.

.
Showing posts with label cabaran 2017. Show all posts
Showing posts with label cabaran 2017. Show all posts

Sunday, 31 December 2017



Berakhirlah sudah 2017, nak masuk 2018 pula. Huhu. Sepanjang 2017 ni, kalau ada buku terbaik yang orang minta cadangkan, saya pun blur juga nak bagi cadangan apa. Tapi bagi sayalah, buku Mata Hati Kita terbitan GerakBudaya dan Kryss. Buku ni sebenarnya kontroversi sikit la kot kalau orang yang tak bersetuju dengan mereka. Tapi bagi saya, saya baca untuk pengetahuan sahaja. Ok, bagi saya kenal buku macam kenal manusia juga. Kalau nak berkawan kita mesti kenal kurang-kurang nama dulu kan. Ok, buku ni saya terbelek dalam 5 bulan sebelum. Tengok-tengok ada komik, saya memang ada soft spot kat buku yang ada tulisan dan lukisan ni, macam buku yang kita baca masa kecil dulu. Jadi masa tu saya baca komik tu, pasal orang Melayu tapi ada konflik dengan keluarga sebab dia nak jadi perempuan. Dia lelaki. Ohh ok, jarang orang nak tulis pasal buku pasal topik camni sebab dia macam taboo kan. Tapi masa tu takde duit lagi nak beli jadi saya baca 2 3 muka surat sahaja. Tapi tu pun tertarik dah.

Jadi lepas 5 bulan, dah dapat gaji (haha), terus saya teringat balik kat buku ni dan cari kat kedai. Masa mula-mula baca tu baru faham, buku ni ialah kompilasi catatan golongan lesbian, biseksual dan golongan transgender kat Malaysia. Ada 24 kisah semuanya, mewakili semua kaum (dia takdelah spesifikkan kaum apa tapi bukan Melayu sahajalah). Macam saya cakap, benda ni taboo, jadi saya pun jarang dengar kisah macam ni kecuali daripada telemovie sutun dulu, kisah yang ada mak nyah kat tv (biasanya yang drama Rashid Sibir yang malam raya,huhu), dan..Mastika (kisah Lorong Hj Taib). Selebihnya, tak tahu sangat, macam mana dorang jadi macam tu semua. Tapi sekarang kan ada Riz Ulala, Sajat dan seumpamanya. Jadi setakat itu sahajalah.

Buku ni ada 142 muka surat dan dwibahasa. Ada yang menulis dalam bahasa Inggeris, ada yang Bahasa Melayu. Setiap seorang tu ada macam-macam faktor kenapa jadi macam tu. Sebab suka cross-dress,  membesar dalam keadaan yang harsh. Ada yang discover dia – perempuan, tak suka lelaki bila dah masuk sekolah. Dia sangat suka kawan perempuan. Perhubungan tu rapat sangat sampai satu extend yang bila kawan dia ada boyfriend dia spacekan diri dia dari kawan tu, dan lepastu mereka discover dorang bukan kawan biasa, dorang ditakdirkan untuk satu sama lain. Ada lelaki yang nak jadi perempuan, sebab dia suka cara orang perempuan dilayan. Dan tambah lagi sebab keluarga tak terima perubahan dia, jadi dia rebel dan betul-betul frust kenapa keluarga dia tak nak sit down dan cakap pasal ni. Ada tu yang dia perasan memang hormon dia lain sikit, walaupun dia perempuan tapi dia pecah suara dan lagi suka jadi lelaki sebab lelaki tak perlu pengawasan ke, pakai tudung macam perempuan. Lebih bebas kiranya. Yang keluarga menyokong, keluarga pulaukan. Setiap kisah tu unik.

Tapi banyaknya, mereka mengalami kemurungan, hampir bunuh diri sebab keluarga menentang, perpisahan dengan boyfriend/ girlfriend.  Nak minta kerja pun ada pandangan serong padahal mereka ada pencapaian belajar tinggi. Jadi end up kerja tak sama taraf atau buka bisnes atau melacurkan diri. Mana-mana pergi akan ada mata yang memandang dan keluarga pun terima tekanan bila mulut-mulut yang bercakap dorang tak pandai jaga anak. Sebab golongan trans ni pilih untuk jadi apa yang mereka rasa sebagai mereka sendiri. Saya ingatkan kat kaum Melayu, khususnya yang agama Islam je macam tu. Tapi tak, umumnya berdasarkan tulisan ni, kaum lain pun sama. Jadi, basically payah la untuk golongan transgender ni hidup di Malaysia.

Ada satu part yang mention pasal Fatine Young, kes yang tahun 2010 kot, transgender dari Malaysia yang femes kat UK sebab kahwin dengan lelaki sana dan tinggalkan ‘suami’ dia lepas dapat Visa. Ramai la golongan transgender ni prefer pindah ke luar negara sebab kat Malaysia, tak menyokong perubahan mereka.
Menarik juga, ada seorang ni – transgender yang takut diberi ceramah kaunseling. Sebab dia takut terjatuh hati kat Imam yang bagi ceramah tu. Dia mengaku pernah sukakan Imam yang bagi bimbingan untuk dia jadi lelaki balik. Saya bila baca tu macam Ok..huhu. Tapi sedih juga, bila ada satu part yang ramai maknyah buat kerja maksiat/ bila ditangkap banyak kali mereka akan buat lagi kerja yang sama sebab tak ada orang nak ambil mereka buat kerja lain, keluarga pun dah buang mereka, masyarakat pun takkan terima. Jadi mereka terpaksa balik ke jalan tu. Kesian.

Komik-komik dalam buku ni pula adalah ringkasan bergambar untuk mengilustrasikan setiap pengalaman yang ditulis. Bila baca buku ni, saya pun ada terbayangkan madrasah untuk golongan waria (mak nyah) di Indonesia. Golongan ni beragama Islam dan nak dalami Islam, ada ustaz yang membimbing dan semua yang ada situ waria, cuma tak buat dah kerja maksiat.

