharaman buku ini disebabkan oleh pemikiran Tun Mahathir yang tidak selari dengan Tunku Abdul Rahman justeru menjadi kontroversi.
Tujuan beliau menulis buku ini adalah untuk menyuarakan pendapat beliau khususnya mengenai orang melayu. Ya boleh kita katakan buku ini rasis dan sangat terbuka. Malah buku ini juga bercakap bebas tentang kaum-kaum lain yang ada di Malaysia (serta dikaitkan juga kaum-kaum di luar negara). Dalam pada itu diceritakan sejarah Tanah Melayu dan faktor-faktor yang membentuk nilai setiap kaum. Buku ini juga cuba menerangkan sebab-sebab berlakunya peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Antara beberapa perkara yang paling penting yang saya pelajari ialah
1. Walaupun selepas merdeka, harmoni sebenar antara kaum tidak wujud. Yang wujud ialah kurangnya perselisihan antara kaum.
2. Undang-undang sahaja terbukti tidak dapat mewujudkan persamaan kaum. Tetapi kaum-kaum berbeza perlulah menyesuaikan diri antara satu sama lain barulah persefahaman dan rasa muhibbah dapat dicapai.
3. Kualiti pada melayu yang perlu dinilai semula ialah keupayaan melayu untuk mengubah sikap.
Mungkin ada yang berpendapat bahawa buku ini mempamerkan kelemahan-kelemahan orang melayu dan kaum lain boleh terus menggunakan kelemahan tersebut sebagai senjata untuk menindas dan menghalang kemajuan. Namun, dengan tegasnya beliau lebih ambil kisah tentang orang melayu sendiri yang perlu mengambil iktibar atas kelemahan dan kebolehan kita sendiri untuk terus duduk sama seperti kaum lain dan bukan menghalang kemajuan sendiri. Di samping beliau mengutarakan masalah-masalah kaum melayu, beliau turut memberi solusi terhadap permasalahan tersebut. Itu saya kira usaha yang amat prihatin dan proaktif. Di sini, saya nampak kehampaan beliau terhadap nasib kaumnya sendiri. Oleh kerana itu juga dia membuat keputusan agar suaranya didengar/dibaca sama ada kita bersetuju atau tidak. Walaupun buku ini telah lama diterbitkan, beberapa pendapat di dalamnya masih valid.

Cabaran ke 3 yang diberikan adalah cabara yang paling mencabar setakat ini. Hal ini kerana kesukaran untuk mendapatkan bahan bacaan yang dipilih. Walau bagaimanapun, saya telah berjaya mendapatkan sebuah buku kontroversi hasil tulisan penulis tersohor yang telah banyak memenangi sayembara dan juga anugerah tertentu. Buku yang dipilih ialah Karbala oleh Faisal Tehrani. Sebelum memulakan pembacaan, Karbala yang diketahui oleh saya hanyalah sekadar tanah suci bagi pengikut Syiah dan tidak lebih daripada itu.

 Karbala yang berketebalan 198 halaman ini telah diterbitkan pada tahun 2008. Apa yang menarik tentang buku ini bagi saya ialah ianya menyampaikan ilmu dan maklumat melalui drama. Penulisan berbentuk drama ini tersangatlah unik dan tersendiri kerana ianya perlu mengambil kira beberapa aspek yang penting. Namun, ianya tidak menghalang Faisal Tehrani untuk menyampaikan mesej-mesej yang tertentu, malahan konsep drama dari buku Karbala ini diilhamkan daripada teater masyarakat Islam terdahulu yang dikenali sebgai Ta’ziyah. Kebiasaan, buku yang berbentuk drama ini akan menggangu mood dan pembacaan pembaca,namun ianya berbeza dengan Karbala.

 Buku ini telah menceritakan semula peristiwa berdarah yang telah berlaku di Karbala. Pembunuhan cucunda Rasulullah SAW disampaikan dengan begitu teliti dan berperasaan sehingga dapat dibayangkan betapa hebatnya cabaran yang dihadapi ahlul bait itu.

