.

.
Showing posts with label bacaan kelima. Show all posts
Showing posts with label bacaan kelima. Show all posts

Tuesday, 9 October 2018




Tajuk        : Bustan Al-Salatin
Publisher : DBP
Ulasan     : Ummi Abibah Binti Mohamad Adi


“Bahawa membahasakan suatu kitab dengan bahasa Jawi padahal mengandungi perkataan segala yang mengediami tujuh petala langit & tujuh petala bumi. Dan mengatakan kelakuan segala raja-raja yang dahulu dan kemudian. Maka dijunjung fakir titah yang maha mulia serta pengetahuannya lagi kurang fahamnya pada bahasa Jawi pada hal berpegang ia kepada Tuhan yang menjadikan seru sekalian alam.”


Bustan al- Salatin merupakan hasil karya ulama terkenal Syeikh Nuruddin Al- Raniri yang dikarang di Acheh pada tahun 1638. Merupakan kitab yang menceritakan mengenai sejarah tampuk pimpinan kesultanan Acheh. Kitab ini ditulis atas perintah Sultan Iskandar Thani tidak lama selepas Syeikh Nuruddin menjejaki bumi Aceh. Ia juga dikenali sebagai teks kesusasteraan ketatanegaraan atau sastera adab yang mengetengahkan juga hal-hal lain yang berkaitan sejarah nabi, raja-raja yang adil & zalim, ilmu firasat dan ilmu tabib.

Dalam teks ini Syeikh Nuruddin menjelaskan jurai keturunan raja-raja Aceh yang memerintah daripada Sultan Ali Mughayat Syah hinggalah kepada Sultan Inayat Syah Zakiatuddin Syah. Penceritaan dengan cara yang ringkas  berkaitan raja- raja lain dan beliau lebih memfokuskan pada sistem pemerintahan Sultan Iskandar Thani & Sultan Tajul Alam. Hal ini mungkin disebabkan pengaruh dan baginda sediri adalah penaung yang melantik Syeikh Nuruddin sebagai ulama negara di Aceh. Ia juga dicatatkan jangka masa seseorang itu memerintah, sama ada pemerintahan itu berakhir kerana sultan dibunuh atau dijatuhkan dari takhta dan sebagainya.

Selain itu juga, kitab ini juga mengetengahkan peranan wanita dalam tampuk kepimpinan negara. Sultan Taj Al-Alam merupakan raja wanita pertama yang memerintah Acheh selepas kemangkatan Sultan Iskandar Thani. Menurutnya, raja wanita diukur berdasarkan aspek darah keturunan raja kerana berharta dan dihormati dalam kalangan masyarakat. Beliau tampak hebat dari segi adat dan kekayaan setelah mengambil alih tampuk pimpinan dari suaminya. Perkara ini berbeza dengan realiti sejarah kerajaan Acheh apabila dilihat negara seperti Pahang, Kedah & Perak yang ditakluk Acheh  dapat melepaskan diri. Hal ini membuktikan bahawa pemerintahan daripada raja perempuan adalah lemah.

 Keunggulan unsur sejarah dalam tulisan Syeikh Nuruddin diperkuatkan lagi dengan adanya unsur pentarikhan merangkumi catatan hari, bulan dan tahun untuk sesetengah peristiwa. Namun hal ini tidak konsisten kerana ada yang sekadar dicatatkan misalnya selepas zuhur, sebelum zuhur dan sebagainya.

Secara kasarnya, unsur ini lebih tepat merupakan unsur sejarah sosial. Dalam fasal ini adat isitiadat & peraturan tertentu dikaitkan dengan pemerintahan seseorang raja. Ia juga berkaitan samada pemerintahan tersebut tersusun atau tidak. Hal ini memberi gambaran yang seimbang tentang masyarakat yang terlibat.


Karya ini juga lebih banyak didokong penceritaannya menggunakan hadis-hadis, petikan-petikan daripada al-Quran serta penggunaan unsur nasihat. Pengajaran moral yang ingin disampaikan adalah amat ketara. Kisah-kisah yang disampaikan bukan semata-mata kerana ceritanya sahaja tetapi kerana pengajaran yang dapat diperoleh daripadanya.