Saya rasa buku ini sangat best dan perlu dibaca orang ramai sebab dia lain daripada yang lain. Tak klise. Jarang nak dengar pengalaman orang sebegini, yang hakikatnya realiti. Sedih pun ada. Terus saya teringatkan yang saya kalau lalu Lorong Hj Taib tu saya sendiri pun takut. Pernah 2 tahun lepas pergi sebab ada program kebajikan bagi makan kat sana, saya dipanggil ‘makcik’ oleh ‘kakak’ yang tinggal di hotel bajet tu. Kelakar pun ada. Saya kongsikan bacaan ni bukanlah sebab nak promote LGBT ke apa, cuma terfikir ada sebab mereka jadi macam tu, dan kita pun janganlah cepat menghukum. Dan sebelum ni ternampak kat FB yang Mufti Wilayah ada approach golongan begini dan itu adalah usaha yang sangat baik. Semoga ditunjukkan kebenaran pada mereka dan kita.
Buku yang sangat membuka minda bagi saya.


What I Wish I knew When I was 20 ( Tina Seelig), 195 m/s
Mula : 24/11/2017 – 25/11/2017 (3 pm ke 3 pm)


Reviu yang tertangguh. Huhu. Buku What I Wish I Knew When I Was 20 ni ialah buku yang saya dapatkan untuk cabaran terakhir. Masa tu tengah jalan-jalan KL Sentral dan saja pusing kedai buku untuk cari buku yang menarik. Kemudian, saya ternampak buku ni, A Crash Course on Making Your Place in the World. Apa lagi, terus baca di situ. Disebabkan buku ni tajuk dia catchy. Jadi konfiden sikit untuk habiskan. Ada beberapa cara yang saya buat untuk habiskan buku ni. Ok, pertama sekali saya tahu kelemahan saya ni payah nak habiskan baca buku sebab bertukar-tukar tempat. Maksudnya, kalau pergi ke perpustakaan ke kedai buku ok je baca buku banyak sebab boleh concentrate. Tapi kalau kat rumah astaghfirullah, banyak distraction, rasa nak pergi buka tv lah, nak pergi tengok youtube cari video kucing la, haa maksudnya banyaklah yang rasa tak kena.

Jadi satu cara nak counter benda ni ialah lepak kat kedai buku. Dan lepas tu, bila dah sampai kat kedai, tengok apa-apa buku yang menarik perhatian pastu berdiri la kat situ takde orang kacau. Phone kena silent, dan pergi kedai tu sorang-sorang. Dan buku yang saya pilih ialah buku What I wish I Knew When I was 20 ni, sebab memang tengah cari guideline camtu. Haha. Orang mat salleh kata mid-life crisis, dia perlukan guideline. Jadi sebagai seorang yang berumur 20-an, haruslah ambil iktibar ni. Disebabkan syarat dia kena ambil buku lebih 151 tak termasuk pengantar dan sebagainya, jadi saya pilih yang nipis, atas sikit pada syarat yang dikemukakan. Sebab saya tahu kalau baca buku tebal for sure tertangguh-tangguh tak habiskan.

Buku ni pula, saya baca skimming kebanyakannya, bila ada point penting baru saya berhenti pilih. Contoh buku ni kan, banyak bab dia. Jadi bab depan dan belakang tu memang saya baca betul, tapi bab tengah tu imbas lalu je, Cuma kalau ada bab yang menarik perhatian, contoh dalam buku ni ada tengah-tengah tu, bab 6. No Way Engineering is for Girls, yang tu saya fokus. Kira, bab yang relate dengan saya jela yang saya fokuskan. Kalau bab lain tu baca sekali lalu.

Dan sebenarnya, saya duduk dalam 2 jam je kat kedai tu, tapi disebabkan dari kedai tu ke rumah sewa lalu lebih kurang 6 LRT, sempatlah saya habiskan dalam ¾ buku. Esoknya, masa tunggu bas nak pergi kerja sambung baca buku ni sampai habis. Jadi dapatlah habiskan dalam masa 24 jam. Buku tu menarik, jadi tak ada masalah untuk habiskan dengan cepat.

Ok, sebelum saya ulang balik teknik yang digunakan, meh saya ceritakan pasal buku ni. Buku ni ditulis oleh Tina Seelig, seorang pensyarah yang ada pHD dalam neurosains daripada Universiti Stanford. Dia ni pengarah Eksekutif kat satu pusat keusahawanan kat fakulti kejuruteraan kat Stanford. Buku ni diterbitkan pada tahun 2009, khas untuk anak dia Josh (yang umur 20). Secara amnya buku ni bagi panduan kat anak muda, yang ok untuk berbuat kesalahan, dan kadang-kadang kan, dalam kelas masa belajar kita ada assignment. Dalam assignment tu kan, ada yang kita diberi bahan yang terhad, dalam tempoh 2 hari contohnya kita kena achieve benda yang besar guna bahan yang terhad tu. Limited time span. Banyak daripada kita yang rasa benda tu hanya applicable dalam kelas je padahal hari-hari kita alami benda tu kot.

Banyak usahawan yang berjaya guna idea daripada masalah, sumber yang terhad dan berjaya come out dengan sesuatu yang berbeza. Lebih kurang camtulah, dan banyak dia selitkan case studies dan pengalaman sendiri masa muda. Buku ni memang bacaan yang bagus dan memotivasikan. Pasal ada usahawan di Silicon Valley yang datang dari Korea, susah sampai makan kobis tapi dengan ketabahan tu dia berjaya sampai boleh jadi partner syarikat besar. Kata kunci dia, percaya dengan kebolehan diri. Anda boleh! Tetiba.

Ok, baiklah, saya ulang balik teknik yang digunakan
1.       Pergi tempat sunyi/ tempat banyak buku (kedai buku)

2.       Pilih buku best dan tak tebal sangat

3.       Masa free tunggu train ke bas boleh baca buku sepanjang perjalanan (travel time dan transport yang selesa)

4.       Skip 2 3 muka surat yang rasa tak best sangat – baca sekali lalu je

5.       Biar habis dulu 1 buku kalau pun nak ulang baca (sebab saya ada tendency untuk baca separuh, lepas tu ulang balik muka surat belakang sebab tersentuh dengan ayat tu)

6.       Set time frame (macam ni sebab cabaran -.-‘)

Rasanya tu kot, tapi next time saya kena belajar cara tak bertangguh buat reviu pula huhu. Terima kasih!


