Saya memilih buku Lion sebagai cabaran membaca memoir atau autobiografi kali ini, setelah melihat trailer filem yang diadaptasi dari catatan pengalaman penulis, Saroo Brierley.
Saya mahu fahami pengalaman hidup Saroo di india - hidup di dalam keluarga miskin, mempunyai seorang ibu beragaman hindu dan ayahnya seorang muslim. Mereka tinggal di kawasan pedalaman, yang serba serbi kekurangan dan penduduknya berkerja keras untuk menampung keperluan asasi. Anak-anak terbiar berkeliaran dan bermain sepanjang hari kerana ibu bapa sibuk berkerja. Situasi ini tidak lah unik di india. Di mana mana ceruk dunia, begitulah situasi anak anak apabila ibubapa sibuk berkerja tanpa ada masa dengan anak-anak. Bagi mereka, mereka tiada pilihan, demi kelangsungan hidup anak anak mereka.
Saroo mempunyai abang yang telah mula berkerja dari kecil untuk membantu ibu mereka. Salah seorang abang Saroo, bekerja menjual barangan di stesen dan gerabak keretapi. Saya sayu membayangkan kanak-kanak comot dengan muka letih, yang seharusnya berada di sekolah, tetapi sibuk ke sana sini menjual barangan. Aktiviti abangnya sedikit sebanyak menyebabkan Saroo teringin untuk mengikuti abangnya bekerja, meskipun beliau baru sahaja berusia 5 tahun.
Itulah titik tolak kepada kejadian yang mengubah hidupnya 360 darjah itu berlaku. Saroo mengikut abangnya Kaloo ke dalam gerabak keretapi. Oleh kerana perjalanan jauh, Saroo tertidur dan ketika bangun, abangnya tiada lagi dişisi meskipun telah menunggu selama berjam-jam. Begitu hidup sekali Saroo menceritakan detik cemas dan gelisah dalam buku ini - seolah olah trauma masih membekas dan tidak pernah meninggalkan memorinya. Apabila saya melihat peta dan membandingkan stesen asal Saroo dan stesen akhir Saroo berhenti, saya amat terkejut! Saroo telah ‘merantau‘ terlalu jauh meninggalkan kampung halamannya.
Akhirnya Saroo mengalah, beliau berhenti di stesen kalkotta setelah gagal menemui abangnya. Beliau menjadi budak jalanan, bergantung hidup dengan lebihan makanan yang terbuang, hingga hampir menjadi mangsa penculikan. Tidak dapat saya bayangkan kanak-kanak berusia 5 tahun perlu menghadapi cabaran hidup seorang diri begini.
Sesungguhnya Tuhan Maha Melihat. Akhirnya Saroo ‘dikutip’ dan tinggal bersama kanak-kanak lain oleh sebuah badan kebajikan. Ini, antara episod penting bermulanya Saroo di hantar ke Australia untuk tinggal bersama pasangan Brierley. Pasangan ini memilih untuk tidak mempunyai anak, dan mahu membesarkan anak-anak jalanan yang miskin dan memberi peluang untuk mereka mendapat pendidikan dan kualiti hidup yang lebih baik. Begitu ‘selfless’ sekali mereka - itulah padangan awal saya terhadap pasangan ini. Siapa yang sanggup menyayangi anak yang asalnya dari benua berlainan, bukan darah daging sendiri, dalam masa yang sama tanpa gagal mengingatkan Saroo tentang negara asalnya, budaya dan keluarganya?
Setelah dewasa - dengan bantuan Google Earth dan Facebook, Saroo berjaya mengesan kampungnya. Saroo mengambil risiko untuk ke India dan masuk ke ceruk kampung di mana rumah ibu dan keluarganya terletak.
Watak yang meninggalkan kesan pada saya ialah Ibu angkat Saroo di Australia - walaupun beliau bukanlah yang melahirkan Saroo, beliau begitu di sayangi dan dihormati oleh Saroo. Beliau tidak melenyapkan identiti budaya Saroo dan kenangan Saroo di india. Beliau sertakan peta negara India, meletakkan beberapa simbol budaya India, menyediakan makanan budaya tempatan Saroo agar beliau tidak berasa janggal dan asing di Australia.
Ada satu episod luka yang perlu ditelan Saroo setelah beliau melawat keluarganya di India. Cukup saya tinggalkan disini untuk anda baca. Bacaan yang menyentuh emosi kekeluargaan. Terima Kasih Saroo kerana berkongsi!
No comments:
Post a Comment