TAJUK: REPUBLIK ATAU MONARKI
PENULIS : DR. HJ. O.K. RAHMAT
NEGARA; SINGAPURA
MUKA SURAT: 89 MUKA SURAT

Sebagai seorang pelajar dan pembaca yang jarang memilih isu politik atau Negara sebagai satu bahan bacaan, cabaran kali ini terasa begitu sukar. Namun sebagai langkah permulaan untuk seorang pembaca baru seperti saya, saya memilih buku “Republik atau monarki” sebagai bahan bacaan saya yang peroleh daripada perpustakaan UKM.

Buku ini walaupun hanya mempunyai kurang 100 lembar muka surat, namun sebagai seorang pembaca baru, setiap sisi muka surat ini memerlukan seseorang itu mempunyai satu daya tahan yang tinggi dalam menghabiskan bacaan sehingga ke akhir muka surat.

Secara asasnya buku ini merupaksan pengenalan asas system pemerintahan Islam sejak zaman Rasulullah sehingga hari ini. Namun lebih banyak penekanan diberikan pada zaman khulafa’ ar-rashidin iaitu empat khalifah tersebut.  Buku ini telah membawa para pembaca melihat sejauhmana kecenderungan agama Islam dalam sistem sebenar pemerintahan yang seharusnya diamalkan. Adakah dengan melaksanakan sistem republik ataupun monarki.
Disini juga penulis telah menyebut beberapa pemerintah yang cukup hebat pemerintahannya pada zaman selepas khalifah ar-rasyidin iaitu seperti Umar Abd Aziz, Harun Ar-Rasyid, Al-ma’mun, dan Sultan Salahuddin. Namun di antara semua itu, penulis melihat saidina Umar Al-Khatab sebagai ketua Negara yang paling ideal. Kerana kepada khalifah Umarlah, umat Islam memberi pujian mengenai keadilan, kerendahan hati, ketegasan, persamaan, persaudaraan, kesederhanaan dan ketakwaan kepada Ilahi. Betapa banyak kisah dan contoh yang penulis bawakan hingga membuatkan kita merasa rendah sekali amal dan pengorbanan kita selaku masyarakat bahkan dalam beramanah memimpin  diri sendiri.

Kemudian, buku ini turut membawakan kita satu mesej penting tentang lahirnya sistem monarki dalam Islam setelah kematian Saidina Uthman dan perlantikan Saidina Ali hingga membawa kepada pembunuhan saidina Ali itu sendiri. Iaitu diceritakan segalanya bermula ketika Muawiyyah memilih untuk mengangkat Yazid sebagai pemegang tampuk pemerintahan selepas beliau. Hal ini terlihat berbeza kerana kta dapat lihat bagaimana Negara Islam pada zaman khalifah Ar-Rasyidin telah banyak menggunakan bentuk republic.

Namun buku ini juga tidaklah sewenang-wenangnya menyokong dan menolak kewujudan monarki dan republik dalam meleraikan segala kemelut kemaslahan ummah. Apatah lagi rasulullah amat tegas dalam mengatakan betapa peri pentingnya sesuatu tampuk pemerintahan itu untuk mempunyai pemerintah. Monarki ataupun republik keduanya mengikut kemaslahatan ummah disetiap tempat tersebut. Seperti yang berlaku di Negara Pakistan yang kita kenal sebagai sebuah Negara republik sejak berkurun lamanya.

Apa yang paling penting, adalah mesej yang hendak dibawa oleh penulis adalah membawa para pembaca untuk teliti dalam pemilihan pemimpin.  Adalah wajib untuk ummat Islam melantik pemerintah mengikut  syarat-syarat yang ditentukan oleh undang-undang syariah. Apakah perlu seluruh wazir yang akan dilantik daripada orang islam atau mengikut kepakaran mereka. Semuanya telah dikupas dengan baik di dalam buku ini.

Tidak dapat dilupakan, bagaimana buku ini juga membawakan kita konsep syura, iaitu sistem yang diamalkan ketika zaman khalifah ar-rasyidin. Adakah sama dengan sistem demokrasi Barat yang diamalkan oleh majoriti Negara di seluruh dunia ketika ini.

Buku ini sangatlah perlu untuk kita baca dan hayati bersama. Bagi seseorang yang tidak mempunyai latar pengetahuan sejarah yang mendalam seperti saya . Adalah satu hal yang saya kira amat penting untuk kita pelajari asas pemerintahan menurut perspektif Islam ini dahulu sebelum kita mengkaji isu-isu yang lebih mendalam kelak. Kerana setiap sistem pemerintahan di dunia mempunyai satu sisi silang yang saling berkait rapat. 