Bagi cabaran kelima Buku Jalanan Titi, iaitu biografi, pada awalnya saya ingin memilih Buku Ayah daripada HAMKA, tapi akibat kesukaran untuk menghabiskannya, (buka tutup separuh, baca dua muka surat dan tutup) saya akhirnya memilih untuk mereviu buku When Breath Becomes Air – Paul Kalanithi (228 muka surat). Buku ini ialah bestseller di peringkat antarabangsa, dan saya setuju ramai orang yang ada mid-life crisis atau rasa tengah down ke apa untuk baca buku ni. Fakta menarik, Paul Kalanithi, penulisnya sudah meninggal dunia pada 2015 dan buku ini ialah rakaman catatannya sebelum meninggal. Lebih kurang macam stail penulis tu nak sampaikan, bila kita dah tak ada banyak masa, apa benda sebenarnya yang kita nak dalam hidup ni? Sebab tu kat cover dia ada cakap ‘What Makes Life Worth Living In the face of Death?’.  Tambah pula dengan gambar orang pakai baju bilik bedah dengan penutup kepala tu. Buku ni ada 225 muka surat semuanya.

Sedikit sebelum kita reviu buku ni, sebenarnya buku ni ada kawan saya yang perkenalkan  masa join Kem Buku Jalanan Titi 2018, tapi masa tu saya tak berminat sangat sebab baca buku berbahasa Inggeris ni biasanya saya payah nak habiskan, tapi dia insist cakap buku ni best, pasal Doktor yang kena kanser.  Pulak tu masa tu dia beli buku ni shipping oversea, haha. Dalam 7 bulan selepas tu, malam sebelum ulangtahun ke-24 saya (yang tiba-tiba terfikir banyak benda), berjalan-jalan di MPH dan ternampak buku ni kat ruang display. Masa tu tengah contemplate pasal life, fikir what ifs semua, dan buku ni secara tidak langsung macam bagi hint, ok, apa jadi kalau kita dah hampir nak capai semua benda yang best dalam hidup, dan tiba-tiba kita ada sebulan je lagi untuk hidup, contohnya. Itu yang terus tertarik nak baca tu.

Itulah yang jadi kat Paul Kalanithi. Dia merupakan seorang neurosurgeon (pakar bedah otak), genius dan polyglot (pakar dalam banyak bidang).  Dia ada ijazah dalam English Literature, biologi, sejarah dan lepas habis degree ambil keputusan untuk masuk dalam bidang perubatan, terutama bab bedah otak ni. Kat oversea, benda biasa untuk orang ada double degree jadi Paul ialah salah seorang yang macam tu, sebab ada orang nasihatkan dia kalau biasa laluan kerjaya lepas ijazah English Literature ni jadi Pensyarah biasanya. Dan dia tak nak laluan kerjaya tu, dia nak sesuatu yang memuaskan hati dia, tambah keluarga dia ada background perubatan. (Ayah dia doktor dari India yang berhijrah ke US bersama mak dia- yang ada background study fisioterapi).

Perkara pertama yang dia cerita dalam buku ini ialah,apabila dia tengok CT scan yang menunjukkan paru-paru yang ada tumor, dengan kecacatan pada tulang belakang. Paul ni, masa tu umur 30-an, dalam tahun akhir nak siapkan training dia untuk jadi pakar bedah.  Banyak scan dah dia diagnos sebelum ni, tapi kalini dia diagnos dia punya CT scan dan dia sebagai pesakit, bukannya doktor. Isteri dia, Lucy pun doktor juga.  Jadi dia tulis autobiografi ni bila dia tahu yang sakit belakang teruk yang dia alami sebelum ni bukan sakit biasa, tapi kanser paru-paru dan dia ada masa yang singkat untuk hidup. Kira buku ni macam reflection kepada hidup dia. Banyak medical terms yang dia terangkan dengan ayat mudah. Umur 36, Paul dah ada hampir segalanya, dia dah bayangkan hidup dia akan datang macam mana. Jadi doktor pakar bedah, ada kajian, hidup bahagia dengan Lucy, bakal anak mereka (masa tu dorang tak merancang untuk ada anak lagi), segala usaha dia selama ni akan berhasillah kiranya. Tapi tiba-tiba dia ada sakit belakang yang teruk dan turun berat badan dengan banyak.

Sebagai seorang doktor, dia tahu ada yang tak kena, dan betul, ada benda yang tak kena. Buku ni kemudiannya cerita pasal konflik perasaan, hubungan engan orang sekeliling dan tindakan yang dia ambil lepas dapat tahu dia sakit. Dahla dia study neurosurgeon kot, bukan calang-calang dan dah banyak effort dia habiskan untuk capai tahap dia sekarang. Baca buku ni macam baca diari pun ada, tapi ayat dia sangat tersusun dan menyentuh hati. Hari-hari dia tengok kematian kot, dan tak dia sangka kematian tu pun dekat dengan dia. Pasal titik pertemuan antara kepercayaan dia kat Tuhan dan bukti saintifik. Cara dia cope dengan berita tu ; dia start discover benda yang dia minat balik. Literature. Perjalanan menuju kematian tu buatkan dia fikir prioriti hidup dia, dan dia dan Lucy ambil keputusan untuk ada anak, dan sempatlah dia tengok anak dia sebelum meninggal. Cuma buku ni tak sempat diterbitkan. 

Akhir sekali isteri dia tulis epilog tentang Paul Kalanithi yang dia kenal. Seorang yang sangat baik dan suka membantu orang semasa hidup, dan buku ni pun adalah salah satu cara dia bantu orang yang struggle dalam hidup, sedang mencari tujuan.
Pengalaman dia tapi kebanyakan orang boleh relate. Terima kasih Paul Kalanithi. Betullah orang cakap, kalau nak hidup selama-lamanya, menulis. Buku ni juga, kalau rasa stres, best untuk ulang baca sebab dia macam bagi peringatan dan feeling, macam mana kalau esok kita dah takde?

Kita tak pernah tahu.
Cabaran kali ini kena membaca buku yang lebih daripada 151 muka surat dalam masa 24 jam! Berjayakah saya?

