.

.

Friday, 10 November 2017

Cabaran Akhir - Merantau Ke Deli Oleh Sharina M Salim


Merantau ke Deli sememangnya satu novel yang memberi kejutan besar kepada saya. Sebelum membaca, saya menyangka ia adalah novel kemasyarakatan, perbezaan darjat dan adat seperti kebiasaannya yang dibicarakan oleh Hamka. Ternyata sangkaan saya tersasar. 

Meskipun novel ini ditulis pada tahun 1930-an, namun watak-watak dalam novel ini, seperti Leman, Mariatun dan Poniem tidak lari jauh dari situasi  institusi keluarga tahun 2017 kini. 

Hamka menceritakan kisah rumah tangga Leman & Poniem yang pada asalnya, seperti mana kisah cinta yang lain, ia bermula dengan cinta pandang pertama dan mengenali hati budi. Di sini, Hamka merakamkan secara jelas dialog-dialog yang menggambarkan  perasaan dan harapan Poniem terhadap perkahwinan. Begitu juga Leman, sebagai lelaki  budiman yang sanggup menerima Poniem; wanita susah yang berlainan darjat sebagai isterinya yang disayangi dan dihormati. Namun kemudian, ada wanita lain yang hadir dalam hidup Leman, yang menyebabkan rumah tangga Leman dan Poniem tidak bertahan lama. Mereka berpisah. Secara luarannya, kisah ini adalah kisah biasa cinta 3 segi, yang kebiasaannya ada unsur tidak jujur serta khianat pada janji - ianya agak tipikal.


Namun begitu, dalam banyak-banyak buku pelbagai genre yang saya baca sebelum ini, Merantau Ke Deli masih tetap karya nombor satu yang saya mahu rekomen tuan puan membacanya. Mesejnya terlalu besar untuk dibiarkan tanpa dihadam, dikupas dan dibincangkan oleh pembaca terbanyak. Mengapa?


Pertamanya, disebalik kisah cinta 3 segi ini, Hamka mengajar bagaimana memanusiakan sunnah perkahwinan. Perkahwinan bukan tertakluk dengan hukum hakam dan adat resam semata-mata. Hamka cuba ketengahkan bahawa nilai manusiawi, adalah elemen paling utama dan asas dalam membuat penilaian dan tindakan. Bukanlah maksudnya beliau mengajak meninggalkan hukum hakam agama, tetapi secara peribadi, saya merasakan Hamka mengajak kita melihat perkahwinan dalam kacamata seorang manusia yang diciptakan dengan fitrah.


Keduanya, Hamka membawa kisah cinta 3 segi yang berakhir dengan poligami dalam perkahwinan, dan seterusnya perceraian. Kebiasaannya, perkahwinan poligami disanjung tanpa melihat ke isu yang paling asas - adakah ia membawa kepada Taqwa dan seterusnya memberikan ‘syurga dunia dan akhirat’ buat semua orang dalam keluarga? Kebiasaannya, ulama lelaki memilih memasukkan mesej keharusan wanita menerima pilihan suami mereka yang mahu berpoligami dengan isteri ke 2,3 dan 4 dengan menggunakan asbab poligami itu diharuskan agama; tanpa pula melihat syarat-syarat yang ketat. Nasihat-nasihat yang menggalakkan tuntutan ketaatan, kesetiaan sebelah pihak dari wanita diselitkan dalam dialog-dialog. Kata mereka, wanita solehah yang perlu redha dan menyokong keinginan suami didokong oleh hujah agama. Hanya yang indah sahaja diceritakan dan krisis keluarga  yang timbul kerana poligami dianggap sebagai taboo untuk dibincangkan. 

Imej wanita yang marah, berkecil hati, tidak bersetuju dengan pilihan suami mahu berisiteri lebih, digambarkan sebagai antagonis - watak jahat, memberontak, berakal satu dan bernafsu sembilan dan jahil agama.

Saya terkejut, kerana berlainan sekali mesej yang disampaikan Hamka.

Hamka memilih untuk menceritakan dilema dan resah gelisah Poniem sekiranya nanti suaminya Leman benar-benar jatuh cinta dan berkahwin dengan wanita lain; Mariatun.

Hamka dengan begitu halus sekali menggambarkan perasaan Poniem apabila suami yang dicintai itu akhirnya berkahwin dengan wanita lain. Apa yang bermain difikirannya apabila suami menyatakan hasrat berkahwin lagi. Apa ketakutan dan kebimbangannya bila ada wanita lain dalam keluarganya. Apa pengorbanan & 'adjustment' emosi dan fizikal yang perlu isteri pertama lakukan. Bagaimana Poniem 'memandang' masa depannya mulai kehadiran wanita lain dalam keluarganya

Sisi ini jarang difahami oleh lelaki, apatah lagi jika mereka memandangnya dengan kaca mata  agama dan adat semata-mata dan bukannya sisi kemanusiaan.