Sunday, 31 December 2017


Bagi cabaran kelima Buku Jalanan Titi, iaitu biografi, pada awalnya saya ingin memilih Buku Ayah daripada HAMKA, tapi akibat kesukaran untuk menghabiskannya, (buka tutup separuh, baca dua muka surat dan tutup) saya akhirnya memilih untuk mereviu buku When Breath Becomes Air – Paul Kalanithi (228 muka surat). Buku ini ialah bestseller di peringkat antarabangsa, dan saya setuju ramai orang yang ada mid-life crisis atau rasa tengah down ke apa untuk baca buku ni. Fakta menarik, Paul Kalanithi, penulisnya sudah meninggal dunia pada 2015 dan buku ini ialah rakaman catatannya sebelum meninggal. Lebih kurang macam stail penulis tu nak sampaikan, bila kita dah tak ada banyak masa, apa benda sebenarnya yang kita nak dalam hidup ni? Sebab tu kat cover dia ada cakap ‘What Makes Life Worth Living In the face of Death?’.  Tambah pula dengan gambar orang pakai baju bilik bedah dengan penutup kepala tu. Buku ni ada 225 muka surat semuanya.

Sedikit sebelum kita reviu buku ni, sebenarnya buku ni ada kawan saya yang perkenalkan  masa join Kem Buku Jalanan Titi 2018, tapi masa tu saya tak berminat sangat sebab baca buku berbahasa Inggeris ni biasanya saya payah nak habiskan, tapi dia insist cakap buku ni best, pasal Doktor yang kena kanser.  Pulak tu masa tu dia beli buku ni shipping oversea, haha. Dalam 7 bulan selepas tu, malam sebelum ulangtahun ke-24 saya (yang tiba-tiba terfikir banyak benda), berjalan-jalan di MPH dan ternampak buku ni kat ruang display. Masa tu tengah contemplate pasal life, fikir what ifs semua, dan buku ni secara tidak langsung macam bagi hint, ok, apa jadi kalau kita dah hampir nak capai semua benda yang best dalam hidup, dan tiba-tiba kita ada sebulan je lagi untuk hidup, contohnya. Itu yang terus tertarik nak baca tu.

Itulah yang jadi kat Paul Kalanithi. Dia merupakan seorang neurosurgeon (pakar bedah otak), genius dan polyglot (pakar dalam banyak bidang).  Dia ada ijazah dalam English Literature, biologi, sejarah dan lepas habis degree ambil keputusan untuk masuk dalam bidang perubatan, terutama bab bedah otak ni. Kat oversea, benda biasa untuk orang ada double degree jadi Paul ialah salah seorang yang macam tu, sebab ada orang nasihatkan dia kalau biasa laluan kerjaya lepas ijazah English Literature ni jadi Pensyarah biasanya. Dan dia tak nak laluan kerjaya tu, dia nak sesuatu yang memuaskan hati dia, tambah keluarga dia ada background perubatan. (Ayah dia doktor dari India yang berhijrah ke US bersama mak dia- yang ada background study fisioterapi).

Perkara pertama yang dia cerita dalam buku ini ialah,apabila dia tengok CT scan yang menunjukkan paru-paru yang ada tumor, dengan kecacatan pada tulang belakang. Paul ni, masa tu umur 30-an, dalam tahun akhir nak siapkan training dia untuk jadi pakar bedah.  Banyak scan dah dia diagnos sebelum ni, tapi kalini dia diagnos dia punya CT scan dan dia sebagai pesakit, bukannya doktor. Isteri dia, Lucy pun doktor juga.  Jadi dia tulis autobiografi ni bila dia tahu yang sakit belakang teruk yang dia alami sebelum ni bukan sakit biasa, tapi kanser paru-paru dan dia ada masa yang singkat untuk hidup. Kira buku ni macam reflection kepada hidup dia. Banyak medical terms yang dia terangkan dengan ayat mudah. Umur 36, Paul dah ada hampir segalanya, dia dah bayangkan hidup dia akan datang macam mana. Jadi doktor pakar bedah, ada kajian, hidup bahagia dengan Lucy, bakal anak mereka (masa tu dorang tak merancang untuk ada anak lagi), segala usaha dia selama ni akan berhasillah kiranya. Tapi tiba-tiba dia ada sakit belakang yang teruk dan turun berat badan dengan banyak.