Sudah tentulah! Saya telah memilih Pakar oleh Nadia Khan. Buku yang saya pilih mempunyai 209 halaman. Tolak kata pengantar dan sebagainya tinggal lah 203 halaman. Laporannya, saya mula baca jam 1 petang 7 November 2017 dan tamat bacaan pada 6 petang hari yang sama. Wah kagum juga saya dengan diri sendiri. 203 muka surat dapat dihabiskan dalam masa 5 jam.
Okey mari kita calculate. Sehari ada 24 jam. Tolak masa tidur 8 jam tinggal 16 jam. Bergantung juga kepada pekerjaan anda. Student atau bekerja, masing-masing ada kekangan masa. 16 jam berbaki tadi ditolak dengan kesibukan mungkin hanya tinggal beberapa jam. Dan saya ialah wanita bekerjaya. Apakah strategi saya?
Pertama, saya tidak memilih buku yang terlalu tebal. Ini yang membuatkan saya dapat menamatkan bacaan dalam sehari. Kalau saya memilih buku sehingga 400 muka surat, ya tidak mustahil untuk habiskan dalam sehari tetapi untuk saya, saya mungkin saya akan mengambil masa 2 hari untuk menghabiskannya.
Kedua, buku yang saya pilih ialah dalam bahasa melayu iaitu bahasa pertuturan utama saya. Malah ianya bahasa melayu yang sangat mudah difahami. Oleh sebab itulah, penghadaman dalam pembacaan menjadi laju. Kalau bahasa inggeris mungkin lambat sedikit bacaan saya. Kalau bahasa german tak habis-habis agaknya bacaan saya.
Ketiga, kebetulan buku yang saya pilih ceritanya menarik dan tidak bosan. Saya tidak rasa ingin tutup buku dan pergi tidur langsung. Tetapi saya juga tidak membaca secara terburu-buru. Saya membaca buku ini in one sitting.
Keempat, font buku tersebut senang dibaca. Saiz font tidak terlalu kecil dan tidak terlalu besar serta spacingnya tidak terlalu rapat.
Point ketiga dan keempat juga adalah faktor penting bagi saya menghabiskan sesebuah buku dalam masa sehari.
Kelima, saya membaca dengan mata. Bukan dengan suara atau miming. Saya rasa ini adalah cara membaca yang boleh membuatkan bacaan menjadi pantas. Jangan voice over setiap satu perkataan. Ia akan melambatkan bacaan.
Keenam, memandangkan saya bukanlah suri rumah, saya selitkan membaca dalam waktu bekerja. 2 in 1 kata orang. Sambil buat kerja sambil membaca. Kebetulan pada hari tersebut kerja saya tidaklah banyak. Sekiranya banyak, bacaan mungkin memakan masa lebih lama.
Itu sahaja strategi saya untuk dalam cabaran ini.
Bagi mengulas sedikit sebanyak tentang buku yang saya baca, Pakar menampilkan dua novella: Agensi Curi Jodoh dan Pakar Sakit Hati. Dua-dua novella ini sangat mencuit hati. Jujurnya saya tiada masalah dengan kedua-dua novella. Cuma, novella kedua mengetengahkan isu yang agak sensitif iaitu tentang mental illness. Saya dapat rasakan humour dalam novella kedua. Namun bagi sesetengah pembaca, mereka mungking menganggap isu begini bukanlah isu yang boleh dijadikan bahan gurauan.
Kesuluruhannya, seperti biasa Nadia Khan tidak pernah mengecewakan dalam mencipta plot twist pada watak-watak. Selain itu, ending juga dipusing dengan twist yang kurang dijangka terutama dalam novella kedua. Novella ceritanya tidaklah sepanjang novel walaupun ia lebih panjang daripada cerpen tetapi ceritanya padat. Pada saya ada yang kurang mantap dari segi character development. Maka, saya lebih prefer beliau menghasilkan novel kerana kebolehan beliau dalam menghidupkan watak-watak akan lebih meninggalkan kesan mendalam terhadap pembaca.
Untuk cabaran bacaan 24 jam saya pilih buku kompilasi cerpen karya Usman Awang yang diterbitkan oleh Fixi Retro, bertajuk Yang Nakal-Nakal.


Tajuknya sahaja dah nakal, pasti menarik minat saya baca buku ini laju-laju tanpa henti. Saya rasa saya memilih buku yang benar.

Baiklah. Saya mula membacanya pada jam 12.30 tengahari di terminal bas menunggu bas ke Kuala Lumpur dari Temerloh jam 1.30 petang. Jadi saya ada 45 minit untuk masuk tenggelam dalam buku itu. Kena set alarm, 15 minit terakhir itu adalah waktu untuk sedar dan kembali ke dunia nyata. Kalau tidak nanti saya terlepas bas. Kes bukan jarang-jarang terjadi.

Dalam masa 45 minit tersebut, saya berjaya menghabiskan 50 surat pertama. Saya tak pasti itu kelajuan yang laju atau perlahan bagi orang lain, tapi bagi saya sudah cukup laju. Jumlah kesemua mukasurat adalah 218. Jadi, saya sudah menghabiskan lebih kurang 1/4 buku pada jam pertama cabaran saya bermula. Oh mengagumkan!

Kemudian saya naik bas. Saya adalah antara manusia-manusia yang tidak terpilih untuk mempunyai bakat membaca dalam kenderaan. Jadi masa 2 jam dalam bas, saya hanya habiskan untuk tidur.

Setelah sampai di Kuala Lumpur, menuju ke KL Sentral menaiki monorel dari Titiwangsa sempat saya sambung sedikit lagi bacaan. Oh atas monorel boleh pula saya membaca. Mungkin kerana gegarannya kurang sedikit dari menaiki bas yang boleh buat saya pening lalu mual dan terpaksa muntah-muntah jika saya paksa diri juga membaca.

Oleh kerana ceritanya nakal, tak membosankan, maka saya senang hati membacanya. Setelah turun dari monorel pun saya berehat sebentar di bangku dalam mall Nu Sentral untuk menyambung bacaan, sementara menunggu kawan saya yang entah dimana-mana lagi.

Saya larut dalam bacaan sampailah saya disergah oleh kawan saya. Rasanya sudah banyak saya baca. Mungkin sudah separuh buku waktu itu. Sesudah kawan saya sampai, saya terpaksa fokus pada beliau. Takut nanti dia kata, "kau kalau jumpa aku pun nak baca buku, baik tak payah jumpa." Ok, maafkan saya cabaran 24 jam. Saya perlu mengalih perhatian sebentar.

Sampai ke tengah malam saya sudah tidak berpeluang untuk menyentuh buku itu kembali, oh saya mula risau. Mampukah saya habiskan sebelum jam 12.40 tengahari esok? 

Ok. Setelah sampai ke rumah kawan, setelah siap mandi, solat dan bersedia untuk tidur. Saya mengelak untuk melayani kawan saya punya pillow talk. Yalah. Sudah seharian bercakap kenapa kau tak sudah-sudah lagi mahu bercakap? Jadi, waktu-waktu sebelum saya lelapkan mata itu saya guna untuk menyambung lagi bacaan.

