Cabaran ke 3 yang diberikan adalah cabara yang paling mencabar setakat ini. Hal ini kerana kesukaran untuk mendapatkan bahan bacaan yang dipilih. Walau bagaimanapun, saya telah berjaya mendapatkan sebuah buku kontroversi hasil tulisan penulis tersohor yang telah banyak memenangi sayembara dan juga anugerah tertentu. Buku yang dipilih ialah Karbala oleh Faisal Tehrani. Sebelum memulakan pembacaan, Karbala yang diketahui oleh saya hanyalah sekadar tanah suci bagi pengikut Syiah dan tidak lebih daripada itu.
Karbala yang berketebalan 198 halaman ini telah diterbitkan pada tahun 2008. Apa yang menarik tentang buku ini bagi saya ialah ianya menyampaikan ilmu dan maklumat melalui drama. Penulisan berbentuk drama ini tersangatlah unik dan tersendiri kerana ianya perlu mengambil kira beberapa aspek yang penting. Namun, ianya tidak menghalang Faisal Tehrani untuk menyampaikan mesej-mesej yang tertentu, malahan konsep drama dari buku Karbala ini diilhamkan daripada teater masyarakat Islam terdahulu yang dikenali sebgai Ta’ziyah. Kebiasaan, buku yang berbentuk drama ini akan menggangu mood dan pembacaan pembaca,namun ianya berbeza dengan Karbala.
Buku ini telah menceritakan semula peristiwa berdarah yang telah berlaku di Karbala. Pembunuhan cucunda Rasulullah SAW disampaikan dengan begitu teliti dan berperasaan sehingga dapat dibayangkan betapa hebatnya cabaran yang dihadapi ahlul bait itu.
Karbala juga telah mendatangkan satu tanda tanya yang besar dalam diri mengapa peristiwa seperti ini tidak pernah langsung diceritakan oleh ustaz-ustazah mahupun di dalam buku-buku agama yang menjadi sumber rujukan utama di sekolah-sekolah. Saya yakin, bahawa masih ramai yang tidak tahu apa yang sebenarnya yang terjadi di Karbala. Bagaimana seksanya Hussin dan ahlul bait yang lain dalam memperjuangkan agama dan hak sehingga dibunuh dengan begitu kejam. Penyeksaan dan pembunuhan yang dilakukan dengan gambaran melalui tulisan berbentuk drama itu terasa sungguh dekat. Saya yakin, jikalau anda seorang pembaca yang mudah tersinggung atau sensitif, nescaya air mata akan mengalir tatkala membaca karya hebat yang ‘tidak diiktiraf’ ini.
Sinopsis pada kulit belakang buku dapat dirasai dan dihayati lagi setelah pembacaan tamat. Pada awal pembacaan, keterangan ini banyak menimbulkan tanda tanya seperti apa yang penulis ingin sampaikan sehingga begitu berat sekali potongan ayat yang dipilih untuk diletakkan di belakang kulit buku ini. Berikut merupakan potongan ayat yang dimaksudkan.
“Tuhan, aku sungguh malu, betapa banyak dosa aku. Nabi, umat macam apakah aku ini, cucunda kesayanganmu hancur diseligi sedang aku masih selawat tanpa meratap dan menangis akan korban di Karbala ini. Nabi o Nabi, layakkah aku meraih syafaatmu di akhirat nanti andai apa jadinya di Karbala pun tak aku peduli."
Melalui Karbala ini juga, penulis turut membincangkan tentang susur galur keturunan Rasulullah secara tidak langsung dan pada akhir buku ini turut dibincangkan tentang boria dan pengaruhnya melalui ta’ziyah ini.
Akhir sekali, saya merasakan bahawa penulisan drama ini jikalau dipentaskan kelak mampu menarik perhatian banyak pihak secara langsung ataupun tidak. Dan penulisan hebat ini tidak wajar sama sekali untuk ‘disorok’ dari pandangan masyarakat, malahan buku ini harus diuarkan-uarkan dan dikongsi ilmu sejarah yang cuba untuk disampaikan oleh Faisal Tehrani ini. Didoakan semoga masyarakat kita tidak lagi gentar dan takut akan benda yang bernama BUKU buat selama-lamanya.
No comments:
Post a Comment