Naskhah yang
saya baca ini merupakan edisi santai terbitan Wira Bukit Sdn Bhd, cetakan kedua
tahun 2008. Saya menyatakan rumah penerbitan dan tahun cetakan kerana saya
difahamkan Cinta Fansuri mempunyai banyak versi, kulit keras dan kulit lembut,
daripada pelbagai rumah penerbitan. Hal ini menunjukkan Cinta Fansuri adalah
sebuah naskhah dalam kelas tersendiri, dihargai dan disanjung oleh ramai pihak.
Cabaran Bacaan
32 anjuran Buku Jalanan Titi kali ini benar-benar menepati maksud ‘cabaran’.
Kami semua diminta untuk memilih sebuah buku yang melebihi 151 mukasurat,
kemudian menghabiskan bacaan dalam masa 24 jam. Setelah tamat bacaan pula, kami
diminta untuk menghasilkan sebuah ulasan bagi buku tersebut ditambah dengan
sebuah lagi ulasan tentang buku yang sudah dibaca sepanjang cabaran yang
dirasakan wajar untuk dibaca sama oleh orang lain. Ternyata, pihak penganjur
benar-benar serius untuk hanya memilih yang terbaik bagi dinobatkan sebagai
juara dalam cabaran ini.
Saya masih
teringat peristiwa sewaktu berkunjung ke sebuah kedai (stor?) buku terpakai di
Puchong. Pemiliknya menegur saya sewaktu menghulurkan Cinta Fansuri bersama
buku-buku lain untuk membuat bayaran. “Cinta Fansuri ini sukar dibaca. Saya tak
faham jalan ceritanya.” Saya sekadar menghadiahkan sebuah senyuman kepadanya.
Komen tersebut mungkin sekadar cara pemilik itu berbasa-basi dengan pelanggan.
Sewaktu cabaran ini diumumkan, gerak hati saya kuat mengarahkan supaya memilih
Cinta Fansuri. Entah mengapa, komen pemilik kedai buku yang sekadar angin lalu
itu tiba-tiba berbekas dalam ingatan. Ia semacam memberikan sebuah persepi
bahawa, ya, Cinta Fansuri adalah naskhah yang
sukar difahami. Saya memulakan bacaan dengan persepi itu di minda.
Novel ini
bercerita tentang Fansuri, anak Melayu yang membawa diri bersama hati yang
kecewa ke Paris dan menetap di sana selama hamper tiga dekad. Cinta tulusnya
kepada Fahiyaton dibalas dengan penolakan kejam selama tiga kali dalam tempoh
yang panjang, walaupun Fansuri sering mendengar ikrar cinta Fahiyaton pada awal
percintaan terngiang-ngiang saban waktu.
Benar-benar menyakitkan. Ini
kisah cinta utama.
Seterusnya,
novel ini turut menghidangkan kita kisah cinta Bambrio, tenaga pengajar bengkel
menulis cerpen sejarah bersama Ratna Murni, dosen Universitas Gadjah Mada.
Kasih Bambrio ditolak kerana Ratna Murni merasakan dia memiliki persepektif
cinta yang rumit. Tidak berjejak.
Dalam masa yang sama, pembaca dibawa untuk
merasai kisah cinta antara Damri dan Wan Siriyah. Damri selaku penggerak utama
novel adalah tenaga penagajar bengkel cerpen sejarah, seperti sahabatnya
Bambrio. Damri pernah mengisyaratkan rasa hatinya kepada Wan Siriyah tetapi Wan
Siriyah seperti sengaja mahu mengalihkan kepada topik yang lain. Atas kuasa
cinta, Damri menyanggupkan diri untuk memenuhi permintaan Fahiyaton mencari
Fansuri di Paris, meninggalkan tugas hakiki sebagai tenaga pengajar bengkel.
Damri langsung tidak menghiraukan suasana Perang Teluk yang semakin membahang,
memungkinkan nyawanya melayang.
Seperti tidak
cukup dengan tiga kisah cinta pelbagai warna, kita dihadapkan pula dengan Kisah cinta lelaki Edang Epala, datuk kepada nenek
92 tahun yang sentiasa memulakan setiap perkataannya dengan huruf vowel, sehingga
terbunuhnya ‘Uan Icad Ussel’. Kisah pertarungan merebut cinta di antara anak
tempatan dengan lelaki Inggeris yang terkorban, dan mayatnya didapati terapung
di sisi beberapa buah tembulus.
Cinta Fansuri
adalah sebuah hikayat cinta yang dibina secara konvensional,
permulaan-perkembangan-peleraian. Tetapi plotnya saling bertindihan. Ceritanya
dianyam dengan tali benag penuh seni juga misteri. Ia membingungkan tetapi
memuaskan. Saya telah memfokuskan sehabis daya untuk memahami setiap plot
novel, terus menyangka saya sudah menguasai jalan cerita Cinta Fansuri.
Ah, ternyata
saya silap. Permulaan dan pengakhiran novel yang tidak sampai sepertiga
mukasurat itu telah menghenyak saya terdiam di kerusi duduk. Tiada konklusi
pasti. Agaknya Pak Samad memang sengaja membiarkan teka-teki itu terus bergerak
di minda pembaca.
Novel ini
ditulis daripada pelbagai sudut pandang. Ada bahagian yang menggunakan “aku”
sebagai pencerita. Ada juga yang menghalakan cerita dengan menggunakan “dia”.
Naratif dalam pelbagai bentuk ini seperti kepingan jigsaw puzzle, terkadang
mempunyai bentuk dan warna seakan sama. Pembaca perlu teliti dan bijak untuk
meletakkan kepingan puzzle pada tempatnya untuk mendapatkan gambaran
keseluruhan. Sayangnya, walaupun setelah semua kepingan puzzle disusun, gambar
yang terhasil pula menjemput kepada pelbagai tafsiran.
Banyak elemen
menarik dalam Cinta Fansuri. Pak Samad ada berbicara tentang konflik Saddam
Hussein dan Bush dalam Peranfg Teluk. Krisis antara Iraq dan Kuwait. Perihal Di
Negeri Belalang karya Anwar Ridhwan juga dimasukkan. Pak Samad turut menurunkan
beberapa pandangan beliau terhadap sastera, yang menjadikan naskhah ini
multi-ilmu.
Mungkin saya
tidak berpuas hati kerana saya tidak memahami Cinta Fansuri, tetapi saya tetap
jatuh cinta dengan langgam bahasa Pak Samad yang indah dan berseni.
No comments:
Post a Comment