Bercakap soal teknik bacaan. Saya tak tahu apadia tu. Saya hanya baca. Buku cerpen. Habis satu cerpen, saya hadam sekejap, kemudian saya beralih ke cerpen lain. Rasa seperti lebih mudah berbanding baca novel panjang. Dia hanya perlu pemahaman yang pendek dan pantas. Saya juga tidak akan berhenti membaca selagi satu cerpen itu tidak saya habiskan. Jadi, pemaksaan jenis itu pun agak membantu saya membaca untuk habis, dan cepat habis.

Ok. Pagi itu saya bangun subuh awal. Supaya saya dapat habiskan buku itu selepas solat. Tetapi oh tidak.. Di 30 mukasurat terakhir saya kecundang dan kembali berdengkur. Jadi cerpen-cerpen terakhir itu saya habiskan diwaktu senggang semasa saya dan kawan saya menunggu makan tengahari di sebuah restoran. Saya minta izin pada kawan saya untuk habiskan buku itu kerana saya sedang dalam cabaran membaca buku dalam masa 24 jam dan dia membenarkan saya.

Alangkah sukanya hati saya dapat menamatkan cabaran itu walaupun di minit-minit terakhir. Saya rasa seperti memilih hari yang salah untuk mulakan cabaran itu kerana saya bertemujanji untuk berjimba bersama kawan. Tapi dalam kesibukan itu, ianya membuatkan saya sedar. Kalau saya sibuk pun saya masih dapat habiskan satu buku sehari, kenapa pula saya tak boleh buat benda yang sama di hari-hari yang tak sibuk. 

Oh rupanya saya mampu ya..

Pembacaan pada 2017 agak rancak bagi  diri ini dengan adanya ‘group’ 32 BUKU 2017 yang dikelolakan oleh Buku Jalanan Titi. Sepanjang 2017 ini, buku terbaik yang dibaca ialah Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shahnon Ahmad. Walaupun sebelum ini,buku ini serng meniti dari bibir ke bibir oleh rakan-rakan sebaya, namun tidak pernah terdetik untuk mencari dan membaca buku ini sehinggalah saya diyakinkann oleh laman Goodreads yang meletakkan novel ini di tempat pertama dalam senarai 100 Novel Melayu yang Wajib Dibaca.

Disebabkan itu, saya berusaha mencari buku itu di perpustakaan dan menghabiskan bacaan kurang dari 24 jam dan sememangnya kedudukan novel ini di tempat pertama dibuktikan. Shahnon Ahmad sememangnya seorang yang bijak dan mahir dalam mengambarkan kesusahan, kemiskinan, dan kedaifan yang dialami oleh Lahuma sekeluarga dengan kata-kata kunci yang tersendiri. 

Novel yang  berlatarbelakangkan masyarakat petani ini secara tidak langsung telah menonjolkan jerit payah dalam menongkah kehidupan petani dengan begitu jelas sekali. Selain itu, Shanon juga telah menerapkan falsafah-falsafah kehidupan secara tidak langsung melalui novel ini seperti falsafah agama, nilai, pendidikan, kosmologi dan juga ekonomi. Plot yang digunakan begitu jelas sekali dan seakan-seakan semuanya bergerak dengan pantas dan tepat pada masanya. Segala kecelakaan yang menimpa keluarga Lahuma dan  Jeha diceritakan dengan penuh terperinci sehingga dapat meresap ke dalam jiwa dengan udah sekali. Dari peristiwa terpijak duri nibung sehinggalah kegilaan Jeha, Shahnon berjaya mencengkam perasaan melalui tulisan dengan begitu mudah. Unsur kekeluargaan yang digunakan mampu mendebarkan setiap jiwa yang membaca karya ini. 

Sungguh betapa keluarga dekat pada setiap jiwa manusia. Dan sememangnya, permainan watak perwatakan dalam novel ini dilakukan dengan begitu terperinci. Tidak keterlaluan jika saya katakan novel ini merupakan novel yang mengangkat setiap watak dengan begitu adil dan saksama. Tidak dapat dikesan penolakan dan pengetepian pada setiap watak. Jalinan peristiwa dan watak dilakukan dengan begitu indah sekali. Dari segi nilai pula, semestinya nilai kekeluargaaan berjaya diangkat sebagai nilai utama novel ini diikuti nilai budaya dan nilai masyarakat. Secara keseluruhannya, novel ini akan menggerakkan setiap jiwa yang membacanya. Oleh itu, Ranjau Sepanjang Jalan merupakan buku terbaik yang dibaca untuk tahun ini. Dan sesungguhnya Shahnon Ahmad merupakan  seorang  novelis yang berjiwa kedesaan dan kemasyarakatan. Terima kasih untuk Ranjau Sepanjang Jalan. Al-Fatihah.  




Untuk cabaran bacaan 24 jam, saya memilih Hikayat Faridah Hanom untuk memenuhi cabaran tersebut. Hikayat Faridah Hanom adalah novel hasil karya Syed Syeikh al-Hadi pada tahun 1925. Novel yang dianggap sebagai novel pertama dalam sejarah novel di Malaysia ini menceritakan tentang seorang gadis remaja yang bernama Faridah Hanom. Beliau merupakan seorang anak bangsawan yang telah jatuh cinta kepada seorang pemuda bernama Shafiq Affandi. Penggunaan ‘bahasa’  hikayat mengindahkan lagi perjalanan percintaan antara kedua-duanya. Percintaan yang diketengahkan oleh Syed Syeikh Al Hadi menerusi watak Faridah Hanom dan Shafiq Affandi merupakan satu tema yang baru pada masa itu kerana percintaan suka-sama-suka bukan merupakan norma masyarakat pada ketika itu. Namun atas kebijaksanaan penulis, keadaan dan pemikiran masyarakat ketika itu turut ditonjolkan dan terserlah apabila Faridah Hanom telah dipaksa kahwin dengan sepupunya sendiri iaitu,  Baharuddin Affandi.  Baharuddin Affandi pula digambarkan sebagai seorang yang panas baran, dan pemabuk. Ini secara tidak langsung telah memperlihatkan perbezaan percintaan secara paksa dan sebaliknya. Namun perjuangan percintan antara Faridah Hanom dan Shafiq Affandi dapat disnyalakan juga setelah mereka menghadapi dugaan, ujian dan rintangan masing-masing sebelum bersatu sebagai suami dan isteri.