Karbala juga telah mendatangkan satu tanda tanya yang besar dalam diri mengapa peristiwa seperti ini tidak pernah langsung diceritakan oleh ustaz-ustazah mahupun di dalam buku-buku agama yang menjadi sumber rujukan utama di sekolah-sekolah. Saya yakin, bahawa masih ramai yang tidak tahu apa yang sebenarnya yang terjadi di Karbala. Bagaimana seksanya Hussin dan ahlul bait yang lain dalam memperjuangkan agama dan hak sehingga dibunuh dengan begitu kejam. Penyeksaan dan pembunuhan yang dilakukan dengan gambaran melalui tulisan berbentuk drama itu terasa sungguh dekat. Saya yakin, jikalau anda seorang pembaca yang mudah tersinggung atau sensitif, nescaya air mata akan mengalir tatkala membaca karya hebat yang ‘tidak diiktiraf’ ini.

Sinopsis pada kulit belakang buku dapat dirasai dan dihayati lagi setelah pembacaan tamat. Pada awal pembacaan, keterangan ini banyak menimbulkan tanda tanya seperti apa yang penulis ingin sampaikan sehingga begitu berat sekali potongan ayat yang dipilih untuk diletakkan di belakang kulit buku ini. Berikut merupakan potongan ayat yang dimaksudkan.

“Tuhan, aku sungguh malu, betapa banyak dosa aku. Nabi, umat macam apakah aku ini, cucunda kesayanganmu hancur diseligi sedang aku masih selawat tanpa meratap dan menangis akan korban di Karbala ini. Nabi o Nabi, layakkah aku meraih syafaatmu di akhirat nanti andai apa jadinya di Karbala pun tak aku peduli."

Melalui Karbala ini juga, penulis turut membincangkan tentang susur galur keturunan Rasulullah secara tidak langsung dan pada akhir buku ini turut dibincangkan tentang boria dan pengaruhnya melalui ta’ziyah ini.

Akhir sekali, saya merasakan bahawa penulisan drama ini jikalau dipentaskan kelak mampu menarik perhatian banyak pihak secara langsung ataupun tidak. Dan penulisan hebat ini tidak wajar sama sekali untuk ‘disorok’ dari pandangan masyarakat, malahan buku ini harus diuarkan-uarkan dan dikongsi ilmu sejarah yang cuba untuk disampaikan oleh Faisal Tehrani ini. Didoakan semoga masyarakat kita tidak lagi gentar dan takut akan benda yang bernama BUKU buat selama-lamanya. 

Sunday 2 July 2017


CABARAN BULAN JUN: BUKU YANG DIHARAMKAN
 
Tajuk : Orang Ngomong Anjing Gong Gong
Penulis : Mutalib Othman
Penerbit : Dubook

 
Ini merupakan antara buku yang terpantas aku habiskan. Kurang sejam rasanya. Membacanya sambil tengah tunggu roti canai siap dibungkus untuk dimakan waktu berbuka. Ya, waktu tu masih bulan Ramadhan. Sejujurnya aku terasa cuak juga bila Perewa mengingatkan dalam whatsapp agar semua orang sudah mempunyai buku untuk cabaran kali ini dan aku ketika itu masih belum mula membaca disebabkan buku ini masih berada bersama pemiliknya di tempat kelahiran aku. Sampai sahaja rumah, aku terus hubungi kawan aku untuk bertanyakan tentang buku ini. Satu kelegaan bila mengetahui buku ini tidaklah terlau tebal dan ‘berat’ untuk dihabiskan. Untuk pengetahuan buku ini mengandungi 121 muka surat dan boleh dibaca secara santai sambil gelak-gelak. Ada ilustrasi diselangi kata-kata ‘tajam’ oleh penulis. Kesemuanya ada 60 kata-kata.
 
Sebenarnya apa yang ditulis oleh penulis adalah sesuatu yang mengajak kita untuk berfikir. Ada benarnya apa yang dikatakan oleh penulis walaupun bahasa yang digunakan agak kasar dan kurang sopan. Tetapi seandainya karya yang mempunyai bahasa yang lemah lembut indah tersusun membuatkan kita terlena, adil rasanya karya sebegini diberi peluang untuk membuka minda masyarakat. Cuma mungkin perlu diletakkan amaran seperti ‘bahan bacaan untuk dewasa sahaja’ jika kerisauannya adalah terhadap moral anak-anak kecil dan tidak cukup umur membacanya.
 