Agak menakjubkan bagi saya kerana, Hamka mampu mengulas perasaan wanita dengan tepat, tanpa perlu menjadi wanita. Hamka ‘gets it’.

Ketiga; Hamka menyambung dengan menceritakan situasi wanita yang ‘terduduk’ akibat gagal bertahan dalam perkahwinan poligami dan akhirnya diceraikan. Tidak seperti drama atau novel cinta biasa, wanita begini digambarkan seperti gagal dalam hidup selama-lamanya. Wanita seperti ini pasti akan disusuli dengan nasib buruk satu demi satu akibat keengganannya hidup rukun dengan suami bersama isteri barunya. 


Hamka memilih untuk mengambil naratif lain. Beliau mengajar wanita agar jangan tenggelam dengan nafsu kesedihan atau kemurungan. Melalui watak Poniem, Hamka mengajak agar wanita bangkit membina hidup yang baru, jauh meninggalkan episod luka dalam hidup. Wanita ‘selemah’ Poniem diceritakan mampu bangun dan berusaha mengubah nasib hidupnya sendiri.


Saya seperti mahu menyanjung novel ini, lebih-lebih lagi novel ini ditulis oleh seorang ulama yang mahir dengan ilmu tafsir Al-Quran. Beliau menyampaikan mesej dengan ruh al-quran dan hadis, tanpa perlu memetik ayat Al-Quran. Begitu eloquentsekali. 


Keempat; dalam novel ini, Leman gagal membezakan kaca dan permata. Sewaktu di’goda’ oleh kaca, Leman lelaki budiman, waras dan baik hati memilih untuk meninggalkan permata yang menjadi sanjungannya dahulu. Dalam hal ini, ironinya, sumpahan ‘Wanita berakal 1, nafsunya 9’ sebenarnya terkena kepada Leman, seorang lelaki.

Dengan agak sinis dan bersahaja, Hamka juga menyelitkan satu dialog yang diucapkan oleh Leman sendiri; yang memberi ‘tamparan’ kepada para lelaki - tidak kira ustaz atau bukan! 

Saya menyeru agar buku ini di baca oleh para lelaki dan wanita, terutamanya yang telah berkeluarga. Terlalu banyak mutiara yang dapat dikutip dalam novel ini. Sesungguhnya Hamka mengingatkan bahawa jangan sekali-kali lupa yang kita ini manusia. 

Jika ciri-ciri Leman ada pada anda, wahai lelaki diluar sana, sebelum terlambat, fahamilah perasaan 'Poniem', melalui apa yang ditinta oleh Hamka ini. Jika sekiranya terlanjur 'Poniem' yang anda sia-siakan bangun meninggalkan anda dan tidak menoleh kebelakang lagi, janganlah sesekali disesali.

1 comment:

Anonymous said...

DR YAKAYA SPELL ADALAH SPELL TERBAIK SAHAJA SEPERTI UNTUK MENGGUNAKAN MEMBAWA KEMBALI KE ATAS KELUARNYA. KAMI TAHU ADA ADALAH SEMASA BERBAGAI BAHAWA KAMI TIDAK PERMINTAAN UNTUK MEREKA UNTUK MUNGKIN TETAPI TIDAK BOLEH MUNGKIN MUNGKIN MUNGKIN MUNGKIN MUNGKIN KAMU TIDAK MUNGKIN MENCINTAI KANAN SAMA ANDA MENCINTAI ATAU HER, BAGAIMANA HANYA MUNGKIN HANYA MEMUTUSKAN UNTUK BERJALAN DENGAN ANDA BAGAIMANA MEREKA TIDAK BERLAKU CINTA ANDA MEMILIKI UNTUK SAYA ATAU ANDA MUNGKIN MEMILIKI SELURUH RAHASIA YANG MEMERLUKAN BAHAWA YANG MEMANGKAN KE BREAK ATAU BULAN BEBERAPA BULAN ATAU TAHUN, BAGAIMANA ANDA PERLU MEMBANTU BELUM MENDAPATKAN ATAU KEMBALIYA HANYA HUBUNGI DR YAKAYA VIA EMAIL ALAMAT YAKAYATEMPLE@GMAIL.COM ATAU PANGGILAN HANYA NAMA NAMA ITU +2347050270227 UNTUK MEMBANTU ANDA