Selain daripada mengisahkan percintaan, novel ini turut mengangkat persoalan perjuangan wanita dalam masyarakat. Persoalan ini ditonjolkan oleh Faridah Hanom yang menentang pemikiran masyarakat bahawa wanita hanya layak berada di ceruk-ceruk dapur, dan wanita sepatutnya menerima pendidikan sama sahaja seperti kaum lelaki. Faridah Hanom selaku wanita Mesir menentang budaya patriarki yang menebal dalam masyarakatnya dengan memperjuangkan dan mepertahankan kesetaraan hak untuk mendapat pendidikan. Penuis turut menjadikan watak Faridah Hanom sebagai seorang wanita yang bijak dan berpendidikan. Beliau juga menjadi perlambangan bagi wanita- wanita yang mengalami kesusahan dalam penuntutan perceraian. Tragedi yang dialami oleh Faridah Hanom juga telah membuka mata masyarakat terutamanya ibu bapa yang mengahwinkan anak-anak supaya mendapat persetujuan anak-nak terlebih dahulu sebelum meneruskan perkahwinan dan penyatuan dua insan itu.

Secara keseluruhannya, novel ini merupakan novel yang baik dan membuka mata masyarakat terutamanya dalam hal yang melibatkan munakahat walaupun pada perigkat awal novel banyak menceritakan tentang manis-manis percintaan antara Faridah Hanom dan Shafiq Affandi. Syed Syeikh Al Hadi secara tidak langsung turut membuktikan perjuangan Kaum Muda yag diwakilinya dalam memperjuangkan hak pendidikan kepada anak-anak remaja tanpa mengira umur. Penulis juga saya anggap seorang yang berani dan berjiwa besar kerana sanggup untuk menghasilkan sebuah karya yang menentang norma dan budaya masyarakat pada ketika itu.

Dari sudut pembacaan,saya memiih genre ‘Hikayat” sebagai cabaran kerana secara personalnya ia merupakan antara genre yang paling sukar untuk dibaca dan dihabiskan disebabkan oleh penggunaan dan lenggok laras bahasanya. Dengan tempoh masa yang diberikan dan ketebalan novel ini, saya berasa teragak-agak untuk menghabiskan bacaan pada mulanya namun akhirnya berjaya diselsaikan juga. Tips bacaan pantas untuk buku-buku Hikayat yang diimplementasikan dan berkesan pada saya sepanjang pembacaan adalah dengan membaca secara kuat iaitu, dengan menggerakkan bibir dan mendengar suara sendiri sepanjang tempoh pembacaan. Sememangnya cara bacaan ini agak menganggu pada awalnya, namun dalam masa yang sama dapat mengelakkan dari rasa mengantuk dan bosan terutamanya dalam bacaan buku Hikayat. Seterusnya, meletakkan sasaran untuk tiap kali bacaan. Misalnya, 50 page untuk setiap kali bacaan, selagi belum mencapai sasaran selagi itulah bacaan perlu diteruskan. Kesimpulannya, cabaran ini sememangnya mencungkil kemampuan diri sendiri dan novel Hikayat Faridah Hanom sememangnya novel yang dihasilkan dari masyarakat untuk masyarakat.

Author : Louis Sachar
Publisher : HarperCollins Publishers
Pages : 168
Start Time: 8:15 pm, 6th December 2017
End Time: 8:15 pm, 7th December 2017


The final challenge for the “32 Books Challenge” was to finish reading a book in 24 hours. One other condition was also that the book had to have more than 151 pages. Because I had a lot of things to do and assignments to complete, I decided to read an easy book, one that I could finish fast. I chose my brother’s book ‘Wayside School Gets a Little Stranger’ by Louis Sachar.

The first thing I did before I started reading was to find the perfect reading location. I read in the living room of my college. It was nice to read there as my housemates were all in their rooms so there was no distraction. It was very conducive for reading as there was enough light as well as wind. The place was very comfortable and made focusing on a book easier. Besides that, I could read easily in peace as it was quiet and nice.   

As soon as I started reading, I made sure there were no other distractions around me. I left my phone in the room and left it in silent mode so that I could fully focus on the book. I read in intervals of 20 minutes to ensure that I would not get bored of the book. I set a timer for 20 minutes and during that time, I would just focus on the book. When the time was up, I did some stretches, made myself Milo and listened to some music. It served as a reward for myself for finishing a segment of the book. I did it to give myself a break so I could continue reading feeling refreshed after the break.

This was the first time I finished reading a book in 24 hours. Usually, I would take my time in reading to appreciate the writing. I liked reading at my own pace which would take a few days to finish a book. At first when I knew about this challenge, I felt a bit intimidated as I never finished a book in a day. This challenge has definitely made me a more disciplined reader.

Wayside School Gets a Little Stranger tells a collection of wacky stories about Wayside School, the infamous thirty-story sideways building. In this book, Louis Sachar comes up with many lively people and funny scenes, all of which will have you chuckling in laughter. This is definitely a book for the inner child in you.

Rating: 3/5 stars
Tajuk : Tuesday with morrie
Penulis : Mitch Alborn
Muka surat : 201



Ini merupakan cabaran paling mencabar antara semua cabaran yang mencabar. Cabaran kali ini menilai komitmen dan disiplin sebagai seorang pembaca. Sebenarnya kita mampu untuk menghabiskan satu buku sehari sekiranya mempunyai disiplin diri dan keinginan yang padu. Tapi itulah masalahnya. Strategi yang saya gunakan pada kali ini adalah dengan menjauhi gadjet buat seketika. Saya lebih banyak menghabiskan masa membaca artikel-artikel secara online, status facebook, dan membuang masa secara tidak berfaedah. Pada waktu malam sebelum tidur saya gunakan masa tersebut dengan sebaiknya kerana mood membaca saya selalu datang pada waktu itu. Saya berjaya menghabiskan 2/3 bacaan pada malam sebelum tidur.

Cabaran kali ini saya memilih buku yang membicarakan tentang kehidupan dengan tajuk “Tuesday with Morrie” hasil karya Mitch Alborn. Buku ini pernah disarankan kepada saya oleh seorang senior ketika menyertai satu program bedah buku dan kebetulan pula menjumpai buku ini di perpustakaan. Saya telah mengetahui sedikit sebanyak tentang buku ini hasil penceritaan senior tersebut dan sejak mengetahui tajuknya, saya tertanya-tanya mengapa Tuesday dan siapa sebenarnya Morrie. Setelah memulakan bacaan, saya mendapat jawapan kepada persoalan saya. Tuesday merujuk kepada hari perjumpaan Morrie dan Mitch sejak dari zaman universiti sehingga menjelang hari-hari kematiannya dan Morrie adalah proffesor kepada Mitch.