Pada sisi lain mungkin pihak KDN ada sebab musabab lain yang lebih kukuh terhadap pengharaman buku ini, Mungkin. Sebagai pembaca, sisi baik buku ini harus dijadikan pengajaran dan manakala yang buruk perlu dibuang. Jangan dicontohi kasarnya perkataan dalam aplikasi kehidupan harian cukuplah hanya menjadi tamparan diri dalam bentuk tulisan. Nasib baik ini bukan buku aku jadi tidak perlu susah payah membakarnya apabila penulis telah meninggal dunia seperti yang diiwasiatkan dalam buku tersebut. Fuh. Bolehlah cuba baca. Tak haram mana pun hehe. 

Ulasan Buku: Mencari Jalan Pulang, Dari Sosialisme Kepada Islam (Kassim Ahmad)
Oleh: Sharina M Salim


Saya memulai bacaan ini dengan menyemak profil penulis yang disertakan dengan ringkas di laman Goodreads. Sejujurnya saya tidak pernah ambil tahu siapa Kassim Ahmad dan hanya mengenali beliau secara tidak langsung ketika saya masih belajar di kampus, kerana label yang diberikan kepada beliau “anti hadis”, figur yang  sesat yang membawa fahaman bahaya kerana boleh memesongkan akidah. Saya pun tidak pernah semak mengapakah beliau dikatakan anti hadis dan 10 tahun kemudian (kini), saya berpeluang membaca salah satu karya beliau yang diharamkan dan cuba memahami secara objektif mengapa ia diharamkan.

Seusai membaca profil ringkas beliau, saya terdiam sebentar kerana, beliau yang saya kenali dari akhbar dan tabloid sebenarnya mempunyai kepakaran lain yang selayaknya diketahui masyarakat generasi saya dan ke hadapan, dan bukan semata-mata dari karya-karya kontroversi beliau yang diharamkan seperti: “Hadis: Satu Penilaian Semula” dan buku yang saya baca (rujuk tajuk ulasan) ini.  Beliau rupanya menulis “The Characterization of Hang Tuah”, yang merupakan karya yang mengangkat namanya, dan menterjemah karya falsafah “Plato”, tulisan R.M Hare, cerita pendek berkisar kehidupan orang melayu, puisi, tulisan berkenaan teori falsafah dan keadilan sosial. Pada zamannya, beliau adalah seorang pemikir dan ahi falsafah yang dihormati. Lingkungan sahabat dan kenalan beliau yang disebut-sebut dalam buku ini, kesemuanya figur hebat yang dihormati dan masih membawa mej dan nama baik  hingga kini; antaranya Prof Ungku Aziz, A Samad Said, Prof Naquib Al Attas, Syed Husin Ali, Tun Mahathir, Tun Daim Zainuddin, Tun Musa Hitam, Dr Siddiq Baba, Adibah Amin antara lainnya.

Buku “ Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme Kepada Islam“ adalah tulisan memoir yang menceritakan kisah hidup, proses pendidikan formal dan tidak formal, perjalanan kerjaya beliau sebagai pemikir, ahli akademik, ahli falsafah, sasterawan dan ahli politik sayap kiri di tanah air. Beliau berkongsi bagaimana proses ini membentuk pemikiran dan sisi pandang beliau dan bagaimana sisi pandang ini berubah sesuai dengan kematangan beliau dan perkembangan yang berlaku di dunia luar.

Mengenali Pak Kassim dari buku ini, saya dapati beliau seorang yang suka berfikir dan komited mencari jawapan kepada persoalan persoalan yang timbul dari proses berfikir tersebut. Beliau bukanlah orang yang hanya mengikut ‘status quo’ tetapi berani memberi naratif baru dengan mencabar status quo yang dirasakan tidak selari dengan prinsip dalam al-quran. Antaranya, penilaian semula beliau terhadap watak Hang Tuah yang telah berzaman-zaman menjadi kebanggaan orang melayu (melalui tesis beliau - Perwatakan Hang Tuah). Beliau memberi tauladan alternatif kepada orang melayu, iaitu Hang Jebat yang memegang teguh prinsip kebenaran dan keadilan, yang selari dengan islam dan seruan al-quran. Beliau berpendapat, watak ini lah yang perlu ditauladani oleh orang melayu islam.