Sebagai seorang doktor, dia tahu ada yang tak kena, dan betul, ada benda yang tak kena. Buku ni kemudiannya cerita pasal konflik perasaan, hubungan engan orang sekeliling dan tindakan yang dia ambil lepas dapat tahu dia sakit. Dahla dia study neurosurgeon kot, bukan calang-calang dan dah banyak effort dia habiskan untuk capai tahap dia sekarang. Baca buku ni macam baca diari pun ada, tapi ayat dia sangat tersusun dan menyentuh hati. Hari-hari dia tengok kematian kot, dan tak dia sangka kematian tu pun dekat dengan dia. Pasal titik pertemuan antara kepercayaan dia kat Tuhan dan bukti saintifik. Cara dia cope dengan berita tu ; dia start discover benda yang dia minat balik. Literature. Perjalanan menuju kematian tu buatkan dia fikir prioriti hidup dia, dan dia dan Lucy ambil keputusan untuk ada anak, dan sempatlah dia tengok anak dia sebelum meninggal. Cuma buku ni tak sempat diterbitkan. 

Akhir sekali isteri dia tulis epilog tentang Paul Kalanithi yang dia kenal. Seorang yang sangat baik dan suka membantu orang semasa hidup, dan buku ni pun adalah salah satu cara dia bantu orang yang struggle dalam hidup, sedang mencari tujuan.
Pengalaman dia tapi kebanyakan orang boleh relate. Terima kasih Paul Kalanithi. Betullah orang cakap, kalau nak hidup selama-lamanya, menulis. Buku ni juga, kalau rasa stres, best untuk ulang baca sebab dia macam bagi peringatan dan feeling, macam mana kalau esok kita dah takde?

Kita tak pernah tahu.

Tuesday, 27 December 2016

Saya dikehendaki untuk membaca komik dan memberi review sudut positif berkenaan komik ini untuk cabaran yang kelima. Pada asalnya saya seperti tiada idea kerana saya baru sahaja meghabiskan komik Mat Som oleh Lat. Komik apakah lagi yang mampu beri impak positif selain daripada Mat Som ini?

Jelajah saya ke MPH Giant Senawang menemukan saya dengan komik Putera Katak, terbitan Kadokawa Gempak Starz Sdn Bhd. Dalam hati, ‘ah ini saja yang aku rasa paling baik dan boleh bari impak positif, hentam saja’.


Kalau anda terfikir tentang kisah dongeng putera yang bertukar menjadi katak dan perlu dicium untuk bertukar semula menjadi manusia, maka bayangan anda itu silap sama sekali. Kisah dalam komik ini adalah mengenai Leo, seorang budak lelaki kaki buli. Dia sering kali berasakan dirinya adalah seorang raja dan setiap orang mesti menuruti arahannya. Sikapnya ini berpunca daripada ketiadaan ibu bapanya di rumah kerana sering ke luar negara atas urusan kerja.

Leo sering mengejek Edward yang mukanya penuh dengan jerawat. Ruby juga menjadi mangsa Leo kerana kerap kali diejek kerana penampilannya. Kemuncak perbuatan Leo ini adalah apabila, dia telah memarahi seorang nenek tua yang terlanggar dia, (tanpa mengetahui itu adalah nenek Ruby). Dia terjumpa ahli sihir katak dan selepas itu mukanya berubah menggerutu seperti katak. Dia perlu berkelakuan baik dan tidak berbohong supaya mukanya kembali pulih. Kawan-kawannya yang dulu semua tidak mahu berkawan dengan Leo dan Edward juga telah bangkit menghina Leo. Akhirnya dengan pertolongan Ruby dan neneknya, dapat mengubah Leo menjadi seorang yang bertanggungjawab dan tidak lagi membuli orang lain.

Setiap orang yang jahat sentiasa ada peluang untuk bertukar untuk menjadi baik. Jiwa kanak-kanak juga murni, mereka mudah memaafkan, seperti Ruby yang tidak pernah berdendam dengan Leo walaupun pernah dibuli. Walaubagaimanapun, setiap orang yang jadi pembuli biasanya ada sejarah di sebaliknya, sebelum menghukum yang bukan-bukan, adalah baik untuk memeriksa dahulu.