Buku ini berkisarkan seorang murid dan guru. Seorang murid yang menjadi kesayangan gurunya, namun setelah tamat pengajian mereka terputus hubungan kerana kesibukan duniawi sehingga satu rancangan televisyen yang membawa kepada pertemuan kembali diantara dua orang ini. Professor Morrie telah disahkan menghidap satu penyakit yang membawa kelumpuhan dan seterusnya kematian, berjaya menarik minat sebuah rancangan televisyen terbuka untuk menemu ramah beliau kerana semangat hidup yang beliau ada.

Keadaan Morrie yang semakin lama semakin lemah dan lumpuh membuatkannya lebih banyak menggunakan masa yang ada untuk bercerita dan mendengar cerita daripada orang lain terutamanya Mitch. Morrie mengajarkan Mitch nilai-nilai kehidupan, motivasi dan nasihat mengenai hidup yang dijalani Mitch. Tentang penghargaan kepada kehidupan, cara menikmati kehidupan dan menggunakan nikmat hidup sebaiknya.

Buku ini membuka mata saya memandang nilai hidup dari satu sisi yang berbeza, iaitu ketika Morrie disahkan menghidap penyakit , Morrie merasakan dunia tidak bersimpati, semua masih kekal sama tidak ada yang berubah. Dengan itu , Morrie mengubah sudut pandangannya tentang hidup bahawa hidup perlu dinikmati dan akan berlalu tanpa menunggu sesiapa. Morrie begitu bersedia menunggu detik kematiannya memberi refleksi kepada saya bahawa persediaan untuk mati adalah makna kepuasan hidup. Mengetahui kita akan mati, akan memaksimakan fungsi kita sebenar sebagai manusia.

Nilai-nilai kehidupan begitu banyak diceritakan di dalam buku ini dan memberi inspirasi untuk sentiasa melihat hidup sebagai sesuatu yang indah. Melakukan kebaikan seperti memberi kegembiraan kepada orag lain adalah antara perkara yang indah. Buku tentang kehidupan yang baik untuk dijadikan bacaan semua. Morrie bertindak sebagai mentor kehidupan Mitch menunjukkan peranan seorang guru itu begitu penting dan tidak terbatas walaupun di luar bilik darjah. Guru yang memandu kehidupan.

Sayu mengenangkan detik kematian lebih-lebih lagi sekiranya tiada apa yang ditinggalkan sebagai kenang-kenangan mahupun panduan. Morrie berjaya meninggalkan sesuatu sebelum mati. Sesuatu yang ditulis oleh Mitch inilah peninggalan berharga Morrie.

Sebelum masuk ke kelas tengah hari itu, saya berjaya habiskan buku ini dengan masa berbaki beberapa minit sebelum cabaran berakhir. Satu kelegaan dan kepuasan apabila berjaya melawan diri sendiri dan tidak berlengah-lengah menghabiskan sesebuah buku. Tips utama untuk cabaran kali ini adalah dengan memilih buku yang sesuai dengan jiwa dan mudah difahami. Salah pilih buku, alamat mengulang lah cabaran ini. Ketebalan muka surat juga perlu diambil kira. Logiknya , buku yang mempunyai muka surat 300 lebih keatas akan memakan masa dua tiga hari untuk dihabiskan disamping perkara-perkara yang perlu diselesaikan seperti tugasan dan tutorial sebagai seorang pelajar misalnya. Pemilihan buku yang ringan dan santai akan membantu untuk kelancaran proses bacaan. 

Pada waktu sekolah menegah sewaktu diawal tingakatan 1, teknik bacaan pantas (speed reding) ada diajarkan dan saya akui menggunakan sedikit sebanyak kaedah itu dengan mengimbas beberapa perenggan yang tidak mempunyai “isi utama” dan memfokuskan kepada perenggan yang lain untuk tidak terlalu membuang masa dan memahami dengan baik cerita yang disampaikan. Dalam usaha menghabiskan muka surat yang ada, kefahaman adalah jauh lebih penting. Antara cabaran yang saya hadapi adalah ketika hendak menghabiskan 1/3 lagi baki muka surat yang ada kerana mood yang hilang setelah mengetahui pada penghujung cerita bahawa Morrie akan mati juga. Sebenarnya saya mengharapkan plot twist, Morrie akan sihat semula tetapi setelah menghabiskan 2/3 masih tidak kelihatan plot twist walaupun sedia maklum bahawa Mitch menulis buku ini kerana ingin mengabdikan pesanan dan detik bersama Morrie. Mengaharapkan keajaiban di situ haha. Tapi kepuasan tercapai apabila berjaya menghabiskan buku ini dan mengetahui siapa Peter sebenarnya kerana  Mitch seperti mendedikasikan buku ini untuk seseorang bernama Peter dan menulis “ Buat Peter ” pada muka surat terawal dan hanya memetik nama Peter pada lembaran-lembaran terakhir buku ini.

Akhirnya, dimana ada kemahuan, disitu ada jalan !


Friday, 10 November 2017


Merantau ke Deli sememangnya satu novel yang memberi kejutan besar kepada saya. Sebelum membaca, saya menyangka ia adalah novel kemasyarakatan, perbezaan darjat dan adat seperti kebiasaannya yang dibicarakan oleh Hamka. Ternyata sangkaan saya tersasar. 

Meskipun novel ini ditulis pada tahun 1930-an, namun watak-watak dalam novel ini, seperti Leman, Mariatun dan Poniem tidak lari jauh dari situasi  institusi keluarga tahun 2017 kini. 

Hamka menceritakan kisah rumah tangga Leman & Poniem yang pada asalnya, seperti mana kisah cinta yang lain, ia bermula dengan cinta pandang pertama dan mengenali hati budi. Di sini, Hamka merakamkan secara jelas dialog-dialog yang menggambarkan  perasaan dan harapan Poniem terhadap perkahwinan. Begitu juga Leman, sebagai lelaki  budiman yang sanggup menerima Poniem; wanita susah yang berlainan darjat sebagai isterinya yang disayangi dan dihormati. Namun kemudian, ada wanita lain yang hadir dalam hidup Leman, yang menyebabkan rumah tangga Leman dan Poniem tidak bertahan lama. Mereka berpisah. Secara luarannya, kisah ini adalah kisah biasa cinta 3 segi, yang kebiasaannya ada unsur tidak jujur serta khianat pada janji - ianya agak tipikal.