Beliau membesar dalam lingkungan kampung dan keluarga yang mempelajari al-quran - dari belajar membaca hinggalah menghafaz. Proses ini menyebabkan beliau tidak ‘puas’ belajar al-quran kerana tidak memahami langsung makna dan tafsiran ayat-ayat alquran dan atas inisiatif sendiri, beliau mencari pelbagai versi terjemahan quran untuk dibaca dan ini memberi kepuasan kepada beliau.

Mengakui bahawa beliau adalah penganut 'Islam baka' dan dalam proses ‘mengenali semula islam’, beliau dihantui oleh beberapa konsep yang dibincangkan dalam islam, yang mana pada ketika itu beliau gagal temui jawapan yang memuaskan - isu hamba abdi, kedudukan wanita, harta pusaka dan hukuman keras seperti potong tangan dan pancung kepala. Beliau terus mencari, membandingkan pelbagai sumber hinggalah menemui jawapan yang memuaskan. Bagi beliau, tiada apa yang salah dengan al-quran dan islam. Sesuatu dalam agama itu kedengaran pelik, tidak rasional, zalim dll adalah kerana kemungkinan kesilapan tafsiran, atau tafsiran lama yang belum diperbaharui dengan kaedah penyelidikan terkini yang lebih inklusif dan menyeluruh (integrated). Beliau percaya, ilmu dan cara mendapatkan ilmu itu harus berkembang mengikut arus zaman.

Beliau berani berkongsi, berdialog dan mempertahankan kepercayaannya meskipun terpaksa berhadapan dengan kritikan hebat, kerana beliau yakin dengan apa yang beliau fahami dan pegang. Menariknya, pendapat beliau berkenaan kritikan dan penilaian semula hadis-hadis yang bertentangan dengan prinsip al-quran; hasil dapatan pelbagai buku, bahan akademik dan tafsir al-quran; apabila dikongsi dengan ahli akademik, ulama, ahli politik, figur tertinggi dalam insititusi islam melalui dialog tertutup, tidaklah mengundang ‘kontroversi’ kerana suasana dialog tersebut kekal profesional dan objektif. Sehinggalah apabila beliau mengambil keputusan menerbitkan ulasan dan jawapan kepada kritikan ilmiah ke dalam bentuk buku dan diedarkan kepada massa, kontroversi pun bermula. Label anti-hadis kepada beliau umpama ‘cap mohor’, kekal ke atas batang tubuh beliau hingga kini, dibidas, di hina  di mimbar-mimbar khutbah dan akhbar. Watak pemikir, ahli falsafah, pendidik, sasterawan dan pejuang politik tidak lagi sinomim dengan beliau. 

Mengapa kerajaan dan institusi islam di Malaysia ketika itu (dan kini) membuat keputusan untuk mengharamkan karya-karya beliau? 

Mengurus perbezaan pendapat bukanlah kerja mudah, terutama apabila melibatkan masyarakat yang pelbagai tahap pendidikan, latar belakang dan tahap kefahaman; terutama bagi peringkat paling atas (kerajaan), boleh jadi kerana terdapat kembimbangan apabila perbezaan pendapat tersebut boleh menjadi ancaman kepada kestabilan sosial dan politik untuk jangka masa panjang jika tidak dibendung. 

Kassim Ahmad ada menyebut bahawa beliau faham  (meskipun tidak bersetuju) mengapa sesetengah keadaan, ISA perlu di gunakan meskipun  bertentangan dengan hak assisi manusia, di atas prinsip “mudharat kepada individu terpaksa dikenakan untuk mengelak mudharat kepada umum yang lebih besar”. Jika prinsip yang sama digunapakai ke atas masyarakat yang masih belum matang menilai dan mengurus perbezaan, tentulah ia menjadi asbab mengapa karya beliau yang tidak selari dengan autoriti di haramkan, malah sesi dialog bersama beliau juga tidak dapat kebenaran untuk di anjurkan.