Komik ini mampu memberi pengajaran yang baik untuk kanak-kanak supaya tidak menjadi orang yang suka menghukum orang lain dan menjadi orang yang tidak membazirkan masa serta berdikari.



Sunday, 4 December 2016



“Cabaran akhir adalah cari komik dan berikan sudut pandang positif tentang hal-hal yang jika anak kecil atau remaja baca akan beroleh ilmu yang bermanfaat.”

Saya ketawa apabila menerima cabaran terakhir ini. Iyalah, tahun 2016 tinggal beberapa hari saja lagi. Khuatir juga jika cabaran kali ini sukarnya seperti yang cabaran yang lepas-lepas. Sukar (bagi saya) bermaksud perlu cari buku, baca dan menulis ulasan. Yang terakhir itulah bahagian paling sukar hinggakan terpaksa ‘berhutang’ dan diberi ingatan oleh Admin.

Selepas ketawa, barulah saya tersedar sesuatu. Saya tidak membaca komik langsung tahun ini. Tahun lepas pun tidak baca. Sebenarnya, saya sendiri sudah tidak ingat bilakah kali terakhir saya membaca komik. Padahal dulu, saya ini ‘kaki’ komik juga.

Saya langsung ke Popular di Ipoh Parade mencari komik. Di sana, lama juga saya merenung rak bahagian komik. Saya sudah lama meninggalkan dunia komik. Sudah tidak tahu apakah perkembangan komik sekarang ini. Kasihan pula kepada diri sendiri.

Dalam keadaan begini, saya hanya berpandukan naluri hati saja. Semoga komik yang menarik akan mengeluarkan cahaya dan menangkap pandangan saya.

Akhirnya, sebuah komik menyeru nama saya. Lantas, tangan saya menariknya keluar dari himpitan rapat komik-komik lain. Kembara Khazanah Turki tajuknya. Saya tersenyum. Naluri hati saya membisik kata, “Inilah komiknya. Ambil ini.” Terus saya ke kaunter dan buat bayaran.

Tepat seperti kata hati, komik yang berharga RM12 ini memang pilihan yang terbaik!

Kembara Khazanah Turki adalah salah satu daripada Siri Jelajah Dunia. Secara spesifiknya, siri jelajah dunia paling popular di Korea. Komik oleh Kang Gyung-Hyo ini diterbitkan oleh Gomdori Co. dan untuk terbitan di negara ini, diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Farah Amelia & Zharifa melalui GempakStarz dengan nombor ISBN 978-967-0699-91-2.

Kisah ini adalah kembara penyiasatan mencari harta karun oleh Ji Pang-Yi dan rakan-rakannya di bawah seliaan Profesor Ji Gu-Bon. Pelbagai kisah dan cabaran yang perlu dihadapi Pang-Yi dalam misi ini. Walaubagaimanapun, kerana ini adalah komik, paparannya sungguh menghiburkan sekali. Story-telling bagus dan informasi digali habis oleh pengkarya menjadikan bacaan komik ini langsung tidak sia-sia. Di akhir setiap bab, ada catatan tentang Turki dalam penerangan yang mudah. Bahasa yang digunakan juga adalah bahasa yang baik. Fiksyen pula menjadikan kita (pembaca) beremosi terhadap tempat-tempat di Turki.

Saya belum pernah menjejakkan kaki ke Turki. Tetapi, saya kira penceritaan tentang Turki (makanan, tempat-tempat bersejarah dan budaya) melalui komik ini menjadikan saya bersemangat mahu menanam impian menjadikan Turki sebagai destinasi untuk dikunjungi suatu hari nanti. Tidak mustahil juga saya akan terkenang keletah Pang-Yi, Eun-Ju dan rakan-rakan apabila sampai di sana. Haha!

Ah, rugi pula rasanya kerana sudah lama meninggalkan bacaan komik. Sedangkan kebanyakan komik memang diakui punya story-telling yang kuat dan menarik. Ada 20 tajuk lain dalam Siri Jelajah Dunia ini. Saya kini merasa hendak mengumpulkan kesemua tajuk.

Akhir sekali, apakah anak kecil dan remaja akan beroleh manfaat daripada komik yang saya baca ini? Tanpa ragu-ragu, jawapan saya adalah – ya, sudah tentu!