Namun begitu, dalam banyak-banyak buku pelbagai genre yang saya baca sebelum ini, Merantau Ke Deli masih tetap karya nombor satu yang saya mahu rekomen tuan puan membacanya. Mesejnya terlalu besar untuk dibiarkan tanpa dihadam, dikupas dan dibincangkan oleh pembaca terbanyak. Mengapa?


Pertamanya, disebalik kisah cinta 3 segi ini, Hamka mengajar bagaimana memanusiakan sunnah perkahwinan. Perkahwinan bukan tertakluk dengan hukum hakam dan adat resam semata-mata. Hamka cuba ketengahkan bahawa nilai manusiawi, adalah elemen paling utama dan asas dalam membuat penilaian dan tindakan. Bukanlah maksudnya beliau mengajak meninggalkan hukum hakam agama, tetapi secara peribadi, saya merasakan Hamka mengajak kita melihat perkahwinan dalam kacamata seorang manusia yang diciptakan dengan fitrah.


Keduanya, Hamka membawa kisah cinta 3 segi yang berakhir dengan poligami dalam perkahwinan, dan seterusnya perceraian. Kebiasaannya, perkahwinan poligami disanjung tanpa melihat ke isu yang paling asas - adakah ia membawa kepada Taqwa dan seterusnya memberikan ‘syurga dunia dan akhirat’ buat semua orang dalam keluarga? Kebiasaannya, ulama lelaki memilih memasukkan mesej keharusan wanita menerima pilihan suami mereka yang mahu berpoligami dengan isteri ke 2,3 dan 4 dengan menggunakan asbab poligami itu diharuskan agama; tanpa pula melihat syarat-syarat yang ketat. Nasihat-nasihat yang menggalakkan tuntutan ketaatan, kesetiaan sebelah pihak dari wanita diselitkan dalam dialog-dialog. Kata mereka, wanita solehah yang perlu redha dan menyokong keinginan suami didokong oleh hujah agama. Hanya yang indah sahaja diceritakan dan krisis keluarga  yang timbul kerana poligami dianggap sebagai taboo untuk dibincangkan. 

Imej wanita yang marah, berkecil hati, tidak bersetuju dengan pilihan suami mahu berisiteri lebih, digambarkan sebagai antagonis - watak jahat, memberontak, berakal satu dan bernafsu sembilan dan jahil agama.

Saya terkejut, kerana berlainan sekali mesej yang disampaikan Hamka.

Hamka memilih untuk menceritakan dilema dan resah gelisah Poniem sekiranya nanti suaminya Leman benar-benar jatuh cinta dan berkahwin dengan wanita lain; Mariatun.

Hamka dengan begitu halus sekali menggambarkan perasaan Poniem apabila suami yang dicintai itu akhirnya berkahwin dengan wanita lain. Apa yang bermain difikirannya apabila suami menyatakan hasrat berkahwin lagi. Apa ketakutan dan kebimbangannya bila ada wanita lain dalam keluarganya. Apa pengorbanan & 'adjustment' emosi dan fizikal yang perlu isteri pertama lakukan. Bagaimana Poniem 'memandang' masa depannya mulai kehadiran wanita lain dalam keluarganya

Sisi ini jarang difahami oleh lelaki, apatah lagi jika mereka memandangnya dengan kaca mata  agama dan adat semata-mata dan bukannya sisi kemanusiaan.

Agak menakjubkan bagi saya kerana, Hamka mampu mengulas perasaan wanita dengan tepat, tanpa perlu menjadi wanita. Hamka ‘gets it’.

Ketiga; Hamka menyambung dengan menceritakan situasi wanita yang ‘terduduk’ akibat gagal bertahan dalam perkahwinan poligami dan akhirnya diceraikan. Tidak seperti drama atau novel cinta biasa, wanita begini digambarkan seperti gagal dalam hidup selama-lamanya. Wanita seperti ini pasti akan disusuli dengan nasib buruk satu demi satu akibat keengganannya hidup rukun dengan suami bersama isteri barunya. 


Hamka memilih untuk mengambil naratif lain. Beliau mengajar wanita agar jangan tenggelam dengan nafsu kesedihan atau kemurungan. Melalui watak Poniem, Hamka mengajak agar wanita bangkit membina hidup yang baru, jauh meninggalkan episod luka dalam hidup. Wanita ‘selemah’ Poniem diceritakan mampu bangun dan berusaha mengubah nasib hidupnya sendiri.


Saya seperti mahu menyanjung novel ini, lebih-lebih lagi novel ini ditulis oleh seorang ulama yang mahir dengan ilmu tafsir Al-Quran. Beliau menyampaikan mesej dengan ruh al-quran dan hadis, tanpa perlu memetik ayat Al-Quran. Begitu eloquentsekali. 


Keempat; dalam novel ini, Leman gagal membezakan kaca dan permata. Sewaktu di’goda’ oleh kaca, Leman lelaki budiman, waras dan baik hati memilih untuk meninggalkan permata yang menjadi sanjungannya dahulu. Dalam hal ini, ironinya, sumpahan ‘Wanita berakal 1, nafsunya 9’ sebenarnya terkena kepada Leman, seorang lelaki.

Dengan agak sinis dan bersahaja, Hamka juga menyelitkan satu dialog yang diucapkan oleh Leman sendiri; yang memberi ‘tamparan’ kepada para lelaki - tidak kira ustaz atau bukan! 

Saya menyeru agar buku ini di baca oleh para lelaki dan wanita, terutamanya yang telah berkeluarga. Terlalu banyak mutiara yang dapat dikutip dalam novel ini. Sesungguhnya Hamka mengingatkan bahawa jangan sekali-kali lupa yang kita ini manusia. 

Jika ciri-ciri Leman ada pada anda, wahai lelaki diluar sana, sebelum terlambat, fahamilah perasaan 'Poniem', melalui apa yang ditinta oleh Hamka ini. Jika sekiranya terlanjur 'Poniem' yang anda sia-siakan bangun meninggalkan anda dan tidak menoleh kebelakang lagi, janganlah sesekali disesali.