Sepanjang saya membaca buku ini, ada beberapa fakta, tafsiran yang membentuk kefahaman beliau, yang saya rasakan agak janggal dan belum pernah saya temui, lalu agak sukar saya mahu menerimanya. Antaranya:
1. Yakjuj & Makjuj, Dajjal, Al-masih dan Imam Mahdi adalah metafora.
2. Syurga dan Neraka bukanlah tempat, tetapi keadaan.
3. Tauhid dan konsep pengabdian kepada Allah adalah wajib dan ia sebahagian dari konsep monoetism. Tetapi, undang-undang, ibadah dan cara hidup dibenarkan dengan cara pelbagai dan beliau katakan ia selari dengan quran - 22:67

Jadi, bayangkan sahaja pendapat beliau berkenaan 3 perkara di atas disebar luas kepada masyarakat islam melayu yang mempunyai pelbagai tahap pendidikan, kematangan, latar belakang dan skil menafsir. Pertimbangan harus dibuat oleh karajan dan institusi agama bagaimana mengurus respons masyarakat terhadap antaranya 3 parkara tersebut, dan akhirnya berpendapat ia perlu dibendung dan tidak disebar luaskan. Namun, Kassim Ahmad menjadi mangsa keadaan kerana pendapat yang dipegangnya. Karya telah pun diharamkan, tetapi sayangya, imej beliau telah rosak dan sukar dibaiki lagi meskipun setelah puluhan tahun. Kepakaran beliau yang lainnya tidak lagi dipeduli.

Ada cara lain yang mungkin boleh digunakan badan berautoriti dalam mengurus karya yang ‘kontroversi’ ini, tanpa perlu diharamkan. Penghasilan sebuah karya telah melalui proses fikir, penyelidikan pelbagai sumber; lalu lahirlah idea idea dalam bentuk buku. Idea yang salah atau jahat sekalipun, mestilah dilawan dengan idea yang dirasakan benar. Kerana, kebenaran akan menang, idea yang ‘salah’ pasti akan dikalahkan oleh kebenaran. Sesi dialog, perbincangan secara berhemah adalah cara bagaimana idea ‘salah’ ini boleh dikalahkan dan dipatahkan, bukannya melalui pengharaman buku atau risalah. 

Pendapat peribadi saya terhadap Kassim Ahmad - beliau seorang anak melayu yang kritis, berani berfikir, tekun, spiritual dan idea beliau wajar diadili secara objektif kerana, ada beberapa pendapat beliau yang lain, saya rasakan wajar direnung, selaku beliau seorang pendidik, sasterawan, ahli falsafah, yang percaya dengan prinsip keadilan sosial mengikut acuan islam, melalui Al-Quran. Buku beliau penuh dengan nota kaki dan rujukan beliau adalah ayat-ayat Al-Quran yang pada tafsiran beliau, menyokong pendapatnya. Tidak dinafikan, pada peringkat peribadi, saya sendiri tidak bersetuju dengan penafsiran beliau dalam beberapa perkara dan saya tidak dapat bayangkan bagaimana masyarakat terbanyak memberi respon masing-masing yang pelbagai. Pastilah bakal memberi masalah kepada autoriti jika tidak ditangani dengan baik. 

Oleh kerana beliau adalah sasterawan, saya merasakan kerana itu beliau cenderung menganggap beberapa istilah dalam al-quran adalah metafora semata mata dan tidak patut difahami secara literal. Beliau pernah menulis sajak bertajuk "Sidang Ruh", yang mana ada istilah kontroversi "Tuhan telah mati". Sedangkan yang beliau maksudkan ialah "kezaliman yang terlalu bermaharajalela kerana manusia menganggap Tuhan telah mati", bukanlah bermaksud beliau tidak lagi percayakan Tuhan dan menjadi atheis. Bahkan beliau menulis ulasan kritikan kepada Richard Dawkins (seorang saintis dan atheis) atas karyanya The God Delusion.

Istilah 'pulang' dalam buku ini membawa maksud, beliau telah kembali berjalan atas jalan yang lurus setelah berjuang di sebelah kiri (memilih acuan al quran berbanding teori sosialism dari Karl Marx, Lenin dll).

Satu ayat Kassim Ahmad yang saya akan ingat - Berfikir itu memerlukan keberanian.